#293 Waktu untuk Berniat Wuduk

Soalan:         

Assalamualaikum w.b.t. Bilakah waktu untuk berniat wuduk, ketika membasuh muka atau ketika melakukan sunat-sunatnya? Mohon pencerahan.

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t.

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِذَا قُمْتُمْ إِلَى الصَّلَاةِ فَاغْسِلُوا وُجُوهَكُمْ وَأَيْدِيَكُمْ إِلَى الْمَرَافِقِ وَامْسَحُوا بِرُءُوسِكُمْ وَأَرْجُلَكُمْ إِلَى الْكَعْبَيْنِ

Maksudnya: Wahai orang yang beriman, apabila kamu hendak mengerjakan solat (padahal kamu berhadas kecil), maka (berwuduklah) iaitu basuhlah muka kamu, dan kedua belah tangan kamu meliputi siku, dan sapulah sebahagian daripada kepala kamu, dan basuhlah kedua belah kaki kamu meliputi buku lali.

(Surah al-Ma’idah: 6)

Al-Maraghi menyatakan bahawa makna ayat di atas adalah sekiranya seseorang itu hendak bangun bagi mendirikan solat — dan masih lagi dalam keadaan berhadas. Hal ini kerana seluruh kaum Muslimin menyatakan bahawa bersuci (yakni berwuduk dan mandi wajib) tidak diwajibkan ke atas orang yang ingin mengerjakan solat melainkan dia masih dalam keadaan berhadas. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 6/61)

Habib Hasan bin Ahmad al-Kaff menyebutkan bahawa rukun wuduk ada enam. Empat daripadanya adalah berdasarkan ayat al-Quran iaitu membasuh muka, membasuh kedua tangan, menyapu sebahagian kepala dan membasuh kedua kaki. Manakala dua rukun yang berbaki adalah berdasarkan sunnah iaitu niat dan tertib. (Lihat al-Taqrirat al-Sadidah, hlm. 82)

Hakikat niat

Niat menurut bahasa adalah mengarah diri kepada sesuatu perbuatan. (Lihat al-Mu‘jam al-Wasit, hlm. 1021.

Manakala menurut Dewan Bahasa dan Pustaka, niat ialah maksud atau tujuan sesuatu perbuatan. (Lihat Kemus Dewan Edisi Keempat, hlm.  1080)

Dari segi istilah pula, terdapat beberapa definisi yang diberikan. Antaranya ialah:

  • Al-Nawawi menyebutkan bahawa niat ialah keazaman (tekad) di dalam hati atas setiap perkara yang fardhu dan selain daripadanya. (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 1/310)
  • Ibn ‘Abidin pula menyebutkan bahawa niat ialah tujuan melakukan ketaatan dan mendekatkan diri kepada Allah SWT dengan amal perbuatan. (Lihat Rad al-Mukhtar, 1/105)

Berdasarkan kepada definisi di atas, kita dapat simpulkan bahawa niat ialah lintasan dalam hati ketika adanya tekad dan keazaman untuk melakukan sesuatu perkara. Dalam erti kata lain, hakikat niat itu mestilah disertai bersamanya perbuatan. Justeru, jika hanya ada keazaman untuk melakukan sesuatu tanpa disertai bersamanya perbuatan, maka ia tidak dikira sebagai niat. Justeru, hal ini adalah bertepatan sebagaimana kenyataan ulama tentang niat iaitu:

قَصْدُ الشَّيْءِ مُقْتَرِنًا بِفِعْلِهِ

Maksudnya:Keazaman dan keinginan untuk melakukan sesuatu berserta perbuatannya.” (Lihat al-Taqrirat al-Sadidah, hlm. 82)

Niat merupakan syarat bagi semua ibadah. Justeru, tidak sah suatu ibadah itu termasuklah wuduk melainkan dengan niat. Hal ini adalah sebagaimana disebutkan oleh al-Nawawi bahawa niat adalah syarat sahnya wuduk, mandi dan tayammum tanpa sebarang khilaf dalam kalangan ulama mazhab Syafi‘i. Malah ini juga merupakan pendapat Malik, al-Laith bin Sa‘d, Ahmad bin Hanbal dan Dawud. Mereka berhujahkan dengan firman Allah SWT:

وَمَا أُمِرُوا إِلَّا لِيَعْبُدُوا اللَّهَ مُخْلِصِينَ لَهُ الدِّينَ

Maksudnya:Pada hal mereka tidak diperintahkan melainkan supaya menyembah Allah dengan mengikhlaskan ibadat kepada-Nya.”

(Surah al-Bayyinah: 5)

Ayat di atas menunjukkan bahawa ikhlas merupakan amalan hati dan ia ialah niat. Begitu juga suatu perintah itu menunjukkan bahawa hukumnya adalah wajib. Manakala dalil daripada al-Sunnah pula adalah berdasarkan kepada riwayat Umar bin al-Khattab bahawa Rasulullah SAW bersabda:

إِنَّمَا الأَعْمَالُ بِالنِّـيَّاتِ، وَإِنَّمَا لِكُلِّ امْرِئٍ مَا نَـوَى

Maksudnya:Sesungguhnya segala amalan dikira dengan niat dan sesungguhnya setiap orang memperolehi apa yang diniatkan.

Riwayat al-Bukhari (1)

Oleh itu, sesiapa yang tidak berniat wuduk, maka tidak dikira sah wuduknya. (Lihat Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 1/356; al-Mughni, 1/156)

Waktu berniat ketika berwuduk

Mengenai hal ini, menurut pengarang kitab al-Fiqh al-Manhaji, waktu berniat adalah ketika mula membasuh bahagian muka kerana ia adalah permulaan berwuduk. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 1/54)

Begitu juga Habib Hasan al-Kaff juga menyebutkan bahawa waktu berniat wuduk adalah ketika mula-mula membasuh bahagian daripada muka kerana yang diambil kira itu adalah basuhan yang wajib. (Lihat al-Taqrirat al-Sadidah, hlm. 83)

Walau bagaimanapun, al-Nawawi ada menyebutkan bahawa perkara yang lebih afdhal ialah seseorang itu berniat wuduk sejak dari awal lagi, lalu berterusan menghadirkan niat tersebut sehinggalah selesai berwuduk. Perkara ini telah disepakati oleh para ulama bahawa ia adalah sunat dan awal perbuatan wuduk ialah membaca basmalah. Al-Qadhi Abu al-Tayyib dan al-Mutawalli menyatakan bahawa disunatkan menghadirkan bersama niat wuduk — yakni sepanjang perbuatan wuduk — sebagaimana disunatkan juga dalam solat untuk berterusan menghadirkan niatnya bermula daripada permulaan solat sehingga memberi salam.

Selain itu, al-Nawawi menyatakan lagi bahawa sekiranya seseorang berniat ketika awal basuhan wajah dan tidak berniat sebelum mahupun selepasnya, maka wuduknya dikira sah tanpa sebarang khilaf. Namun, jika dia membasuh sebahagian mukanya tanpa niat, kemudian membasuh sebahagian lagi dengan niat, maka basuhan sebahagian muka yang pertama tadi — yakni yang dilakukan tanpa niat — dikira tidak sah tanpa sebarang khilaf kerana terdapat sebahagian anggota wajib yang tidak dilakukan dengan niat. Justeru, dia hendaklah mengulangi basuhan sebahagian muka pertama tadi sebelum beralih kepada anggota wajib yang seterusnya ialah tangan.

Kemudian timbul pula persoalan lain, jika wuduk seseorang itu dikira sah dengan niatnya bermula ketika membasuh muka, maka adakah perbuatan sunat wuduk sebelum basuhan muka — yakni yang dilakukan tanpa niat — seperti membaca basmalah, bersiwak, membasuh kedua pergelangan tangan, berkumur-kumur dan memasukkan air ke dalam hidung dikira mendapat pahala sunat wuduk? Dalam hal ini, terdapat dua pendapat dalam kalangan ulama mazhab al-Syafi‘i. Di antaranya adalah sebagaimana yang telah diputuskan oleh jumhur bahawa perbuatan sunat wuduk itu — yang dilakukan tanpa niat — tidak diberi pahala mahupun diambil kira termasuk dalam perbuatan wuduk kerana ia dilakukan tanpa niat. Oleh itu, ia dianggap tidak sah sebagaimana ibadah-ibadah yang lain. Mereka yang berpendapat dengan pendapat ini ialah al-Qadhi Husain, Imam al-Haramain, al-Ghazali, al-Mutawalli dan al-Baghawi. (Lihat Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 1/318-319)

Selain daripada itu, Ibn Qudamah ada menyatakan bahawa diwajibkan untuk mendahulukan niat ke atas perbuatan wuduk kerana ia adalah syaratnya. Jika didapati ada perbuatan wajib wuduk yang dilakukan sebelum daripada niat, maka ia tidak akan dikira. Begitulah juga disunatkan untuk berniat sebelum daripada membasuh kedua pergelangan tangan, agar niat itu mencakupi perbuatan-perbuatan sunat dan wajib wuduk. Jika seseorang itu membasuh kedua pergelangan tangannya sebelum daripada niat wuduk, maka sebenarnya dia seolah-olah belum lagi membasuh kedua pergelangan tangannya itu. Di samping itu, dibolehkan juga untuk berniat wuduk lebih awal sedikit dengan syarat tidak terlalu lama jarak tempohnya. Namun, jika jarak tempohnya terlalu lama, maka hal itu tidak dibolehkan. (Lihat al-Mughni, 1/159)

Kesimpulannya

Berdasarkan kepada perbahasan dan perbincangan di atas, kami berpendapat bahawa waktu wajib berniat untuk berwuduk adalah ketika mula membasuh bahagian muka kerana ia merupakan permulaan basuhan anggota yang wajib. Namun, disunatkan untuk berniat lebih awal iaitu ketika permulaan perbuatan sunat wuduk supaya niat wuduk itu mecakupi perbuatan sunat wuduk dan fardhunya. Selain itu, yang lebih afdhalnya lagi adalah berniat wuduk bermula daripada awal perbuatan wuduk — yakni ketika melakukan sunat-sunatnya, — lalu berterusan menghadirkan niat tersebut sehinggalah selesai daripada berwuduk.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Ameen.

Wallahua‘lam.

Bertarikh: 13 Januari 2022 bersamaan 10 Jamadil Akhir 1443H

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *