#273 Suami Sakit Mental

Last Updated: January 11, 2022By

Soalan

Adakah dibenarkan isteri meminta cerai daripada suami kerana sakit mental?

Jawapan

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Sesungguhnya Allah SWT menciptakan manusia dengan fitrahnya untuk berpasangan. Maka syariat menganjurkan supaya manusia itu berkahwin dengan tujuan untuk meraikan fitrah manusiawi. Firman Allah SWT:

وَمِنْ آيَاتِهِ أَنْ خَلَقَ لَكُمْ مِنْ أَنْفُسِكُمْ أَزْوَاجًا لِتَسْكُنُوا إِلَيْهَا وَجَعَلَ بَيْنَكُمْ مَوَدَّةً وَرَحْمَةً ۚ إِنَّ فِي ذَٰلِكَ لَآيَاتٍ لِقَوْمٍ يَتَفَكَّرُونَ

Maksudnya: Dan di antara tanda-tanda (kebesaran-Nya) adalah Dia menciptakan buat kamu isteri-isteri yang berasal dari diri kamu sendiri, supaya kamu berasa tenang kepada mereka. Dan dia menjadikan di antara kamu perasaan mawadah (kasih sayang) dan juga rahmah (belas kasihan). Sesungguhnya pada yang demikian itu merupakan tanda-tanda (kebesaran) bagi kaum yang sentiasa berfikir.

(Surah al-Rum: 21)

Imam al-Qurthubi menyatakan dalam tafsirnya: Yang dimaksudkan dengan kalimah al-mawaddah dan al-rahmah adalah, perasaan yang menghubungkan di antara satu sama lain (suami dan isteri). Ibn Abbas R.Anhuma menafsirkan al-mawaddah sebagai perasaan cinta seorang suami kepada isterinya. Manakala al-rahmah pula bererti perasaan belas ehsan seorang lelaki dari mendatangkan keburukan kepada isterinya. (Lihat Tafsir al-Qurtubi, 17/14)

Pada asalnya tidak boleh bagi seorang isteri meminta cerai daripada suaminya tanpa sebab Syarie. Daripada Thauban RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

أَيُّمَا امْرَأَةٍ سَأَلَتْ زَوْجَهَا طَلَاقًا مِنْ غَيْرِ بَأْسٍ فَحَرَامٌ عَلَيْهَا رَائِحَةُ الجَنَّةِ

Maksudnya: “Mana-mana isteri yang meminta cerai daripada suaminya tanpa alasan yang kukuh, maka haram baginya bau syurga.”

Riwayat al-Tirmizi (1187). Hadith ini dinilai sahih berdasarkan kitab Sahih al-Tirmizi (1187)

Syeikh Muhammad Hasan Abd al-Ghaffar di dalam kitabnya al-Qawaid al-Fiqhiyyah baina al-Asolah wa al-Taujih (10/8), menyatakan: Sekiranya perempuan itu meminta untuk ditalakkan tanpa alasan, ianya boleh menyebabkan kemudharatan terhadap suaminya, sedangkan kaedah menyatakan:

لاَ ضَرَرَ وَلاَ ضِرَارَ

Maksudnya: Tidak boleh memberi mudharat dan tidak boleh membalas kemudharatan dengan kemudharatan.

Menjadi kewajipan setiap pasangan untuk saling memahami keperluan antara satu sama lain kerana nilai sebuah perkahwinan, khususnya yang terbina atas dasar cinta dan kasih sayang, perlulah tertegak di atas dasar tanggungjawab dan mendapatkan pahala yang banyak daripada Allah SWT kerana banyak sabar dan sikap memahami. Allah SWT berfirman

وَعَاشِرُوهُنَّ بِالْمَعْرُوفِ فَإِنْ كَرِهْتُمُوهُنَّ فَعَسَى أَنْ تَكْرَهُوا شَيْئًا وَيَجْعَلَ اللَّهُ فِيهِ خَيْرًا كَثِيرًا.

Maksudnya: Dan bergaulah kamu dengan mereka (isteri-isteri kamu itu) dengan cara yang baik. Kemudian jika kamu (merasai) benci kepada mereka (disebabkan tingkah-lakunya, janganlah kamu terburu-buru menceraikannya), kerana boleh jadi kamu bencikan sesuatu, sedang Allah hendak menjadikan pada apa yang kamu benci itu kebaikan yang banyak (untuk kamu).

(Surah al-Nisa’: 19)

Syeikh al-Maraghi menyatakan dalam tafsirnya: “Pada kalimah mu`asyarah terdapat makna pergaulan dan kesamarataan, iaitu hendaklah kamu orang lelaki bergaul dengan mereka secara ma`ruf (baik) dan mereka juga hendaklah bergaul dengan kamu dengan baik juga. Maka wajib setiap pasangan itu mendatangkan kegembiraan dan senang hati kepada pasangan yang satu lagi dan menjadikan diri sebagai sebab bagi kelembutan dan kebahagian dalam kehidupan dan tempat tinggal bersama.”

Kita perlu mengetahui bahawa hukum asal bagi penceraian (talaq) adalah halal di dalam Islam, tetapi makruh (dibenci Syarak). Ini berdasarkan hadis daripada Ibn Umar R.Anhuma bahawa Rasulullah SAW bersabda:

أَبغَضُ الحَلاَلِ إلى اللهِ عزَّ وجلَّ الطَّلاَقُ

Maksudnya: “Perkara halal yang paling dibenci Allah adalah talaq.

[Riwayat Abu Dawud (2178) dan Ibn Majah (2018). Syeikh Syuaib al-Arnout menyatakan di dalam Takhrij Sunan Abi Dawud (2178) bahawa para perawi bagi hadith ini Thiqah tetapi hadith yang sebetulnya adalah mursal.]

Syeikh Muhammad al-Zuhaili di dalam al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafi’i (4/138-140) menyatakan, dalam keadaan-keadaan dan situasi-situasi tertentu, hukum penceraian tidak dapat lari daripada hukum yang lima:

  1. Ini apabila seseorang lelaki melakukan al-Ila’(الْإِيْلَاءْ)[1] apabila sudah tamat tempoh al-ila’.
  2. Sunat. Terdapat tiga situasi bagi hukum ini:
    • Jika isteri tidak dapat komited dalam melayan suaminya, sehingga buruk akhlaknya.
    • Suami cuai dalam memberikan hak kepada isterinya, kerana benci atau selain itu.
    • Isteri itu gagal menjaga kehormatan dirinya daripada lelaki lain (curang dan sebagainya).
  3. Jika isteri masih komited dengan tugasnya sebagai seorang isteri. Begitu juga bercerai atas sebab yang remeh. Maka sepatutnya suami atau isteri bertahan dan bersabar. Mereka juga hendaklah terus berbuat baik dengan pasangan untuk mendapatkan pahala daripada Allah.
  4. Jika terdapat sebab yang diterima syarak tetapi lebih utama untuk suami itu bertahan dengan perkahwinan, dan terus berbuat baik, menolak keburukan isteri itu dengan melakukan ihsan belas kasihan kepadanya, menjaga keharmonian keluarga dan perkahwinan, kebajikan anak-anak, dan hubungan dengan mertua.
  5. Haram. iaitu talak ketika haid bagi isteri yang sudah disetubuhi, dan talak ketika waktu suci tetapi baru disetubuhi suami, kerana ada kemungkinan isteri itu mengandung.

Begitu juga Syarak memperuntukkan hak bagi isteri untuk meminta fasakh apabila terdapat aib pada pihak suami. Antara aib tersebut ialah keadaan gila yang menjangkiti otak. Jika berlaku gila itu, fasakh boleh dilakukan bagi menyelamatkan isteri daripada jenayah yang berlaku akibat penyakit gila itu, tanpa perlu kepada istihkam (diagnosis atau pemeriksaan) kerana bahaya itu sudah sedia ada. (Lihat al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafi’i, 4/96)

Berdasarkan persoalan diatas, kami berpandangan bahawa sebaiknya berbincang dengan pakar perubatan berkenaan keadaan suami yang didakwa mengalami masalah mental. Jika penyakitnya itu masih boleh diubati dan tidak mendatangkan bahaya kepada keluarga, maka utamanya ialah isteri terus hidup bersama suami itu. Ingatlah bagaimana kisah isteri Nabi Ayyub AS yang begitu setia di sisi suaminya ketika Nabi Ayyub AS sedang sakit dan miskin. Ini juga merupakan lubuk kebaikan dan pahala daripada sisi Allah SWT.

Sebaliknya, jika penyakitnya itu sukar dirawat dan diurus, bahkan mendatangkan bahaya kepada isteri dan anak-anak, maka tidak salah bagi wanita itu untuk memohon cerai atau fasakh kerana alasan menjaga nyawa itu adalah sabit di sisi Syarak. Dalam keadaan seperti ini, sepatutnya suami itu ditempatkan di Hospital Penjagaan Mental bagi menjaga maslahat diri dan juga menolak mafsadah bagi keluarga. Wallahua’lam.

Semoga Allah SWT memudahkan urusan kita semua dan mendatangkan kebaikan di atas musibah yang melanda. Amin.

Wallahua`lam.

Bertarikh: 11 Januari 2022 bersamaan 8 Jamadil Akhir 1443H

[1] Al-Ila’(الْإِيْلَاءْ) dari sudut bahasa bermaksud sumpah dan dari sudut istilah bermaksud seseorang itu bersumpah untuk menjauhi isterinya, dia tidak mendekatinya dan tidak bermuamalat sebagai suami isteri selama lebih daripada 4 bulan.

Leave A Comment