#276 Bersama Dengan Isteri Haid Dengan Memakai Kondom

Soalan

Adakah dibenarkan menyetubuhi isteri yang dalam keadaan haid dengan memakai kondom?

Jawapan

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Kondom menurut Kamus Dewan Edisi Keempat bermaksud sarung daripada getah yang disarungkan pada kemaluan lelaki untuk mencegah jangkitan atau kehamilan akibat hubungan seks.[1] Manakala menurut Kementerian Kesihatan Malaysia, Kondom merupakan sarung getah yang menutupi zakar dan mengumpul air mani dengan tujuan untuk mencegah kehamilan dengan menghalang sperma dari memasuki faraj dan juga mengurangkan risiko jangkitan kelamin.[2]

Permasalahan mengenai mendatangi isteri ketika dalam keadaan haidh telah dinyatakan di dalam al-Quran, berdasarkan firman Allah SWT:

وَيَسْأَلُونَكَ عَنِ الْمَحِيضِ ۖ قُلْ هُوَ أَذًى فَاعْتَزِلُوا النِّسَاءَ فِي الْمَحِيضِ ۖ وَلَا تَقْرَبُوهُنَّ حَتَّىٰ يَطْهُرْنَ ۖ فَإِذَا تَطَهَّرْنَ فَأْتُوهُنَّ مِنْ حَيْثُ أَمَرَكُمُ اللَّـهُ ۚ إِنَّ اللَّـهَ يُحِبُّ التَّوَّابِينَ وَيُحِبُّ الْمُتَطَهِّرِينَ

Maksudnya: Dan mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad), mengenai (hukum) haid. Katakanlah: “Darah haid itu satu benda yang (menjijikkan dan) mendatangkan mudarat”. Oleh sebab itu hendaklah kamu menjauhkan diri daripada perempuan (jangan bersetubuh dengan isteri kamu) dalam masa datang darah haid itu, dan janganlah kamu hampiri mereka (untuk bersetubuh) sebelum mereka suci. Kemudian apabila mereka sudah bersuci maka datangilah mereka menurut jalan yang diperintahkan oleh Allah kepada kamu. SesungguhNya Allah mengasihi orang-orang yang banyak bertaubat, dan mengasihi orang-orang yang sentiasa mensucikan diri.

(Surah al-Baqarah: 222)

Imam al-Qurtubi menafsirkan ” قُلْ هُوَ أَذًى” ialah sesuatu yang mengotorkan wanita. Lalu disambung ayat tersebut dengan فَاعْتَزِلُوا النِّسَاءَ” “فِي الْمَحِيضِ iaitu hendaklah meninggalkan isteri ketika sedang haid. Kemudian ayat seterusnya ditekankan sekali lagi perintah untuk menjauhkan diri pada وَلَا تَقْرَبُوهُنَّ. (Lihat Tafsir al-Qurtubi, 3/86-88)

Imam Ibn Kathir menukilkan di dalam tafsirnya iaitu Tafsir Ibn Kathir (1/320), bahawa Imam Ahmad menyebutkan, daripada Anas RA, menceritakan tentang budaya kaum yahudi. Apabila wanita mereka didatangi haid, mereka mengasingkan wanita itu dari rumah. Maka para sahabat bertanya, bagaimana seharusnya dilayan wanita yang didatangi haid. Lalu turunlah ayat di atas. Kemudian Rasulullah SAW bersabda:

‏ اصْنَعُوا كُلَّ شَىْءٍ إِلاَّ النِّكَاحَ ‏

Maksudnya: Buatlah apa sahaja selain persetubuhan.

Riwayat Muslim (302)

Di dalam masalah ini, Imam al-Syafie menyebutkan: Sesiapa yang melakukan (persetubuhan ketika haid), sesungguhnya melakukan dosa besar. (Lihat al-Majmu’, 2/389)

Berdasarkan nas al-quran dan hadith serta kenyataan yang disebutkan oleh Imam al-Syafie, perbuatan bersetubuh dalam keadaan haidh walaupun menggunakan kondom yang dapat mengelakkan persentuhan kulit zakar dan juga faraj, adalah dilarang dan haram.

Islam adalah agama yang rahmah untuk sekalian alam. Larangan persetubuhan ketika haid bukan sahaja untuk menjaga kaum lelaki apabila dinyatakan bahawa ianya sudah selamat dengan memakai kondom tetapi Islam juga mengambil berat tentang kaum wanita. Pengharaman ini mempunyai hikmah yang sangat besar yang antaranya ialah, ia boleh mengakibatkan penyakit kepada suami dan juga isteri. Banyak kajian saintifik yang dilakukan, membuktikan larangan Islam ini ada kewajarannya.

Walau bagaimanapun di sana terdapat kelonggaran di dalam mazhab al-Syafie berkenaan hukum beristimta’ (melakukan aktiviti yang berunsur seksual kecuali yang melibatkan faraj) dengan isteri ketika haid. Secara asalnya, jumhur ulama’ mengharamkan istimta’ di antara pusat hingga ke lutut tanpa berlapik. Sekiranya beristimta’ secara berlapik, maka diharuskan menurut pandangan mazhab al-syafie dan mazhab Hanafi. (Lihat al-Mausuah al-Fiqhiyah al-Kuwaitiyah, 18/324)

Antara hikmah pengharamannya ialah, ia boleh mengakibatkan penyakit kepada suami dan juga isteri. Banyak kajian saintifik yang dilakukan, membuktikan larangan Islam ini ada kewajarannya. Wanita dalam haid sebenarnya mengalami perubahan hormon dalam badannya. Saluran darah di rahim dan faraj akan mengembang. Oleh kerana saluran darah adalah amat lembut, ia mudah pecah apabila berlaku kemasukan zakar pada faraj dan pangkal rahim.

Teori perubatan memperakui bahawa darah haid ada unsur-unsur penyakit. Dr. Muhammad Ali al-Bar dalam bukunya Daurah al-Arham (Fungsi Rahim) di bawah tajuk Haid Sebagai Penyakit menyatakan : “Keseluruhan dinding penutup rahim terpercik sepanjang tempoh haid. Setelah meneliti darah haid melalui kanta, kita dapat melihat pad titisan darah merah dan putih, terdapat kepingan dinding penutup rahim dan rahim menjadi luka bagaikan kulit yang mengelupas.”

Menurutnya lagi, “Oleh itu, rahim terdedah kepada serangan bacteria. Darah merupakan medium yang paling mudah untuk bakteria membiak. Semasa haid keluar, daya ketahanan rahim menjadi lemah untuk menghadapi serangan bakteria. Bakteria yang terdapat pada permukaan zakar boleh menyebabkan bahaya besar kepada rahim. Ia bertambah bahaya lagi apabila daya ketahanan rahim untuk melawan bakteria sangat lemah ketika haid kerana sangat sedikit proses pengasingan saluran fallopio berasid yang membunuh bakteria.”

Persetubuhan semasa haid juga boleh menyebabkan radang rahim dan radang saluran fallopio yang membawa kepada kesakitan sepanjang hayat dan sukar diubati malah merebak kepada penyakit lain seperti :

  • Radang yang berlanjutan kepada dua ovari pada rahim.
  • Radang yang berlanjutan ke saluran kencing.
  • Rasa kesakitan yang sangat kuat ketika haid.
  • Daya ketahanan yang berkurang.
  • Keinginan seks yang semakin berkurang dan cenderung untuk bersendirian.
  • Penyakit berjangkit kepada pasangan lelaki khususnya kebengkakan yang memberi risiko kepada organ kencing.
  • Kepeningan atau migrain.

Sebagai penutup, kami nyatakan bahawa persetubuhan ketika haid adalah haram walaupun memakai kondom berdasarkan hujah-hujah yang kami kemukakan. Semoga Allah memberikan kefahaman yang benar dalam memahami agama ini. Amin.

Wallahua`lam.

Bertarikh: 11 Januari 2022 bersamaan 8 Jamadil Akhir 1443H

 

[1] Lihat https://prpm.dbp.gov.my/cari1?keyword=kondom

[2] Lihat http://www.myhealth.gov.my/kontraseptif/

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *