Soalan:         

Assalamualaikum w.b.t. Bolehkah seorang wanita itu mendeklamasi sajak atau bersyair di dalam masjlis? Mohon pencerahan.

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t.

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

زُيِّنَ لِلنَّاسِ حُبُّ الشَّهَوَاتِ مِنَ النِّسَاءِ

Maksudnya:Dihiaskan (dan dijadikan indah) kepada manusia: kesukaan kepada benda-benda yang diingini nafsu, iaitu perempuan-perempuan.[1]

Ayat ini menunjukkan bahawa Allah SWT menghiasi pandangan manusia dengan hal-hal yang dapat menyenangkan hati mereka, yang di dalamnya terdapat kenikmatan. Lalu Allah SWT memulakannya dengan menyebut para wanita kerana besarnya kerinduan jiwa yang terarah kepada mereka.[2]

Mukadimah

Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, deklamasi ialah pembacaan sajak dan sebagainya dengan irama suara, gaya dan penuh perasaan.[3] Justeru, mendeklamasikan ialah membacakan atau menyampaikan sajak dan lain-lain untuk didengari.[4] Manakala bersyair pula ialah membaca syair dengan berlagu.[5]

Suara wanita

Pada asasnya kami berpendapat bahawa suara wanita itu bukanlah aurat. Hal ini kerana Nabi SAW dan para sahabat mendengar suara perempuan, kaum perempuan bertanya kepada Baginda SAW dan para sahabat mendengarnya, dan begitu juga pernah kaum wanita meminta kepada Nabi agar diadakan satu majlis ilmu khas buat mereka dalam satu tempat. Justeru, semua ini menunjukkan bahawa suara wanita itu adalah bukan aurat. Namun dalam keadaan tertentu ia boleh menjadi aurat apabila dilembutkan atau dilunakkan hingga boleh mendatangkan ghairah kepada lelaki. Hal ini adalah berdasarkan firman Allah SWT:

يَا نِسَاءَ النَّبِيِّ لَسْتُنَّ كَأَحَدٍ مِّنَ النِّسَاءِ ۚ إِنِ اتَّقَيْتُنَّ فَلَا تَخْضَعْنَ بِالْقَوْلِ فَيَطْمَعَ الَّذِي فِي قَلْبِهِ مَرَضٌ وَقُلْنَ قَوْلًا مَّعْرُوفًا

Maksudnya:Wahai isteri-isteri Nabi, kamu semua bukanlah seperti mana-mana perempuan yang lain kalau kamu tetap bertaqwa. Oleh itu janganlah kamu berkata-kata dengan lembut manja (semasa bercakap dengan lelaki asing) kerana yang demikian boleh menimbulkan keinginan orang yang ada penyakit dalam hatinya (menaruh tujuan buruk kepada kamu), dan sebaliknya berkatalah dengan kata-kata yang baik (sesuai dan sopan).[6]

Ibn Kathir menukilkan daripada al-Suddi bahawa maksud lafaz “فَلَا تَخْضَعْنَ بِالْقَوْلِ” ini ialah menghaluskan percakapan ketika berbual bersama kaum lelaki.[7] Begitu juga al-Qurtubi dalam tafsirnya menyebutkan bahawa maksudnya ialah larangan melunakkan perkataan. Allah mengarahkan agar para isteri nabi itu hendaklah berkata dengan tegas dan jelas dalam perbualan, dan jangan bercakap dalam suatu bentuk yang menzahirkan dalam hati satu hubungan dengan apa yang terzahir daripada kelunakan tersebut, seperti mana keadaan yang berlaku dalam kalangan wanita Arab ketika berbual dengan lelaki dengan cara melembutkan suara dan melunakkannya, seperti gaya perbualan wanita yang mengelirukan dan wanita pelacur.[8]

Selain itu, al-Baghawi ketika mentafsirkan ayat di atas, menyebutkan bahawa janganlah kamu — para wanita — merendahkan dan melembutkan suara ketika berkata-kata dengan kaum lelaki dan tidak menghaluskan perbualan, sehingga menimbulkan keinginan dalam hati orang yang memiliki penyakit dalam hatinya, yakni perbuatan keji dan syahwat. Dikatakan (penyakit itu) adalah kemunafikan dengan makna janganlah kamu berkata-kata dengan suatu perkataan yang boleh orang munafik atau orang yang keji akhlaknya itu, suatu jalan bagi memuaskan keinginan mereka terhadap isteri-isteri Nabi. Oleh itu, disunatkan bagi orang perempuan untuk mengeraskan suara dalam perkataan apabila berbual dengan lelaki ajnabi bagi memutuskan keinginan (yakni perbuatan keji dan syahwat), di samping mereka hendaklah berkata-kata dengan perkataan yang makruf seperti dalam perkara yang dituntut oleh agama dan Islam dengan jelas lagi terang tanpa perlu direndahkan suara.[9]

Mengenai hal ini, Dr. Yusuf al-Qaradhawi[10] menyebutkan bahawa Islam membolehkan nyanyian selama mana tiada unsur maksiat, kata-kata yang kotor, lirik yang lucah dan hasutan kepada penyelewengan akidah. Tidak mengapa jika ia diiringi dengan alat-alat muzik yang tidak membangkitkan syahwat. Beliau berhujahkan dengan hadith daripada Aisyah R.Anha bahawa beliau pernah beliau membawa seorang pengantin perempuan untuk dihantar kepada seorang lelaki dalam kalangan kaum Ansar, kemudian Nabi SAW bersabda:

يَا عَائِشَةُ، مَا كَانَ مَعَكُمْ لَهْوٌ؟ فَإِنَّ الأَنْصَارَ يُعْجِبُهُمُ اللَّهْوُ

Maksudnya:Wahai Aisyah, apakah kamu semua tidak mempunyai hiburan untuk dimainkan? Sesungguhnya orang-orang Ansar menyukai hiburan.”[11]

Dalam sebuah hadith yang lain menyebut bahawa Rasulullah SAW bersabda:

إِنَّ الْأَنْصَارَ قَوْمٌ فِيهِمْ غَزَلٌ، فَلَوْ بَعَثْتُمْ مَعَهَا مَنْ يَقُولُ: أَتَيْنَاكُمْ أَتَيْنَاكُمْ فَحَيَّانَا وَحَيَّاكُمْ

Maksudnya:Sesungguhnya kaum Ansar itu kaum yang terdapat dalam kalangan mereka (tradisi) menyanyikan ghazal (nyanyian sambut-menyambut), kalau boleh dapatkan seorang yang menyanyi: ‘Kami datang kepada kamu! Kami datang kepada kamu! Selamat bagi kami, selamat bagi kamu!’[12]

Begitu juga hadith lain daripada Aisyah R.Anha, bahawa Abu Bakar R.A datang kepadanya, dan ketika itu ada dua orang budak perempuan bersamanya sedang memukul gendang pada hari Mina, pada masa yang sama Nabi SAW berbaring dan berselimut dengan kainnya. Abu Bakar memarahi kedua-duanya. Setelah itu, Nabi SAW menyingkap kain dari wajahnya, lalu bersabda:

دَعْهُمَا يَا أَبَا بَكْرٍ، فَإِنَّهَا أَيَّامُ عِيدٍ، وَتِلْكَ الأَيَّامُ أَيَّامُ مِنًى

Maksudnya:Biarkanlah mereka berdua, wahai Abu Bakar, kerana sesungguhnya hari ini ialah hari raya, dan hari-hari itu ialah hari-hari Mina (hari tasyriq).”[13]

Selain itu, Al-Ghazali juga ada menyebutkan bahawa suara wanita dalam keadaan selain daripada nyanyian itu bukanlah aurat, kerana kaum wanita pada zaman sahabat R.Anhum sentiasa bercakap-cakap dengan kaum lelaki ketika memberi salam, meminta fatwa, meminta sesuatu, melakukan syura dan sebagainya. Tambahan lagi pada nyanyian itu suatu tambahan yang memberi kesan dalam merangsang syahwat.[14] Oleh itu, kami berpendapat dalam isu nyanyian kaum wanita, jika dilakukan dengan adab yang betul tanpa terlalu melunakkan suara dan melembutkannya sehingga mendatangkan syahwat, adalah harus.

Kesimpulannya

Berdasarkan kepada perbahasan di atas, kami berpendapat bahawa hukum mendeklamasi sajak atau bersyair oleh kaum wanita adalah diharuskan dengan syarat perkara tersebut tidak dilakukan secara berlebih-lebihan sehingga boleh menimbulkan fitnah dan membangkitkan syahwat.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Ameen.

Wallahua‘lam.

Bertarikh: 11 Januari 2022 bersamaan 8 Jamadil Akhir 1443H

[1] Surah Ali ‘Imran: 14

[2] Lihat Zubdah al-Tafasir min Fath al-Qadir, hlm. 64.

[3] Lihat https://prpm.dbp.gov.my/Cari1?keyword=deklamasi.

[4] Lihat https://prpm.dbp.gov.my/Cari1?keyword=mendeklamasikan.

[5] Lihat https://prpm.dbp.gov.my/Cari1?keyword=bersyair.

[6] Surah al-Ahzab: 32

[7] Lihat Mukhtasar Tafsir Ibn Kathir, 2/93.

[8] Lihat Tafsir al-Qurtubi, 14/177.

[9] Lihat Tafsir al-Baghawi, 3/635.

[10] Lihat al-Halal wa al-Haram fi al-Islam, hlm. 564-566.

[11] Riwayat al-Bukhari (5162)

[12] Riwayat Ahmad (15209); Ibn Majah (1900)

[13] Riwayat al-Bukhari (987); Muslim (892)

[14] Lihat Ihya’ ‘Ulum al-Din, 2/281.

-17%
Rated 0 out of 5
RM25.00
Rated 0 out of 5
RM5.00
-58%
Rated 0 out of 5
RM50.00
Rated 0 out of 5
RM5.00
Rated 0 out of 5
RM5.00

Kajian Ilmiah

Fiqh Banjir

Rated 0 out of 5
RM5.00

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *