#253 Tinggal Bersama Mertua

Soalan

Apakah hukum tinggal bersama mertua?

Jawapan

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Perkahwinan merupakan satu ibadah dan tanda kekuasaan Allah yang menciptakan manusia ini secara berpasangan. Firman Allah SWT:

وَمِنْ آيَاتِهِ أَنْ خَلَقَ لَكُم مِّنْ أَنفُسِكُمْ أَزْوَاجًا لِّتَسْكُنُوا إِلَيْهَا وَجَعَلَ بَيْنَكُم مَّوَدَّةً وَرَحْمَةً

Maksudnya:Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaannya dan rahmatNya, bahawa Ia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki), isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikanNya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan.”

(Surah al-Rum: 21)

Sayyid Qutb menyatakan di dalam Tafsir fi Zilal al-Quran (3/234): Islam memandang rumah tangga sebagai tempat kediaman, keamanan dan kedamaian dan memandang kepada hubungan suami isteri sebagai hubungan kasih mesra dan menegakkan hubungan ini di atas pilihan yang bebas supaya ia dapat berlangsung di atas asas saling mengerti, saling bersimpati dan saling berkasih sayang. Maka Islam inilah juga yang berkata kepada para suami:

فَإِن كَرِهْتُمُوهُنَّ فَعَسَىٰ أَن تَكْرَهُوا شَيْئًا وَيَجْعَلَ اللَّـهُ فِيهِ خَيْرًا كَثِيرًا

Maksudnya: “Kemudian jika kamu (merasai) benci kepada mereka (disebabkan tingkah-lakunya, janganlah kamu terburu-buru menceraikannya), kerana boleh jadi kamu bencikan sesuatu, sedang Allah hendak menjadikan pada apa yang kamu benci itu kebaikan yang banyak (untuk kamu).”

(Surah al-Nisa’: 19)

Hal ini adalah supaya mereka mengekalkan hubungan suami isteri mereka dan tidak terus memutuskannya dengan sekali fikir sahaja atau dengan desakan keinginan yang pertama sahaja, malah ia harus memelihara kepentingan yayasan insaniyyah yang agung ini agar tidak terdedah kepada ledakan keinginan sentimen yang berubah-ubah dan kepada ketololan nafsu yang terbang di sana-sini.

Berdasarkan persoalan di atas, hukum tinggal bersama mertua adalah harus, namun kami simpulkan melalui beberapa nasihat:

  • Apabila apabila pasangan sudah berkahwin dan mempunyai kemampuan untuk hidup bersama selain daripada ibubapa dan keluarga, maka inilah yang terbaiknya. Ini kerana dengan hanya berpasangan, hak privasi dan membina kehidupan dengan lebih selesa akan terwujud. Tambahan pula, tanpa campur tangan mana-mana pihak.
  • Antara makna kemampuan itu adalah mampu menyediakan tempat tinggal khusus bagi isteri sepertimana yang difirmankan oleh Allah SWT:

أَسْكِنُوهُنَّ مِنْ حَيْثُ سَكَنتُم مِّن وُجْدِكُمْ وَلَا تُضَارُّوهُنَّ لِتُضَيِّقُوا عَلَيْهِنَّ

Maksudnya: Tempatkanlah isteri-isteri (yang menjalani idahnya) itu di tempat kediaman kamu sesuai dengan kemampuan kamu; dan janganlah kamu adakan sesuatu yang menyakiti mereka (di tempat tinggal itu) dengan tujuan hendak menyusahkan kedudukan mereka (supaya mereka keluar meninggalkan tempat itu).

(Surah al-Talaq: 6)

  • Pepatah Melayu menyebut: “Biar banyak rumah daripada banyak orang dalam rumah,” dengan maksud dengan ramainya anggota dalam sebuah rumah, maka ragam dan juga perangai akan berbeza yang boleh membawa kepada pertelingkahan jika tidak ditangani dengan sebaiknya.
  • Sentiasa memberi perhatian dan kecaknaan kepada ibu ayah serta mertua walaupun tidak tinggal bersama di rumah sama ada dari segi nafkah atau kasih sayang melalui ziarah serta hadiah dan juga nafkah. Bahkan dengan cara ini, perasaan kasih sayang dan penghormatan akan jadi lebih tinggi berbanding tinggal sebumbung di rumah.
  • Suami sewajarnya memahami hak isteri untuk ditempatkan, yang munasabah dengan status pasangan sebagai isteri agar peranan masing-masing dapat dijelmakan dengan lebih baik dan jelas. Ini akan menatijahkan bahtera rumahtangga lebih bahagia.
  • Layanilah isteri dengan seterbaik mungkin. Firman Allah SWT:

وَعَاشِرُوهُنَّ بِالْمَعْرُوفِ

Maksudnya: “Dan bergaulah kamu dengan mereka (isteri-isteri kamu itu) dengan cara yang baik.”

(Surah al-Nisa’: 19)

Syeikh a-Maraghi berkata: “Para suami diwajibkan bergaul dengan isteri-isterinya secara baik. Oleh itu, bergaullah dengan mereka secara yang dapat menyenangkan tabiat mereka. Tetapi tidak pula bertentangan dengan syariat dan adat. Janganlah kamu bersikap bakhil dalam menafkahi mereka dan jangan pula kamu sakiti mereka dengan ucapan dan perbuatan atau kamu menghadapi mereka dengan wajah muram dan kening berkerut.

Kalimah mu’asyarah (bergaul) di sini menunjukkan pengertian kebersamaan dan perkongsian iaitu layanilah mereka dengan cara yang baik dan para isteri perlu melayani kamu seperti itu juga. Jadi, suami dan isteri diseru agar saling memberikan kebahagiaan serta menjadi sumber ketenangan dan kebahagiaan dalam melayari rumahtangga. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 2/1128)

  • Kepada isteri hendaklah patuh dan berkhidmatlah kepada suami dengan seterbaik mungkin kerana dengan sifat isteri solehah dan pelaksanaan ibadat kepada Allah akan menatijahkan syurga buat isteri. Benarlah hadith daripada Abdul Rahman bin ‘Auf, Nabi SAW bersabda:

إِذَا صَلَّتْ الْمَرْأَةُ خَمْسَهَا، وَصَامَتْ شَهْرَهَا، وَحَفِظَتْ فَرْجَهَا، وَأَطَاعَتْ زَوْجَهَا، قِيلَ لَهَا: ادْخُلِي الْجَنَّةَ مِنْ أَيِّ أَبْوَابِ الْجَنَّةِ شِئْتِ

Maksudnya: “Jika seorang wanita solat lima waktu, puasa Ramadhan, menjaga kemaluannya dan mentaati suaminya maka dikatakan kepadanya: “Masuklah syurga dari mana-mana pintu yang kamu mahu.”

Riwayat Ahmad (1661), al-Tabarani dalam al-Mu’jam al-Awsat (4598) dan Ibn Hibban (4237)

  • Elakkan daripada menjadi nusyuz kerana akibatnya amat buruk. Sebuah hadith yang diriwayatkan daripada Abdullah bin Abi Aufa, bahawa Nabi SAW bersabda, antaranya:

وَالَّذِى نَفْسِى بِيَدِهِ لاَ تُؤَدِّى الْمَرْأَةُ حَقَّ اللَّهِ عَزَّ وَجَلَّ عَلَيْهَا كُلَّهُ حَتَّى تُؤَدِّىَ حَقَّ زَوْجِهَا

Maksudnya:Demi Tuhan yang diriku dalam kekuasaan-Nya, seorang perempuan yang belum menunaikan hak Tuhannya sehinggalah dia menyempurnakan hak suaminya.”

[Riwayat Ibn Majah (1853) dan Ahmad (19403). Syeikh Syuaib al-Arnout di dalam Takhrij al-Musnad (19403) menyebut sanad hadith ini sebagai jayyid.]
  • Sentiasalah bermesyuarat dan berbincang antara suami isteri dalam membuat sebarang keputusan. Ini akan menatijahkan ketenangan dan rasa puas hati dari kedua belah pihak. Bermesyuaratlah dengan cara yang baik. Benarlah firman Allah SWT:

وَشَاوِرْهُمْ فِي الْأَمْرِ

Maksudnya:Dan juga bermesyuaratlah dengan mereka dalam urusan (peperangan dan hal-hal keduniaan) itu.”

(Surah Ali-Imran: 159)

Imam al-Tabari dalam menjelaskan ayat di atas menukilkan pendapat al-Dhahak yang menyatakan: “Tidaklah Allah perintahkan Nabi-Nya bermusyawarah melainkan kerana Allah mengetahui bahawa terdapat kelebihan padanya.” (Lihat Jami’ al-Bayan ʿan Taʾwil ay al-Qurʾan, 4/150)

Sebagai penutup, walaupun tinggal bersama mertua adalah diharuskan, namun, kami menasihati supaya jika berkemampuan, maka tinggallah berasingan dengan keluarga sendiri dan juga keluarga mertua agar keharmonian berumah tangga dapat dijaga seterusnya dapat mencapai mawaddah dan rahmah dalam kehidupan keluarga masing-masing. Sentiasalah berdoa antara satu sama lain agar rumahtangga Puan akan merasa harmoni dan elakkan daripada memberi tekanan kepada suami sehingga akhirnya niat yang baik boleh membawa akibat yang buruk. Akhirnya kami akhiri dengan doa sepertimana yang diajar oleh Allah SWT:

رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.”

(Surah al-Furqan: 74)

Wallahua`lam.

Bertarikh 6 Januari 2022 bersamaan 3 Jamadil Akhir 1443H

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *