Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ingin bertanya berkenaan aktiviti sekolah atau kolej yang ada lelaki dan perempuan. Perlukah pelajar mengasingkan diri dengan tidak menyertainya atas alasan harus menolaknya dengan perbuatan. Ini termasuk majlis perkahwinan dan keluarga. 

Sekarang ini anak lelaki saya mengasingkan diri daripada semua majlis termasuk majlis keluarga jika ada perempuan walaupun makcik dia yang tidak menutup aurat, atau ada perempuan pakai make-up atau ada meja yang ada lelaki dan perempuan walaupun berjarak. Saya mohon khidmat nasihat daripada Dato’ Seri kerana dalam satu sudut ia membawa anak saya ke arah yang sukar dalam hidup bermasyarakat.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

قُل لِّلْمُؤْمِنِينَ يَغُضُّوا مِنْ أَبْصَارِهِمْ وَيَحْفَظُوا فُرُوجَهُمْ ۚ ذَٰلِكَ أَزْكَىٰ لَهُمْ ۗ إِنَّ اللَّـهَ خَبِيرٌ بِمَا يَصْنَعُونَ ۝ وَقُلْ لِلْمُؤْمِنَاتِ يَغْضُضْنَ مِنْ أَبْصَارِهِنَّ وَيَحْفَظْنَ فُرُوجَهُنَّ وَلَا يُبْدِينَ زِينَتَهُنَّ إِلَّا مَا ظَهَرَ مِنْهَا

Maksudnya :Katakanlah (wahai Muhammad) kepada orang-orang lelaki yang beriman supaya mereka menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka. Yang demikian itu lebih suci bagi mereka; sesungguhnya Allah Amat Mendalam PengetahuanNya tentang apa yang mereka kerjakan. Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya…”

(Surah al-Nur : 30-31)

Menurut Imam Ibn Kathir, ayat ini adalah merupakan perintah Allah SWT kepada orang-orang lelaki yang beriman supaya menjaga pandangan mereka daripada melihat perkara-perkara yang diharamkan oleh Allah SWT. Janganlah melihat melainkan hanya kepada perkara yang diharuskan oleh syarak sahaja dan menundukkan pandangan mereka daripada melihat perkara yang diharamkan. Begitu juga, Allah SWT memerintahkan juga kepada orang-orang perempuan yang beriman agar turut sama menundukkan (menjaga) pandangan dan memelihara kemaluan mereka (daripada perkara-perkara yang diharamkan). Dan bagi membezakan mereka daripada sifat serta perbuatan wanita Jahiliyyah. (Lihat Tafsir Ibn Kathir Tahzib wa Tartib, 4/2342-2344)

 Diriwayatkan daripada Abi Sai’d al-Khudri bahawa Rasulullah SAW bersabda:

لَا يَنْظُرُ الرَّجُلُ إِلَى عَوْرَةِ الرَّجُلِ، وَلَا الْمَرْأَةُ إِلَى عَوْرَةِ الْمَرْأَةِ، وَلَا يُفْضِي الرَّجُلُ إِلَى الرَّجُلِ فِي ثَوْبٍ وَاحِدٍ، وَلَا تُفْضِي الْمَرْأَةُ إِلَى الْمَرْأَةِ فِي الثَّوْبِ الْوَاحِدِ

Maksudnya: “Seorang lelaki tidak boleh melihat aurat lelaki lain, demikian juga wanita tidak boleh melihat aurat wanita yang lain. Tidak boleh dua orang lelaki berada (tidur) dalam satu selimut demikian juga dengan wanita dilarang berbuat demikian.” 

Riwayat Muslim (338)

Imam al-Nawawi ketika mensyarahkan hadith ini menyarankan : “Ini adalah larangan  jika tidak ada penghalang di antara keduanya, dan di sini menunjukkan tentang haramnya menyentuh aurat orang lain di mana saja pada tubuhnya dan ini adalah perkara yang disepakati oleh para ulama. Ramai orang yang bersikap longgar dalam perkara ini dengan berkumpulnya ramai orang di dalam bilik mandi. Oleh itu, orang yang hadir di dalamnya wajib menjaga penglihatan, tangannya, dan lain-lain daripada melihat aurat orang lain, dan juga menjaga auratnya daripada dipandang oleh orang lain dan dipegang oleh tangan orang lain atau bagian tubuh lainnya. (Lihat Riyadh al-Salihin,hlm.457)

Definisi Ikhtilat dan Syarat-syaratnya

Ikhtilat pada asasnya bermaksud percampuran antara lelaki dan perempuan di satu-satu tempat. Ia adalah satu perkara yang sering berlaku dalam kehidupan seharian kita. Ia boleh berlaku di pasar, jalan raya, ketika solat berjemaaah di masjid, ketika tawaf di sekitar Ka’bah, ketika wukuf di Arafah, ketika melontar Jamrah dan sebagainya.

Ikhtilat pada asalnya dibenarkan oleh syara’ sekiranya ia berkeperluan dan dengan tujuan untuk memudahkan kehidupan manusia, dan menjadi haram sekiranya ia membawa kepada perkara yang diharamkan oleh Allah SWT. Antara syarat-syarat ikhtilat yang digariskan oleh syara’ ialah:

Pertama: Perempuan perlu memakai hijab dengan sempurna, dan bagi lelaki pula perlu menutup aurat

Firman Allah SWT:

يَٰٓأَيُّهَا ٱلنَّبِيُّ قُل لِّأَزۡوَٰجِكَ وَبَنَاتِكَ وَنِسَآءِ ٱلۡمُؤۡمِنِينَ يُدۡنِينَ عَلَيۡهِنَّ مِن جَلَٰبِيبِهِنَّۚ ذَٰلِكَ أَدۡنَىٰٓ أَن يُعۡرَفۡنَ فَلَا يُؤۡذَيۡنَۗ وَكَانَ ٱللَّهُ غَفُورٗا رَّحِيمٗا

Maksudnya: Wahai Nabi, katakanlah kepada isteri-isterimu, anak-anak perempuanmu dan isteri-isteri orang mukmin: “Hendaklah mereka mengulurkan jilbabnya ke seluruh tubuh mereka”. Yang demikian itu supaya mereka lebih mudah untuk dikenal, kerana itu mereka tidak di ganggu. Dan Allah adalah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang

(Surah Al-Ahzab : 59)

Kedua: Perempuan perlu menjauhi daripada perhiasan yang dapat dilihat dan wangian walaupun telah memakai hijab

Firman Allah SWT:

وَلَا يُبۡدِينَ زِينَتَهُنَّ إِلَّا لِبُعُولَتِهِنَّ

Maksudnya: “dan janganlah menampakkan perhiasannya kecuali kepada suami mereka”

(Surah An-Nur : 31)

Diriwayatkan daripada Abu Musa al-Asya’ari bahawa Rasulullah SAW bersabda:

أَيُّ مَا امْرَأَة اسْتَعْطَرَتْ فَمَرَّتْ عَلَى قَوْم لَيَجِدُوْا مِنْ رِيْحِهَا فَهِيَ زَانِيَةٌ

Mana-mana wanita yang memakai wangi-wangian, lalu dia berjalan di hadapan sesuatu kaum dan kaum tersebut menghidu wangiannya, maka dia telah berzina.[3] 

Riwayat al-Nasaie (5141)

Ketiga: Terhindar daripada berlaku persentuhan kulit antara lelaki dan perempuan ajnabi seperti berjabat tangan

Diriwayatkan daripada Ma’qil bin Yasar R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

لأَن يُطْعَنَ فِي رَأْسِ أَحَدِكُمْ بِمِخْيَطِ مِنْ حَدِيدٍ خَيرٌ لَهُ مِنْ أَنْ يَمَسَّ امْرَأةً لَا تَحِلُّ لَهُ

Maksudnya: “Sekiranya dicucuk kepala salah seorang daripada kamu dengan jarum daripada besi, nescaya itu lebih baik buatnya berbanding dia menyentuh seorang wanita yang tidak halal baginya (bukan mahram).

Riwayat Al-Tabarani dalam al-Mu’jam Al-Kabir (20/211). Hadith ini dinilai sahih oleh pengarang kitab Sahih al-Jami’ (5045)

Hadith ini jelas menunjukkan pengharaman bersentuhan kulit antara lelaki dan perempuan yang bukan mahram. Sekalipun zahir hadith menunjukkan pengharaman ke atas lelaki, akan tetapi hukum tersebut tetap terpakai apabila seorang perempuan itu menyentuh lelaki yang tidak halal baginya.  Hal ini sebagaimana yang dikatakan oleh Mulla ‘Ali Al-Qari yang menukilkan daripada Imam Al-Khattabi, katanya: “Sesuatu khitab (arahan atau kenyataan) apabila terdapat padanya lafaz orang lelaki, maka ia juga adalah khitab kepada orang perempuan dalam masa yang sama, melainkan pada keadaan-keadaan yang tertentu.” (Lihat Mirqah al-Mafatih, 2/423).

Keempat: Terhindar daripada melihat atau memperkatakan sesuatu yang dapat merangsang nafsu dan syahwat

Firman Allah SWT:

يَٰنِسَآءَ ٱلنَّبِيِّ لَسۡتُنَّ كَأَحَدٖ مِّنَ ٱلنِّسَآءِ إِنِ ٱتَّقَيۡتُنَّۚ فَلَا تَخۡضَعۡنَ بِٱلۡقَوۡلِ فَيَطۡمَعَ ٱلَّذِي فِي قَلۡبِهِۦ مَرَضٞ وَقُلۡنَ قَوۡلٗا مَّعۡرُوفٗا

Maksudnya: “Wahai isteri-isteri Nabi, kamu sekelian tidaklah seperti wanita yang lain, jika kamu bertakwa. Maka janganlah kamu tunduk dalam berbicara sehingga berkeinginanlah orang yang ada penyakit dalam hatinya dan ucapkanlah perkataan yang baik.”

(Surah al-Ahzab : 32)

Tidak boleh ada tujuan melihat ajnabi tanpa keperluan seperti lelaki melihat perempuan tanpa ada apa-apa keperluan dan begitu juga sebaliknya. Jika sekiranya perlu melihat, maka janganlah diiringi oleh nafsu syahwat. Hal ini kerana, ia akan membawa kepada mafsadah dan juga diharamkan oleh syara’. 

Diriwayatkan daripada Jabir Bin Abdullah beliau berkata:

سَأَلْتُ رَسُولَ اللهِ صلى الله عليه وسلم عَنْ نَظَرِ الْفُجَاءَةِ، فَأَمَرَنِي أَنْ أَصْرِفَ بَصَرِى

Maksudnya: Aku bertanya kepada Rasulullah SAW tentang melihat wanita ajnabi secara tiba-tiba (tidak sengaja). Maka baginda memerintahkanku agar memalingkan pandanganku.

Riwayat Muslim (2159)

Imam al-Nawawi menyatakan: Maksud نَظَرُ الفَجْأَة   ialah melihat  wanita ajnabi tanpa disengajakan. Pada pandangan pertama, tidaklah berdosa ke atasnya. Tetapi dia wajib memalingkan pandangannya dengan segera. Jika dia memalingkannya dengan segera, maka tidak ada dosa ke atasnya. Tetapi jika pandangannya terus berlanjutan, dia berdosa berdasarkan hadis ini. (Lihat Syarh al-Nawawi ‘ala Sahih Muslim, 14/139)

Diriwayatkan juga daripada Buraidah al-Aslamiy, bahawa Rasulullah SAW bersabda: 

لَا تُتْبِعِ النَّظْرَةَ النَّظْرَةَ فَإِنَّ لَكَ الْأُولَى وَلَيْسَتْ لَكَ الْآخِرَةُ

Maksudnya: Janganlah kamu susuli satu pandangan dengan pandangan yang lain. Pandangan yang pertama itu untuk engkau (tidak berdosa), dan yang kedua tidak (iaitu engkau akan dihukum atas pandangan kali kedua tersebut.

Riwayat Abu Dawud (2149), al-Tirmizi (2777) dan Ahmad (22974)

Selain itu, percampuran atau ikhtilat antara lelaki dan perempuan mestilah dilakukan padat dan seringkas yang mungkin tanpa perlu memanjangkannya. Hal ini kerana, kebanyakan ikhtilat itu akan membawa kepada mafsadah, maka adalah sewajarnya kita menjauhkan diri daripada terjatuh ke dalam mafsadah tersebut.

Diriwayatkan daripada al-Nu’man bin Basyir, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

كَرَاعٍ يَرْعَى حَوْلَ الحِمَى، يُوشِكُ أَنْ يُوَاقِعَهُ، أَلاَ وَإِنَّ لِكُلِّ مَلِكٍ حِمًى، أَلاَ إِنَّ حِمَى اللهِ فِي أَرْضِهِ مَحَارِمُهُ،

Maksudnya: Maka dia seperti seorang pengembala yang menggembala haiwan ternaknya di sekitar tanah larangan yang dibimbangi dia akan menceroboh masuk ke dalamnya. Ketahuilah, setiap raja memiliki tanah larangan dan tanah larangan Allah di bumi ini ialah perkara-perkara yang diharamkan-Nya.

Riwayat al-Bukhari (52) dan Muslim (1599)

Oleh itu, perlu dipastikan bahawa ikhtilat tersebut membawa lebih banyak kebaikan daripada keburukan. Maka apabila telah sempurna syarat-syarat yang telah ditetapkan, ikhtilat itu diharuskan. Jika tidak mencukupi syarat, ia dilarang sama sekali. 

Selain itu, Islam menetapkan garis panduan batas-batas pergaulan antara lelaki dan perempuan seperti menutup aurat dengan sempurna, menjaga pandangan, tidak berkhalwat dan menjaga adab pertuturan. Sehubungan itu, terdapat batasan pergaulan antara lelaki dan perempuan apatah lagi bersentuhan antara lelaki dan wanita tanpa tujuan yang mendesak. Bahkan pengecualian pergaulan antara lelaki dan perempuan hanya pada keperluan yang tidak bertentangan dengan syarak tanpa perlu bersentuhan seperti muamalah harta, penyaksian, urusan kerja dan keperluan lain yang tidak bertentangan syariat. (Lihat al-Mufassal fi ahkam Mar’ah wa bait al-Muslimin, 3/426)

Menolak Aktiviti Kemasyarakatan Kerana Percampuran Antara Lelaki dan Perempuan 

Mengikut adat kebiasaan setempat kita, aktiviti kemasyarakatan sangat dititik beratkan dan kebanyakannya melibatkan percampuran antara lelaki dan perempuan. Namun percampuran ini mestilah mempunyai batas yang berasaskan syariah. Dalam kaedah hukum, adat sesuatu tempat itu diambil kira dalam penentuan hukum sebagaimana lafaz umum kaedah fiqhiyyah yang menyebutkan:

العَادَةُ مُحَكَّمَةٌ

Maksudnya: “Adat setempat yang dijadikan sebagai hukum.”

Dr. Muhammad al-Zuhaili menyebutkan, adat setempat mestilah suatu amalan kebiasaan yang berterusan (dalam masyarakat). Jika bukan adat kebiasaan, maka tidak dijadikan adat sebagai hukum. (Lihat al-Qawa‘id al-Fiqhiyyah wa Tatbiqatuha fi al-Mazahib al-Arba‘ah, 1/323)

Dalam perbahasan hukum, ada dua kategori yang berkait rapat dengannya iaitu hukum-hakam yang bersifat thawabit (yang tetap serta tidak berubah) dan juga al-mutaghayyirat (yang boleh berubah). Ini bererti, ada beberapa hukum yang bersifat tidak boleh berubah meskipun berlakunya perubahan zaman dan tempat dan ada hukum-hakam yang boleh berubah dengan berubahnya masa dan juga tempat.

Terdapat sebuah kaedah feqah yang menyebut:

لَا يُنْكَرُ تَغَيّرُ الْأَحْكَامِ بِتَغَيُّرِ الْأَزْمَانِ

Maksudnya: “Tidak diingkari berlakunya perubahan hukum disebabkan perubahan masa.”

Syeikh Mustafa al-Zarqa’ dalam syarahan beliau ke atas kaedah ini berkata: Tidak diingkari berlakunya perubahan hukum-hakam dengan berubahnya masa, iaitu berlaku perubahan ‘uruf penduduk sesebuah kawasan serta adat mereka. Sekiranya uruf dan adat membawa kepada suatu hukum, kemudian keduanya tersebut berubah kepada uruf dan adat yang lain, maka hukum juga berubah kepada apa yang menepati uruf dan adat yang baharu itu.

Beliau berkata lagi: Perkara ini (perubahan hukum disebabkan perubahan masa) merupakan suatu perkara yang diperakukan, diterima pakai lagi tsabit. Dan ia merupakan sunnatullah dalam pensyariatan kepada hamba-hamba-Nya. Sesungguhnya ketika bermulanya penciptaan manusia dan keadaan pada ketika itu dalam suasana kesempitan disebabkan sedikitnya bilangan zuriat, Allah SWT membenarkan pernikahan seorang perempuan dengan adik beradik lelakinya, serta memberikan keluasan dalam beberapa perkara. Hukum tersebut kekal sehinggalah keturunan semakin banyak dan meluas, lalu perkahwinan antara adik beradik kandung diharamkan pada ketika itu. (Lihat Syarah al-Qawa’id al-Fiqhiyyah, hlm. 227 – 228)

Justeru, dalam hal ini, aktiviti masyarakat seperti ini sekiranya tidak melanggar syarat-syarat ikhtilat dan percampuran antara lelaki dan perempuan, maka ia adalah diharuskan, dan tidak seharusnya bagi seseorang itu menolak aktiviti bermasyarakat dengan alasan percampuran seperti ini. 

Dalam situasi  yang tidak dapat dielakkan seperti di negara kita Malaysia yang berbilang kaum yang bercampur antara lelaki dan perempuan dalam sektor perkerjaan, pendidikan dan sebagainya, kami katakan, boleh menyertai aktiviti kemasyarakatan ketika bermuamalah atau berada dalam sesi pembelajaran ketika perlu sahaja dengan syarat-syarat ikhtilat serta tidak membayangkan apa-apa yang dapat membangkitkan syahwat. 

Namun begitu, sekiranya terdapat sesetengah aktiviti tidak perlu untuk melibatkan percampuran antara lelaki dan perempuan, maka itu adalah lebih baik dalam menjaga maslahah dalam masyarakat ini. Menundukkan pandangan merupakan perintah Allah yang wajib kita taati dam junjung kerana dengan menundukkan pandangan kita dapat membersihkan jiwa daripada perkara-perkara yang terkeji di samping menjaga hati daripada penyakit syahwat.

Semoga Allah memberikan kita kefahaman yang jelas dalam melaksanakan syariatnya dan kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنْيَا حَسَنَةً،وَفِي الْآخِرَةِ حَسَنَةً،وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat, dan peliharalah kami dari azab neraka.”

Wallahua’lam

Bertarikh: 11 Ogos 2023 bersamaan 24 Muharram 1445 H

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *