Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ingin bertanya, apakah hukum seseorang bekerja di sebuah syarikat yang membangunkan aplikasi cryptocurrency (Mata Wang Kripto) seperti aplikasi coingecko? Tugasnya seperti developer ataupun software tester. Terima kasih

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan mengemukakan terlebih dahulu takrif ringkas berkenaan mata wang kripto atau cryptocurrency ini. Mata wang kripto ialah satu “aset” digital yang tidak zahir tetapi dianggap mempunyai nilai. Nilainya boleh dialih (transfer), diagih (distribute) dan ditukar (exchange) di mana pemindahannya adalah secara terus (peer-to-peer) tanpa melalui pihak ketiga (contohnya bank). Dengan menggunakan teknik yang dipanggil kriptografi, pemindahan data yang berlaku di atas talian akan dapat disulitkan (encryption) dengan menggunakan protokol berasaskan pada prinsip matematik lanjutan dan prinsip kejuruteraan komputer yang menjadikan ia hampir mustahil untuk dicerobohi, diduplikasi ataupun dipalsukan. Justeru, “aset” ini memenuhi ciri-ciri keselamatan moden iaitu kerahsiaan (confidentiality), kesahihan/integriti (authenticity/integrity), kesediaan (availability) dan tak-boleh sangkal (non-repudiation). (Lihat Mata Wang Kripto (Cryptocurrency): Satu Analisa Syarak oleh Prof. Dr. Ashraf bin Md Hashim, Dr. Marjan Muhammad, et. al, terbitan JAKIM, hlm. 6-7).

Seterusnya, Prof. Dr. Ashraf bin Md Hashim bersama barisan penyelidiknya telah menyimpulkan bahawa harus untuk bermuamalah dengan mata wang kripto, sebagai perantara pembayaran (medium of payment), pemindahan wang (remittance) dan aset simpanan, sekiranya parameter-parameter di bawah dipenuhi:

  • Pertukaran antara mata wang kripto dan juga antara mata wang kripto dan mata wang fiat dilakukan dengan memenuhi tuntutan jual beli mata wang (sarf). Kedudukan mata wang kripto sebagai “mata wang sekunder dan nisbi” adalah lebih dekat tabiatnya dengan mata wang fiat. Oleh itu, sewajarnya ia mengambil hukum ribawi atas alasan yang sama iaitu thamaniyat. Sehubungan dengan ini, segala syarat muamalat mata wang fiat sebagai item ribawi juga terpakai ke atas mata wang kripto.
  • Pengguna hendaklah mempunyai pengetahuan yang mencukupi tentang jenis dan ciri-ciri utama mata wang kripto. Pengguna sepatutnya hanya berurusan dengan mata wang kripto yang disokong oleh asas teknologi yang kukuh.
  • Pengguna hendaklah mempunyai pengetahuan teknikal yang mencukupi mengenai bagaimana untuk memperoleh mata wang kripto dan di mana ia perlu disimpan untuk memastikan keselamatannya. Ini termasuk maklumat tentang cara memilih e-wallet dan platfom pertukaran yang dikawal selia oleh pihak berautoriti sahaja. Pengguna juga harus mempunyai maklumat yang mencukupi tentang cara menyimpan kunci persendiriannya dengan selamat dan mempunyai tahap pemahaman yang baik mengenai keselamatan siber dan protokol privasi.
  • Pengguna seharusnya mengetahui mengenai peraturan yang dikenakan oleh platfom pertukaran mata wang kripto. Perlu ditekankan di sini bahawa sesetengah platfom pertukaran mempunyai sekatan tertentu, contohnya, pengguna tidak boleh mengeluarkan wang tunai dalam amaun yang banyak. Sekatan tersebut perlulah diketahui oleh pengguna.
  • Jika pengguna mengambil bahagian dalam Tawaran Awal Mata wang Kripto (ICO), mereka hendaklah mempunyai keupayaan di dalam memahami dan menilai “Kertas Putih Mata wang Kripto” (Cryptocurrency White Paper) yang dikeluarkan bagi mengelakkan mereka dimanipulasi dan ditipu dengan mudah.
  • Pengguna hendaklah memahami dengan jelas bahawa nilai mata wang kripto mungkin mengalami perubahan yang ketara dan besar dalam masa yang singkat. Nilainya juga berkemungkinan akan turun sehingga mencapai sifar.
  • Pengguna hendaklah sedar bahawa semua mata wang kripto (setakat ini) tidak dijamin dan disokong oleh bank pusat atau pihak pengawalselia yang lain. Dalam kes kerugian, atas sebab apa pun, pengguna harus maklum bahawa dia tidak dilindungi sebagai pengguna.

Penggunaan mata wang kripto diharuskan berasaskan kepada hujah berikut:

  1. a) Hukum asal ke atas sesuatu, khususnya di dalam muamalat adalah harus.
  2. b) Perkara asas di dalam muamalat adalah keredaan pihak-pihak yang berkontrak. Mereka boleh bersepakat untuk menerima apa saja (kecuali sesuatu yang diharamkan Syarak) termasuk mata wang kripto sebagai penyelesaian kepada barangan yang dijual dan perkhidmatan yang ditawarkan. Dengan adanya keredaan ini, maka kebimbangan akan berlaku pertelingkahan (niza’) antara pihak-pihak yang berkontrak akan dapat dihindarkan.

Adalah haram menggunakan mata wang kripto sebagai bayaran kepada barangan dan perkhidmatan tidak patuh Syariah. Begitu juga haram bagi sesiapa menggunakannya sebagai alat untuk aktiviti penggubahan wang haram (money laundering) atau mana-mana aktiviti yang menyalahi syarak dan undang-undang.

Kerajaan yang diwakili oleh bank pusat atau mana-mana pihak berkuasa yang berkaitan boleh mengawal atau melarang penggunaan mata wang kripto. Dari perspektif Syariah, kerajaan boleh mengharamkan atau meletakkan syarat ke atas sesuatu yang halal dan harus (diistilahkan sebagai taqyid al-mubah) jika ia boleh membawa kemudaratan kepada masyarakat. Jika ini berlaku (pengharaman oleh kerajaan sebagai contoh), berurusan dengan mata wang kripto akan juga dianggap sebagai tidak mematuhi Syariah. Di dalam hal ini, misalnya, berasaskan kepada laporan bahawa sebahagian besar aktiviti Tawaran Awal Mata wang Kripto (ICO) adalah sebenarnya skim penipuan, keterlibatan masyarakat di dalam aktiviti ini adalah haram. Ini adalah untuk menjaga kemaslahatan umum dalam konteks sadd al-zari‘ah (menutup pintu yang boleh membawa kepada kemudaratan). Pengecualian boleh diberikan jika aktiviti ini dilakukan melalui kebenaran rasmi pihak pengawal selia yang telah memastikan bahawa ianya bukanlah aktiviti penipuan.

Aktiviti melombong (mining) adalah pada asalnya harus. Namun ini juga bergantung kepada kontrak yang sepatutnya juga patuh Syariah. Adalah disarankan agar pihak berautoriti mengambil langkah yang sewajarnya di dalam mengawal selia muamalat berkaitan mata wang kripto, khususnya ke atas platfom pertukaran (exchanges). Ini adalah untuk memastikan pengguna mata wang kripto dapat dilindungi. Pengawalseliaan platfom pertukaran juga akan mengurangkan kebarangkalian penggunaan mata wang kripto untuk aktiviti jenayah atas alasan identiti penggunanya tidak diketahui. Platfom pertukaran yang dikawal selia akan melaksanakan proses mengenali pelanggan (know your customer) yang sewajarnya sebelum membenarkan mereka menggunakan platfom tersebut di dalam urusan yang berkaitan dengan mata wang kripto. (Lihat Mata Wang Kripto (Cryptocurrency): Satu Analisa Syarak, terbitan JAKIM, hlm. 59-61).

Dalam menjawab soalan di atas, kami nyatakan bahawa Islam menuntut penganutnya agar sentiasa mencari rezeki yang halal lagi baik dalam memenuhi keperluan seharian. Hal ini bertepatan dengan firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا النَّاسُ كُلُوا مِمَّا فِي الْأَرْضِ حَلَالًا طَيِّبًا

Maksudnya: “Wahai sekalian manusia! Makanlah daripada apa yang ada di bumi yang halal lagi baik.”

(Surah al-Baqarah: 168)

Syeikh al-Sa‘di mengulas ayat ini dengan mengatakan bahawa ia ditujukan kepada seluruh manusia sama ada orang-orang beriman ataupun kafir, supaya memakan apa yang ada di atas muka bumi ini, yang terdiri daripada biji-bijian, buah-buahan dan binatang-binatang yang telah dihalalkan buat mereka (makan dan ambil manfaat daripadanya), bukan dengan cara merampasnya, mencuri, melalui hasil muamalat (jual beli) yang diharamkan atau perkara-perkara yang diharamkan.  Manakala ‘tayyiban’ pula adalah bukan daripada perkara yang buruk seperti bangkai, darah, daging khinzir dan lain-lain. Ayat ini merupakan dalil bahawa hukum asal bagi sesuatu perkara itu (untuk dimakan dan diambil manfaatnya) adalah harus. (Lihat Tafsir al-Sa‘di, 1/80).

Dalam aspek muamalat, prinsipnya asasnya adalah keharusan untuk bermuamalah selagimana tidak ada dalil yang melarang atau menyatakan sebaliknya. Hal ini bertepatan dengan kaedah fiqh yang menyebut:

الْأَصْلُ فِي الْأَشْيَاءِ الْإِبَاحَةُ حَتَّى يَدُلُّ الدَّلِيلُ عَلَى التَّحْرِيمِ.

Maksudnya:Hukum asal bagi sesuatu perkara adalah harus sehinggalah datangnya dalil yang menunjukkan kepada keharaman (perkara tersebut).” (Lihat al-Asybah wa al-Naza’ir oleh al-Suyuti, hlm. 60).

Begitu juga kaedah lain menyebutkan:

الْأَصْلُ فِي الْمُعَامَلَاتِ الْحِلُّ

Maksudnya:Hukum asal bagi muamalat adalah halal dan harus.

Kaedah di atas bermaksud setiap penjualan, pembelian, sewaan, pajakan atau selainnya daripada muamalat, maka hukum asalnya adalah halal dan harus. Tidak boleh sesiapapun mengatakan, muamalah/urus niaga yang dijalankan ini adalah haram kerana hukum asal dalam hal tersebut adalah halal sebagaimana firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 275:

وَأَحَلَّ ٱللَّهُ ٱلۡبَيۡعَ وَحَرَّمَ ٱلرِّبَوٰاْ

Maksudnya:Padahal Allah telah menghalalkan berjual-beli (berniaga) dan mengharamkan riba.” (Lihat al-Qawa‘id al-Fiqhiyyah Baina al-Asalah wa al-Taujih, 6/6).

Pekerjaan adalah termasuk dalam ruang lingkup muamalat. Oleh itu, hukum asal bagi sesuatu pekerjaan adalah harus selagi mana tidak ada dalil yang melarang atau menyatakan sebaliknya. Keharusan itu pula skopnya amat luas, sedangkan keharamannya pula hanya terhad kepada perkara yang sememangnya ditegah oleh Islam. Dalam erti kata lain, sekiranya suatu pekerjaan itu aktiviti pekerjaannya melibatkan perkara-perkara haram, maka hukumnya adalah haram seperti syarikat arak, kedai judi, kedai makan bukan Islam yang menyediakan masakan yang berasaskan arak, khinzir atau seumpamanya. Begitulah juga, sekiranya aktiviti dan tugasan sesuatu syarikat itu harus, maka hukumnya adalah harus seperti restoran makanan halal, perniagaan jual beli buah-buahan, perniagaan yang tidak melibatkan sistem riba dan lain-lain.

Kesimpulannya

Berdasarkan kepada kenyataan dan perbincangan di atas, secara umumnya Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (MKI) Kali Ke-117 yang bersidang pada 25 hingga 29 Ogos 2020 telah membincangkan mengenai Mata Wang Kripto (Cryptocurrency): Satu Analisa Syarak dan bersetuju memutuskan bahawa harus untuk menjalankan urus niaga menggunakan mata wang digital sama ada sebagai perantara pembayaran (medium of payment), pemindahan wang (remittance) dan aset simpanan sekiranya memenuhi parameter-parameter yang telah digariskan.[1]

Oleh yang demikian, kami berpendapat bahawa harus untuk bekerja di syarikat yang membangunkan aplikasi mata wang kripto (cryptocurrency) sebagaimana hukum asal mata wang kripto, selagi mana pekerjaannya itu tidak melibatkan perkara-perkara haram menurut syarak seperti sistem ribawi, penipuan, perkhidmatan dan aktiviti tidak patuh syariah dan seumpamanya.

Sekiranya pekerjaannya itu melibatkan perkara-perkara yang tidak patuh syariah atau perkara yang diharamkan menurut syarak, maka tidak syak lagi pekerjaannya itu turut dihukumkan sebagai haram. Hal ini bertepatan dengan kaedah fiqh yang menyebutkan:

مَا أَدَّى إِلَى الْحَرَامِ فَهُوَ حَرَامٌ

Maksudnya: “Setiap yang membawa kepada haram, maka hukumnya juga adalah haram.

Begitu juga kaedah fiqh yang lain turut menyatakan: 

مَا حَرُمَ أَخْذُهُ حَرُمَ إِعْطَأُوهُ

Maksud: “Sesuatu yang haram untuk mengambilnya, maka diharamkan juga untuk memberinya.”

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Wallahu a‘lam.

[1] Parameter-parameter yang telah digariskan itu boleh dirujuk di dalam Mata Wang Kripto (Cryptocurrency): Satu Analisa Syarak oleh Prof. Dr. Ashraf bin Md Hashim, Dr. Marjan Muhammad, et. al, terbitan JAKIM, hlm. 62).

Bertarikh: 7 Ogos 2023 bersamaan 20 Muharram 1445 H

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *