Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Bagaimana cara yang terbaik untuk kita keluar daripada menjadi orang-orang yang lalai atau disebut ghafilin?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Dalam al-Quran kalimah ghafilin didatangkan dalam bentuk hinaan dan kerugian. Antaranya, firman Allah SWT:

وَلَقَدْ ذَرَأْنَا لِجَهَنَّمَ كَثِيرًا مِّنَ الْجِنِّ وَالْإِنسِ ۖ لَهُمْ قُلُوبٌ لَّا يَفْقَهُونَ بِهَا وَلَهُمْ أَعْيُنٌ لَّا يُبْصِرُونَ بِهَا وَلَهُمْ آذَانٌ لَّا يَسْمَعُونَ بِهَا ۚ أُولَٰئِكَ كَالْأَنْعَامِ بَلْ هُمْ أَضَلُّ ۚ أُولَٰئِكَ هُمُ الْغَافِلُونَ

Maksudnya: “Dan sesungguhnya Kami jadikan untuk neraka jahanam banyak dari jin dan manusia yang mempunyai hati (tetapi) tidak mahu memahami dengannya (ayat-ayat Allah), dan yang mempunyai mata (tetapi) tidak mahu melihat dengannya (bukti keesaan Allah) dan yang mempunyai telinga (tetapi) tidak mahu mendengar dengannya (ajaran dan nasihat); mereka itu seperti binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi; mereka itulah orang-orang yang lalai.

Surah al-A’raf (179)

Ibn Kathir berkata: Orang-orang yang sesat dan pengakhirannya sebagai penghuni neraka itu tidak sedikit pun memanfaatkan semua pancaindera yang telah dianugerahkan oleh Allah dan dalam menjadikannya sebagai wasilah atau alat untuk mendapatkan hidayah. Oleh kerana itu, mereka tidak dapat melihat dengan penglihatan mereka, tidak dapat mendengar dengan telinga mereka dan tidak dapat memahami dengan jantung hati mereka. (Lihat Tafsir al-Quran al-’Azim, 3/341)

Berdasarkan nas di atas, golongan yang tidak mengambil prihatin untuk mengenal dan mentaati Allah SWT melalui pancainderanya dan hatinya, itulah golongan yang lalai. Menjawab persoalan di atas, untuk mengeluarkan dan meneglakkan kita daripada menjadi golongan ghafilin kita hendaklah melazimi zikir waktu pagi dan petang dengan mengingati Allah SWT dengan sebanyak-banyaknya. Kerana denagn zikirlah dapat mengeluarkan manusia daripada sifat ghafilin atau orang-orang yang lalai.

Firman Allah SWT:

وَاذْكُر رَّبَّكَ فِي نَفْسِكَ تَضَرُّعًا وَخِيفَةً وَدُونَ الْجَهْرِ مِنَ الْقَوْلِ بِالْغُدُوِّ وَالْآصَالِ وَلَا تَكُن مِّنَ الْغَافِلِينَ ‎

Maksudnya: “Dan sebutlah serta ingatlah akan Tuhanmu dalam hatimu, dengan merendah diri serta dengan perasaan takut (melanggar perintahnya), dan dengan tidak pula menyaringkan suara, pada waktu pagi dan petang dan janganlah engkau menjadi dari orang-orang yang lalai.

Surah al-A’raf (205)

Ibn Qayyim dalam kitabnya al-Wabil al-Sayyib telah menyebut puluhan kelebihan zikir dan antaranya, selamat daripada sebarang bentuk kesulitan dalam hidup, dukacita, kelalaian dan hati yang sentiasa dekat kepada Allah SWT.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ أَعِنَّا عَلَى ذِكْرِكَ ، وَشُكْرِكَ ، وَحُسْنِ عِبَادَتِكَ

Maksudnya: “Ya Allah, tolonglah kami untuk zikir kepada-Mu, bersyukur kepada-Mu dan elok dalam beribadat kepada-Mu.”

Bertarikh: 20 Julai 2023 bersamaan 1 Muharram 1445 H

Leave a Reply