#247 Status Nikah Suami Tidak Solat

Soalan

Adakah sah nikah seseorang sekiranya dia berkahwin dengan suami yang tidak solat?

Jawapan

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Solat merupakan tunjang dan rukun di dalam rukun Islam, maka sesiapa yang meninggalkan solat dengan sengaja, maka tidak lengkaplah rukun Islamnya. Hal ini sepertimana hadith daripada Ibnu Umar R.Anhuma, Rasulullah SAW bersabda:

بُنِيَ الْإِسْلَامُ عَلَى خَمْسٍ شَهَادَةِ أَنْ لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ وَأَنَّ مُحَمَّدًا رَسُولُ اللَّهِ وَإِقَامِ الصَّلَاةِ وَإِيتَاءِ الزَّكَاةِ وَالْحَجِّ وَصَوْمِ رَمَضَانَ

Maksudnya:Islam terbina atas lima perkara: Penyaksian bahawa tiada Tuhan selain Allah dan Muhammad itu utusan Allah, mendirikan solat, menunaikan zakat, menunaikan haji dan berpuasa di bulan Ramadhan.”

Riwayat al-Bukhari (8)

Solat merupakan tiang dan asas dalam agama. Tanpa pegangan agama, maka akan goyahlah kehidupan manusia. Solat juga merupakan kewajipan bagi semua umat Islam yang mukallaf. Firman Allah SWT:

وَأَقِيمُوا الصَّلَاةَ وَآتُوا الزَّكَاةَ وَارْكَعُوا مَعَ الرَّاكِعِينَ

Maksudnya: Dan dirikanlah kamu akan sembahyang dan keluarkanlah zakat, dan rukuklah kamu semua (berjemaah) bersama-sama orang-orang yang rukuk.

(Surah al-Baqarah: 43)

Dalam institusi kekeluargaan, agama adalah elemen yang penting. Pegangan agama yang kukuh dalam perkahwinan adalah tonggak kebahagian rumah tangga seperti solat secara berjemaah dapat mengeratkan hubungan sesama ahli keluarga. Allah SWT memberikan suruhan kepada ketua keluarga agar menyuruh dan mengajak ahli keluarganya untuk menunaikan solat. Suruhan ini boleh dilihat pada firman Allah SWT:

وَأْمُرْ أَهْلَكَ بِالصَّلَاةِ وَاصْطَبِرْ عَلَيْهَا لَا نَسْأَلُكَ رِزْقًا نَحْنُ نَرْزُقُكَ وَالْعَاقِبَةُ لِلتَّقْوَى

Maksudnya: Dan perintahkanlah keluargamu serta umatmu mengerjakan sembahyang, dan hendaklah engkau tekun bersabar menunaikannya. Kami tidak meminta rezeki kepadamu, (bahkan) Kamilah yang memberi rezeki kepadamu. Dan (ingatlah) kesudahan yang baik adalah bagi orang-orang yang bertaqwa.

Manakala Ancaman yang begitu keras daripada Syariat berkenaan orang yang tidak melaksanakan solat fardu. Allah SWT berfirman:

مَا سَلَكَكُمۡ فِي سَقَرَ  قَالُواْ لَمۡ نَكُ مِنَ ٱلۡمُصَلِّينَ

Maksudnya: (Setelah melihat orang-orang yang bersalah itu, mereka berkata): “Apakah yang menyebabkan kamu masuk ke dalam (neraka) Saqar?” Orang-orang yang bersalah itu menjawab: “Kami tidak termasuk dalam kumpulan orang-orang yang mengerjakan sembahyang.

(Surah al-Mudatthir: 42)

Berkata Jabir RA, dia mendengar Nabi SAW bersabda:

إِنَّ بَيْنَ الرَّجُلِ وَبَيْنَ الشِّرْكِ وَالْكُفْرِ تَرْكَ الصَّلَاةِ

Maksudnya: Sesungguhnya antara seorang lelaki, dan kesyirikan dan kekufuran itu ialah pada meninggalkan solat.

Riwayat Muslim (82)

jika seorang suami atau ketua keluarga tidak menunaikan solat, maka perlulah dilihat terlebih dahulu akan sebab dan punca yang menyebabkan mereka tidak menunaikan solat itu. Jika seseorang itu meninggalkan solat dalam keadaan dia mengingkari akan kewajipan menunaikan solat, ataupun dia menunaikan solat tetapi pada masa yang sama dia mengingkari kewajipan itu, maka jatuhlah hukum kafir murtad ke atasnya berdasarkan ijma’ muslimin. (Lihat al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 3/14)

Diriwayatkan daripada Anas bin Malik RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ تَرَكَ الصَّلَاةَ مُتَعَمِّدًا فَقَدْ كَفَرَ جِهَارًا

Maksudnya: Barangsiapa yang meninggalkan solat secara sengaja maka dia telah kafir dengan nyata.

[Riwayat al-Tabarani di dalam Mu’jam al-Ausat (3/343). Al-Haithami menyatakan di dalam Majma’ al-Zawaid (1/300) bahawa Rijalnya tsiqah, kecuali Muhammad bin Abi Daud yang tidak diketahui latarbelakangnya.]

Imam al-Ghazali menyatakan di dalam Ihya` Ulum al-Din (1/147) bahawa diriwayatkan daripada Umar bin al-Khattab RA, Rasulullah SAW bersabda:

الصَّلاةُ عِمَادُ الدِّينِ فَمَنْ تَرَكَهَا فَقَدْ هَدَمَ الدِّينَ.

Maksudnya: Solat itu tiang agama, barangsiapa yang meninggalkannya maka dia telah meruntuhkan agamanya.

Riwayat al-Baihaqi di dalam Syu’ab al-Iman (2807). Al-Murtdha al-Zabidi menukilkan kalam Al-Iraqi di dalam Takhrij Ahadith Ihya Ulumuddin (1/324) menyatakan: Hadith ini diriwayatkan oleh al-Baihaqi dalam Syu`ab al-Iman dengan sanad yang dhaif daripada hadith Umar.

Imam al-Zahabi turut meletakkan dosa meninggalkan solat sebagai dosa terbesar selepas mengamalkan sihir. (Lihat al-Kabair, 1/12)

Pernikahan sememangnya dianjurkan dalam Islam dengan syarat mestilah berlandaskan kepada syariah yang telah ditetapkan. Pernikahan yang sah dan sempurna adalah pernikahan yang memenuhi rukun-rukun serta syarat-syaratnya. Setiap rukun terdapat syarat-syaratnya. Rukun nikah adalah Suami, Isteri, Wali, Dua orang saksi dan Lafaz ijab dan qabul (sighah). Perkara yang perlu diteliti untuk menjadikan pernikahan itu sah iaitu syarat-syarat pada setiap rukun nikah. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 4/55-56)

Berdasarkan persoalan di atas, status perkahwinannya sah kerana jika seseorang itu meninggalkan solat kerana malas, dia dikira berdosa besar menurut mazhab al-Syafie tetapi tidak mengeluarkan seseorang itu daripada Islam. Walau bagaimana pun, tiada jaminan orang yang meninggalkan solat boleh memimpin keluarganya berdasarkan keredaan Allah SWT.

Marilah sama-sama kita mengamalkan konsep dakwah disamping suami hendaklah menjadikan doa untuk menjaga solat sebagai amalan harian sebagaimana doa Nabi Ibrahim AS yang disebut di dalam al-Quran sebagaimana firman Allah SWT:

رَبِّ اجْعَلْنِي مُقِيمَ الصَّلَاةِ وَمِن ذُرِّيَّتِي ۚ رَبَّنَا وَتَقَبَّلْ دُعَاءِ

Maksudnya: “Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku.

(Surah Ibrahim: 40)

Semoga Allah mengurniakan kita pasangan dan keluarga yang soleh yang sentiasa menjaga solat dan mengamalkan syariat Islam. Kami akhiri perbincangan ini dengan doa:

رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya:Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.”

Wallahua`lam.

Bertarikh 6 Januari 2022 bersamaan 3 Jamadil Akhir 1443H

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *