Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Benarkah anak-anak yang belum baligh akan memberi syafaat kepada ibu bapa mereka di pintu syurga?

 

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Dalam menjawab persoalan di atas, kami mulakan dengan definisi syafaat.

Dari sudut bahasa, syafaat adalah lawan bagi witir, iaitu menjadikan sesuatu yang ganjil kepada genap. Manakala dari sudut istilah, ia adalah perantara bagi orang lain dengan memberikan manfaat kepadanya atau menolat mudarat, di mana pemberi syafaat akan memberikan manfaat kepada orang yang diberi syafaat atau menolak mudarat untuknya. Dalam erti kata lain, syafaat juga bermaksud meminta perlindungan bagi orang lain. (Lihat Mukhtasar al-Fiqh al-Islami, 1/767)

Secara umumnya, syafaat pada hari Kiamat terbahagi kepada dua, iaitu:

Pertama: Syafaat Khusus

Ia diberikan kepada Nabi Muhammad SAW dan ia termasuk syafaat al-’Uzma (terbesar) yang berlaku pada Hari Kiamat nanti. Hal ini sepertimana yang dinyatakan oleh Allah SWT melalui firman-Nya:

وَمِنَ اللَّيْلِ فَتَهَجَّدْ بِهِ نَافِلَةً لَّكَ عَسَىٰ أَن يَبْعَثَكَ رَبُّكَ مَقَامًا مَّحْمُودًا

Maksudnya: “Dan bangunlah pada sebahagian daripada waktu malam serta kerjakanlah Solat Tahajjud padanya, sebagai tambahan bagimu. Semoga Tuhanmu membangkit dan menempatkanmu pada hari Akhirat di tempat yang terpuji.”

(Surah al-Isra’: 79)

Ibn Jarir al-Tabari berkata: Ahli takwil berbeza pendapat tentang makna lafaz ‘مَقَامًا مَّحْمُودًا’. Majoriti ulama berpendapat bahawa maksudnya adalah tempat Rasulullah SAW berdiri di atasnya pada Hari Kiamat untuk memberikan syafaat kepada manusia, sebagai bentuk keringanan dari Tuhan mereka atas besarnya kesulitan mereka pada hari itu. (Lihat Jami’ al-Bayan, 16/839)

Kedua: Syafaat Umum

Ia dengan maksud Allah SWT memberikan keizinan kepada hamba-hamba-Nya yang soleh untuk memberikan syafaat kepada orang-orang yang diperkenankan untuk diberikan syafaat. Syafaat ini diberikan kepada Nabi Muhammad SAW, para nabi yang lain, orang-orang yang jujur, para syuhada’ serta orang-orang yang soleh. Sebagai contoh, mereka akan memberikan syafaat kepada penghuni Neraka dari kalangan orang-orang beriman agar mereka dapat keluar dari Neraka.

Meskipun begitu, secara asasnya, apa yang kita perlu faham adalah, hanya Allah SWT yang mampu memberi syafaat kepada sesiapa sahaja yang Dia kehendaki.

Berkenaan syafaat kanak-kanak yang meninggal sebelum baligh terhadap kedua ibu bapanya, terdapat beberapa hadith yang menjelaskannya, antaranya:

Daripada Abu Hurairah R.A, bahawa Nabi SAW telah bersabda kepada seorang wanita Ansar:

لَا يَمُوتُ لِإِحْدَاكُنَّ ثَلَاثَةٌ مِنَ الْوَلَدِ فَتَحْتَسِبَهُ، إِلَّا دَخَلَتِ الْجَنَّةَ» فَقَالَتِ امْرَأَةٌ مِنْهُنَّ: أَوِ اثْنَيْنِ يَا رَسُولَ اللهِ؟ قَالَ: أَوِ اثْنَيْنِ

Maksudnya: “Tidaklah salah seorang daripada kamu ditinggal mati oleh tiga orang anaknya (yang belum baligh), lalu dia bersabar dan mengharap pahala daripada Allah, pasti dia akan masuk Syurga.” Lalu seorang wanita bertanya: “Bagaimana kalau dua orang, ya Rasulullah?” Sabda Rasulullah SAW lagi: “Walaupun dua orang.”

Riwayat Muslim (151)

Daripada Abu Hurairah R.A, katanya:

 أَتَتِ امْرَأَةٌ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِصَبِيٍّ لَهَا فَقَالَتْ يَا نَبِيَّ اللَّهِ ادْعُ اللَّهَ لَهُ فَلَقَدْ دَفَنْتُ ثَلاَثَةً قَالَ:‏ دَفَنْتِ ثَلاَثَةً‏.‏ قَالَتْ نَعَمْ ‏.‏ قَالَ‏:‏ لَقَدِ احْتَظَرْتِ بِحِظَارٍ شَدِيدٍ مِنَ النَّارِ.

Maksudnya: “Seorang wanita datang menemui Nabi SAW dengan membawa bersamanya seorang bayinya. Katanya: “Ya Nabi ALlah, berdoalah untuknya. Sesungguhnya telah dikebumikan tiga orang anakku.” Nabi SAW bersabda: “Telah dikebumikan tiga orang?” Jawab wanita itu: “Ya.” Lalu Nabi SAW bersabda: “Sesungguhnya kamu akan dihalang daripada tersangat pedihnya api neraka.”

Riwayat Muslim (2636), al-Nasa’ie (1877) dan Ahmad (9427).

Berkenaan persoalan di atas, terdapat hadith yang diriwayatkan daripada Habibah R.Anha, katanya: Aku berada bersama Aisyah, lalu Nabi SAW datang masuk dan bersabda:

مَا مَا مِنْ مُسْلِمَيْنِ يَمُوتُ لَهُمَا ثَلَاثَةٌ مِنَ الْوَلَدِ لَمْ يَبْلُغُوا الْحِنْثَ إِلَّا جِيءَ بِهِمْ يَوْمَ الْقِيَامَةِ حَتَّى يُوقَفُوا عَلَى بَابِ الْجَنَّةِ فَيُقَالُ لَهُمُ ادْخُلُوا الْجَنَّةَ فَيَقُولُونَ حَتَّى يَدْخُلَ آبَاؤُنَا فَيُقَالُ لَهُمِ ادْخُلُوا أَنْتُمْ وَآبَاؤُكُمُ الْجَنَّةَ

Maksudnya: “Tidaklah dua orang Muslim meninggal dunia, di antara keduanya ada tiga orang anak (mereka adalah bersaudara) yang belum berusia dewasa (belum baligh), kecuali Allah akan datangkan mereka pada hari Kiamat sehingga didirikan pada pintu-pintu Syurga, lalu dikatakan kepada mereka: “Masuklah kamu ke dalam Syurga.” Mereka menjawab: “Sehingga dimasukkan ibu bapa kami.” Maka dikatakan kepada mereka: “Masuklah kamu dan juga ibu bapa kamu ke dalam Syurga.”

Riwayat al-Tabarani dalam al-Mu’jam al-Kabir (571). Al-Haithami menyatakan bahawa para perawinya adalah thiqah dalam Majma’ al-Zawa’id. Dan al-Albani menyatakan hadith ini sahih dalam Sahih al-Targhib.

Penutup

Semoga Allah SWT kurniakan kepada kita mendapat syafaat daripada Rasulullah SAW dan juga orang-orang yang soleh. Saat yang sama berdoalah kepada Allah SWT agar kita dapat memberi syafaat kepada kaum ekluarga kita dan orang lain. Ini dengan sebab kita melakukan amalan soleh sebanyak-banyaknya, beriman dan bertaqwa dan akhirnya layaklah kita memperolehi syafaat.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ الْعَافِيَةَ فِي الدُّنْيَا وَالآخِرَةِ ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ الْعَفْوَ وَالْعَافِيَةَ فِي دِيْنِنَا وَدُنْيَانَا وَأَهْلِنَا وَمَالِنَا، اللَّهُمَّ اسْتُرْ عَوْرَاتِنَا وَآمِنْ رَوْعَاتِنَا ، اللَّهُمَّ احْفَظْنَا مِنْ بَيْنِ أَيْدِيْنَا وَمِنْ خَلْفِنَا وَعَنْ أَيْمَانِنَا وَعَنْ شَمَائِلِنَا وَمِنْ فَوْقِنَا ، وَنَعُوذُ بِعَظَمَتِكَ أَنْ نُغْتَالَ مِنْ تَحْتِنَا

Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya kami memohon pada-Mu keampunan dan keselamatan (‘afiyat) di dunia dan akhirat. Ya Allah, sesungguhnya kami memohon pada-Mu keampunan dan keselamatan (‘afiyat) dalam agama, dunia, keluarga dan harta kami. Ya Allah, tutupilah aib kami dan berilah ketenteraman di hati kami. Ya Allah, jagalah kami dari depan, belakang, kanan, kiri, dan atas kami. Kami memohon perlindungan dengan keagungan-Mu agar tidak disambar dari bawah kami.”

Wallahu a’lam

Bertarikh: 1 September 2023 bersamaan 15 Safar 1445

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *