Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri.  Saya merupakan seorang guru yang membekalkan mushaf Al-Quran ke sekolah-sekolah. Beberapa hari lalu, timbul isu seorang ustazah tidak mahu menggunakan mushaf tersebut kepada murid kerana murid-murid tidak mempunyai wudhuk. 

Sekolah kami merupakan salah satu sekolah teramai murid iaitu dalam 3000 pelajar dan satu kelas mempunyai 40 lebih orang murid. Jika disuruh berwudhuk sebelum memulakan pengajaran al-Quran dikhuwatiri masa habis dengan menunggu murid mengambil wudhuk sahaja. Adakah murid boleh sentuh al-Quran tanpa wudhuk atau boleh guna pelapik tangan seperti glove semasa pembelajaran al-Quran?

 

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

 لَّا يَمَسُّهُ إِلَّا الْمُطَهَّرُونَ

Maksudnya: Yang tidak disentuh melainkan oleh makhluk-makhluk yang diakui bersih suci.

Surah al-Waqiah (79)

Imam Qurtubi menyebut di dalam kitabnya bahawa para ulama berbeza pendapat dalam hal menyentuh mushaf dalam keadaan tidak berwuduk, jumhur ulama melarang daripada menyentuhnya berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Amru bin Hazm RA. Dan ini merupakan pandangan mazhab Saidina Ali RA, Ibnu Mas’ud, Saad bin Abi Waqas, Said bin Zaid, Ata’, al-Nakhaie serta mazhab fuqaha’ daripada Malik dan Syafi’e. (Lihat Tafsir al-Qurtubi, 17/226)

 

Berkenaan memegang al-Quran ini telah kami jawab sebelum ini:

#847 Memegang Mushaf Tanpa Wudhu’[1]

#848 Memegang Tafsir al-Quran Tanpa Wudhu’[2]

#63 Membaca al-Quran Ketika Haid[3]

 

Berbalik kepada soalan di atas, kami nyatakan berkenaan memegang al-Quran tanpa wudhuk telah menjadi khilaf ulama. Namun, jumhur ulama telah mengatakan bahawa seseorang yang ingin memegangkan al-Quran mestilah dalam keadaan berwudhuk. Akan tetapi dalam konteks ini, ia diperlukan untuk tujuan pembelajaran, maka ia dibolehkan. Hal ini juga sepertimana yang dijelaskan oleh Imam al-Dusuqi berkenaan perkara-perkara yang dilarang ketika haid menyebut:

وَمَسُّ مُصْحَفٍ: أَيْ مَا لَمْ تَكُنْ مُعَلِّمَةً أَوْ مُتَعَلِّمَةً، وَإِلَّا جَازَ مَسُّهَا لَهُ.

Maksudnya: Dan memegang mushaf adalah dilarang jika dia bukan seorang guru atau pelajar. Akan tetapi, jika dia adalah guru atau pelajar, maka dibolehkan untuk memegangnya.” (Lihat al-Syarh al-Kabir, 1/174)

Hal ini juga terpakai dengan kaedah:

إِذَا ضَاقَ الْأَمْرُ اتَّسَعَ

Maksudnya: “Sesuatu perkara itu apabila ia menjadi sempit, maka ia diperluaskan.”

 

Begitu juga, dibolehkan memegang al-Quran yang bertafsir tanpa wudhuk sepertimana pendapat yang zahir dari mazhab Maliki dan juga Hanbali. Disebutkan di dalam Syarh Mukhtasar Khalil oleh al-Imam al-Kharasyi al-Maliki:

يَجُوزُ لِلْمُحْدِثِ مَسُّ التَّفْسِيرِ

Maksudnya: Dibolehkan bagi mereka yang berhadas untuk menyentuh tafsir. (Lihat Syarh Mukhtasar Khalil. 1/161)

Begitu juga disebutkan oleh al-Imam Ibn Qudamah al-Maqdisi di dalam kitabnya al-Mughni:

وَيَجُوزُ مَسُّ كُتُبِ التَّفْسِيرِ وَالْفِقْهِ وَغَيْرِهَا، وَالرَّسَائِلِ، وَإِنْ كَانَ فِيهَا آيَاتٌ مِنْ الْقُرْآنِ، بِدَلِيلِ أَنَّ النَّبِيَّ – صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ – كَتَبَ إلَى قَيْصَرَ كِتَابًا فِيهِ آيَةٌ؛ وَلِأَنَّهَا لَا يَقَعُ عَلَيْهَا اسْمُ مُصْحَفٍ، وَلَا تَثْبُتُ لَهَا حُرْمَتُهُ

 Maksudnya: Dan dibolehkan menyentuh kitab-kitab tafsir, fiqh, risalah-risalah yang lainnya sekiranya padanya terdapat ayat-ayat daripada Al-Quran berdalilkan bahawasanya Nabi SAW pernah menulis surat kepada maharaja Rom dan pada surat tersebut terdapat ayat Al-Quran kerana ia tidak dinamakan dengan mushaf dan tidak sabit keharaman padanya. (Lihat  Al-Mughni, 1/109)

Adapun di sisi mazhab Syafi’e, yang sahih di sisi mereka adalah haram menyentuh dan membawa tafsir sekiranya ayat al-Quran lebih banyak dari tafsirnya. Sekira tafsirnya lebih banyak dari ayat al-Quran, maka hukumnya dibolehkan.

Akan tetapi, dalam menyelesaikan masalah ini juga, kami berpandangan sekiranya al-Quran tersebut dapat ditukar kepada al-Quran yang bertafsir, maka ia lebih baik dan keluar dari khilaf.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا عَبِيْدُكَ، وَبَنُوْ عَبِيْدِكَ، وَبَنُوْ إِمَائِكَ، نَوَاصِينَا بِيَدِكَ، مَاضٍ فِيْنَا حُكْمُكَ، عَدْلٌ فِيْنَا قَضَاؤُكَ، نَسْأَلُكَ بِكُلِّ اسْمٍ هُوَ لَكَ سَمَّيْتَ بِهِ نَفْسَكَ، أَوْ عَلَّمْتَهُ أَحَدًا مِنْ خَلْقِكَ، أَوْ أَنْزَلْتَهُ فِي كِتَابِكَ، أَوْ اسْتَأْثَرْتَ بِهِ فِي عِلْمِ الْغَيْبِ عِنْدَكَ، أَنْ تَجْعَلَ الْقُرْآنَ رَبِيعَ قُلُوْبِنَا، وَنُورَ صُدُوْرِنَا، وَجِلَاءَ أَحْزَانِنَا، وَذَهَابَ هُمُوْمِنَا.

Maksudnya: Ya Allah, sesungguhnya kami adalah hamba-Mu, anak kepada hamba-Mu, anak kepada hamba perempuan-Mu, ubun-ubun kami di tangan-Mu, telah berlalunya keputusan-Mu, Engkau telah berlaku adil ke atas kami dalam keputusan-Mu. Kami memohon kepada-Mu dengan setiap nama yang Engkau berikan pada diri-Mu, atau yang telah Engkau ajarkan kepada salah satu makhluk ciptaan-Mu, atau yang telah Engkau turunkan dalam kitab-Mu, atau yang telah Engkau rahsiakan dalam ilmu ghaib-Mu, untuk menjadikan al-Quran sebagai penyejuk hati kami, cahaya di dada kami, penghilang kesedihan kami, penghapus kesusahan kami.”

 

[1] https://maktabahalbakri.com/847-memegang-mushaf-tanpa-wudhu/ 

[2] https://maktabahalbakri.com/847-memegang-tafsir-al-quran-tanpa-wudhu/ 

[3] https://maktabahalbakri.com/63-membaca-al-quran-ketika-haid/

Bertarikh: 15 Ogos 2023 bersamaan 29 Muharram 1445 H

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *