Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan berkaitan suntikan filler pada bawah mata akibat eye bag dan seumpamanya. Saya bertanya pada Dr estetik yang sah bahawa kandungan dalam suntikan itu mengandungi hyaluronic acid dan kesan suntikan itu bertahan sekitar 1 ke 2 tahun. Adakah dibenarkan melakukannya atau hukumnya sama sahaja seperti suntikan filler yang lain? Mohon pencerahan. Terima kasih.

 

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

وَلَا يُبْدِينَ زِينَتَهُنَّ إِلَّا مَا ظَهَرَ مِنْهَا

Maksudnya: Dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya.”

(Surah al-Nur: 31)

Sayyid Qutb menyebutkan bahawa perhiasan itu halal bagi perempuan untuk memenuhi keinginan semula jadinya. Setiap perempuan ingin menjadi cantik dan dipandang cantik. Walaupun perhiasan itu berbeza-beza dari satu zaman ke satu zaman, namun asas perhiasan itu adalah sama sahaja dalam fitrah perempuan, iaitu ingin mendapat dan menyempurnakan sifat-sifat kejelitaan dan menunjukkannya kepada kaum lelaki. Islam tidak menentang keinginan semula jadi ini, tetapi Islam mahu mengatur dan mengawalnya. Islam mahu menjadikan keinginan semula jadi itu menuju ke arah yang terang, iaitu ke arah suaminya yang tunggal selaku rakan kongsi hidupnya, yang dapat memandang bahagian-bahagian badannya, yang tidak boleh dipandang oleh orang-orang yang lain daripadanya — yakni suaminya itu. (Lihat Fi Zilal al-Quran, 4/2512).

Begitu juga firman Allah SWT:

قُلْ مَنْ حَرَّمَ زِينَةَ اللَّهِ الَّتِي أَخْرَجَ لِعِبَادِهِ وَالطَّيِّبَاتِ مِنَ الرِّزْقِ قُلْ هِيَ لِلَّذِينَ آمَنُوا فِي الْحَيَاةِ الدُّنْيَا خَالِصَةً يَوْمَ الْقِيَامَةِ كَذَلِكَ نُفَصِّلُ الْآيَاتِ لِقَوْمٍ يَعْلَمُونَ

Maksudnya:Katakanlah (wahai Muhammad): ‘Siapakah yang (berani) mengharamkan perhiasan Allah yang telah dikeluarkan-Nya untuk hamba-hamba-Nya, dan demikian juga benda-benda yang baik lagi halal daripada rezeki yang dikurniakan-Nya?’ Katakanlah: ‘Semuanya itu ialah (nikmat-nikmat) untuk orang-orang yang beriman (dan juga yang tidak beriman) dalam kehidupan dunia; (nikmat-nikmat itu pula) hanya tertentu (bagi orang-orang yang beriman sahaja) pada hari kiamat.’ Demikianlah Kami jelaskan ayat-ayat keterangan Kami satu persatu bagi orang-orang yang (mahu) mengetahui.

(Surah al-A‘raf: 32)

Muhammad Ali al-Sabuni menyatakan bahawa ayat di atas adalah bagi menolak pendapat sesiapa yang telah mengharamkan sesuatu sama ada makanan, atau minuman atau pakaian, menurut pendapat diri mereka sendiri dan bukannya syariat daripada Allah SWT. (Lihat Mukhtasar Tafsir Ibn Kathir, 2/15).

Pada asasnya, hukum asal bagi pakaian dan perhiasan adalah harus sama ada di badan, pakaian atau tempat. Akan tetapi, hukumnya berlanjutan sedemikian — yakni halal dan harus — selagi mana tiada nas-nas khusus yang mengecualikan hukum asal tersebut. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 3/89-90).

Selain daripada itu, Allah SWT juga ada berfirman:

فِطْرَتَ اللَّهِ الَّتِي فَطَرَ النَّاسَ عَلَيْهَا لَا تَبْدِيلَ لِخَلْقِ اللَّهِ

Maksudnya: “Tetaplah atas fitrah Allah SWT  yang telah menciptakan  manusia  atas fitrah itu, tidaklah patut ada  sebarang perubahan pada penciptaan (fitrah) Allah itu.”

(Surah al-Rum: 30)

Allah SWT turut berfirman:

وَلَآمُرَنَّهُمْ فَلَيُغَيِّرُنَّ خَلْقَ اللَّهِ ۚ وَمَن يَتتَّخِذِ الشَّيْطَانَ وَلِيًّا مِّن دُونِ اللَّهِ فَقَددْ خَسِرَ خُسْرَانًا مُّبِينًا

Maksudnya: “Dan aku (syaitan) akan menyuruh mereka mengubah ciptaan Allah. Dan (ingatlah) sesiapa yang mengambil Syaitan menjadi pemimpin yang ditaati selain dari Allah, maka sesungguhnya rugilah ia dengan kerugian yang terang nyata.”

(Surah al-Nisa’: 119)

Imam al-Tabari menjelaskan, bahawa dalam satu konteks, ayat ini memberi makna larangan mengubah ciptaan Allah SWT. (Lihat Jami‘ al-Bayan ‘an Ta’wil Ay al-Quran, 9/222).

Definisi Eye Bag

Seterusnya, kami kemukakan terlebih dahulu penjelasan ringkas berkenaan eye bag. Beg bawah mata (eye bag) ialah bengkak ringan atau kawasan lebam di bawah mata. Ia adalah perkara biasa apabila anda semakin tua dan tisu di sekeliling mata anda menjadi semakin lemah, termasuk beberapa otot yang menyokong kelopak mata anda. Lemak yang membantu menyokong mata kemudiannya boleh bergerak ke bahagian kelopak mata bawah, menyebabkan mereka kelihatan bengkak. Cecair juga mungkin terkumpul di bawah mata anda.

Eye bag biasanya adalah isu kosmetik dan jarang merupakan tanda kepada keadaan serius. Pemulihan di rumah, seperti kompres sejuk, boleh membantu mengurangkan bengkak yang kelihatan. Untuk bengkak bawah mata yang berterusan atau mengganggu, pembedahan kelopak mata mungkin boleh menjadi pilihan rawatan.

Gejala eye bag boleh merangkumi:

  • Bengkak ringan
  • Kulit kendur atau longgar
  • Lingkaran hitam

Bilakah perlu berjumpa doktor?

Anda mungkin tidak menyukai bengkak atau lebam hitam yang kelihatan tetapi eye bag biasanya tidak berbahaya dan tidak memerlukan rawatan perubatan. Rujuk kepada pegawai kesihatan berhampiran anda jika keadaan tersebut menyebabkan masalah penglihatan, kerengsaan atau sakit kepala atau turut terdapat ruam pada kulit.

Pegawai kesihatan anda perlu memastikan bahawa ia bukan berpunca daripada faktor-faktor lain yang boleh membawa kepada bengkak, seperti penyakit tiroid, jangkitan, penyakit tisu penghubung atau alahan. Anda mungkin dirujuk kepada doktor pakar mata (ophthalmologist), pakar pembedahan plastik atau pembedahan plastik mata (pakar bedah oculoplastic).[1]

Faktor atau Penyebab Terjadinya Eye Bag:

  1. Keturunan dan genetik boleh menjadi faktor besar yang mungkin menyebabkan munculnya eye bag dan lingkaran gelap di sekeliling mata anda.
  2. Peningkatan usia juga menjadi faktor biasa yang menyebabkan wujudnya eye bag dan lingkaran gelap di kawasan mata. Semakin anda berusia, kulit anda akan menjadi lebih nipis. Kehilangan lemak dan kolagen untuk mengekalkan keanjalan kulit.
  3. Kurang Tidur atau Terlebih Tidur. Tidur yang kurang juga akan membuatkan cecair muncul di bawah mata dan menyebabkan mata kelihatan bengkak sekali gus membuatkan lingkaran hitam itu sebagai bayangan kepada bengkak kelopak mata anda. Begitu juga terlebih tidur dan keletihan yang melampau, boleh menjadi punca mata menjadi bengkak dan wujudnya lingkaran gelap ini.
  4. Tekanan kepada Mata. Menghadap skrin komputer atau handphone terlalu lama juga menjadi punca tekanan kepada mata. Ini akan membuatkan saluran darah pada sekitar mata membesar. Akhirnya ia akan membuatkan bahagian sekitar mata anda menjadi gelap dan membengkak.
  5. Kurang Nutrisi.
  6. Apabila anda mengalami alahan, badan akan mengeluarkan histamin yang akan bertindak balas ke atas bakteria berbahaya. Menyebabkan simptom yang tidak selesa seperti kegatalan, kemerahan, dan mata bengkak, histamin turut menyebabkan saluran darah anda melebar dan tampak lebih hitam di bawah kulit. Alahan juga boleh mengakibatkan wujud keinginan untuk menggosok dan menggaru kulit gatal sekitar mata. Perbuatan ini akan memburukkan lagi simptom yang dihadapi.
  7. Merokok dan Alkohol. Merokok atau pengambilan alkohol boleh menjejaskan kulit dan menyebabkan kesan buruk terhadap mata.
  8. Ia juga antara punca biasa mata yang bermasalah. Badan tidak menerima jumlah air yang mencukupi, boleh menyebabkan kulit kelihatan kusam dan mata akan kelihatan tenggelam.
  9. Kebiasaannya, perubahan hormon pada wanita, disebabkan proses kehamilan atau kitaran haid, turut boleh menyebabkan wujudnya lingkaran gelap dan mata menjadi bengkak.[2]

Proses Suntikan Filler Eye Bag

Terlebih dahulu, palung (lekukan) air mata atau kecacatan pada lekukan air mata ialah lipatan yang jelas terletak di antara kelopak mata bawah dan pipi atas. Lama-kelamaan, kulit di kawasan ini kehilangan keanjalan dan tisu lemak. Ini boleh mengakibatkan kemunculan lingkaran hitam yang dalam di bawah mata yang dipanggil beg bawah mata.

Kawasan di mana beg atau lingkaran hitam ini terbentuk dipanggil palung air mata. Walaupun beg bawah mata (eye bag) adalah sebahagian daripada sifat semula jadi dalam proses penuaan, pembentukan lingkaran hitam juga boleh jadi sifat genetik yang diwarisi.

Ramai orang tidak suka dengan rupa lingkaran hitam yang terbentuk ini. Tetapi ia boleh dikurangkan atau dirawat dengan sesuatu yang dipanggil filler palung air mata. Filler palung air mata ialah rawatan yang diberikan melalui suntikan untuk “memontokkan” atau “mengisi” kawasan di bawah mata. Rawatan selalunya terdiri daripada gel asid hialuronik (hyaluronic acid), seperti Juvederm.

Dalam sesetengah kes, suntikan lemak atau pemindahan lemak digunakan. Nama lain yang mungkin anda dengar untuk palung air mata termasuk “filler beg mata” (eye bag fillers) atau “filler bawah mata” (under-eye fillers).

Faedah yang boleh dilihat daripada filler air mata termasuk pengurangan lingkaran hitam dan lekukan yang boleh dilihat di bawah mata, serta hilangnya bag bawah mata. Hasil daripada rawatan ini boleh memberikan pesakit kelihatan lebih muda.

Sebelum prosedur, doktor anda akan memeriksa dan menilai keadaan palung air mata anda dan kulit anda. Anda juga akan ditanya tentang sejarah perubatan anda dan sebarang ubat yang anda ambil.

Prosedur itu sendiri melibatkan beberapa suntikan filler asid hyaluronik yang sangat kecil pada kulit di kawasan bawah mata anda. Sebelum suntikan bermula, juruteknik perubatan anda membasmi kuman pada permukaan kulit anda. Mereka juga boleh menggunakan pek ais atau anestetik topikal di bawah kelopak mata bawah anda untuk menjadikan kawasan tersebut kebas. Kemudian, suntikan diberikan. Juruteknik mengurut perlahan-lahan kawasan itu selepas setiap suntikan untuk memastikan bahawa filler tersebar secara rata ke seluruh kawasan.

Filler palung air mata tidak memerlukan pembedahan. Tetapi pembedahan pembetulan mungkin disyorkan jika bag bawah mata terlalu besar atau teruk atau disertai dengan kulit yang sangat longgar.[3]

Rawatan: Antara Kecantikan dan Keperluan Perubatan

Pada asasnya, Islam mengharamkan sebarang bentuk pengubahan ciptaan asal bahagian tubuh seseorang yang dilakukan dengan alasan untuk kelihatan lebih cantik sama ada dengan cara penyambungan atau dengan cara pembedahan atau seumpamanya. Hal ini kerana, terdapat hadith yang melarang perkara tersebut sebagaimana diriwayatkan daripada Abdullah bin Mas‘ud R.A, beliau berkata:

لَعَنَ اللَّهُ الوَاشِمَاتِ والمــُوتَشِمَاتِ، والمــُـــتَنَمِّصَاتِ، والمــُـتَفَلِّجَاتِ لِلْحُسْنِ، المــُـغَيِّرَاتِ خَلْقَ اللَّهِ

Maksudnya:Allah melaknat wanita-wanita yang membuat tatu, yang meminta dilukiskan tatu, yang mencabut bulu-bulu wajah dan yang merenggangkan gigi untuk kecantikan, yang mengubah ciptaan Allah.

Riwayat al-Bukhari (4886)

Hadith ini menunjukkan akan pengharaman semua perkara tersebut dan lafaz ‘laknat’ yang terdapat di dalamnya merupakan dalil bahawa ia termasuk dalam dosa-dosa besar. Selain itu, sebab kepada laknat itu turut dinyatakan dalam hadith melalui lafaz “المــُـغَيِّرَاتِ خَلْقَ اللَّهِ” iaitu sifat yang dikehendaki oleh orang yang membuat tatu, mencabut bulu wajah dan merenggangkan gigi. (Lihat Fath al-Bari, 10/373)

Manakala lafaz “المــُـتَفَلِّجَاتِ لِلْحُسْنِ” pula bermaksud mereka melakukan perbuatan tersebut — yakni merenggangkan gigi — kerana ingin mencantikkannya lagi. Oleh yang demikian, terdapat isyarat yang menunjukkan bahawa hukum haram itu ditujukan kepada sesiapa yang melakukannya demi kecantikan semata-mata. Adapun jika kerana adanya keperluan mendesak seperti tujuan perubatan atau menghilangkan aib dan seumpamanya, maka ia adalah diharuskan. (Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 14/107).

Selain daripada itu, al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani ketika mensyarahkan hadith ini juga ada menyebutkan, difahami daripada lafaz “المــُـتَفَلِّجَاتِ لِلْحُسْنِ” bahawa ia adalah perbuatan tercela jika mereka melakukan perbuatan tersebut untuk tujuan kecantikan. Namun, jika adanya keperluan bagi perkara tersebut seperti untuk rawatan, maka ia adalah diharuskan. (Lihat Fath al-Bari, 10/372).

Di samping itu, Dr. Soleh al-Fauzan menjelaskan lagi, pengikat iaitu lafaz “لِلْحُسْنِ” yakni untuk kecantikan tambahan, yang terdapat dalam hadith di atas menunjukkan bahawa larangan tersebut adalah khusus sekiranya ia dilakukan dengan tujuan mendapatkan kecantikan tambahan pada kejadian yang sedia ada (normal). Sekiranya dilakukan untuk merawat atau menghilangkan aib, maka hukumnya adalah diharuskan. Ini menunjukkan bahawa bukan semua bentuk perubahan itu diharamkan. Bahkan, huruf ‘lam’ yang terdapat pada lafaz “لِلْحُسْنِ” ini adalah untuk menjelaskan sebab (التعليل), sekali gus mengecualikan urusan yang melibatkan rawatan dan seumpamanya daripada larangan tersebut. (Lihat al-Jirahah al-Tajmiliyyah, hlm. 73).

Hukum Suntikan Filler Eye Bag

Berbalik kepada persoalan yang diajukan, secara umumnya rawatan melalui suntikan filler eye bag adalah bertujuan merawat eye bag iaitu menghilangkan sembab, bengkak ringan, bengkak, lingkaran hitam dan seumpamanya pada bahagian kelopak bawah mata, yang berkemungkinan menyebabkan masalah penglihatan dan sekali gus mengembalikan semula keadaannya yang asal — tampak lebih muda.

Dr. Soleh al-Fauzan dalam bukunya yang berkaitan pembedahan kecantikan ada membawakan satu dhawabit umum bagi pengubahan yang diharamkan iaitu:

إِحْدَاثُ تَغْيِيرِ دَائِمٍ فِي خِلْقَةٍ مَعْهُودَةٍ

Maksudnya:Mengadakan sesuatu yang baru dengan cara membuat pengubahan yang kekal pada kejadian yang asal.”

Pengubahan tersebut boleh jadi dengan cara menambah seperti suntikan kecantikan, menanam atau seumpamanya, ataupun dengan menghilangkan sebahagian tisu badan seperti menyedut lemak, ataupun dengan mengubah rupa bentuk sebahagian anggota, sama ada dengan membesarkannya, mengecilkannya atau mengetatkannya.

Manakala lafaz “دَائِم” di sini pula merujuk kepada kesannya itu kekal dalam suatu tempoh yang lama seperti berbulan-bulan atau bertahun-tahun, dan tidak semestinya kekal sepanjang hayatnya. Justeru, pengikat ini mengeluarkan pengubahan yang bertempoh (التغيير المؤقت) yang mana kesannya itu tidak kekal lebih daripada beberapa hari.

Kemudian, lafaz “خِلْقَة مَعْهُودَة” pula merujuk kepada kejadian yang asal atau normal mengikut sunnah kauniyyah. Misalnya, orang yang sudah lanjut usianya akan mempunyai kedutan pada wajah mereka. Manakala orang yang masih muda pula, kedutan yang terdapat pada wajahnya dengan rupa yang hodoh dikira sebagai kejadian yang tidak normal.  Pengikat “خِلْقَة مَعْهُودَة” meliputi perubahan atas beberapa sebab:

  • Mengubah kejadian yang asal demi kecantikan tambahan semata-mata seperti tatu, mencabut bulu-bulu wajah dan merenggangkan gigi serta apa-apa pembedahan kosmetik yang disandarkan kepadanya yang dilakukan pada kejadian yang asal mengikut uruf kebanyakan manusia.
  • Mengubahnya untuk tujuan menyeksa seperti membutakan mata, memotong telinga dan seumpamanya.
  • Mengubahnya untuk tujuan penyamaran dan melarikan diri daripada pihak berkuasa keselamatan.

Justeru, terkeluar daripada pengikat ini mengubah kejadian yang tidak normal seperti rawatan bagi penyakit, kecederaan, kehodohan dan keaiban yang asal atau keaiban yang mendatang yang menyebabkan kemudaratan pada anggota fizikal atau jiwa. Begitu juga tidak termasuk di dalamnya, pengubahan yang diizinkan oleh syarak seperti khitan dan menjatuhan hukuman syariah. (Lihat al-Jirahah al-Tajmiliyyah, hlm. 74-75).

Begitu juga Majlis Majma‘ al-Fiqh al-Islami al-Duwali dalam persidangan mereka yang ke-18, di Putrajaya, Malaysia, dari 24-29 Jamadil Akhir 1428 Hijrah, bersamaan dengan 9-14 Julai 2007 khususnya berkaitan tajuk: “Al-Jirahah al-Tajmiliyyah wa Ahkamuha (Pembedahan Kosmetik dan hukum-hukumnya).” Di antara keputusan tersebut adalah tidak boleh melakukan pembedahan kosmetik yang tidak termasuk dalam rawatan perubatan dan bertujuan untuk mengubah kejadian yang asal (normal) kerana menurut hawa nafsu dan keinginan meniru orang lain seperti pembedahan mengubah bentuk muka supaya kelihatan dengan penampilan tertentu, atau bertujuan menipu dan menyelewengkan keadilan, mengubah bentuk hidung, membesarkan atau mengecilkan bibir, mengubah bentuk mata dan membesarkan tulang pipi.[4]

Kesimpulannya

Berdasarkan kepada perbahasan di atas, kami berpendapat bahawa suntikan filler eye bag adalah diharuskan sekiranya ada keperluan bagi melakukannya seperti untuk menghilangkan aib kerana lingkaran hitam atau bengkak ringan di bawah kelopak matanya sehingga menampakkannya lebih tua dan berusia daripada umurnya yang sebenar, atau mengembalikannya semula kepada warna dan keadaan asalnya, atau untuk tujuan rawatan seperti merawat eye bag yang mengganggu masalah penglihatan dan seumpamanya.

Sekalipun begitu, ia juga terikat dengan syarat prosedur tersebut tidak memberikan mudarat kepada penerima rawatan tersebut dan bahan-bahan seperti asid hialuronik (hyaluronic acid)[5] yang hendak digunakan itu diambil daripada bahan yang suci dan bukannya najis.

Adapun jika prosedur ini dilakukan untuk kecantikan tambahan semata-mata (tahsiniyyah), bukan untuk mengembalikannya kepada warna dan keadaan yang asal akibat penuaan yang tidak normal kerana pemakanan yang tidak sihat, penyakit, kecuaian menjaga kesihatan dan seumpamanya, atau terdapatnya penipuan bagi menghilangkannya supaya dilihat lebih muda dari usianya yang sebenar, maka ia adalah dilarang dan tidak dibenarkan kerana dikhuatiri ia termasuk dalam pengubahan yang diharamkan. Inilah pendapat yang dilihat lebih selamat dan berhati-hati (ihtiyat).

Walau bagaimanapun, kami turut menasihatkan agar seseorang yang ingin mendapatkan rawatan melalui ini, sebaiknya rujuklah terlebih dahulu pakar bagi membuat pemeriksaan dan mendapatkan nasihat daripada pakar sebelum melakukannya — yakni sama ada rawatan itu sesuai ataupun tidak buat mereka — bagi mengelakkan sebarang komplikasi-komplikasi yang tidak diinginkan.

Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ أَلْهِمْنَا رُشْدَنَا، وَأَعِذْنَا مِنْ شَرِّ أَنْفُسِنَا

Maksudnya: “Wahai Allah! Ilhamkanlah kepada kami kecerdasan dan petunjuk serta lindungilah kami daripada kejahatan nafsu kami.”

Wallahu a’lam

[1] Lihat https://www.mayoclinic.org/diseases-conditions/bags-under-eyes/symptoms-causes/syc-20369927#. Diakses pada 22 Ogos 2023.

[2] Lihat https://klinikdrrushmini.com/rawatan-eyebag/. Diakses pada 22 Ogos 2023.

[3] Lihat https://www.allaboutvision.com/eye-care/cosmetic/tear-trough-filler/. Diakses pada 22 Ogos 2023.

[4] Lihat https://iifa-aifi.org/ar/2283.html. Diakses pada 13 April 2023.

[5] Asid hialuronik adalah bahan semulajadi yang terdapat dalam cecair di mata dan sendi. Ia bertindak sebagai peredam dan pelincir di sendi dan tisu-tisu lain. Pelbagai bentuk asid hialuronik digunakan untuk tujuan kosmetik. Asid hialuronik juga mungkin mempengaruhi cara badan bertindak balas terhadap kecederaan dan membantu mengurangkan pembengkakan. Orang ramai biasanya mengambil asid hyaluronik melalui mulut dan menggunakannya pada kulit untuk masalah jangkitan saluran kencing (Urinary Tract Infections — UTIs), refluks asid, mata kering, penyembuhan luka, penuaan kulit, dan banyak lagi keadaan lain, tetapi tiada bukti saintifik yang baik untuk menyokong kebanyakan penggunaan lain ini. (Lihat https://www.webmd.com/vitamins/ai/ingredientmono-1062/hyaluronic-acid. Diakses pada 22 Ogos 2023).

Bertarikh: 7 September 2023 bersamaan 21 Safar 1445

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *