Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Apakah hukum tanaman atau sayuran yang disiram dengan air najis  atau diletakkan baja tahi ayam? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Secara umumnya, dinyatakan dalam al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah bahawa ulama mazhab Hanafi, Maliki dan Syafi‘i telah menyatakan secara jelas bahawa menyirami tanaman dan buah-buahan dengan air najis tidak menjadikannya najis mahupun haram.

Dalam hal ini, ulama mazhab Maliki menyebutkan, tanaman yang disirami dengan air najis tetap dikira suci, meskipun bahagian luarnya telah menjadi najis (mutanajjis), maka bahagian yang terkena najis itu mesti dibasuh. Jika diletakkan tahi atau kotoran dalam air untuk menyiram tanaman itu, maka ia dibolehkan. Namun, sesuatu yang berubah menjadi najis seperti tahi atau kotoran dan seumpamanya, dikira sebagai najis dan tidak boleh digunakan dalam hal-hal kebiasaan (adat) atau ibadah, tetapi boleh digunakan untuk menyirami tanaman dan memberi minum haiwan ternakan. 

Menurut ulama mazhab Syafi‘i pula berkenaan tanaman yang tumbuh di atas kotoran manusia, para ashab menyebutkan, ia bukan najis secara zatnya, tetapi dikira najis disebabkan bersentuhan secara langsung dengan najis. Jika ia dibasuh, maka ia menjadi suci. Jika ia sudah tumbuh dan biji-bijinya sudah keluar, biji yang keluar tersebut adalah suci. Jika haiwan ternakan memakan biji-biji itu dan kemudian ia keluar dalam keadaan masih lagi utuh (elok), maka jika keutuhannya masih lagi terjaga sehingga jika ditanam ia akan tumbuh, maka biji itu masih dikira suci, tetapi mesti dibasuh bahagian luarnya kerana ia sekalipun telah menjadi makanan haiwan, ia tidak menjadi rosak seperti halnya jika haiwan itu menelan biji tersebut. Akan tetapi jika keutuhannya sudah hilang atau tidak terjaga lagi sehingga ia tidak akan tumbuh (jika ditanam), maka ia dikira najis secara zatnya. (Lihat al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 40/107-108).

Manakala ulama mazhab Hanbali pula mengharamkan tanaman dan buah-buahan yang disiram dengan air najis atau diberi baja najis. Ini adalah sebagaimana yang dinyatakan oleh Ibn Qudamah dalam kitabnya bahawa haram tanam-tanaman dan buah-buahan yang disiram dengan air najis atau diberi baja najis. Namun Ibn ‘Aqil mengulas kenyataan itu dengan menyatakan, berkemungkinan perkara itu adalah merujuk kepada makruh dan bukannya haram serta tidak dihukumkan sebagai najis kerana najis itu berubah di dalam bahagian dalamnya dan menjadi suci melalui istihalah sebagaimana darah berubah di dalam anggota haiwan menjadi daging dan susu. Ini adalah pendapat majoriti fuqaha’ seperti Imam Abu Hanifah dan Imam Syafi‘i. Ini kerana Sa‘ad bin Abu Waqqas membajakan tanaman di tanahnya dengan tahi manusia dan beliau berkata: “Segumpal tahi, segumpal gandum.”

Kemudian Ibn Qudamah mendatangkan pula dalil mazhab Hanbali yang menyatakan ia adalah haram. Ini adalah berdasarkan hadith yang diriwayatkan oleh Ibn Abbas R.Anhuma, katanya: “Kami pernah menanam di tanah milik Rasulullah SAW dan kami mensyaratkan kepada mereka agar tidak membajainya dengan kotoran manusia.” Hal ini kerana ia mendapat nutrien daripada najis dan bahagian-bahagian terurai di dalamnya serta istihalah tidak menyucikannya. Berdasarkan perkara ini, ia menjadi suci apabila disiram (dan diberi baja) dengan benda-benda yang baik (bukan najis) sebagaimana halnya haiwan jallalah apabila dikurung (dikuarantin) dan diberi makan dengan benda-benda baik (ia menjadi suci dan halal dimakan). (Lihat al-Mughni, 13/330).

Begitu juga Syeikh Ibn Soleh  al-‘Uthaimin juga ada menyatakan, pendapat yang masyhur dalam mazhab Hanbali bahawa haram bagi buah atau tanaman yang disiram dengan najis atau dibaja dengan najis  disebabkan kekotoran tersebut sehingga ia disiram dengan air suci dan hilang kesan najis. Kebanyakan ulama berpendapat bahawa tidak haram dan tidak  najis kecuali jika kesan najis tersebut terlihat pada biji atau buah dan ini merupakan pendapat yang tepat. Kebanyakan keadaan menunjukkan bahawa najis itu berubah menjadi halal dan tidak menunjukkan kesan pada biji dan buah. (Lihat Majmu‘ al-Fatwa wa al-Rasa’il,11/52).

Selain daripada itu, Imam al-Nawawi juga ada menyatakan bahawa dibolehkan untuk meletakkan baja pada tanah dengan baja yang bernajis sebagaimana yang disebutkan oleh penulis (al-Syirazi) dalam bab berkaitan barang/perkara yang boleh dijual beli. Sebahagian ashab kami yang lain pula berpendapat, ia adalah dibolehkan tetapi makruh. Imam al-Haramain menyebutkan, tidak ada seorangpun yang melarangnya. Manakala dalam kenyataan al-Saidalani terdapat apa yang menyelisihi pendapat ini. Namun, pendapat yang tepat lagi putus (qat‘i) adalah ia dibolehkan tetapi makruh. (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 4/448).

Selain itu, Zainuddin al-Malibari turut menyebutkan bahawa jika biji-bijian atau daging dimasak dengan najis ataupun pakaian dicelup dengan najis, maka bahagian dalamnya menjadi suci dengan menuangkan air pada bahagian luarnya, dan disyaratkan bagi mensucikan tempat — yakni bahagian najis — itu dengan melalukan air yang sedikit ke atas tempat yang najis. Akan tetapi jika najis yang terkena pada air yang sedikit dan bukannya pada air yang banyak, air tersebut menjadi najis, sekalipun tidak berubah (warna, rasa dan baunya). Justeru, air itu tidak lagi menyucikan. (Lihat Fath al-Mu‘in, hlm. 78).

Begitu juga, di dalam Hasyiah al-Bujairimi ada dinyatakan bahawa jika biji-bijian menjadi basah disebabkan oleh air najis atau air kencing dan ia menjadi lembap. Kemudian, ia dibasuh dengan air yang bersih ketika masih lagi lembap, maka suci bahagian luar dan dalamnya. Demikianlah juga pada daging yang dimasak dengan kedua-duanya — yakni air najis dan air kencing — kemudian dibasuh dengan air bersih, maka daging tersebut suci bahagian luar dan dalamnya. (Lihat Hasyiah al-Bujairimi ‘ala Syarh al-Manhaj, 1/101).

Kesimpulannya

Oleh itu, berdasarkan kepada kenyataan dan perbincangan di atas, kami berpendapat bahawa tidak mengapa menyiram tanaman dan sayuran dengan air najis mahupun membajainya dengan baja najis seperti tahi ayam. Begitu juga hasil tanaman itu adalah halal untuk dimakan dengan syarat ia dibasuh terlebih dahulu dengan air bersih. Maka dengan itu, ia dikira suci bahagian luar dan dalamnya. Ini adalah sebagaimana pendapat majoriti fuqaha. 

Hal ini bertepatan sebagaimana dinyatakan bahawa kesucian itu adalah berdasarkan kepada apa yang zahir (dilihat) dan bukannya pada apa yang ada di dalam rongga (tidak nampak) sebagaimana yang pernah disebutkan oleh Imam al-Syafi‘i ketika membahaskan mengenai cara membersihkan racun (najis) yang meresap masuk ke dalam besi yang dipanaskan dan disiram dengan racun itu (yang bernajis). (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 2/600.)

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin. Wallahu a‘lam.

Kami akhiri dengan doa dan munajat:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً

Maksudnya: Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”

Bertarikh: 11 Ogos 2023 bersamaan 24 Muharram 1445 H

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *