#264 Unboxing Isteri

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t. Baru-baru ini media ada melaporkan telah tular satu trend di TikTok, di mana pasangan pengantin baru melakukan rakaman video, lalu menamakannya sebagai “unboxing pengantin” atau “unboxing by husband.” Video yang dimuat naik itu memaparkan pengantin lelaki membantu membukakan tudung pengantin perempuan dengan menanggalkan setiap aksesori yang terdapat pada bahagian kepala pengantin terlebih dahulu. Jadi, adakah perbuatan merakam tersebut dibenarkan dalam Islam sekalipun tidaklah sampai kepada mendedahkan aurat? Terima kasih.

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t.

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا قُوا أَنفُسَكُمْ وَأَهْلِيكُمْ نَارًا وَقُودُهَا النَّاسُ وَالْحِجَارَةُ عَلَيْهَا مَلَائِكَةٌ غِلَاظٌ شِدَادٌ لَّا يَعْصُونَ اللَّهَ مَا أَمَرَهُمْ وَيَفْعَلُونَ مَا يُؤْمَرُونَ

Maksudnya:Wahai orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari neraka yang bahan-bahan bakarannya: manusia dan batu (berhala); neraka itu dijaga dan dikawal oleh malaikat-malaikat yang keras kasar (layanannya); mereka tidak menderhaka kepada Allah dalam segala yang diperintahkanNya kepada mereka, dan mereka pula tetap melakukan segala yang diperintahkan.

(Surah al-Tahrim: 6)

Dalam mentafsirkan ayat ini, Qatadah menyatakan bahawa kamu memerintahkan mereka untuk taat kepada Allah dan melarang mereka daripada melakukan maksiat kepada-Nya. Kamu perlu jalankan tanggungjawab terhadap mereka berdasarkan perintah Allah dan membantu mereka untuk menjalankan perintah tersebut. Jika kamu melihat mereka melakukan maksiat kepada Allah SWT, maka halang dan cegahlah mereka daripadanya. (Lihat Mukhtasar Tafsir Ibn Kathir oleh al-Sabuni, 2/522)

Sayyid Qutb juga ada menjelaskan ayat di atas bahawa tanggungjawab suami sebagai pemimpin dalam rumah tangga menyelamatkan diri dan keluarganya daripada dijilat api neraka Allah SWT. Tugas ini bukanlah suatu tugasan yang ringan, bahkan ia merupakan suatu tugasan yang berat. (Lihat Fi Zilal al-Quran, 6/3618)

Memelihara kehormatan isteri

Secara asasnya, Islam memerintahkan kepada para suami untuk memelihara dan menjaga kehormatan isteri dengan tidak memperlihatkan mereka di hadapan lelaki ajnabi, apatah lagi dengan perbuatan sengaja menayangkan isteri sebagai tontonan ramai. Justeru ia jelas bertentangan dengan prinsip Islam yang menyeru supaya menjaga kehormatan isteri.

Perbuatan membiarkan isteri dalam maksiat atau tiada keinginan yang kuat untuk mempertahankan kehormatan isterinya, bahkan dia turut sama bersekongkol mengiyakan perbuatan tersebut, maka dikhuatiri suami itu termasuk dalam kalangan lelaki dayus.  Terdapat sebuah hadith yang diriwayatkan daripada Ammar bin Yasir R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

ثَلَاثَةٌ لَا يَدْخُلُونَ الْجَنَّةَ أَبَدًا: الدَّيُّوثُ مِنَ الرِّجَالِ، وَالرَّجُلَةُ مِنَ النِّسَاءِ، وَمُدْمِنُ الْخَمْر. فَقَالُوا: يَا رَسُولَ اللهِ أَمَّا مُدْمِنُ الْخَمْرِ فَقَدْ عَرَفْنَاهُ، فَمَا الدَّيُّوثُ مِنَ الرِّجَالِ؟ قَالَ: الَّذِي لَا يُبَالِي مَنْ دَخَلَ عَلَى أَهْلِهِ

Maksudnya: “Tiga golongan yang tidak akan memasuki syurga sampai bila-bila iaitu lelaki yang dayus, wanita yang menyerupai lelaki dan orang yang ketagihan arak.” Lalu mereka (para sahabat) bertanya: “Wahai Rasulullah! Adapun orang yang ketagihan arak, kami mengetahuinya, tetapi apakah itu lelaki yang dayus?” Baginda SAW menjawab: “Iaitu orang yang tidak mempedulikan siapa yang masuk bertemu dengan ahlinya (isteri dan anak-anaknya).”

Riwayat al-Baihaqi dalam Syu‘ab al-Iman (10310)

Dayus bermaksud seorang lelaki yang tiada keinginan yang kuat untuk mempertahankan keluarganya. (Lihat al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 21/96)

Begitu juga kalimah dayus merujuk kepada setiap orang yang mengiyakan sebarang kejahatan terhadap ahli keluarga di bawah kekuasaannya daripada kalangan isteri, anak perempuan, saudara perempuan atau seumpamanya. Sama ada kejahatan atau perbuatan keji itu membawa kepada zina atau jalan yang membawa kepada zina seperti mendedahkan aurat di hadapan lelaki ajnabi, berkhalwat dengannya, memakai wangi-wangian secara berlebih-lebihan ketika keluar dan lain-lain perkara yang boleh menimbulkan fitnah dan membangkitan syahwat. (Lihat Fatawa al-Lajnah al-Daimah, 17/198-199)

Terdapat dalam sebuah hadith lain daripada Abdullah bin Umar R.Anhuma, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

ثَلَاثَةٌ قَدْ حَرَّمَ اللَّهُ عَلَيْهِمْ الْجَنَّةَ مُدْمِنُ الْخَمْرِ وَالْعَاقُّ وَالدَّيُّوثُ الَّذِي يُقِرُّ فِي أَهْلِهِ الْخَبَثَ

Maksudnya:Tiga golongan yang Allah SWT haramkan ke atas mereka daripada memasuki syurga, iaitu orang yang ketagihan arak, orang yang menderhakai ibu bapanya dan lelaki dayus iaitu orang yang membiarkan kejahatan dalam keluarganya.”

Riwayat Ahmad (5372)

Al-Munawi menyatakan bahawa ‘dayus’ dalam hadith di atas bermaksud orang yang membiarkan kejahatan atau perbuatan keji dalam kalangan ahli keluarganya iaitu isteri dan kaum kerabat terdekatnya. (Lihat Faidh al-Qadir, 3/319)

Demikianlah juga, menjadi tanggungjawab suami untuk memelihara kehormatan dan penampilan isteri mereka sekalipun di hadapan seorang lelaki yang buta. Hal ini dapat dilihat bagaimana Rasulullah SAW memerintahkan para isterinya untuk memakai hijab di hadapan seorang lelaki yang buta sebagaimana hadith Ummu Salamah yang mana ketika itu beliau dan Maimunah berada di samping Rasulullah SAW. Beliau berkata:

فَبَيْنَا نَحْنُ عِنْدَهُ أَقْبَلَ ابْنُ أُمِّ مَكْتُومٍ فَدَخَلَ عَلَيْهِ وَذَلِكَ بَعْدَ مَا أُمِرْنَا بِالحِجَابِ، فَقَالَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: احْتَجِبَا مِنْهُ، فَقُلْتُ: يَا رَسُولَ اللهِ أَلَيْسَ هُوَ أَعْمَى لاَ يُبْصِرُنَا وَلاَ يَعْرِفُنَا؟ فَقَالَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: أَفَعَمْيَاوَانِ أَنْتُمَا أَلَسْتُمَا تُبْصِرَانِهِ

Maksudnya:Ketika kami berada di samping Baginda SAW, Ibn Ummi Maktum datang, lalu masuk menemui Baginda dan perkara tersebut adalah setelah kami diperintahkan untuk berhijab. Rasulullah SAW bersabda: ‘Hendaklah kamu berdua memakai hijab.’ Lalu aku bertanya: ‘Wahai Rasulullah, bukankah dia seorang yang buta dan dia tidak boleh melihat kami mahupun mengetahui kami?’ Maka Rasulullah SAW bersabda: ‘Bukankah kamu berdua boleh melihatnya?’

Riwayat al-Tirmizi (2778) dan beliau menyatakan bahawa hadith ini hasan sahih.

Oleh sebab itulah, Islam sangat menuntut rasa cemburu dalam diri seseorang. Ibn al-Qayyim menyatakan bahawa asal dalam agama adalah perlunya rasa ambil berat atau kecemburuan terhadap ahli keluarga. Sesiapa yang tiada perasaan ini, maka itulah tanda tiada agama dalam dirinya. Hal ini kerana perasaan cemburu ini menjaga hati dan menjaga anggota sehingga menjauhkan daripada kejahatan dan perkara keji. Tanpanya hati akan mati, lalu menyebabkan sensitiviti anggota (terhadap perkara haram) turut mati, sehingga tiadanya lagi kekuatan untuk menolak kejahatan dan menghindarkannya sama sekali. (Lihat al-Jawab al-Kafi, hlm. 68)

Kepentingan sifat malu

Terdapat sebuah hadith daripada Abu Hurairah R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

الإِيمَانُ بِضْعٌ وَسِتُّونَ شُعْبَةً، وَالحَيَاءُ شُعْبَةٌ مِنَ الإِيمَانِ

Maksudnya:Iman mempunyai lebih daripada 60 cabang dan malu itu merupakan salah satu cabang daripada iman.”

Riwayat al-Bukhari (9); Muslim (35) tetapi dengan lafaz, “Iman mempunyai lebih daripada 70 cabang…”

Syeikh Mustafa al-Bugha ketika mengulas hadith ini, menyebutkan bahawa malu itu ialah satu sifat yang ada dalam diri manusia dan sifat tersebut akan mendorong manusia untuk melakukan perkara-perkara terpuji serta meninggalkan apa yang dicela dan mengaibkan. (Lihat Sahih al-Bukhari, 1/11)

Selain itu, malu ini terbahagi kepada dua:

  • Berkaitan dengan hak Allah, seperti, kita merasa malu Allah melihat kita melanggar perintah-Nya atau melakukan larangan-Nya.
  • Malu dengan hak makhluk, seperti, seseorang itu memelihara diri dari melakukan perbuatan yang menjatuhkan maruah dan akhlak. (Lihat al-Kafi Syarah Hadith 40 oleh Dr. Zulkifli al-Bakri, hlm. 191-192)

Hebatnya sifat malu ini, sehinggakan dalam sebuah hadith disebutkan bahawa jika Allah SWT benci pada seseorang, akan dicabut daripadanya sifat malu. Hal ini adalah sebagaimana riwayat daripada Abdullah bin ‘Amr, daripada Nabi SAW, Baginda bersabda:

إِذَا أَبْغَضَ اللهُ عَبْدًا نزَعَ مِنْهُ الحَيَاءَ

Maksudnya:Jika Allah membenci seorang hamba nescaya dicabut padanya perasaan malu.

Riwayat al-Baihaqi (7724) dalam Syu‘ab al-Iman.

Lebih-lebih lagi, malu ialah landasan akhlak mulia yang bermuara kepada kebaikan. Siapa yang banyak malunya lebih banyak kebaikannya, siapa yang sedikit rasa malu sedikit kebaikannya. Rasa malu adalah perilaku yang dapat dibentuk. Setiap orang yang memiliki tanggungjawab perlulah membentuk rasa malu ke atas mereka yang menjadi tanggungjawabnya.

Seseorang yang mempunyai sifat malu, mampu menjaga diri dan maruah dirinya daripada melakukan perkara yang bercanggah dengan norma-norma kehidupan dan bercanggah dengan syariat Allah SWT. Justeru, apabila seseorang telah hilang sifat malu dalam dirinya, maka segala keburukan dan kejahatan akan berhimpun dalam dirinya.

Rosaknya budaya barat dan pincangnya nilai dan adab mereka tatkala malu telah dipecat dalam kehidupan mereka. Menghidupkan semula sifat malu mengikut acuan syariah adalah amat penting dalam kehidupan kita.

Kerisauan ia akan menjadi budaya dalam masyarakat

Selain itu, turut menjadi kebimbangan sekiranya budaya atau trend sebegini menjadi ikutan anak-anak muda sehingga akhirnya ia dianggap sebagai perkara biasa. Malah, apa yang lebih membimbangkan lagi ia akan mencetuskan kepada perkara yang lebih parah seperti mendedahkan aksi mesra yang keterlaluan, mendedahkan aurat dan lain-lain, yang mana sepatutnya semua itu menjadi rahsia di antara suami isteri dan bukannya perlu dipertontonkan kepada orang lain.

Hal ini adalah sebagaimana hadith yang diriwayatkan oleh Jarir bin Abdullah R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

وَمَن سَنَّ في الإسْلَامِ سُنَّةً سَيِّئَةً، كانَ عليه وِزْرُهَا وَوِزْرُ مَن عَمِلَ بهَا مِن بَعْدِهِ بعده من غير أن ينقص من أوزارهم شيء‏

Maksudnya:Sesiapa yang memulakan suatu perlakuan jahat dalam Islam sehingga diikuti oleh orang lain, maka dia mendapat dosa dan menanggung dosa mereka yang melakukan perbuatan itu selepasnya, tanpa dikurangkan daripada dosa mereka sedikit pun.”

Riwayat Muslim (1017)

Imam al-Nawawi menyatakan bahawa sesiapa yang memberi petunjuk kepada kemungkaran, maka akan mendapat balasan dosa seperti mana orang yang melakukannya sehingga hari kiamat. Dalam erti kata lain, balasan dosa itu akan berterusan pada waktu hidupnya atau selepas kematiannya. (Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 16/226-227)

Ibn Hajar al-‘Asqalani menambah mengenai perkara ini dengan menyatakan bahawa orang tersebut menanggung dosa yang diajarinya atau ditunjukkan olehnya itu selagi mana dia belum bertaubat di atas dosanya itu. (Lihat Fath al-Bari, 12/193)

Kesimpulannya

Berdasarkan kepada perbincangan dan perbahasan di atas, kami berpendapat bahawa perbuatan ‘unboxing pasangan’ atau ‘unboxing isteri’ sebaiknya dijauhi dan ditinggalkan kerana perbuatan itu jelas bertentangan dengan prinsip dan budaya Islam itu sendiri yang memerintah para suami untuk menjaga kehormatan dan penampilan isteri masing-masing.

Sebagai suami sepatutnya melindungi dan memelihara ahli keluarga masing-masing daripada mendapat kemurkaan Allah SWT, di samping menyeru mereka untuk taat kepada Allah dan meninggalkan larangan-Nya. Di kesempatan ini juga, kami turut menasihati semua agar meninggalkan segala budaya atau trend yang jelas tidak mencerminkan akhlak mahupun peribadi agama Islam itu sendiri.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Ameen.

Wallahua‘lam.

Bertarikh: 11 Januari 2022 bersamaan 8 Jamadil Akhir 1443H

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *