Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri saya ingin bertanya, benarkah Nabi Sulaiman dianugerahkan kerajaan pada hari Asyura ?

 

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

وَدَاوُودَ وَسُلَيْمَانَ إِذْ يَحْكُمَانِ فِي الْحَرْثِ إِذْ نَفَشَتْ فِيهِ غَنَمُ الْقَوْمِ وَكُنَّا لِحُكْمِهِمْ شَاهِدِينَ ‎﴿٧٨﴾‏ فَفَهَّمْنَاهَا سُلَيْمَانَ ۚ وَكُلًّا آتَيْنَا حُكْمًا وَعِلْمًا ۚ وَسَخَّرْنَا مَعَ دَاوُودَ الْجِبَالَ يُسَبِّحْنَ وَالطَّيْرَ ۚ وَكُنَّا فَاعِلِينَ

Maksdunya:  Dan (sebutkanlah peristiwa) Nabi Daud dengan Nabi Sulaiman, ketika mereka berdua menghukum mengenai tanaman-tanaman semasa ia dirosakkan oleh kambing kaumnya pada waktu malam; dan sememangnya Kamilah yang memerhati dan mengesahkan hukuman mereka. (78) Maka Kami beri Nabi Sulaiman memahami hukum yang lebih tepat bagi masalah itu; dan masing-masing (dari mereka berdua) Kami berikan hikmat kebijaksanaan dan ilmu (yang banyak); dan Kami mudahkan gunung-ganang dan unggas memuji Kami bersama-sama dengan Nabi Daud; dan adalah Kami berkuasa melakukan semuanya itu.

(Surah al-Anbiya, 78-79)

Al-Sa’di ketika menafsirkan ayat di atas beliau menyatakan: ‘Ingatlah dua orang nabi yang mulia ini, iaitu Nabi Daud dan Nabi Sulaiman, dengan penuh pujian dan pengagungan, kerana Allah telah memberikan kepada mereka ilmu yang luas dan hikmah dalam menghakimi di antara hamba-hamba-Nya.’ Salah satu contoh hikmah dan kebijaksanaan mereka adalah ketika menghadapi konflik yang melibatkan pemilik ladang ketika ternakan dari orang lain merosakkan tanaman pada ladang tersebut. Nabi Daud memutuskan bahwa ternakan itu harus diberikan kepada pemilik ladang sebagai ganti kerugian yang dideritanya akibat oleh ternakan tersebut. Nabi Sulaiman kemudian mengambil keputusan yang benar, dengan memutuskan agar pemilik ternakan tersebut memberikan ganti rugi dari hasil ternakannya kepada pemilik ladang  sehingga ladang tersebut dapat dipulih  semula. Ini menunjukkan kebijaksanaan dan pemahaman yang luar biasa dari Nabi Sulaiman.” (Lihat Taisir al-Karim al-Rahman,hlm. 528)

Pemerintahan Nabi Sulaiman

Nabi Sulaiman AS  mengambil alih pemerintahan  Bani Israil setelah kematian Nabi Daud AS. Saat itu, usianya baru tiga belas tahun. Allah memberikan kepadanya kerajaan dan kenabian secara serentak. Sulaiman berdoa kepada Allah  SWT agar diberikan kepadanya kerajaan yang tidak akan diberikan kepada siapa pun setelahnya. Allah SWT mengabulkan doanya dan menundukkan manusia, jin, burung, syaitan-syaitan, dan angin untuk taat kepadanya. Ketika ia keluar dari rumah menuju singgah sananya, burung-burung datang menghampirinya, dan manusia serta jin berdiri sehinggalah Baginda duduk.(Lihat al-Kamil Fi Tarikh,1/ 200)

Nabi Sulaiman AS mewarisi daripada ayahnya Nabi Daud AS ilmu dan pemerintahan sebagaimana yang telah difirmankan oleh Allah SWT:

وَوَرِثَ سُلَيْمَانُ دَاوُودَ ۖ وَقَالَ يَا أَيُّهَا النَّاسُ عُلِّمْنَا مَنطِقَ الطَّيْرِ وَأُوتِينَا مِن كُلِّ شَيْءٍ ۖ إِنَّ هَٰذَا لَهُوَ الْفَضْلُ الْمُبِينُ

Maksudnya: Dan Nabi Sulaiman mewarisi (pangkat kenabian dan kerajaan) Nabi Daud; dan (setelah itu) Nabi Sulaiman berkata: “Wahai umat manusia, kami telah diajar mengerti bahasa pertuturan burung, dan kami telah diberikan serba sedikit dari tiap-tiap sesuatu (yang diperlukan); sesungguhnya yang demikian ini adalah limpah kurnia (dari Allah) yang jelas nyata”.

(Surah al-Naml:16)

Warisan ini diberikan kepada Sulaiman secara khusus, tidak termasuk saudara-saudaranya yang lain. Qatadah dan al-Kalbi menyatakan bahwa anak-anak Nabi Daud AS adalah seramai sembilan belas orang. Nabi  Sulaiman AS dipilih sebagai pewaris menunjukkan bahwa ia bukanlah mewarisi harta semata-mata bahkan Allah SWT  telah memberikan kepadanya lebih lagi dari apa yang telah diwarisi dari ayahnya.

Pewarisan ini juga merupakan pewarisan secara majazi (perumpamaan)  sebagaimana dalam sabda Rasulullah SAW  yang telah diriwayatkan daripada Abu Darda’ :

العُلَمَاءُ ورثةُ الأنبياءِ

Maksudnya: Para Ulama itu adalah pewaris bagi nabi.

ٌRiwayat Abu Daud(3641),Tarmizi (2682)dan Ibnu Majah(223),Mula ‘Ali al-Qari dalam al-Asrar al-Marfu’ah (232) menilai hadith ini sebagai  sahih

Qatadah berkata: Nabi Sulaiman AS mewarisi dari ayahnya kenabian, kerajaan, dan ilmu .Allah memberikan kepadanya apa yang telah diberikan kepada Daud dan ditambah lagi baginya mukjizat seperti mengendalikan angin, jin, dan syaitan. Nabi Sulaiman AS  memiliki kerajaan yang lebih besar daripada ayahnya Daud AS manakala  Nabi Daud AS lebih taat dalam ibadah kepada Allah berbanding Sulaiman, dan dia bersyukur atas nikmat-nikmat Allah Yang Maha Tinggi. (Lihat Fath al-Bayan Fi Maqasid al-Quran,10/21).

Menjawab bagi persoalan di atas, kami nyatakan bahawa Nabi Sulaiman AS dianugerahkan kerajaan pada hari Asyura’ adalah tidak sahih. Ini kerana hadith yang menyatakan hal tersebut adalah hadith yang batil. Hadith tersebut adalah seperti berikut:

وخلق القلمَ يومَ عاشوراءَ واللوحَ كمثلِه وخلق جبريلَ يومَ عاشوراءَ وملائكتَه يومَ عاشوراءَ وخلق آدمَ يومَ عاشوراءَ وولدَ إبراهيمَ يومَ عاشوراءَ ونجّاه اللهُ من النارِ يومَ عاشوراءَ وفدى إسماعيلَ يومَ عاشوراءَ وغرق فرعونُ يومَ عاشوراءَ ورُفِعَ إدريسُ يومَ عاشوراءَ وتاب اللهُ على آدمَ يومَ عاشوراءَ وغَفَرَ ذنبُ داودَ يومَ عاشوراءَ وأعطى الملكَ سليمانَ يومَ عاشوراءَ …

Maksudnya: Allah menciptakan pena (untuk mencatat takdir) pada hari kesepuluh bulan Muharram dan demikian pula Al-Lauḥ al-Maḥfūẓ. Allah menciptakan malaikat Jibril pada hari kesepuluh bulan Muharram, demikian pula Allah pun menciptakan malaikat-malaikat-Nya yang lain pada hari kesepuluh bulan Muharram. Allah menciptakan Nabi Adam pada hari kesepuluh bulan Muharram. Demikian juga Nabi Ibrahim lahir pada hari kesepuluh bulan Muharram dan baginda selamat daripada api pada hari yang sama. Dibebaskan Ismail daripada terkorban pada hari kesepuluh bulan Muharram, Firaun tenggelam pada hari kesepuluh bulan Muharram, diangkat Idris pada kesepuluh bulan Muharram tenggelamnya Firaun pada hari kesepuluh bulan Muharram. Allah menerima taubat Adam AS pada hari kesepuluh bulan Muharram. Diampunkan dosa Daud pada hari kesepuluh bulan Muharram dan diberikan kerajaan bagi Sulaiman AS pada hari kesepuluh bulan Muharram……

Ibnu Jauzi menyatakan hadith ini adalah palsu dan tidak syak lagi kepalsuannya. Imam Ahmad menyatakan : Habib in Abi Habib adalah pendusta manakala Ibn Adi pula menyatakan bahawa dia memalsukan hadith.

Abu Hatim Abu Hibban juga menyebut: Hadith ini merupakan hadith yang batil dan tiada asal.Beliau menyatakan lagi bahawa Habib memalsukan hadith dengan menyadarkannya ke atas perawi yang thiqah (Lihat al-Mauduat,2/203)

Justeru kami katakan hadith yang menyatakan Nabi Sulaiman dianugerahkan kerajaan pada hari kesepuluh bulan Muharram adalah hadith yang palsu sebagaimana yang telah dinyatakan oleh para ulama. Oleh yang demikian kami nasihati supaya berhati-hatilah dalam menerima apa-apa hadith dan hendaklah menyemak dan memastikan kesahihan sesuatu hadith sebelum menyebarkannya. Ingatlah ancaman yang berat bagi sesiapa yang menyebarkan hadith palsu sepertimana yang telah diriwayatkan oleh Anas Bin Malik bahawa Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ كَذَبَ عَلَيَّ فَلْيَتَبَوَّأْ مَقْعَدَهُ مِنَ النَّارِ

Maksudnya: “Barangsiapa yang berdusta di atas namaku, maka siaplah tempatnya di dalam neraka.”

 Riwayat al-Bukhari (107)

Kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنْيَا حَسَنَةً وَفِي الْآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat, dan peliharalah kami dari azab neraka.”

(Surah al-Baqarah :201)

Wallahua’lam

Bertarikh: 26 Julai 2023 bersamaan 8 Muharram 1445 H

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *