#1048: Amalan 10 Hari Awal Dzulhijjah: Amalan Yang Disukai Allah

Soalan

Apakah pandangan ulama’ berkenaan hadith kelebihan 10 awal Dzulhijjah?

Jawapan

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Bulan Dzulhijjah adalah salah satu bulan yang dimuliakan di dalam Islam. Allah SWT berfirman:

إِنَّ عِدَّةَ الشُّهُورِ عِنْدَ اللَّهِ اثْنَا عَشَرَ شَهْرًا فِي كِتَابِ اللَّهِ يَوْمَ خَلَقَ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضَ مِنْهَا أَرْبَعَةٌ حُرُمٌ ذَلِكَ الدِّينُ الْقَيِّمُ فَلَا تَظْلِمُوا فِيهِنَّ أَنْفُسَكُمْ وَقَاتِلُوا الْمُشْرِكِينَ كَافَّةً كَمَا يُقَاتِلُونَكُمْ كَافَّةً وَاعْلَمُوا أَنَّ اللَّهَ مَعَ الْمُتَّقِينَ

Maksudnya: “Sesungguhnya bilangan bulan pada sisi Allah ialah dua belas bulan, dalam ketetapan Allah di waktu Dia menciptakan langit dan bumi, di antaranya empat bulan haram. Itulah (ketetapan) agama yang lurus, maka janganlah kamu menganiaya diri kamu dalam bulan yang empat itu, dan perangilah kaum musyrikin itu semuanya sebagaimana mereka pun memerangi kamu semuanya; dan ketahuilah bahawasanya Allah beserta orang-orang yang bertakwa”

(Surah al-Taubah: 36)

Daripada Abu Bakrah RA, Rasulullah SAW bersabda:

إِنَّ الزَّمَانَ قَدِ اسْتَدَارَ كَهَيْئَتِهِ يَوْمَ خَلَقَ اللَّهُ السَّمَوَاتِ وَالأَرْضَ، السَّنَةُ اثْنَا عَشَرَ شَهْرًا، مِنْهَا أَرْبَعَةٌ حُرُمٌ، ثَلاَثٌ مُتَوَالِيَاتٌ: ذُو القَعْدَةِ، وَذُو الحِجَّةِ، وَالمُحَرَّمُ، وَرَجَبُ، مُضَرَ الَّذِي بَيْنَ جُمَادَى، وَشَعْبَانَ “

Maksudnya: “Sesungguhnya zaman telah berpusing sebagaimana keadaannya pada ketika Allah menciptakan langit dan bumi, satu tahun terdiri daripada dua belas bulan, padanya terdapat empat bulan Haram, iaitu tiga bulan yang berturut-turut (kedudukannya): Dzulqa’dah, Dzulhijjah, dan Muharram serta bulan Rejab Mudhar (nama kabilah) yang menetapkan bulan Rejab di antara Jamadil Akhir dan Sya’ban.”

Riwayat al-Bukhari (4662)

Di dalam bulan Dzulhijjah ada hari-hari yang dipilih oleh Allah sebagai hari-hari terbaik sepanjang tahun. Allah SWT berfirman:

وَالْفَجْرِ  وَلَيَالٍ عَشْرٍ

Maksudnya: “Demi fajar, dan malam yang sepuluh

(Surah al-Fajr: 1-2)

Para ulama berbeza pendapat dalam menentukan 10 malam yang dimaksud oleh Allah dalam ayat tersebut. Penafsiran para ulama ahli tafsir mengerucut kepada 3 pendapat:

  • Pertama: 10 hari pertama bulan Dzulhijjah.
  • Kedua: 10 malam terakhir bulan Ramadhan.
  • Ketiga: 10 hari pertama bulan Muharram.

Pendapat yang rajih dan kuat ialah pendapat yang menyatakan bahwa yang dimaksud adalah 10 hari pertama bulan Dzulhijjah. Hal ini berdasarkan hadith riwayat Jabir R.Anhuma, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

إنَّ العَشْرَ عَشْرُ الأضْحى، والوِترَ يومُ عَرَفةَ، والشَّفعَ يومُ النَّحرِ.

Maksudnya: “Sesungguhnya yang dimaksud dengan 10 itu adalah 10 hari al-Adha (bulan Dzulhijjah), dan yang dimaksud dengan “ganjil” adalah hari Arafah, dan yang dimaksud dengan “genap” adalah hari raya Eid al-Adha.

Riwayat al-Nasaie di dalam Sunan al-Kubra (11672) dan Ahmad (14511). Syeikh Syuaib al-Arnout di dalam Takhrij al-Musnad (14511) menyatakan bahawa sanad hadith ini tidak ada masalah pada perawinya.

Sebahagian ulama menafsirkan bahwa yang dimaksud dengan “al-fajr” dalam ayat tersebut adalah fajar pada hari raya Eid al-Adha. Oleh itu, yang dimaksudkan dengan “10 malam” yang termaktub dalam ayat kedua surat tersebut adalah 10 hari pertama bulan Dzulhijjah.

Tambahan pula, Jumhur ulama berpendapat ia adalah sepuluh hari pertama Dzulhijjah. Malah, Ibn Jarir al-Tabari meriwayatkan bahawa terdapat ijmak ulama mengenai hal itu. Beliau berkata: Ini merujuk kepada (sepuluh) malam pertama Dzulhijjah, kerana telah ada kesepakatan di kalangan ulama tafsir tentang hal itu. (Lihat Tafsir Ibn Jarir al-Tabari, 7/514)

Ibnu Kathir  di dalam tafsirnya berkata: Yang dimaksud dengan sepuluh malam itu adalah sepuluh (pertama) Dzulhijjah, sebagaimana yang dikatakan oleh Ibnu Abbas, Ibnu al-Zubair, Mujahid dan lainnya dalam kalangan generasi salaf dan khalaf.

Antara hikmah di sebalik menyebut malam dan bukannya siang? Hal ini kerana Hari-hari disebut sebagai “malam” kerana bahasa Arab adalah fleksibel dan mungkin menggunakan perkataan malam untuk merujuk kepada hari, atau perkataan hari untuk merujuk kepada malam. Sahabat dan para tabi’in biasanya menggunakan perkataan malam untuk merujuk kepada hari-hari, sehinggakan mereka biasa mengatakan “Kami berpuasa lima malam”, merujuk kepada malam, walaupun puasa itu berlaku pada siang hari. Ini sebagaimana yang dinyatakan oleh sebilangan ulama, antaranya Ibn al-‘Arabi dalam Ahkam al-Quran (Lihat Ahkam al-Quran, 4/334) dan Ibn Rajab dalam Lata’if al-Ma’aarif. [Lihat Lata’if al-Ma’aarif (470)]

Kelebihan Amalan 10 Awal Dzulhijjah

Terdapat hadith daripada riwayat Ibn Abbas R.Anhuma daripada Nabi SAW, Baginda bersabda:

مَا العَمَلُ فِي أَيَّامٍ أَفْضَلَ مِنْهَا فِي هَذِهِ؟ قَالُوا: وَلاَ الجِهَادُ؟ قَالَ: وَلاَ الجِهَادُ، إِلَّا رَجُلٌ خَرَجَ يُخَاطِرُ بِنَفْسِهِ وَمَالِهِ، فَلَمْ يَرْجِعْ بِشَيْءٍ.

Maksudnya:Tidak ada amalan pada hari-hari lain yang lebih utama daripada amalan pada hari ini (hari yang kesepuluh bulan Zulhijjah). Mereka (sahabat) bertanya: ‘Meskipun jihad?’ Baginda menjawab: ‘(Ya), tidak juga jihad, melainkan seorang lelaki yang keluar untuk membahayakan dirinya dan hartanya (untuk jalan Allah), dan tidak kembali dengan membawa apa-apa.’

Riwayat al-Bukhari (969)

Selain itu, terdapat hadith yang lain datang dengan lafaz bahawa Rasulullah SAW bersabda:

ما مِن أيّامٍ العَمَلُ الصّالِحُ فيها أحَبُّ إلى اللهِ مِن هذه الأيّامِ – يَعني أيّامَ العَشرِ قالوا: يا رَسولَ اللهِ، ولا الجِهادُ في سَبيلِ اللهِ؟ قال: ولا الجِهادُ في سَبيلِ اللهِ، إلّا رَجُلًا خرَجَ بِنَفْسِهِ ومالِهِ، ثم لم يَرجِعْ مِن ذلك بِشَيءٍ.

Maksudnya: “Tiadalah hari di mana amalannya yang soleh lebih baik dan disukai oleh Allah SWT daripada hari-hari sepuluh Zulhijjah. Lantas sahabat bertanya: ‘Wahai Rasulullah sekalipun jihad pada jalan Allah?’ Baginda menjawab: ‘Sekalipun jihad pada jalan Allah kecualilah seseorang lelaki keluar dengan dirinya dan hartanya kemudian tidak pulang daripada demikian itu (iaitu mati syahid).

Riwayat Abu Dawud (2438). Syeikh Syu‘aib al-Arnout di dalam Takhrij Zad al-Ma’ad (1/56) menilai sanadnya sebagai sahih.

Ibn Kathir menyebutkan: Nas ini dan lainnya menunjukkan bahawa sepuluh hari awal bulan Dzulhijjah lebih utama dibandingkan hari-hari lain dalam setahun tanpa ada pengecualian sedikitpun. Meskipun sepuluh terakhir Ramadan. Akan tetapi sepuluh malam akhir Ramadan itu lebih utama dibandingkan sepuluh malam Dzulhijjah kerana 10 malam terakhir Ramadhan itu mengandungi malam lailatul qadar yang mana ia lebih baik dari seribu bulan. (Lihat Tafsir Ibnu Kathir, 5/412)

Manakala, menurut Ibn Rejab, hadith di atas menjadi dalil kepada beramal pada 10 hari ini lebih disukai oleh Allah SWT berbanding amalan pada hari-hari yang lain tanpa sebarang pengecualian. Apabila ia merupakan perkara yang paling disukai oleh Allah SWT, maka ia adalah sesuatu yang afdhal di sisi-Nya.

Selain itu, hadith ini juga diriwayatkan dengan terdapat syak di sisi perawi pada lafaznya: “أحب” (paling disukai) atau “أفضل” (paling baik). Apabila suatu amalan dalam 10 hari ini afdhal dan lebih disukai oleh Allah SWT berbanding amalan yang dilakukan dalam hari-hari yang lain dalam setahun. Maka,  jadilah amalan yang kurang utama yang dilakukan dalam tempoh 10 hari ini afdhal daripada amalan yang lebih utama yang dikerjakan pada selainnya. Oleh sebab itulah, para sahabat bertanya: “Wahai Rasulullah, sekalipun jihad pada jalan Allah tidak dapat menandinginya?” Baginda menjawab: “Ya, sekalipun jihad tidak dapat menandinginya.” Kemudian Baginda mengecualikan satu jenis jihad yang merupakan sebaik-baik jihad pada jalan Allah. Hal ini kerana Baginda SAW juga pernah ditanya: “Apakah jihad yang lebih afdhal?” Baginda menjawab: “Jihad seseorang yang kudanya ditikam mati dan dia pun mati syahid merupakan orang yang mempunyai kedudukan yang paling tinggi di sisi Allah.”

Manakala jenis jihad yang lain pula, amalan yang dikerjakan dalam 10 hari terawal Zulhijjah adalah lebih baik (afdhal) dan lebih disukai oleh Allah SWT daripadanya, termasuklah juga semua amalan yang lain. Hal ini menunjukkan bahawa amalan yang kurang utama (al-Mafdhul), yang dikerjakan dalam tempoh yang terbaik akan diberi kelebihan sama seperti amalan yang lebih utama (al-Fadhil) yang dikerjakan dalam tempoh selainnya, bahkan amalan pertama tadi mengatasinya disebabkan ganjaran yang dilipat ganda. Penambahan ini disebutkan dalam hadith daripada riwayat Ibn ‘Abbas R.Anhuma:

والعَمَلُ فِيهِنَّ يُضَاعَفُ بِسَبْعِمِائةِ ضِعْفٍ

Maksudnya:Amalan yang dikerjakan dalam tempoh ini akan dilipat gandakan pahalanya sehingga 700 kali.

Riwayat al-Tabarani (11116); al-Baihaqi dalam Syu‘ab al-Iman (3758); dan al-Munziri dalam al-Targhib wa al-Tarhib (2/191) menyatakan, sanadnya adalah sahih, hasan atau apa yang menghampiri kedua-duanya. Namun, Ibn Rejab dalam Lata’if al-Ma‘arif (hlm. 261) menilai sanadnya sebagai dhaif.

Selain daripada itu, kadar gandaan pahala turut disebutkan dalam banyak riwayat yang berbeza. Al-Tirmizi dan Ibn Majah meriwayatkan hadith daripada al-Nahhas bin Qahm, daripada Qatadah, daripada Ibn al-Musayyab, daripada Abu Hurairah R.A, daripada Nabi SAW, Baginda bersabda:

ما مِن أيامٍ أحبُّ إلى اللهِ أن يُتَعَبَّدُ لهُ فيها مِن عشرِ ذي الحجَّةِ يعدِلُ صيامُ كلِّ يومٍ منها بصيامِ سنةٍ وقيامِ كلِّ ليلةٍ منها بقيامِ ليلةِ القدرِ

Maksudnya:Tiada hari-hari yang paling disukai oleh Allah SWT untuk seseorang itu beribadah kepada-Nya selain 10 hari Zulhijjah. Puasa setiap harinya menyamai puasa setahun, dan qiyamullail setiap malamnya menyamai qiyamullail pada malam al-Qadar.

Riwayat al-Tirmizi (758) dan Ibn Majah (1728). Ibn Hajar al-Asqalani di dalam Takhrij al-Misykah al-Masabih (2/344) menyatakan bahawa hadith ini hasan

Namun, Ibn Rejab menyatakan, ulama hadith melemahkan al-Nahhas bin Qahm. Al-Tirmizi menyebutkan daripada Imam al-Bukhari bahawa hadith tersebut diriwayatkan daripada Qatadah daripada Sa‘id secara mursal.

Tambahan lagi, Ibn Rejab juga menukilkan daripada ‘Abd al-Razzaq yang meriwayatkan dalam kitabnya daripada Ja‘far, daripada Hisyam, daripada al-Hasan, katanya: “Puasa sehari daripada 10 hari terawal Zulhijjah menyamai puasa dua bulan.” Di samping itu, ‘Abd al-Karim meriwayatkan daripada Mujahid, katanya: “Amalan yang dikerjakan dalam 10 hari terawal Zulhijjah akan digandakan pahalanya.”

Kemudian, Ibn Rejab menyimpulkan bahawa berkenaan gandaan pahala ini juga, terdapat banyak hadith-hadith yang lain tetapi ia adalah palsu. Oleh yang demikian, ia diabaikan untuk disebutkan dan begitu juga dengan hadith-hadith yang menyerupai palsu yang menyebutkan berkenaan kelebihan 10 hari tersebut. Hal ini kerana hadith daripada riwayat Ibn Abbas berkenaan gandaan pahala seluruh amalan soleh yang dikerjakan dalam 10 hari terawal Zulhijjah tanpa sebarang pengecualian sudah menjadi dalil (yang kuat) dalam perkara ini. (Lihat Lata’if al-Ma‘arif, hlm. 260-262)

Kesimpulan

Sebagai kesimpulan, sebagaimana yang dinyatakan oleh para ahli tafsir dan majoriti ulama’ bahawa 10 hari awal Dzulhijjah merupakan hari yang terbaik dan dianjurkan untuk memperbanyakkan amal soleh sepanjang 10 hari ini sebagaimana yang terdapat dalam nas.

Justeru, marilah kita memohon kepada Allah SWT agar diberi kekuatan dan taufiq-Nya dengan mengisi sepuluh hari pertama di bulan Dzulhijjah dengan amal-amal soleh, dan diterima oleh Allah SWT sebagai pemberat timbangan kebaikan kita pada hari akhirat kelak.

Bertarikh: 4 Julai 2022 bersamaan 4 Dzulhijjah 1443H

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *