#260 Solat Jamak Taqdim di Bilik Selepas Tawaf Wada‘

Soalan:         

Assalamualaikum w.b.t. Saya ada satu persoalan. Lepas tawaf wada‘ ada jemaah pulang ke hotel, lalu mendirikan solat fardhu Zohor dan Asar  secara jamak taqdim. Jadi, adakah ia dibenarkan? Mohon pencerahan.

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t.

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

وَلْيَطَّوَّفُوا بِالْبَيْتِ الْعَتِيقِ

Maksudnya:Dan hendaklah mereka tawaf akan Baitullah (Kaabah) yang tua sejarahnya itu.”

(Surah al-Hajj: 29)

Al-Syaukani menyatakan bahawa tawaf yang dimaksudkan di dalam ayat di atas ialah tawaf ifadhah. Kaabah disebut sebagai “الْعَتِيقِ” kerana Allah SWT telah membebaskannya daripada kekuasaan orang yang zalim. Terdapat pendapat lain menyatakan bahawa maknanya ialah mulia. (Lihat Zubdah al-Tafasir min Fath al-Qadir oleh al-Asyqar, hlm. 437)

Tawaf Wada‘

Berkenaan dengan tawaf wada‘, terdapat satu hadith yang diriwayatkan oleh Ibn Abbas R.Anhuma, beliau berkata:

أُمِرَ النَّاسُ أَنْ يَكُونَ آخِرُ عَهْدِهِمْ بِالْبَيْتِ إِلَّا أَنَّهُ خُفِّفَ عَنْ الْحَائِضِ

Maksudnya:Manusia diperintahkan agar menjadikan urusan terakhir mereka (ketika melakukan haji atau umrah) dengan tawaf sekeliling kaabah, melainkan diberi keringanan kepada wanita yang sedang haid.”

Riwayat al-Bukhari (1755) dan Muslim (3284)

Begitu juga dengan hadith lain daripada Ibn Abbas R.Anhuma, beliau berkata:

كَانَ النَّاسُ يَنْصَرِفُونَ فِى كُلِّ وَجْهٍ فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم :لاَ يَنْفِرَنَّ أَحَدٌ حَتَّى يَكُونَ آخِرُ عَهْدِهِ بِالْبَيْتِ

Maksudnya:Dahulunya orang ramai beredar mengikut haluan masing-masing (bagi meninggalkan Makkah). Maka Rasulullah SAW bersabda: ‘Janganlah sekali-kali seseorang (jemaah) itu meninggalkan Makkah sehinggalah akhir keberadaannya di Baitullah (untuk melaksanakan tawaf wada‘).’

Riwayat Muslim (1327)

Imam al-Nawawi menyatakan bahawa hadith ini menunjukkan kepada kewajipan melakukan tawaf wada‘. Apabila ditinggalkan, maka dia hendaklah membayar dam. Inilah pendapat yang sahih menurut mazhab kami (mazhab al-Syafi‘i) dan inilah pendapat majoriti ulama. (Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 9/79)

Dr. Muhammad al-Zuhaili menyatakan bahawa sesiapa yang ingin keluar meninggalkan Mekah untuk pulang ke tanah air masing-masing atau ke tempat yang lain, wajib ke atasnya melakukan tawaf wada‘ (sebelum bergerak keluar). Tawaf wada‘ bukanlah sebahagian daripada manasik haji, mahupun umrah, tetapi ia merupakan ibadah yang tersendiri. (Lihat al-Mu‘tamad fi al-Fiqh al-Syafi‘i, 2/402)

Tawaf wada‘ merupakan amalan terakhir bagi jemaah yang telah melaksanakan ibadah haji sebelum meninggalkan Makkah. Tawaf wada‘ ini juga adalah sebagai penghormatan terakhir pada Masjidil Haram. Walau bagaimanapun, tawaf wada‘ termasuk dalam syarat wajib haji dan bukanlah terdiri daripada perkara rukun haji. Oleh yang demikian, sekiranya ia tidak dilakukan, maka ia tidak merosakkan haji seseorang jemaah itu, akan tetapi ia hendaklah ditampung dengan melakukan sembelihan dam sepertimana perkara wajib haji yang lain. (Lihat al-Fiqh al-Islami wa AdilIatuhu, 3/157)

Resolusi Muzakarah Haji Peringkat Kebangsaan Kali ke-29 ada menyenaraikan golongan yang dikecualikan daripada melaksanaan tawaf wada‘, ia tidak dikenakan dam dan tidak berdosa jika meninggalkannya iaitu dalam keadaan berikut:

  • Perempuan yang kedatangan haid atau nifas.
  • Perempuan yang didatangi darah istihadhah dalam tempoh haidnya.
  • Orang luka yang mengeluarkan banyak darah dan boleh menajiskan masjid.
  • Orang yang tidak mendapat air atau tanah untuk mengangkat hadas besar.
  • Orang yang takut terancam nyawa, kehormatan diri atau harta bendanya.
  • Orang yang takut ditinggalkan kawan seperjalanan. Contohnya, jemaah haji yang hanya mendapat maklumat pergerakan meninggalkan Makkah di saat akhir dan tidak sempat melakukan tawaf wada‘ kerana bas akan bergerak segera.
  • Orang yang berpenyakit salasulbaul atau seumpamanya.
  • Orang yang dipaksa meninggalkan tawaf (kes kecemasan/darurat/terdesak).
  • Orang yang takut kepada peminta hutang dalam keadaan dia benar-benar tidak berupaya membayar hutang.
  • Orang yang terpaksa dipimpin atau diusung kerana uzur disebabkan sakit atau tua dan tidak mampu duduk di atas kerusi tolak.
  • Orang yang mendapat rawatan di pusat rawatan secara rapi dan berjadual, dan perlukan penjagaan petugas perubatan secara berjadual.
  • Petugas yang begitu kerap keluar masuk Makkah kerana memberi perkhidmatan kepada Jemaah haji atau urusan haji, maka pendapat yang digunapakai adalah gugur tawaf wada‘nya.

Manakala dalam Resolusi Muzakarah Haji Peringkat Kebangsaan Kali ke-20 pula ada menyebutkan beberapa perincian hajat (hajiyat) dalam perkara yang boleh dilakukan selepas tawaf wada‘ iaitu

  1. Makan dan minum sekadar keperluan di dalam bilik penginapan di hotel.
  2. Qada’ hajat dalam tandas di bilik penginapan.
  3. Mengambil beg dan barang yang diletakkan dalam bilik penginapan.
  4. Mencari isteri, keluarga atau rakan yang hilang.
  5. Mencari harta yang hilang.
  6. Melawat atau membawa orang sakit (kes kecemasan) ke hospital atau klinik.

Di dalam Buku Fiqh Ibadat Haji, Umrah dan Ziarah ada dinyatakan bahawa melakukan solat jamak taqdim di bilik hotel selepas menunaikan tawaf wada‘ adalah dibenarkan dan tawaf wada‘ itu tidak terbatal. Waima, jika jemaah tersebut balik ke bilik hotel, mandi, menukar pakaian dan solat di bilik hotel, kemudian terus keluar ke lobi untuk menunggu bas, maka bagi perlakuan tersebut adalah dibenarkan. Tetapi ingat, jangan sampai berbaring di katil walaupun ia hanyalah sekadar hendak melepaskan lelah dan penat sebentar kerana ia akan menyebabkan tawaf wada‘ yang ditunaikan akan terbatal. (Lihat Buku Fiqh Ibadat Haji, Umrah dan Ziarah, keluaran Tabung Haji, hlm. 49)

Kesimpulannya

Merujuk kepada persoalan di atas, seseorang yang telah melaksanakan tawaf wada‘, hendaklah segera meninggalkan Tanah Haram Makkah tanpa melengah-lengahkan waktu sekiranya tidak mengalami sebarang masalah agar tawaf wada‘nya itu tidak terbatal dan mengelakkan daripada dikenakan dam. Begitu juga melakukan solat jamak taqdim di bilik hotel selepas menunaikan tawaf wada‘ adalah dibenarkan dan tawaf wada‘ itu tidak terbatal. Walau bagaimanapun, diingatkan agar jangan sampai berlengah-lengah sehingga berbaring di katil walaupun sebentar kerana dikhuatiri ia akan menyebabkan tawaf wada‘ yang ditunaikan terbatal.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Ameen.

Wallahua‘lam.

Bertarikh: 8 Januari 2022 bersamaan 5 Jamadil Akhir 1443H

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *