Soalan:

Assalamualaikum ustaz, apa perlu buat jika ujian bertalu-talu sampai hilang semangat untuk berdoa, penyelesaian tak kunjung tiba membuatkan rasa putus asa?

 

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

قل لَّن يُصِيبَنَا إِلَّا مَا كَتَبَ اللَّـهُ لَنَا هُوَ مَوْلَانَا ۚ وَعَلَى اللَّـهِ فَلْيَتَوَكَّلِ الْمُؤْمِنُونَ

Maksudnya: Katakanlah (wahai Muhammad): “Tidak sekali-kali akan menimpa kami sesuatu pun melainkan apa yang telah ditetapkan Allah bagi kami. Dia lah Pelindung yang menyelamatkan kami, dan (dengan kepercayaan itu) maka kepada Allah jualah hendaknya orang-orang yang beriman bertawakal”.

(Surah al-Taubah: 51)

Ibn Kathir berkata: kita semuanya adalah di bawah kehendak Allah dan ketentuan-Nya. Kepada-Nya kita bertawakal dan Dia lah sebaik-sebaik pelindung. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 7/214)

Diriwayatkan daripada Abi Hurairah R.A  secara marfu’ :

لا يَزالُ البَلاءُ بالمُؤمِنِ -أو المُؤمِنةِ- في جَسَدِه، ومالِه، ووَلَدِه، حتى يَلقى اللهَ ﷿ وما عليه مِن خَطيئَةٍ..

Maksudnya“Ujian akan senantiasa menimpa orang-orang Mukmin laki-laki dan perempuan terhadap dirinya, anak dan hartanya, hingga dia berjumpa dengan Allah SWT (meninggal) dalam keadaan tidak memiliki dosa.”

Riwayat  Tarmizi (2399) dan  Ahmad (7859)

Menjawab persoalan di atas, kami ingin menyatakan bahawa sebagai seorang muslim hendaklah menerima setiap ujian yang menimpa dengan hati yang lapang serta penuh kesabaran. Ia adalah tanda keimanan apabila kita mampu melihat setiap ujian sebagai peluang untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT. Berpegang teguh kepada keyakinan bahawa setiap ujian datang dengan hikmah yang tersirat. Ini sebagaimana firman Allah SWT:

مَا أَصَابَ مِنْ مُصِيبَةٍ إِلَّا بِإِذْنِ اللَّهِ وَمَنْ يُؤْمِنْ بِاللَّهِ يَهْدِ قَلْبَهُ

Maksudnya: “Tidak ada kesusahan (atau bala bencana) yang menimpa (seseorang) melainkan dengan izin Allah; dan sesiapa yang beriman kepada Allah, Allah akan memimpin hatinya (untuk menerima apa yang telah berlaku itu dengan tenang dan sabar).”

(Surah al-Taghabun: 11)

Ibn Rajab al-Hanbali menukilkan kalam Abu al-Darda’ berkenaan ayat di atas, katanya: “Sesungguhnya Allah SWT apabila mentakdirkan suatu ketentuan, dia suka apabila ketentuan-Nya itu diredhai (oleh hamba-hambanya).” (Lihat Rawai‘ al-Tafsir, 2/477)

Dalam menghadapi ujian kami katakan janganlah sesekali berputus ada dalam berdoa kepada Allah SWT dan hendaklah bersangka baik serta bersabar terhadap apa yang berlaku kerana Allah berfirman:

وَلَا تَيْأَسُوا مِن رَّوْحِ اللَّهِ ۖ إِنَّهُ لَا يَيْأَسُ مِن رَّوْحِ اللَّهِ إِلَّا الْقَوْمُ الْكَافِرُونَ

Maksudnya: “Dan janganlah kamu berputus asa dari rahmat serta pertolongan Allah. Sesungguhnya tidak berputus asa dari rahmat dan pertolongan Allah itu melainkan kaum yang kafir.”

(Surah Yusuf: 87)

Imam al-Tabari ketika menafsirkan ayat di atas menjelaskan bahawa Allah SWT menegah seseorang itu berputus asa daripada (mengharapkan) jalan keluar daripada-Nya, rahmat-Nya, dan janganlah dia bertindak memutuskan harapan kepada-Nya, melainkan orang-orang kafir yakni kaum yang membantah kemampuan Allah untuk menciptakan apa yang Dia kehendaki. (Lihat Jami‘ al-Bayan, 12/232)

Diriwayatkan daripada Suhaib bin Sinan al-Rumi R.A:

عَجَبًا لِأَمْرِ الْمُؤْمِنِ، إِنَّ أَمْرَهُ كُلَّهُ خَيْرٌ، وَلَيْسَ ذَاكَ لِأَحَدٍ إِلَّا لِلْمُؤْمِنِ، إِنْ أَصَابَتْهُ سَرَّاءُ شَكَرَ، فَكَانَ خَيْرًا لَهُ، وَإِنْ أَصَابَتْهُ ضَرَّاءُ، صَبَرَ فَكَانَ خَيْرًا لَهُ

Maksudnya: “Sungguh ajaib perihal orang yang beriman, sesungguhnya semua urusan mereka baik-baik sahaja, dan tidak ada yang seperti itu melainkan mereka yang beriman sahaja. Apabila dia ditimpa kegembiraan lalu dia bersyukur, maka itu lebih baik baginya. Dan apabila dia ditimpa kesedihan lalu dia bersabar, maka itu lebih baik baginya.”

Riwayat Muslim (2999)

Oleh itu, kami ingin menegaskan agar tidak pernah berputus asa dalam mengharapkan jalan keluar. Tetaplah yakin bahawa setiap doa yang dipanjatkan akan diterima oleh Allah SWT dan hendaklah kita bergantung sepenuhnya kepadaNya .Di sini juga kami ingin berpesan supaya bertakwa kepada Allah SWT dalam setiap perbuatan kita agar Allah membimbing kita menuju jalan penyelesaian terhadap setiap ujian atau masalah yang menimpa.

Firman Allah SWT:

 وَمَن يَتَّقِ اللَّـهَ يَجْعَل لَّهُ مَخْرَجًا ﴿٢﴾ وَيَرْزُقْهُ مِنْ حَيْثُ لَا يَحْتَسِبُ ۚ وَمَن يَتَوَكَّلْ عَلَى اللَّـهِ فَهُوَ حَسْبُهُ

Maksudnya: “Dan sesiapa yang bertaqwa kepada Allah (dengan mengerjakan suruhanNya dan meninggalkan laranganNya), nescaya Allah akan mengadakan baginya jalan keluar (dari segala perkara yang menyusahkannya), Serta memberinya rezeki dari jalan yang tidak terlintas di hatinya. Dan (Ingatlah), sesiapa berserah diri bulat-bulat kepada Allah, maka Allah cukuplah baginya (untuk menolong dan menyelamatkannya).”

(Surah al-Talaq: 2-3)

Kami titipkan di sini beberapa amalan dan ibadat agar dapat dilakukannya:

  • Amalkan solat berjemaah seboleh-bolehnya di masjid.
  • Sedekahlah setiap hari walaupun 10 sen cuma.
  • Banyakkan zikrullah kerana ia dapat menenangkan hati.
  • Hilangkan sifat hasad dengki, dendam kesumat, pemarah dan segala sifat-sifat mazmumah.
  • Sembahyanglah waktu malam walau 2 rakaat cuma.
  • Sentiasa membaca al-Quran serta tadabbur.
  • Fahamilah setiap yang berlaku berdasarkan qadha’ dan qadar Allah SWT pasti ada hikmahnya.

Semoga Allah memberikan kita kefahaman yang jelas dalam dalam beragama dan kami akhiri dengan doa:

يَا حَيُّ يَا قَيُّومُ بِرَحْمَتِكَ نَسْتَغِيثُ، أَصْلِحْ لَنَا شَأْنَنَا كُلَّهُ، وَلاَ تَكِلْنَا إِلَى أَنْفُسِنَا طَرْفَةَ عَيْنٍ

Maksudnya: “Wahai Tuhan Yang Maha Hidup, wahai Tuhan Yang Maha Berdiri Sendiri (tidak perlu segala sesuatu), dengan rahmat-Mu kami memohon pertolongan, perbaikilah urusan kami semuanya dan janganlah Engkau serahkan kami kepada diri kami walau sekelip mata.”

Wallahu a’lam

Bertarikh: 6 September 2023 bersamaan 20 Safar 1445

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *