Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Boleh ke kita menyebut nama orang tertentu untuk diberi pertolongan ketika solat, contohnya semasa qunut nazilah?

 

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Kami terangkan dahulu berkenaan dengan maksud qunut nazilah. qunut nazilah merupakan qunut yang dilakukan apabila berlaku bala dan musibah kepada umat Islam sama ada seperti peperangan, serangan musuh, dan juga wabak.

Imam al-Nawawi dalam Syarah Muslim berkata, “Yang sahih lagi masyhur apabila datang bala seperti serangan musuh atau kemarau panjang, wabak, kehausan dan kekeringan, serta mudarat yang zahir terkena kepada orang Islam dan seumpamanya, maka mereka melakukan qunut pada semua solat fardhu.”

Qunut nazilah ini adalah dilakukan pada rakaat akhir sama ada sebelum atau selepas rukuk. Daripada Ibnu Abbas R.Anhuma katanya:

 قَنَتَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ شَهْرًا مُتَتَابِعًا فِي الظُّهْرِ وَالْعَصْرِ وَالْمَغْرِبِ وَالْعِشَاءِ وَصَلاَةِ الصُّبْحِ فِي دُبُرِ كُلِّ صَلاَةٍ إِذَا قَالَ ‏ “‏ سَمِعَ اللَّهُ لِمَنْ حَمِدَهُ ‏”‏ ‏.‏ مِنَ الرَّكْعَةِ الآخِرَةِ يَدْعُو عَلَى أَحْيَاءٍ مِنْ بَنِي سُلَيْمٍ عَلَى رِعْلٍ وَذَكْوَانَ وَعُصَيَّةَ وَيُؤَمِّنُ مَنْ خَلْفَهُ

Maksudnya: “Rasulullah SAW berqunut selama sebulan berturut-turut pada sembahyang Zuhur, Asar, Maghrib, Isyak dan solat Subuh pada setiap akhir solat selepas beliau mengucapkan ‏ سَمِعَ اللَّهُ لِمَنْ حَمِدَهُpada rakaat akhir, lantas, dia mendoa kecelakaan kepada perkampungan Bani Sulaim terhadap Ri’lin, Zakwan, Usaiyah dan diaminkan sahabat di belakangnya.

Riwayat Abu Dawud (1443). Syeikh Syu’aib al-Arna’ut menyatakan isnadnya sahih dalam takhrij Sunan Abi Dawud.

Hadith di atas dengan jelas menunjukkan Nabi SAW telah mendoakan kecelakaan kepada perkampungan Bani Sulaim terhadap Ri’lin, Zakwan, Usaiyah dan diaminkan sahabat di belakangnya.

Dalam menjawab persoalan di atas, sebenarnya dibolehkan menyebut nama orang yang kita mohon bantuan ALlah SWT agar diselamatkannya. Sebagai contoh hadith riwayat Abu Hurairah RA, sabda Rasulullah SAW:

اللَّهُمَّ أَنْجِ عَيَّاشَ بْنَ أَبِي رَبِيعَةَ، اللَّهُمَّ أَنْجِ الْوَلِيدَ بْنَ الْوَلِيدِ، اللَّهُمَّ أَنْجِ سَلَمَةَ بْنَ هِشَامٍ، اللَّهُمَّ أَنْجِ الْمُسْتَضْعَفِينَ مِنَ الْمُؤْمِنِينَ

Maksudnya: “Ya Allah selamatlah ‘Ayyash bin Abi Rabi’ah, selamatlah al-Walid bin al-Walid, ya Allah selamatlah Salamah bin Hisham, selamatlah orang-orang mustadh’afin di kalangan orang-orang beriman.

Riwayat al-Bukhari (6393) dan Muslim (675)

Akhir kalam, marilah sama-sama kita sentiasa berdoa kepada Allah SWT sama ada dalam atau luar sembahyang. Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ اهْدِنَا فِيمَنْ هَدَيْتَ ، وَعَافِنَا فِيمَنْ عَافَيْتَ ، وَتَوَلَّنَا فِيمَنْ تَوَلَّيْتَ ، وَبَارِكْ لَنَا فِيمَا أَعْطَيْتَ ، وَقِنَا شَرَّ مَا قَضَيْتَ ، إِنَّكَ تَقْضِي وَلا يُقْضَى عَلَيْكَ ، وَإِنَّهُ لا يَذِلُّ مَنْ وَالَيْتَ تَبَارَكْتَ وَتَعَالَيْتَ

Maksudnya: “Ya Allah berikanlah petunjuk kepadaku sebagaimana mereka yang telah Engkau beri petunjuk, Dan berilah kesihatan kepadaku sebagaimana mereka yang Engkau telah berikan kesihatan, Dan peliharalah aku sebagaimana orang yang telah Engkau peliharakan, Dan berilah keberkatan bagiku pada apa-apa yang telah Engkau kurniakan.

Wallahu a’lam

Bertarikh: 1 September 2023 bersamaan 15 Safar 1445 H

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *