Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Boleh kami kenal siapa dia dan bagaimana kisahnya?

 

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Syeikh Muhammad al-Audan merupakan seorang ulama yang tersohor di Mesir pada dekad 40-an hingga 50-an. Rumahnya menjadi tempat rujukan para pejuang seperti Ahmad Abdul Aziz, pejuang Perang Palestin yang membebaskan Fallujah daripada kepungan Zionis; Ma’ruf al Hadhari, Rasyad Muhanna dan Mustafa Raghib.

Malah Presiden Jamal Abdul Nasser juga pernah mengunjungi rumah beliau sebelum era revolusi. Setiap kali pertemuan dengan para pejuang revolusi, beliau sering mengingatkan mereka supaya mengeluarkan negara Mesir daripada berbagai masalah dan musuh, baik dari dalam mahupun luar negara. Pejuang revolusi dan Syeikh Muhammad al-Audan telah mengikat perjanjian antara mereka untuk merealisasikan harapan tersebut setelah berlakunya revolusi.

Ketika Rasyad Muhanna dihukum, Syeikh telah berjaya memujuk pejuang revolusi yang telah menjadi pemerintah ketika itu supaya tidak menghukum Rasyad dengan hukuman mati. Alhamdulillah, para pemerintah telah menerima cadangan syeikh tersebut. Lama-kelamaan hubungan pemerintah (pejuang revolusi) dan Syeikh Muhammad al-Audan semakin renggang.

Suatu hari, salah seorang daripada mereka, Abdul Hakim Amir telah mengunjunginya dan menawarkan kepadanya jawatan Syeikhul Azhar. Syeikh telah menolak tawaran tersebut dengan alasan posisi itu tidak boleh menyelesaikan masalah-masalah umat Islam. Dari situ, pemerintah mula mengesyaki yang Syeikh sudah tidak lagi bersama-sama mereka dan boleh menjadi ancaman kepada agenda mereka. Syeikh Muhammad al-Audan adalah sosok yang tidak boleh dibeli dengan seisi dunia jika mahu menggadai prinsipnya.

Mulai saat itu, pemerintah menugaskan perisik untuk mengintip aktiviti Syeikh yang dikasihi ini. Namun begitu, Syeikh Muhammad al-Audan tetap mengkritik tindakan pemerintah yang bertentangan dengan syarak tanpa rasa sebarang ketakutan dan kekhuatiran. Beliau kemudiannya ditangkap pada tahun 1965 bersama al-Syahid Sayyid Qutb dan ahli-ahli Ikhwanul Muslimin yang lain.

Mereka juga telah menangkap empat orang anaknya dan memasukkan kesemua mereka ke dalam Penjara Perang. Pengawal penjara, Syamsu Badran amat membenci Syeikh Muhammad al-Audan dan menyimpan niat untuk menyeksa beliau dengan kejam sehingga membawa maut.

Syeikh Muhammad al-Audan ketika itu sudah pun mencecah usia 80 tahun. Ketika dihadapkan ke mahkamah, beliau tidak mampu berdiri pun dan melutut (umpama duduk antara dua sujud) di atas lantai.

Di sel penjara beliau telah diletakkan anjing-anjing buas yang mana ia makan dan membuang najis di dalam sel tersebut di hadapan Syeikh yang mulia ini. Oleh kerana sel tersebut agak sejuk, anjing-anjing ini akan melolong dengan begitu bising dan mengganggu ketenteraman Syeikh. Tambahan pula sel beliau berada di bawah tanah yang gelap. Makanan hanya diberikan kepada beliau melalui bawah pintu.

Beliau tidak diberikan apa-apa peralatan melainkan sebuah mangkuk dan hanya tidur di atas tanah. Pada waktu malam para tentera akan menyeret beliau keluar dan menyiramnya dengan air yang sejuk supaya mental Syeikh terus terseksa.

Hamzah Basyuni, ketua pengawal penjara telah mengikatnya pada sepohon pokok di dalam penjara dan berniat untuk menyeksanya sehingga mati. Namun dengan izin Allah, ketika kesihatannya semakin teruk, para doktor telah meminta pihak penjara membebaskan beliau supaya beliau menghembuskan nafas di rumahnya sendiri.

Sekali lagi dengan izin Allah, umurnya masih panjang dan semakin sihat. Pengadilan itu diakhiri hukuman penjara selama setahun dengan kerja buruh yang berat. Kerajaan Arab Saudi telah bermurah hati mengambil beliau sebagai dekan di Universiti Malik Abdul Aziz untuk menyelamatkan beliau. Banyak negara Arab yang berbuat demikian demi menyelamatkan para Ikhwanul Muslimin daripada terus diseksa dengan kejam.

Syeikh Muhammad al Audan terus menetap di Arab Saudi dan meninggal dunia di sana serta dikebumikan di perkuburan Baqi’, Madinah al Munawwarah.

Kisah ini dipetik daripada buku bertajuk Wa ‘Araftu al Ikhwan (Ikhwanul Muslimin yang Saya Kenali) karangan Dr. Mahmud Jami’.

Ini mengingatkan kami firman Allah SWT:

مِّنَ الْمُؤْمِنِينَ رِجَالٌ صَدَقُوا مَا عَاهَدُوا اللَّهَ عَلَيْهِ ۖ فَمِنْهُم مَّن قَضَىٰ نَحْبَهُ وَمِنْهُم مَّن يَنتَظِرُ ۖ وَمَا بَدَّلُوا تَبْدِيلًا ‎

Maksudnya: “Di antara orang-orang yang beriman itu, ada yang bersikap benar menunaikan apa yang telah dijanjikannya kepada Allah (untuk berjuang membela Islam); maka di antara mereka ada yang telah selesai menjalankan janjinya itu (lalu gugur syahid), dan di antaranya ada yang menunggu giliran; dan mereka pula tidak mengubah (apa yang mereka janjikan itu) sedikitpun.

(Surah al-Ahzab: 23)

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ أَرِنَا الْحَقَّ حَقًّا، وَارْزُقْنَا اتِّبَاعَهُ، وَأَرِنَا الْبَاطِلَ بَاطِلًا، وَارْزُقْنَا اجْتنِاَبَهُ، وَلَا تَجْعَلْهُ مُلْتَبِسًا عَلَيْنَا فَنَضِلَّ، وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya: “Ya Allah, tunjukkanlah kepada kami kebenaran itu sebagai kebenaran, dan rezekikanlah kepada kami untuk mengikutinya. Dan tunjukkanlah kepada kami kebatilan itu sebagai kebatilan dan rezekikanlah kepada kami untuk menjauhinya, dan jangan jadikannya terkeliru atas kami sehingga kami sesat. Dan jadikanlah kami sebagai pemimpin bagi orang yang bertaqwa.” (Lihat Mazahib Ahl al-Sunnah oleh Ibn Syahin, no. 38, hlm 40;  Tafsir Ibn Kathir, 3/75)

Wallahu a’lam

Bertarikh: 6 September 2023 bersamaan 20 Safar 1445

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *