#257 Guna Kain Selimut Berjahit dalam Ihram

Soalan:         

Assalamualaikum w.b.t. Saya ada satu soalan, bolehkah menggunakan kain selimut semasa saya dalam keadaan berihram? Mohon pencerahan Datuk. Terima kasih.

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t.

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

 إِنَّ أَوَّلَ بَيْتٍ وُضِعَ لِلنَّاسِ لَلَّذِي بِبَكَّةَ مُبَارَكًا وَهُدًى لِّلْعَالَمِينَ

Maksudnya:Sesungguhnya rumah ibadat yang mula-mula dibina untuk manusia (beribadat kepada Tuhannya) ialah Baitullah yang di Makkah yang berkat dan (dijadikan) petunjuk hidayah bagi umat manusia.

(Surah Ali ‘Imran: 96)

Allah SWT mengkhabarkan mengenai keagungan Baitullah al-Haram yang merupakan rumah ibadat pertama yang dibina untuk beribadah kepada-Nya di atas muka bumi yang terletak di Makkah, padanya terdapat keberkatan dan petunjuk (hidayah) bagi seluruh manusia. (Lihat Tafsir al-Madinah al-Munawwarah, 213-214)

Larangan semasa dalam ihram

Kemudian, kita juga mesti mengetahui bahawa seseorang yang berada di dalam keadaan berihram perlulah menjaga larangan-larangan yang telah ditetapkan oleh syarak dan sekiranya melanggar larangan-larangan tersebut, maka individu tersebut akan dikenakan dam mengikut jenis larangan yang telah dilakukan olehnya. Terdapat sedikit perbezaan antara perkara-perkara yang dilarang terhadap lelaki yang berihram dan perempuan yang berihram.

Larangan-larangan bagi orang yang sedang memakai ihram merangkumi 10 perkara. Di antaranya ialah larangan memakai pakaian yang berjahit bagi lelaki. (Lihat Nail al-Raja’ bi Syarh Safinah al-Naja’, hlm. 206; al-Fiqh al-Manhaji, 2/133)

Malah Ibn Munzir telah menyebut bahawa ulama telah ijma‘ terhadap larangan memakai baju, serban, seluar, khuf (stoking kulit) dan baranis (jubah yang ada penutup kepala) bagi orang lelaki yang berihram. (Lihat al-Ijma‘, hlm. 63)

Hal ini adalah berdasarkan kepada riwayat daripada Ibn Umar R.Anhuma yang mana seorang lelaki telah datang bertemu Rasulullah SAW dan bertanyakan tentang pakaian apa yang perlu dipakai oleh orang yang sedang berihram. Lalu Baginda SAW menjawab:

لاَ يَلْبَسُ الْقُمُصَ وَلاَ الْعَمَائِمَ وَلاَ السَّرَاوِيلاَتِ وَلاَ الْبَرَانِسَ وَلاَ الْخِفَافَ، إِلاَّ أَحَدٌ لاَ يَجِدُ نَعْلَيْنِ فَلْيَلْبَسْ خُفَّيْنِ، وَلْيَقْطَعْهُمَا أَسْفَلَ مِنَ الْكَعْبَيْنِ، وَلاَ تَلْبَسُوا مِنَ الثِّيَابِ شَيْئًا مَسَّهُ الزَّعْفَرَانُ أَوْ وَرْسٌ

Maksudnya:Jangan dipakai baju, serban, seluar, jubah yang ada penutup kepala, khuf (stoking kulit) kecuali jika seseorang tidak mendapati selipar maka pakailah khuf yang telah dipotong apa yang menutup bahagian buku lali dan janganlah memakai pakaian yang telah terkena za’faran atau wars (sejenis minyak wangi).

Riwayat al-Bukhari (1542)

Para ulama turut menyatakan, termasuk dalam kategori larangan tersebut apa yang menyerupainya (pada maknanya) seperti jubah, baju besi, baju (jenis lain) dan yang seumpamanya.  Tidak boleh bagi seorang yang berihram menutupi badannya dengan pakaian yang biasa dipakai (mengikut bentuk badan) dan menutupi anggotanya dengan apa yang biasa dipakai (mengikut bentuk anggota tersebut) seperti baju untuk badan, seluar untuk sebahagian badan, sarung tangan untuk tangan, khuf untuk kaki dan seumpamanya. (Lihat al-Mughni, 3/281)

Begitu juga terdapat sebuah hadith lain berkenaan orang yang mati ketika dalam ihram, lalu Nabi SAW memberikan arahan tentang cara untuk mengkafannya dan memerintahkan agar tidak ditutup kepalanya. Diriwayatkan daripada Ibn Abbas R.Anhuma, beliau menceritakan bahawa ada orang yang terpelanting daripada unta ketika dalam ihram, lalu Baginda SAW bersabda:

اغْسِلُوهُ بِمَاءٍ وَسِدْرٍ ، وَكَفِّنُوهُ فِى ثَوْبَيْنِ ، وَلاَ تُحَنِّطُوهُ وَلاَ تُخَمِّرُوا رَأْسَهُ ، فَإِنَّهُ يُبْعَثُ يَوْمَ الْقِيَامَةِ مُلَبِّيًا

Maksudnya:Mandikanlah dia dengan air dan daun bidara, dan kafankanlah dia dengan dua kain. Jangan engkau memberikannya wangi-wangian dan janganlah menutup kepalanya, kerana sesungguhnya dia akan dibangkitkan pada hari Kiamat dalam keadaan bertalbiyah.”

Riwayat al-Bukhari (1265) dan Muslim (2948)

Selain itu, al-Nawawi memberikan penjelasan bahawa diharamkan memakai atau menggunakan pakaian yang mengikut bentuk badan atau anggota disebabkan oleh ia meliputi (menutupi) mengikut badan atau anggota tersebut, sama ada pakaian tersebut (dicantumkan) secara jahitan atau tidak seperti baju, seluar, jubah dan lain-lain. (Lihat al-Idhah fi Manasik al-Haj wa al-Umrah, hlm. 148-149)

Begitu juga dalam kitab beliau yang lain, disebutkan bahawa tidak ada beza sama ada ia dijahit dengan jarum atau dilekatkan (dicantumkan) antara satu sama lain kerana ia termasuk dalam makna al-Makhid (pakaian yang berjahit). (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 7/249)

Oleh sebab itu, dilarang bagi lelaki memakai sebarang pakaian yang berjahit yang meliputi (menutupi) mengikut badan atau anggota tersebut seperti singlet, baju dalam atau seluar dalam.

Walau bagaimanapun, sekiranya tidak ada pada pakaian tersebut makna meliputi (menutupi) sebagaimana yang disebutkan, maka tidak mengapa menggunakannya sekalipun ia berjahit seperti menggunakan baju atau jubah sebagai selimut ketika tidur. (Lihat al-Idhah fi Manasik al-Haj wa al-Umrah, hlm. 150)

Manakala larangan — yang melibatkan pakaian — bagi perempuan yang berihram pula, mereka dilarang daripada menutup muka dan memakai sarung tangan. (Lihat al-Taqrirat al-Sadidah, hlm. 502; al-Fiqh al-Syafi‘i al-Muyassar, 1/396)

Adapun pakaian selain daripada dua perkara itu, mereka bebas untuk memakainya dengan syarat menutup aurat. Hal ini adalah sebagaimana riwayat daripada Abdullah bin Umar R.Anhuma:

أَنَّهُ سَمِعَ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ «نَهَى النِّسَاءَ فِي إِحْرَامِهِنَّ عَنِ القُفَّازَيْنِ وَالنِّقَابِ

Maksudnya:Beliau mendengar Rasulullah SAW melarang kaum wanita semasa dalam ihram mereka daripada memakai sarung tangan dan menutup muka.

Riwayat Abu Dawud (1827)

Dalam riwayat yang lain menyebut:

وَلَا تَنْتَقِبْ الْمَرْأَةُ الْمُحْرِمَةُ وَلَا تَلْبَسْ الْقُفَّازَيْنِ

Maksudnya:Wanita yang dalam ihram tidak boleh menutup wajahnya dan tidak boleh juga memakai sarung tangan.

Riwayat al-Bukhari (1838)

Walau bagaimanapun, perkara-perkara yang diharamkan semasa ihram hanya menjadi haram sekiranya ia memenuhi syarat-syarat berikut:

  1. Haram bagi seseorang yang telah ihram melakukan perkara-perkara yang diharamkan, jika dengan sengaja, diketahui haramnya, dengan ikhtiyarnya (pilihan) sendiri serta telah mukallaf.
  2. Tidak haram jika tidak memenuhi syarat di atas. (Lihat Matla‘ al-Badrain, disusun oleh PMWP, 1/307)

Habib Hasan al-Kaff menyatakan bahawa tidak wajib membayar fidyah (dam) bagi sesiapa yang memakai pakaian yang berjahit ketika dalam ihram bagi orang yang terlupa (tidak sengaja) atau jahil (tidak tahu keharamannya). (Lihat al-Taqrirat al-Sadidah, hlm. 502)

Kesimpulannya

Berkenaan persoalan di atas, kami berpendapat bahawa seseorang yang berada dalam ihram boleh menggunakan selimut yang disediakan, namun hanya boleh menggunakannya dengan menutup sekadar leher sahaja tanpa menutup muka bagi jemaah perempuan dan menutup kepala bagi jemaah lelaki. Hal ini kerana menutup muka termasuk dalam larangan ihram bagi perempuan, manakala penutup kepala pula termasuk dalam larangan ihram bagi lelaki.

Sekiranya seorang jemaah lelaki tidak sengaja menutup kepalanya, atau seorang jemaah wanita tidak sengaja tertutup mukanya, maka hendaklah dengan segera dialihkan dan dibuka kain yang menutupi tersebut bagi mengelakkan daripada dikenakan dam.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama dan melaksanakan syariat-Nya. Ameen.

Wallahua‘lam.

Bertarikh: 6 Januari 2022 bersamaan 3 Jamadil Akhir 1443H

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *