Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Terkadang-kadang timbul persoalan berkenaan dengan kesan antara perosak yang kuat berbanding dengan Muslih yang lemah. Benarkah ini bahaya?
Jawapan:
Waalaikumussalam w.b.t
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.
Kalimah Muslih merupakan kalimah yang cukup mahal kerana ia bukan semata-mata soleh tetapi ia melampaui kesolehannya kepada orang ramai dengan menegakkan amar makruf dan nahi munkar. Jadinya, manusia dan masyarakat akan suka kepada orang soleh tetapi tidak suka kepada orang Muslih.
Lebih malang daripada itu, ramai yang perosak atau mufsid mengaku bahawa tindakan mereka adalah ebnar lagi soleh. Sebenarnya, inilah salah satu daripada sifat orang-orang munafik. Benarlah firman Allah SWT:
وَإِذَا قِيلَ لَهُمْ لَا تُفْسِدُوا فِي الْأَرْضِ قَالُوا إِنَّمَا نَحْنُ مُصْلِحُونَ ﴿١١﴾ أَلَا إِنَّهُمْ هُمُ الْمُفْسِدُونَ وَلَٰكِن لَّا يَشْعُرُونَ
Maksudnya: “Dan apabila dikatakan kepada mereka: “Janganlah kamu membuat bencana dan kerosakan di muka bumi”, mereka menjawab: ” Sesungguhnya kami orang-orang yang hanya membuat kebaikan.” Ketahuilah! Bahawa sesungguhnya mereka itulah orang-orang yang sebenar-benarnya membuat bencana dan kerosakan, tetapi mereka tidak menyedarinya.”
(Surah al-Baqarah: 11-12)
Al-Maraghi berkata: Beginilah keadaan kaum yang melakukan kerosakan pada setiap masa. Mereka menganggap perbuatan mereka itu sebagai perbuatan baik meskipun kerosakan dan kesesatan mereka sudah nyata dan jelas.
Mereka mengaku berbuat baik itu hanyalah sebagai cara untuk lepas tangan daripada tingkah laku (kejahatan) mereka secara penipuan dan cerdik. Meskipun tindakan kejahatan yang dilakukan oleh mereka itu berdasarkan taqlid kepada pemimpin tetapi sebenarnya, mereka melakukannya berdasarkan keyakinan. Mereka masih mengaku melakukan perbuatan baik walaupun pada realitinya tipu daya mereka itu menimbulkan kerosakan kepada umat, kerana mereka merosakkan perkara yang baik dan buruk. Pada masa yang sama, mereka tidak mahu mengikut ajaran Islam yang mengajak mereka untuk bersatu, malah mereka menyeru kepada perpecahan. Apakah timbulnya kerosakan yang lebih besar sehingga menimbulkan kesan kepada manusia di bumi ini (selain) mereka bersikap menolak kebenaran dan membela kebatilan?
Sehubungan itu sebenarnya, mereka sendirilah yang melakukan kerosakan, bukannya orang lain seperti dakwaan mereka. Ini disebabkan mereka (orang mukmin) terdiri daripada keturunan orang yang soleh, yang menunjukkan teladan yang baik kepada mereka. Pemakaian kata seru dalam ayat ini, menunjukkan penolakan keras terhadap pembohongan mereka (orang munafik) serta rasa kemarahan yang amat sangat. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 1/43)
Benarlah, kata-kata Umar ibn al-Khattab:
اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنْ جَلَدِ الْفَاجِرِ، وَعَجْزِ الثِّقَةِ.
Maksudnya: “Aku berlindung dengan Allah daripada kekerasan orang-orang yang jahat dan kelemahan orang yang thiqah atau baik.” (Lihat Usul al-Ifta’ wa al-Ijtihad, hlm. 212)
Memahami kenyataan tersebut kekerasan orang-orang yang jahat dia boleh mengundang kerosakan kepada masyarakat dan ummah kerana tindakannya tidak boleh dihalang dan dia boleh berbuat mengikut sesuka hatinya tanpa pertimbangan syarak sedangkan ketika itu orang-orang yang thiqah lagi baik tidak mampu untuk mencegahnya. Maka, jadilah ummah dalam persimpangan.
Semoga Allah SWT kurniakan kepada kita taufik dan hidayah serta ilhamkan ketaqwaan dan kebaikan untuk kita layari bahtera kehidupan kita. Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ أَلْهِمْنَا رُشْدَنَا، وَأَعِذْنَا مِنْ شَرِّ أَنْفُسِنَا
Maksudnya: “Wahai Allah! Ilhamkanlah kepada kami kecerdasan dan petunjuk serta lindungilah kami daripada kejahatan nafsu kami.”
Wallahu a’lam
Bertarikh: 1 September 2023 bersamaan 15 Safar 1445