Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Apakah hukum jual beli di perkarangan masjid?

 

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Kami mulakan dengan memberi takrifan masjid itu sendiri. Masjid ialah perkataan bahasa arab yang bermaksud rumah untuk solat, atau tempat sujud. (Lihat al-Misbah al-Munir). Secara istilah pula, Imam Al-Zarkasyi mengatakan masjid ialah bangunan yang dibina untuk menunaikan solat di dalamnya kerana Allah SWT, beribadat kepada-Nya dengan ikhlas. 

Masjid juga adalah dikhususkan uruf pada tempat yang didirikan solat lima waktu dan tidaklah termasuk musolla tempat berkumpul untuk solat-solat tertentu seperti solat sunat hari raya, istisqa’ dan selainnya. Tidak diberikan hukum masjid baginya seperti mana juga madrasah dan juga ribat. (Lihat I’lam al-Saajid bi Ahkam al-Masaajid, hlm. 26)

Masjid adalah rumah Allah SWT yang diamanahkan kepada hamba-hamba untuk dijadikan sebagai tempat untuk mengingati dan mengabdikan diri kepada Allah SWT. Hal ini selaras dengan firman-Nya:

فِي بُيُوتٍ أَذِنَ اللَّهُ أَن تُرْفَعَ وَيُذْكَرَ فِيهَا اسْمُهُ يُسَبِّحُ لَهُ فِيهَا بِالْغُدُوِّ وَالْآصَالِ﴿٣٦﴾رِجَالٌ لَّا تُلْهِيهِمْ تِجَارَةٌ وَلَا بَيْعٌ عَن ذِكْرِ اللَّهِ وَإِقَامِ الصَّلَاةِ وَإِيتَاءِ الزَّكَاةِ ۙ يَخَافُونَ يَوْمًا تَتَقَلَّبُ فِيهِ الْقُلُوبُ وَالْأَبْصَارُ

Maksudnya: “(Nur hidayah petunjuk Allah itu bersinar dengan nyatanya terutama sekali) di rumah-rumah ibadat yang diperintahkan oleh Allah supaya dimuliakan keadaannya dan disebut serta diperingat nama Allah padanya; di situ juga dikerjakan ibadat mensuci dan memuji Allah pada waktu pagi dan petang. (Ibadat itu dikerjakan oleh) orang-orang yang kuat imannya yang tidak dilalaikan oleh perniagaan atau berjual-beli daripada menyebut serta mengingati Allah, dan mendirikan sembahyang serta memberi zakat; mereka takutkan hari (kiamat) yang padanya berbalik-balik hati dan pandangan.”

(Surah al-Nur: 36-37)

Imam al-Qurtubi dalam menjelaskan mengapa disebutkan perniagaan secara khusus di dalam ayat, menyatakan bahawa perniagaan atau jual beli adalah benda yang terbesar yang akan melalaikan manusia daripada beribadat kepada Allah SWT. (Lihat al-Jami’ Li Ahkam al-Quran, 15/293).

Persoalan berkaitan jual beli di dalam masjid ini, juga disebut dengan jelas di dalam sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

إِذَا رَأَيْتُمْ مَنْ يَبِيعُ أَوْ يَبْتَاعُ فِي الْمَسْجِدِ فَقُولُوا لاَ أَرْبَحَ اللَّهُ تِجَارَتَكَ

Maksudnya: “Sekiranya kamu melihat seseorang yang menjual atau membeli di dalam Masjid, maka katakan padanya, “Allah tidak akan menguntungkan perniagaan kamu.”

Riwayat al-Tirmizi (1321)

Imam al-Nawawi menyatakan pendapat yang paling sahih di sisi majoriti ulama’ hukum berjual beli di dalam masjid adalah makruh meskipun yang berjual beli itu orang yang sedang beriktikaf (yang tidak boleh keluar daripada masjid) melainkan di dalam keadaan yang mendesak. (Lihat al-Majmu’, 6/ 529-532).

Secara umumnya, keseluruhan masjid itu adalah dilarang untuk dilakukan jual beli di dalam kawasannya melainkan perkara yang terdesak. Namun begitu, dalam meraikan pendapat-pendapat ulama’ berkaitan dengan masjid pada zaman ini, yang senibinanya berbeza serta mempunyai ruangan-ruangan tertentu yang digunakan untuk tujuan lain, perlu dilihat pendapat ulama’ yang membincangkan hal ini.

Dalam menjawab persoalan di atas, jika di perkarangan atau bukan dalam tempat rasmi diwakafkan untuk solat seperti dewan solat utama masjid maka hukumnya dibolehkan dan diharuskan. Ini kerana ia boleh mendatangkan hasil kepada masjid sebagai tempat jualan yang banyak dilakukan di masjid-masjid besar. 

Kami dapati banyak masjid-masjid besar dikelilingi oleh jualan oleh peniaga-peniaga termasuk Masjidil Haram, Masjid Nabawi, Masjid Jamek Umawi, masjid-masjid di Turki dan banyak lagi. 

Seterusnya, dengan aktiviti seperti itu sedikit sebanyak membantu fakir miskin dan golongan asnaf serta umat Islam dalam menambahkan ekonomi mereka. Semoga jawapan ini memberi kefahaman kepada kita berkenaan dengan hukum-hakam masjid dan juga kehendak dalam memajukan ekonomi. Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً

Maksudnya: Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”

Wallahu a’lam

Bertarikh: 22 Ogos 2023 bersamaan 5 Safar 1445 H

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *