Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada satu soalan. Bolehkah kita mengail atau memancing ikan pada hari Jumaat? Begini, berdekatan dengan masjid tempat saya solat Jumaat adanya tasik/sungai. Jadi saya bergerak awal dengan ke tasik/sungai itu dahulu, lalu melepaskan umpan. Kemudian, apabila azan Jumaat berkumandang, maka saya tinggalkan joran saya di situ dan kembali semula selepas selesai solat Jumaat. Mohon penjelasan ustaz. Terima kasih.

 

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِذَا نُودِيَ لِلصَّلَاةِ مِن يَوْمِ الْجُمُعَةِ فَاسْعَوْا إِلَىٰ ذِكْرِ اللَّـهِ وَذَرُوا الْبَيْعَ ۚ ذَٰلِكُمْ خَيْرٌ لَّكُمْ إِن كُنتُمْ تَعْلَمُونَ

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Apabila diserukan azan untuk mengerjakan sembahyang pada hari Jumaat, maka segeralah kamu pergi (ke masjid) untuk mengingati Allah (dengan mengerjakan sembahyang Jumaat) dan tinggalkanlah berjual-beli (pada saat itu), yang demikian adalah baik bagi kamu, jika kamu mengetahui (hakikat yang sebenarnya).”

(Surah al-Jumu‘ah: 9)

Ayat di atas adalah di antara dalil pensyariatan dan kewajipan solat Jumaat. Selain itu, solat Jumaat juga termasuk dalam beberapa kelebihan yang dikurniakan khusus kepada umat Nabi Muhammad SAW supaya mereka mendapat kemuliaan hari Jumaat tersebut. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 1/198). Hal ini berdasarkan hadith, daripada Abu Hurairah R.A, beliau mendengar Rasulullah SAW bersabda:

نَحْنُ الآخِرُونَ السَّابِقُونَ يَوْمَ الْقِيَامَةِ، بَيْدَ أَنَّهُمْ أُوتُوا الْكِتَابَ مِنْ قَبْلِنَا، ثُمَّ هَذَا يَوْمُهُمُ الَّذِى فُرِضَ عَلَيْهِمْ فَاخْتَلَفُوا فِيهِ، فَهَدَانَا اللَّهُ، فَالنَّاسُ لَنَا فِيهِ تَبَعٌ، الْيَهُودُ غَدًا وَالنَّصَارَى بَعْدَ غَدٍ

Maksudnya: “Kita adalah umat yang terakhir (lahir ke dunia) dan umat yang terdahulu (menikmati kelebihan, ganjaran dan masuk syurga) pada hari kiamat walaupun mereka (umat terdahulu) diberikan kitab (syariat samawi) sebelum kita. Hari Jumaat ialah hari yang telah difardhukan atas mereka (untuk mendampingkan diri kepada Allah) tetapi mereka telah mempertikaikannya. Lalu Allah memberi petunjuk kepada kita sedangkan mereka menerima hari-hari berikutnya, iaitu Yahudi pada hari Sabtu dan Nasrani pula pada hari Ahad.

Riwayat (876) dan Muslim (855)

Pada asasnya solat Jumaat adalah suatu kewajipan atau wajib ain bagi kaum lelaki yang memenuhi syarat-syaratnya iaitu beragama Islam, baligh, berakal, merdeka sepenuhnya (yakni bukan hamba), sihat tubuh badan dan bermukim di tempat solat Jumaat didirikan. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 1/200-201; Matla‘ al-Badrain, disusun oleh PMWP, 1/159).

Berbalik kepada soalan yang diajukan, tidak ada masalah seseorang lelaki mengail atau menangkap ikan pada hari Jumaat, sekalipun sebelum itu waktu solat Jumaat sudah hampir. Hal ini kerana tidak ada dalil yang melarang daripada melakukannya. Justeru hukumnya adalah sebagaimana hukum asal iaitu diharuskan. Firman Allah SWT:

أُحِلَّ لَكُمْ صَيْدُ الْبَحْرِ وَطَعَامُهُ مَتَاعًا لَّكُمْ وَلِلسَّيَّارَةِ

Maksudnya: “Dihalalkan bagi kamu binatang buruan laut, dan makanan yang didapati dari laut, sebagai bekalan bagi kamu (untuk dinikmati kelazatannya) dan juga bagi orang-orang yang dalam pelayaran.

(Surah al-Ma’idah: 96)

Namun, apabila azan Jumaat berkumandang, dia hendaklah bersegera pergi ke masjid bagi menunaikan solat Jumaat. Hal ini adalah sebagaimana firman Allah SWT dalam Surah al-Jumu‘ah,  ayat 9 yang kami telah sebutkan di atas.

Ibn Kathir ketika menjelaskan firman Allah SWT “إِذَا نُودِيَ لِلصَّلَاةِ” (Apabila diserukan azan untuk mengerjakan sembahyang), beliau menyebutkan, yang dimaksudkan dengan al-nida’ (seruan azan) ini adalah azan yang kedua, yang telah dilakukan pada zaman Rasulullah SAW, iaitu apabila Baginda SAW keluar dan duduk di atas minbar. Kerana pada ketika itu, azan dikumandangkan di hadapan Baginda. Maka azan inilah yang dimaksudkan. Adapun azan pertama itu yang telah ditambah oleh Amirul Mukminin Uthman bin ‘Affan R.A adalah disebabkan bilangan umat Islam ketika itu semakin bertambah ramai.

Seterusnya, dalam firman Allah SWT: “وَذَرُوا الْبَيْعَ” (dan tinggalkanlah berjual-beli), Ibn Kathir menjelaskan, maksudnya bersegeralah kamu beralih untuk mengingati Allah dan tinggalkanlah jual beli apabila diseru untuk mengerjakan solat. Oleh kerana itu, para ulama sepakat mengharamkan jual beli yang dilakukan setelah dikumandangkan azan yang kedua. Kemudian mereka berbeza pendapat berkenaan sah dan tidaknya jual beli yang dilakukan ketika terdengar suara azan. Mengenai yang terakhir ini, terdapat dua pendapat. Zahir ayat di atas menunjukkan bahawa jual beli tersebut dikira tidak sah sebagaimana yang telah ditegaskan dalam perbahasannya yang tersendiri.  (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 4/316).

Dalam erti kata lain, dapat difahami juga dalam ayat ini, apa-apa perbuatan selain yang berkait dengan solat Jumaat juga adalah dilarang daripada melakukannya dan menyibukkan diri dengannya termasuklah mengail ikan, berbual-bual, dan seumpamanya selepas azan kedua sehinggalah selesai solat Jumaat.

Bahkan, terdapat riwayat daripada Abu Hurairah R.A, bahawa Nabi SAW bersabda:

 إِذَا قُـلْتَ لِصَاحِبِكَ يَوْمَ الجُمُعَةِ: أَنْصِتْ، وَالإِمَامُ يَخْطُبُ، فَـقَدْ لَغَوْتَ

Maksudnya: “Jika kamu berkata kepada sahabatmu pada hari Jumaat: ‘Diam,’ dan ketika itu imam sedang berkhutbah, maka sesungguhnya kamu telah lagha (melakukan perkara yang sia-sia).

Riwayat al-Bukhari (934)

Begitu juga dalam riwayat Abu Hurairah R.A yang lain bahawa Nabi SAW bersabda:

 وَمَنْ مَسَّ الْحَصَى فَقَدْ لَغَا

Maksudnya: “Sesiapa yang memegang (bermain) batu maka sesungguhnya dia telah lagha (melakukan perkara yang sia-sia).

Riwayat Muslim (857)

Ibn Rajab al-Hanbali mengatakan bahawa di dalam hadith ini, Nabi SAW telah memberitahu kepada kita bahawa memerintahkan kepada seseorang agar diam ketika khutbah adalah perkara yang lagha (sia-sia) walaupun hal itu termasuk di dalam menyeru kepada kebaikan dan mencegah kepada kemungkaran. Untuk itu, hadith ini menunjukkan bahawa setiap perkataan yang menyibukkan seseorang itu daripada mendengar atau diam ketika khutbah termasuk dalam perbuatan yang sia-sia. Adapun meminta orang yang bercakap ketika khutbah untuk diam adalah dengan mengisyaratkan sahaja. Para ulama tidak berkhilaf dalam hukum dibolehkan memberi isyarat kerana di dalam solat dibolehkan maka ketika khutbah juga dibolehkan dan ia adalah lebih utama untuk dibolehkan (kerana solat merupakan perkara yang lebih besar berbanding khutbah).

Para ulama telah berijma‘ bahawa sebaik-baiknya (afdhal) bagi sesiapa yang mendengar khutbah imam untuk diam dan dengar. Perbuatan itu lebih afdhal daripada dia menyibukkan diri dengan berzikir secara sendiri, membaca al-Quran atau berdoa. (Lihat Fath al-Bari, 8/274).

Kesimpulannya

Oleh itu, berdasarkan kepada kenyataan di atas, kami simpulkan jawapannya sebagaimana berikut:

  • Tidak mengapa seseorang lelaki mengail atau menangkap ikan pada hari Jumaat, sekalipun sebelum itu waktu solat Jumaat sudah hampir. Hal ini kerana tidak ada dalil yang melarang daripada melakukannya. Namun, apabila azan Jumaat berkumandang, dia hendaklah bersegera pergi ke masjid bagi menunaikan solat Jumaat dan haram baginya untuk meninggalkan solat Jumaat tanpa sebarang keuzuran yang diizinkan oleh syarak.
  • Namun jika ketika itu dia seorang musafir atau dalam permusafiran, maka tidak mengapa dia meninggalkan solat Jumaat, tetapi dia hendaklah mendirikan solat Zohor.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَعُوذُ بِكَ مِنْ عِلْمٍ لاَ يَنْفَعُ ، وَمِنْ قَلْبٍ لاَ يَخْشَعُ، وَمِنْ نَفْسٍ لاَ تَشْبَعُ ، وَمِنْ دَعْوَةٍ لَا يُسْتَجَابُ لَهَا

Maksudnya: “Ya Allah! Kami berlindung dengan-Mu daripada ilmu yang tidak bermanfaat, daripada hati yang tidak khusyuk, daripada nafsu yang tidak puas, dan daripada doa yang tidak diterima.”

Wallahu a’lam

Bertarikh: 7 September 2023 bersamaan 21 Safar 1445

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *