Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Saya ingin bertanya satu soalan berkaitan dengan penceraian. Soalan saya adakah jatuh talak sekiranya saya mengatakan: “Aku bernazar sekiranya aku melihat video lucah dan beronani secara serentak, maka telah jatuh talak satu ke atas isteriku dan aku dikehendaki membayar RM 50,000 kepadanya.” 

Adakah dengan lafaz nazar yang disebut ini akan terjadi (jatuhnya talak dan membayar sejumlah bayaran RM50,000) sekiranya saya benar-benar melanggar nazar itu dengan melihat video lucah dan beronani secara serentak? 

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Nazar menurut Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka Edisi Keempat bermaksud berjanji untuk melakukan sesuatu apabila tercapai hajat.

Manakala dari sudut istilah, nazar ditakrifkan sebagai mewajibkan ke atas diri sendiri suatu perbuatan qurbah (ibadah yang mendekatkan diri dengan Allah) yang tidak diwajibkan oleh syara‘ (ke atas dirinya), sama ada secara mutlak atau pun dengan mengaitkannya dengan suatu perkara. (Lihat al-Mu‘tamad fi al-Fiqh al-Syafi‘i, 2/501)

Hukum menunaikan nazar adalah wajib, ini berdasarkan firman Allah SWT:

وَلْيُوفُوا نُذُورَهُمْ

Maksudnya: “Dan hendaklah mereka menyempurnakan nazar-nazar mereka.”

(Surah Al-Hajj: 29)

Berkenaan mereka yang bernazar untuk meninggalkan maksiat, majoriti ulama’ cenderung mengatakan bahawa tidak sah hukumnya. Hal ini kerana hukum asal meninggalkan maksiat itu adalah wajib, dan nazar pula dibuat untuk mewajibkan sesuatu yang tidak diwajibkan oleh syara‘ pada asalnya. Ia seakan mewajibkan perkara yang sudah sedia wajib pada kita. Syeikh Abu al-Hasan al-‘Adawi berkata bahawa nazar wajib tidak ada makna, hal ini  kerana ia adalah tahsil al-hasil (تَحْصِيلُ الْحَاصِلِ), iaitu menghasilkan sesuatu yang sudah dihasilkan sebelumnya. (Lihat Hasyiah al-‘Adawi ‘ala Kifayah al-Talib al-Rabbani, 2/28)

Ia merupakan pandangan Mazhab Hanbali dan Mazhab al-Syafi‘i seperti yang disebutkan oleh Ibn Qudamah al-Maqdisi, katanya “Jika dia bernazar untuk melakukan sesuatu yang wajib seperti solat fardhu, maka ashab Hanbali berkata bahawa nazarnya tidak sah. Dan itu adalah pandangan para ashab al-Syafi‘i, kerana nazar itu wajib, dan tidak sah bernazar melakukan apa yang telah diwajibkan untuknya.” (Lihat al-Syarh al-Kabir ‘ala al-Muqni‘, 28/172)

Ini berdasarkan hadith yang diriwayatkan daripada ‘Aisyah R.Anha bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:

مَنْ نَذَرَ أَنْ يُطِيعَ اللَّهَ فَلْيُطِعْهُ، وَمَنْ نَذَرَ أَنْ يَعْصِيَهُ فَلاَ يَعْصِهِ

Maksudnya: “Sesiapa yang bernazar untuk mentaati Allah maka hendaklah dia mentaatinya. Dan sesiapa yang bernazar untuk bermaksiat kepadanya maka janganlah dia bermaksiat kepadanya.”

Riwayat Al-Bukhari (6696)

Melihat kepada perbahasan yang dibincangkan di atas, nazar untuk meninggalkan video lucah dan onani adalah tidak sah. Akan tetapi, apabila saudara melanggar sumpah tersebut, maka segeralah bertaubat kepada Allah SWT dan berazam untuk tidak mengulanginya semula. Ini berdasarkan firman Allah SWT:

وَتُوبُوا إِلَى اللَّهِ جَمِيعًا أَيُّهَ الْمُؤْمِنُونَ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ

Maksudnya: “Dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman, supaya kamu berjaya.”

(Surah al-Nur: 31)

Firman Allah SWT di dalam ayat lainnya:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا تُوبُوا إِلَى اللَّهِ تَوْبَةً نَّصُوحًا عَسَىٰ رَبُّكُمْ أَن يُكَفِّرَ عَنكُمْ سَيِّئَاتِكُمْ

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Bertaubatlah kamu kepada Allah dengan taubat nasuha, mudah-mudahan Tuhan kamu akan menghapuskan kesalahan-kesalahan kamu.”

(Surah al-Tahrim: 8)

Bagi mereka yang melanggar nazar ini juga, terdapat perselisihan antara ulama’ sama ada dia perlu membayar kaffarah seperti mana kaffarah sumpah atau tidak. Sebagai langkah berjaga-jaga (ihtiyat), kami menasihatkan agar seseorang yang melanggar nazar begini untuk membayar kaffarah sebagai jalan keluar daripada perbezaan pandangan yang terdapat dalam masalah ini.

Imam al-Nawawi menyebutkan bahawa para ulama’ menggalakkan seseorang untuk keluar daripada perselisihan pandangan, jika ia tidak menyebabkan seseorang melanggar sunnah lainnya atau terjerumus ke dalam perselisihan yang lain. (Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 2/23)

Kaffarah tersebut sebagaimana yang disebutkan di dalam firman Allah SWT:

فَكَفَّارَتُهُ إِطْعَامُ عَشَرَةِ مَسَاكِينَ مِنْ أَوْسَطِ مَا تُطْعِمُونَ أَهْلِيكُمْ أَوْ كِسْوَتُهُمْ أَوْ تَحْرِيرُ رَقَبَةٍ ۖ فَمَن لَّمْ يَجِدْ فَصِيَامُ ثَلَاثَةِ أَيَّامٍ ۚ ذَٰلِكَ كَفَّارَةُ أَيْمَانِكُمْ إِذَا حَلَفْتُمْ ۚ وَاحْفَظُوا أَيْمَانَكُمْ ۚ

Maksudnya: “Maka kaffarahnya adalah memberi makan sepuluh orang miskin dari jenis makanan yang sederhana yang kamu (biasa) berikan kepada keluarga kamu, atau memberi pakaian untuk mereka, atau memerdekakan seorang hamba. Kemudian sesiapa yang tidak dapat (menunaikan denda yang tersebut), maka hendaklah ia berpuasa tiga hari. Yang demikian itu ialah denda penebus sumpah kamu apabila kamu bersumpah. Dan jagalah – peliharalah sumpah kamu.”

(Surah al-Ma’idah: 89)

Kesimpulan

Melihat kepada perbincangan di atas, kami cenderung mengatakan bahawa tidak sah hukumnya nazar yang dilakukan. Jika nazar tersebut tidak sah, maka perceraian juga tidak berlaku dan saudara tidak perlu membayar RM 50,000 tersebut. Akan tetapi, sebaiknya jika saudara terlanjur melakukan nazar dan kemudian melanggar nazar tersebut, maka bayarlah kaffarah sebagai langkah berhati-hati dan keluar dari perselisihan pandangan.

Kami juga tidak pernah jemu untuk menasihatkan kepada masyarakat muslim umumnya agar tidak mengambil mudah dalam isu bernazar meninggalkan maksiat. Hal ini kerana terdapat tegahan daripada Rasulullah SAW bagi mereka yang suka bernazar. Ini berdasarkan hadith yang diriwayatkan daripada Ibn ‘Umar R.Anhuma bahawa Rasulullah SAW bersabda:

لَا تُنْذِرُوا، فَإِنَّ النَّذْرَ لَا يُغْنِي مِنْ الْقَدَرِ شَيْئًا، وَإِنَّمَا يُسْتَخْرَجُ بِهِ مِنْ الْبَخِيلِ

Maksudnya: “Janganlah kamu untuk bernazar (dengan sesuka hati), kerana sesungguhnya nazar tidak akan mengubah daripada takdir yang telah ditentukan Allah SWT sedikitpun. Hanyasanya ia dikeluarkan daripada orang yang bakhil.”

Riwayat Muslim (1640)

Ibn Qudamah al-Maqdisi mengatakan, larangan di dalam hadith membawa maksud makruh dan bukannya haram. Sekiranya nazar itu haram, Allah SWT tidak akan memuji orang yang menunaikan nazar kerana dosa mereka ketika terjerumus pada yang haram itu lebih berat dibandingkan dengan ketaatannya dalam menunaikan (janjinya). Sekiranya nazar itu digalakkan, pasti Nabi SAW dan para sahabat yang mulia akan melakukannya. (Lihat al-Mughni, 10/68)

Akhir kalam, ingatlah bahawa menunaikan hak dan janji yang telah dilakukan merupakan satu kewajipan yang akan dipersoal di akhirat kelak. Ini berdasarkan firman Allah SWT:

وَأَوْفُوا بِالْعَهْدِ إِنَّ الْعَهْدَ كَانَ مَسْئُوْلاً

Maksudnya: “Dan penuhilah janji, sesungguhnya janji itu pasti akan dipersoalkan kelak.”

(Surah Al-Isra’ : 34)

Semoga Allah SWT memberikan kita kefahaman yang baik tentang hukum-hakam agama, serta memberikan kita taufiq dan hidayah untuk melakukan amalan berlandaskan syari‘at-Nya. Amin.

Wallahu a‘lam

Bertarikh: 7 Ogos 2023 bersamaan 20 Muharram 1445 H

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *