Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya terfikir-fikir, biasanya antelop ini dikaitkan dengan wangian kasturi, tetapi bolehkah haiwan ini dimakan? Mohon penjelasan. Terima kasih.

 

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Kami kemukakan terlebih dahulu takrifan antelop. Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, antelop ialah binatang berkaki dan bertanduk panjang yang seakan-akan rusa, dan boleh berlari pantas (terdapat di Afrika dan Asia).[1] Antelop adalah mana-mana haiwan daripada jenis mamalia yang meragut padang rumput dan bertelapuk (kakinya) berasal daripada keluarga Bovidae (order Artiodactyla). Antelop menyumbang lebih dua pertiga daripada kira-kira 135 spesies ruminan bertanduk berongga (pengunyah biak) dalam keluarga Bovidae, yang juga termasuk lembu, biri-biri dan kambing. Satu jenis antelop ialah blackbuck India, mempunyai nama Latin Antilope cervicapra; walau bagaimanapun, antelop bukanlah nama taksonomi tetapi istilah yang mencakupi pelbagai jenis haiwan bertelapuk (kakinya) ruminan yang cukup luas dengan saiz binatang ini yang pelbagai daripada antelop diraja kecil (2 kg [4 paun]) hingga eland gergasi (800 kg [1,800 paun]). (Antelop pronghorn Amerika Utara yang sifat fizikal dan tingkah laku seperti gazelle tetapi tergolong dalam keluarga yang berasingan iaitu Antilocapridae). Afrika adalah benua dengan kira-kira 71 spesies juga dikenali sebagai benua antelop. Hanya 14 spesies antelop yang mendiami seluruh benua Asia, dan kesemuanya kecuali tiga daripada spesies mereka adalah ahli suku gazelle (Antilopini).

Explained: How Do Blackbucks Survive Tough Conditions

Gambar di atas: Antelop blackbuck India

Sifat fizikal dan tingkah laku. Seperti mana semua haiwan Bovidae, semua antelop jantan mempunyai tanduk, yang terdiri daripada pancang pendek, duikers hingga tanduk corkscrew (lebih daripada 160 sm [63 inci] panjang) kudu yang lebih besar. Dua pertiga daripada antelop betina mempunyai tanduk; di mana tanduk mereka sentiasa lebih kurus dan biasanya lebih pendek daripada antelop jantan. Dalam spesies suka berkawan di mana kedua-dua jantina kerap bergaul dalam kumpulan bercampur, bentuk tanduk mereka hampir serupa, dan dalam oryx dan eland betina mereka selalunya lebih panjang.

Antelop telah menyesuaikan diri dengan pelbagai bentuk ekologi yang berbeza dan mereka juga berbeza dari segi saiz, bentuk, pergerakan, diet, organisasi sosial dan strategi antipredator. Walaupun terdapat kepelbagaian penyesuaian, satu generalisasi penting boleh dibuat: terdapat perbezaan yang ketara antara antelop habitat tertutup dan habitat terbuka. Yang pertama (contohnya, duikers, reedbucks dan bushbucks) kebanyakannya adalah haiwan kecil hingga sederhana yang menyesuaikan diri untuk pergerakan melalui semak, dengan bahagian belakang yang besar, punggung yang bulat dan kaki yang pendek. Konformasi ini disesuaikan dengan kepantasan untuk bergerak dan berlari laju dan mengelak, inilah cara bagaimana antelop yang bergantung pada cara bersembunyi dan barisan pertama pertahanannya adalah penyembunyian untuknya melarikan diri daripada pemangsa yang berpeluang menemui mereka. Warna mereka juga seakan-akan sama dengan persekitaran yang sesuai untuk penyamaran. Mereka suka bersendirian, tinggal bersendirian atau berpasangan di kawasan rumah yang dipertahankan sebagai wilayah habitat mereka, dan mereka makan dedaunan dan bukannya meragut rumput. Sebaliknya, antelop habitat terbuka kebanyakannya pemakan rumput sederhana hingga besar. Badan mereka dibina untuk kelajuan, mempunyai punggung rata dengan anggota badan yang panjang dan sama kehadapan (atau dengan bahu yang lebih tinggi, seperti dalam suku hartebeest). Warna mereka menyerlah. Mereka mempunyai organisasi sosial yang berkelompok dan sistem mengawan berdasarkan wilayah antelop jantan (kecuali dalam suku kudu).

Klasifikasi. Ahli taksonomi membahagikan antelop kepada tiga subfamili dan 10 suku yang berbeza antara satu sama lain seperti lembu (suku Bovini) berbeza daripada biri-biri dan kambing (suku Caprini). Namun antelop dikaitkan dengan kedua-dua lembu dan kambing: antelop bertanduk lingkaran (suku Tragelaphini, yang termasuk eland seperti lembu), ditempatkan dalam subfamili Bovinae bersama-sama dengan lembu dan suku Boselaphini, yang merangkumi nilgai besar dan antelop bertanduk empat kecil. Walaupun gazelle (kijang) dan sekutunya (termasuk blackbuck) diletakkan dalam subfamili (Antilopinae) yang berbeza daripada biri-biri dan kambing (Caprinae), beberapa bovid Asia yang kelihatan dan berkelakuan seperti antelop telah dibuktikan melalui DNA sebagai caprin, terutamanya chiru, atau antelop Tibet (Pantholops hodgsoni), manakala tiga spesies, kijang Mongolia, kijang Tibet dan kijang Przewalski, diletakkan dalam genus Procapra untuk pertalian caprin mereka.[2]

Selain itu, antelop juga sering dikaitkan dengan wangian kasturi iaitu al-Misk (الْمِسْكُ). Al-Bunani yang menukilkannya daripada al-Hafiz Ibn Hajar bahawa al-Misk itu ialah darah yang terkumpul pada bahagian pusat rusa/kijang/gazelle/antelop pada satu masa yang diketahui daripada tahun tertentu. Apabila terkumpulnya darah tersebut, maka ianya akan membengkak maka rusa akan berasa sakit sehingga membawa kepada gugurnya gumpalan tersebut. (Lihat Hasyiah al-Bunani ‘ala Hamisy al-Zurqani, 1/27).

Ringkasnya, para ulama menyebutkan bahawa kasturi itu halal lagi bersih. Dibolehkan untuk memakannya dan mengambil manfaat daripadanya dalam apa keadaan sama ada dalam bentuk makanan dan juga perubatan sama ada darurat ataupun tidak. Ini kerana sesungguhnya darah yang pada asalnya telah bertukar (berlaku proses istihalah) kepada sesuatu yang baik dan menjadi bersih. Dalam sebuah hadith Nabi SAW:

أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم ذَكَرَ امْرَأَةً مِنْ بَنِي إِسْرَائِيلَ حَشَتْ خَاتَمَهَا مِسْكًا وَالْمِسْكُ أَطْيَبُ الطِّيبِ

Maksudnya: “Sesungguhnya Rasulullah SAW telah menyebut mengenai wanita daripada Bani Israil yang mengisi cincinnya dengan kasturi dan kasturi adalah wangian yang sangat harum.

 Riwayat Muslim (2252)

Imam al-Nawawi menyatakan, hadith ini menunjukkan bahawa minyak kasturi adalah minyak wangi yang paling baik dan paling utama. Ia juga menjelaskan bahawa minyak kasturi adalah suci, sehingga boleh digunakan untuk badan dan pakaian, serta boleh juga untuk dijual. Semua perkara ini merupakan sesuatu yang telah disepakati oleh para ulama. (Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 10/615).

Hukum Daging Antelop

Berbalik kepada soalan yang diajukan, pada asasnya, terdapat kaedah menyebutkan bahawa hukum asal — yakni dalam menentukan status halal — bagi suatu haiwan itu adalah harus dan halal dimakan selagi mana tiada dalil yang mengharamkannya. Firman Allah SWT:

أُحِلَّتْ لَكُم بَهِيمَةُ الْأَنْعَامِ إِلَّا مَا يُتْلَىٰ عَلَيْكُمْ

Maksudnya: “Dihalalkan bagi kamu (memakan) binatang-binatang ternak (dan sebagainya), kecuali apa yang akan dibacakan (tentang haramnya) kepada kamu.”

(Surah al-Ma’idah: 1)

Tambahan lagi, Syeikh Muhammad bin Soleh juga ada menyebutkan bahawa hukum asal bagi suatu makanan itu adalah halal melainkan adanya dalil yang mengharamkannya. Jika timbul keraguan dalam diri kita mengenai suatu makanan itu, yakni adakah ia halal ataupun haram. Maka, ia dihukumkan sebagai halal sehinggalah jelas kepada kita bahawa hukumnya adalah haram. Hal ini adalah berdasarkan kepada firman Allah SWT:

هُوَ الَّذِي خَلَقَ لَكُم مَّا فِي الْأَرْضِ جَمِيعًا

Maksudnya:Dia lah (Allah) yang menjadikan untuk kamu segala yang ada di bumi.

(Surah al-Baqarah: 29)

Ayat di atas merangkumi segala sesuatu yang ada di atas muka bumi ini yang terdiri daripada haiwan-haiwan, tumbuh-tumbuhan, pakaian dan sebagainya. Begitu juga firman Allah SWT:

وَسَخَّرَ لَكُم مَّا فِي السَّمَاوَاتِ وَمَا فِي الْأَرْضِ جَمِيعًا مِّنْهُ

Maksudnya: “Dan Dia (Allah) telah menundukkan untukmu apa yang di langit dan apa yang di bumi semuanya, (sebagai rahmat) daripada-Nya.”

(Surah al-Jathiyah: 13)

Begitulah juga dalam sebuah riwayat daripada Abu al-Darda’ bahawa Rasulullah SAW bersabda:

ما أَحَلَّ اللهُ فِي كِتَابِهِ فَهُوَ حَلَالٌ، وَمَا حَرَّمَ فَهُوَ حَرَامٌ، وَمَا سَكَتَ عَنْهُ فَهُوَ عَفْوٌ

Maksudnya:Apa yang Allah SWT halalkan dalam kitab-Nya, maka ia adalah halal. Apa yang Allah SWT haramkan, maka ia adalah haram, dan apa yang didiamkan mengenainya, maka ia adalah dimaafkan.”

Riwayat al-Bazzar (4087); al-Tabarani dalam Musnad al-Syamiyyin (2102)

Oleh yang demikian, hukum asal bagi seluruh haiwan adalah halal sehinggalah datangnya dalil yang menunjukkan keharamannya. (Lihat Fatawa Nur ‘ala al-Darb, 20/2).

Selain itu, al-Qarafi ada menyebutkan dalam al-Furuq (2/19) bahawa sesuatu yang tidak terdapat dalil mengenai pengharamannya, kami katakan, ia adalah diharuskan berdasarkan kepada hukum asal (berlepas daripada hukum haram).

Begitu juga al-Zarkasyi turut menyatakan, halal di sisi Imam al-Syafi‘i ialah sesuatu yang tidak terdapat dalil mengenai pengharamannya. Kemudian, Imam al-Syafi‘i menguatkan pendapatnya itu dengan firman Allah SWT:

قُل لَّا أَجِدُ فِي مَا أُوحِيَ إِلَيَّ مُحَرَّمًا عَلَىٰ طَاعِمٍ يَطْعَمُهُ إِلَّا أَن يَكُونَ مَيْتَةً أَوْ دَمًا مَّسْفُوحًا أَوْ لَحْمَ خِنزِيرٍ فَإِنَّهُ رِجْسٌ أَوْ فِسْقًا أُهِلَّ لِغَيْرِ اللَّهِ بِهِ

Maksudnya: “Katakanlah (wahai Muhammad): ‘Aku tidak dapati dalam apa yang telah diwahyukan kepadaku, sesuatu yang diharamkan bagi orang yang hendak memakannya melainkan kalau benda itu bangkai, atau darah yang mengalir, atau daging babi – kerana sesungguhnya ia adalah kotor – atau sesuatu yang dilakukan secara fasik, iaitu binatang yang disembelih atas nama yang lain dari Allah.’

(Surah al-An‘am: 145)

Begitu juga dengan sabda Nabi SAW:

وَسَكَتَ عَنْ أَشْيَاءَ رَحْمَةً بِكُمْ؛ فَلَا تَبْحَثُوا عَنْهَا

Maksudnya: “Dan sesuatu yang didiamkan mengenainya (berkenaan hukumnya) adalah rahmat buat kamu, maka janganlah kamu mencari-cari mengenainya.

Berdasarkan kepada kaedah dan prinsip ini, banyak permasalahan yang rumit diselesaikan. (Lihat al-Manthur fi al-Qawa’id al-Fiqhiyyah, 2/70-71).

Bahkan menurut al-Damiri, antelop berserta semua jenis-jenisnya adalah halal untuk dimakan. (Lihat Hayah al-Hayawan al-Kubra, 3/61). Begitu juga al-Syirazi ada menyebutkan, haiwan liar seperti antelop dan lembu adalah halal untuk dimakan berdasarkan kepada firman Allah Azza wa Jalla:

وَيُحِلُّ لَهُمُ الطَّيِّبَاتِ

Maksudnya: “Dan dia menghalalkan bagi mereka segala benda yang baik.”

(Surah al-A‘raf: 157)

Antelop dan lembu termasuk dalam makanan yang baik-baik, diburu dan dimakan. Begitu juga dihalalkan keldai liar berdasarkan kepada ayat di atas. (Lihat al-Muhazzab fi Fiqh al-Imam al-Syafi‘i, 1/449).

Kemudian Imam al-Nawawi ketika mensyarahkan kenyataan al-Syirazi di atas menyatakan, haiwan liar adalah halal untuk dimakan, di antaranya seperti antelop, lembu, keldai liar dan hyena berdasarkan apa yang telah dinyatakan oleh pengarang (iaitu al-Syirazi), dan kesemuanya ini adalah secara sepakat ulama. Begitu juga dihalalkan capra (الْوَعْلُ) tanpa sebarang khilaf.  (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 9/9).

Kesimpulannya

Oleh itu, berdasarkan kepada kenyataan dan perbincangan di atas, kami berpendapat bahawa antelop dan semua jenis-jenisnya adalah halal dimakan.  Ini kerana ia termasuk dalam jenis haiwan yang tidak terdapat nas syarak mengenai pengharamannya, bahkan sebaliknya ia termasuk dalam jenis makanan yang baik-baik dan haiwan yang diburu. Jadi, ia kekal sebagaimana hukum asalnya iaitu halal dan diharuskan untuk memakannya. Kaedah fiqh menyatakan:

الْأَصْلُ فِي الْأَشْيَاءِ الْإِبَاحَةُ حَتَّى يَدُلُّ الدَّلِيلُ عَلَى التَّحْرِيمِ.

Maksudnya:Hukum asal bagi sesuatu perkara adalah harus sehinggalah datangnya dalil yang menunjukkan kepada keharaman (perkara tersebut).” (Lihat al-Asybah wa al-Naza’ir oleh al-Suyuti, hlm. 60).

Walaupun begitu, kita amat perlu menghormati perundangan sesebuah negara seperti di Malaysia, adakah di sana terdapat akta atau larangan bagi memburunya kerana ia termasuk dalam binatang yang dilindungi. Jika tiada, maka dibolehkan untuk memburu dan makan antelop tersebut.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”

Wallahu a‘lam

Bertarikh: 17 Ogos 2023 bersamaan 30 Muharram 1445 H

 

[1] Lihat https://prpm.dbp.gov.my/cari1?keyword=antelop. Diakses pada 9 Ogos 2023.

[2] Lihat https://www.britannica.com/animal/antelope-mammal. Diakses pada 9 Ogos 2023.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *