#252 Wanita Dalam ‘Iddah Keluar Mengundi

Soalan

Adakah wanita yang dalam iddah berkabung boleh keluar mengundi?

Jawapan

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

‘Iddah dari sudut bahasa bermaksud kiraan,hitungan atau bilangan. Ini kerana ia merangkumi bilangan suci daripada haid dan juga bilangan bulan.

Dari segi istilah, ‘iddah ialah nama bagi tempoh tertentu bagi seseorang perempuan menunggunya, semata-mata mematuhi perintah Allah (ta’abbudi) atau sebagai tanda kesedihan terhadap pemergian suami, atau memastikan rahimnya bersih daripada kandungan. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 3/61)

Hikmah ‘Iddah bagi kematian suami yang disyariatkan dengan bertujuan:

  • Menunjuk kesetiaan kepada suami yang telah meninggal. Oleh itu Allah SWT mewajibkan isteri bagi menghormatinya, setia dan melayaninya. Justeru tidak sesuai bagi isteri bersikap sebaliknya selepas kematian suami
  • Menggantikan adat jahiliyyah yang mewajibkan isterinya berkurung di tempat yang gelap selama setahun selepas kematian suaminya. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 3/61)

Iddah bagi wanita yang masih didatangi haid yang kematian suami: 4 bulan 10 hari. Hal ini sebagaimana firman Allah SWT:

وَالَّذِينَ يُتَوَفَّوْنَ مِنْكُمْ وَيَذَرُونَ أَزْوَاجًا يَتَرَبَّصْنَ بِأَنْفُسِهِنَّ أَرْبَعَةَ أَشْهُرٍ وَعَشْرًا

Maksudnya: “Dan orang-orang yang mati di antara kamu serta meninggalkan isteri-isterinya hendaklah mereka (isteri-isteri) menunggu empat bulan sepuluh hari.”

(Surah al-Baqarah: 234)

‘Iddah kerana kematian ialah `iddah yang diwajibkan kepada isteri yang kematian suami:

  • Jika perempuan itu mengandung semasa kematian suaminya, maka `iddahnya berakhir dengan kelahiran anaknya sama ada `iddah itu mengambil masa yang panjang atau pendek.
  • Jika isteri tidak mengandung atau mengandung akan tetapi bukan daripada benih suami yang meninggal dunia. Ini seperti isteri mengandung, sedangkan suaminya belum baligh atau suaminya telah lama hilang melebihi empat tahun sama ada dia telah menyetubuhi isterinya ataupun belum, maka `iddahnya adalah dengan berakhirnya empat bulan sepuluh hari. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji 3/63)

Perempuan yang berada di dalam ‘iddah kerana kematian wajib ke atasnya melakukan perkara seperti berikut:

  • Berkabung atas kematian suaminya dengan tidak berhias dan mengenakan bau-bauan seperti bersolek, memakai baju berwarna terang, memakai barang kemas dan selainnya.

Ini berdasarkan hadith yang diriwayatkan oleh Ummu Habibah R.Anha:

لاَ يَحِلُّ لاِمْرَأَةٍ مُسْلِمَةٍ تُؤْمِنُ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الآخِرِ أَنْ تُحِدَّ فَوْقَ ثَلاَثَةِ أَيَّامٍ، إِلاَّ عَلَى زَوْجِهَا أَرْبَعَةَ أَشْهُرٍ وَعَشْرًا

Maksudnya: Tidak halal bagi perempuan yang beriman dengan Allah dan hari Akhirat berkabung di atas kematian seseorang melebihi tiga hari melainkan apabila kematian suaminya. Dia hendaklah berkabung selama empat bulan dan sepuluh hari

Riwayat al-Bukhari (5339)

Wajib menetap di rumah yang didudukinya selama tempoh ‘iddah. Isteri juga tidak dibenarkan keluar melainkan sekiranya ada keperluan dan hajat. Ini seperti membeli keperluan makanan, bekerja sekiranya tidak membenarkannya untuk tinggal di rumahnya secara berterusan sepanjang tempoh ‘iddahnya dan isteri terpaksa menghilangkan kesunyian dengan berbual-bual bersama jiran.  (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 3/71-73)

  • Diharuskan keluar rumah kerana keperluan seperti mana hadith yang diriwayatkan oleh Jabir RA:

طُلِّقَتْ خَالَتِي فَأَرَادَتْ أَنْ تَجُدَّ نَخْلَهَا فَزَجَرَهَا رَجُلٌ أَنْ تَخْرُجَ فَأَتَتِ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَ: بَلَى فَجُدِّي نَخْلَكِ فَإِنَّكِ عَسَى أَنْ تَصَدَّقِي أَوْ تَفْعَلِي مَعْرُوفًا

Maksudnya:Ibu saudaraku telah diceraikan dan dia ingin memetik buah tamarnya, tetapi seorang lelaki telah menegahnya keluar. Lalu, dia pergi menemui Nabi SAW. Lantas Baginda bersabda: “Ya, keluarlah dan petiklah buah tamar itu. Mudah-mudahan engkau akan bersedekah ataupun melakukan kebaikan.”

Riwayat Muslim (1483)

Imam al-Nawawi menyatakan dalam syarahnya: “Hadith ini adalah dalil membolehkan wanita beriddah bain untuk keluar bagi suatu hajat keperluan. Pendapat mazhab Malik, al-Tsauri, al-Laits, al-Syafie, Ahmad dan lain-lain ulama bahawa dibenarkan wanita beriddah ba’in itu keluar pada hari siang bagi suatu hajat. Mereka juga mengharuskan juga keluar bagi wanita yang kematian suami dan dalam hal ini dipersetujui juga oleh Abu Hanifah sekalipun dalam kes talak bain beliau berkata tidak boleh keluar, sama ada malam atau pun siang. Hadith ini juga adalah dalil bahawa digalakkan bersedekah dengan tamar apabila tiba masa menuainya, begitu juga dengan memberinya sebagai hadiah. Digalakkan juga agar pemilik tamar itu sendiri yang melakukan serta mengingatkan perkara yang makruf dan kebaikan.  (Lihat Syarh al-Nawawi ‘ala Sahih Muslim, 10/108)

Imam Romli di dalam kitabnya menyatakan, keharusan ini terikat dengan satu syarat iaitu hendaklah wanita ber’iddah hanya keluar pada waktu siang dan mesti balik bermalam di rumah tempat ‘iddahnya. (Lihat Nihayah al-Muhtaj, 7/156)

Selain itu Jabatan Kemajuan Islam Malaysia ada mengeluarkan garis panduan bagi wanita yang ber’iddah iaitu:

  • Haram menerima pinangan lelaki ajnabi.
  • Haram berkahwin dengan lelaki ajnabi. Jika perkahwinan dilangsungkan juga semasa dalam tempoh tersebut, pernikahan itu adalah tidak sah dan pasangan tersebut wajib dipisahkan.
  • Tidak dibenarkan keluar rumah termasuk untuk bermusafir, kecuali dalam had dan batas yang diperlukan sahaja. Antara keperluan penting yang membolehkan keluar rumah ialah untuk bekerja, mendapatkan rawatan perubatan, membeli barang-barang keperluan asasi (sekiranya tidak ada ahli keluarga atau orang lain yang amanah boleh melakukannya) dan keperluan-keperluan lain yang penting dan mendesak, dengan syarat mereka dapat menjaga peraturan dan adab-adab seperti yang disyariatkan Islam. Keharusan untuk keluar rumah ini juga hanya tertakluk pada waktu siang dan tidak pada waktu malam. Namun, pengecualian diberikan kepada individu yang tidak mempunyai pilihan dan perlu bekerja pada waktu malam seperti doktor, jururawat dan sebagainya. Bagi larangan bermusafir, ia termasuk larangan untuk menunaikan ibadat fardu haji dan umrah.
  • Berpindah atau tinggal di rumah lain yang bukan menjadi kebiasaannya tinggal sepanjang tempoh perkahwinan. Namun, sekiranya terdapat bahaya dan kemudaratan yang boleh mengancam keselamatan nyawa dan harta benda seperti banjir, tanah runtuh, gempa bumi dan sebagainya, mereka dibolehkan keluar dan meninggalkan rumah tersebut sehinggalah bahaya atau kemudaratan tersebut hilang atau dapat diatasi.
  • Wajib berkabung sepanjang tempoh `iddah. Oleh itu, sepanjang dalam tempoh tersebut, mereka wajib meninggalkan semua perkara yang mempunyai unsur-unsur berhias sama ada pada pakaian atau tubuh badan. Termasuk dalam larangan berhias ini ialah:
  • Memakai pakaian berwarna terang atau berwarna-warni yang boleh menarik perhatian orang yang memandang;
  • Memakai barang-barang kemas walaupun sebentuk cincin, gelang, rantai dan barang-barang perhiasan lain yang diperbuat daripada emas, perak dan permata;
  • Memakai wangi-wangian pada anggota badan, rambut dan pakaian; dan
  • Bersolek, memakai celak, berinai dan memakai minyak rambut serta perbuatan-perbuatan lain yang dianggap sebagai berhias pada pandangan masyarakat setempat (Lihat Garis Panduan Ber`Iddah Bagi Wanita Yang Bercerai Atau Kematian Suami, oleh JAKIM).

Antara maksud dan makna ihdad pada bahasa adalah tegahan. Daripada itu seorang wanita ditegah untuk berhias dan yang membawa kepada maknanya semata-mata untuk menzahirkan rasa sedih. (Lihat Lisan al-‘Arab, al-Misbah al-Munir dan Mukhtar al-Sihah dalam perkataan “حَدَد”)

Sedangkan pada makna istilah, ia memberi maksud seorang wanita di tegah untuk berhias dan yang membawa kepada maknanya pada tempoh tertentu dalam keadaan tertentu. Yang demikian itu menegah daripada bermalam selain daripada rumahnya. (Lihat Fath al-Qadir, 3/293; Nihayah al-Muhtaj, 7/140; dan, al-Mughni li Ibn Qudamah, 9/166)

Manakala mengundi pula menurut Kamus Dewan Edisi Keempat[1] didefinisikan:

  • Menentukan (memilih dan lain-lain) dengan membuang undi;
  • Mengundi suara memutuskan sesuatu dengan mengira undi (memungut suara dan lain-lain), memilih (menentukan dan lain-lain) sesuatu dgn membuang undi.

Berdasarkan persoalan di atas, Kami berpendapat hukumnya dibolehkan keluar untuk mengundi akan tetapi dengan syarat dan panduan berikut:

  • Tidak keluar rumah dengan sewenang-wenangnya tanpa hajat dan bukanlah keluarnya dia dengan tujuan maksiat serta hendaklah dia menjaga auratnya di luar rumah.
  • Jika dapat mewakilkan kepada kaum keluarga seperti anak-anak ataupun rakan-rakan lain maka alangkah baiknya.
  • Menjaga tatasusila dan adab ketika di dalam ihdad (berkabung).
  • Menjarakkan diri daripada perkara yang membawa kepada fitnah.
  • Tidak berhias-hias seperti emas, perak permata dengan memakai gelang dan rantai.
  • Tidak memakai wangi-wangian termasuk juga bukhur ataupun minyak wangi.
  • Hendaklah dia keluar ke rumah dan selesaikan segala urusan keperluannya itu pada waktu siang hari manakala pada malamnya hendaklah dia berada dan bermalam di rumahnya.

Sehubungan dengan itu dapat disimpulkan bahawa hukum seorang wanita yang berada dalam keadaah untuk keluar mengundi adalah harus. Ini kerana mengundi merupakan suatu kewajipan yang perlu dilakukan sendiri tanpa boleh diwakil. Selain itu, ia termasuk dalam kategori wajib mudayyaq (kewajipan yang mesti dilakukan dalam tempoh tertentu sahaja) memandangkan tempoh mengundi adalah terhad dengan masa yang ditentukan dan tidak boleh ditangguhkan kepada masa lain.

Semoga Allah SWT memberikan kita kefahaman dalam memahami agama ini. Amin.

Wallahua`lam.

Bertarikh 6 Januari 2022 bersamaan 3 Jamadil Akhir 1443H

[1] Lihat: https://prpm.dbp.gov.my/Cari1?keyword=undi&d=175768&

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *