#272 Nafkah Batin

Soalan

Adakah nafkah batin wajib diberikan sebagaimana nafkah zahir?

Jawapan

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Nafkah menurut Kamus Dewan Edisi Keempat ialah  wang atau makanan dan lain-lain yang diperlukan untuk hidup dan sara hidup dan juga perbelanjaan dan lain-lain yang wajib diberikan oleh suami kepada isterinya[1]

Nafkah dari segi bahasa mengeluarkan, iaitu pembiayaan belanja seseorang terhadap ahli keluarganya. Manakala dari segi syarak ialah makanan, pakaian, tempat tinggal dan selainnya. Ia di namakan Nafaqah kerana dikeluarkan atau digunakan untuk keperluan itu. (Lihat al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafie, 4/274)

Di dalam Sunnah, terdapat hadith yang diriwayatkan daripada Mu’awiyah al-Qusyairi RA, bahawa beliau telah bertanya kepada Nabi SAW: “Wahai Rasulullah, apakah hak isteri salah seorang dari kami yang menjadi kewajipan suaminya?” Maka Rasulullah SAW menjawab:

أن تُطْعِمَها إذا طَعِمتَ ، وتَكْسوها إذا اكتسَيتَ ، أوِ اكتسَبتَ ، ولا تضربِ الوَجهَ ، ولا تُقَبِّح ، ولا تَهْجُرْ إلَّا في البَيتِ

Maksudnya: “Engkau memberi makan kepadanya, jika engkau makan. Engkau memberi pakaian kepadanya, jika engkau berpakaian. Janganlah engkau pukul wajahnya, janganlah engkau memburukkannya, dan janganlah engkau meninggalkannya kecuali di dalam rumah”.

Riwayat Abu Dawud (2142), Ibn Majah (1850) dan Ahmad (20013)

Syeikh Wahbah al-Zuhaili menyatakan bahawa majoriti ulama mengatakan nafkah yang wajib diberi kepada isteri itu ialah tujuh perkara iaitu, Makanan, Barang-barang dapur, Pakaian, Tempat tinggal, Alat-alat untuk membersihkan diri, Barangan rumah, Pembantu kepada isteri jika sekiranya kebiasaannya isteri mempunyai pembantu. (Lihat al-Fiqh al-Islam wa Adillatuh, 10/7349)

Secara umumnya, nafkah terbahagi kepada dua iaitu nafkah zahir dan nafkah batin. Nafkah zahir terdiri daripada keperluan asasi manusia seperti makan, minum, pakaian dan tempat tinggal. Nafkah ini wajib dipenuhi oleh pihak suami mengikut kadar kemampuan suami tersebut berpandukan kepada syariat yang telah ditetapkan. Ini adalah berdasarkan dari  dalil dari al-Quran dalam surah al-Talak ayat 7:

لِيُنفِقْ ذُو سَعَةٍ مِّن سَعَتِهِ

 Maksudnya : Hendaklah orang Yang mampu memberi nafkah menurut kemampuannya.

(Surah al-Talak: 7)

Manakala terdapat hadith Nabi SAW yang menyuruh kepada perkara tersebut berdasarkan hadith dari Mu’awiyah al Qusyairi RA telah bertanya kepada Nabi SAW :

يا رسولَ اللَّهِ ، ما حقُّ زَوجةِ أحدِنا علَيهِ ؟ ، قالَ : أن تُطْعِمَها إذا طَعِمتَ ، وتَكْسوها إذا اكتسَيتَ ، أوِ اكتسَبتَ ، ولا تضربِ الوَجهَ ، ولا تُقَبِّح ، ولا تَهْجُرْ إلَّا في البَيتِ

Maksudnya : “Wahai Rasulullah, apakah hak isteri salah seorang dari kami yang menjadi kewajiban suaminya?” Beliau menjawab,”Engkau memberi makan kepadanya, jika engkau makan. Engkau memberi pakaian kepadanya, jika engkau berpakaian. Janganlah engkau pukul wajahnya, janganlah engkau memburukkannya, dan janganlah engkau meninggalkannya kecuali di dalam rumah”.

Riwayat Abu Dawud (2142) dan Ibn Majah (1850)

Berdasarkan kepada persoalan diatas, nafkah batin merujuk kepada cara muamalah yang baik antara suami isteri dan begitu juga kebersamaan hubungan kelamin yang baik antara suami isteri tersebut. Suami wajib menunaikan nafkah batin terhadap isterinya selagi mampu. Hal ini berdasarkan firman Allah SWT:

هُنَّ لِبَاسٌ لَّكُمْ وَأَنتُمْ لِبَاسٌ لَّهُنَّ

Maksudnya : Isteri-isteri kamu itu adalah sebagai pakaian bagi kamu dan kamu pula sebagai pakaian bagi mereka.

(Surah al-Baqarah: 187)

Imam Ibn Kathir menukilkan pandangan Ibn Abbas R.Anhuma, Mujahid, Sa’id bin Jubair, al-Hasan, Qatadah, al-Suddiy dan Muqatil bin Hayyan bahawa maksud  yang dikehendaki dari ayat di atas “Mereka adalah ketenangan bagi kalian dan kalian pun adalah ketenangan bagi mereka”. (Lihat Tafsir Ibn Kathir, 1/510)

Manakala Imam al-Tabari mengatakan bahawa maksud ayat ini adalah berkumpulnya dua jasad menjadi satu “bersetubuh”. (Lihat Tafsir al-Tabari, 3/490)

Seterusnya berdasarkan kepada hadith Abu Juhaifah RA, bahawa Nabi SAW telah bersabda:

إِنَّ لِرَبِّكَ عَلَيْكَ حَقًّا، وَلِنَفْسِكَ عَلَيْكَ حَقًّا، وَلِأَهْلِكَ عَلَيْكَ حَقًّا، فَأَعْطِ كُلَّ ذِي حَقٍّ حَقَّهُ

Maksudnya :Sesungguhnya untuk Tuhan kamu terdapatnya hak, dan untuk badan kamu terdapatnya hak, dan untuk keluarga kamu terdapatnya hak, Maka berikanlah setiap yang hak itu haknya.

Riwayat al-Bukhari (6139)

Berdasarkan kepada dalil-dalil diatas jelas menunjukkan bahawa pihak suami wajib menunaikan nafkah zahir mahupun batin keatas tanggungannya semampu mungkin. Berdosa besar kepada sesiapa yang yang tidak menunaikan hak-hak yang telah diamanahkan kepada mereka seperti si suami yang tidak menunaikan nafkah batin terhadap isterinya.

Cukuplah untuk kami nukilkan kisah Saidina Umar RA yang bertanyakan kepada anaknya Hafsah R.Anha mengenai keperluan batin seorang isteri. Hal ini sebagaimana yang diriwayatkan oleh Abdullah bin Dinar, daripada Ibn Umar R.Anhuma, katanya:

 خَرَجَ عُمَرُ بْنُ الْخَطَّابِ مِنَ اللَّيْلِ فَسَمِعَ امْرَأَةً تَقُولُ

تَطَاوَلَ هَذَا اللَّيْلُ وَاسْوَدَّ جَانِبُهُ … وَأَرَّقَنِي أَلا خَلِيلٌ أُلاعِبُهُ

فَوَاللَّهِ لَوْلا اللَّهُ أَنِّي أُرَاقِبُهُ … لَحُرِّكَ مِنْ هَذَا السَّرِيرِ جَوَانِبُهُ

فَسَأَلَ عُمَرُ بْنُ الْخَطَّابِ ابْنَتَهُ حَفْصَةَ: كَمْ أَكْثَرُ مَا تَصْبِرُ الْمَرْأَةُ عَنْ زَوْجِهَا؟ فَقَالَتْ: سِتَّةَ أَشْهُرٍ أَوْ أَرْبَعَةَ أَشْهُرٍ.فَقَالَ عُمَرُ: لا أَحْبِسُ أَحَدًا مِنَ الْجُيُوشِ أَكْثَرَ مِنْ ذَلِكَ.

Maksudnya: Umar telah keluar pada suatu malam, dan beliau mendengar seorang perempuan berkata:

Malam ini terasa panjang dan berubah menjadi gelap gelita….

Ditambah lagi sekarang ku tak memiliki kekasih yang boleh aku ajak bermain…

Demi Allah, kalau bukan kerana aku takut akan pandanganNya…

Nescaya aku biarkan katil ini begoyang dengan yang lain…

Umar pun bertanya kepada Hafsah R.Anha. “Berapa lamakah seorang perempuan mampu menahan (sabar) ditinggal oleh suaminya?” Maka Hafsah menjawab, “Enam bulan ataupun empat bulan”. Maka Umar berkata: “Aku tidak akan benarkan seorang pun daripada tentera mujahid untuk pergi berperang lebih daripada tempoh itu”

Riwayat al-Baihaqi di dalam al-Sunan al-Kubra (17908)

Akhir sekali, semoga Allah mempermudahkan segala urusan seharian kita dalam memahami dan mempelajari ajaran agama Islam ini. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.

Wallahua`lam.

Bertarikh: 11 Januari 2022 bersamaan 8 Jamadil Akhir 1443H

[1] Lihat https://prpm.dbp.gov.my/cari1?keyword=nafkah

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *