Soalan:         

Assalamualaikum w.b.t. Apakah hukum percikan air kencing sebab kadang-kadang percikan air kencing tersebut sukar untuk dijaga dan dielakkan? Mohon pencerahan.

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t.

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ التَّوَّابِينَ وَيُحِبُّ الْمُتَطَهِّرِينَ

Maksudnya:SesungguhNya Allah mengasihi orang-orang yang banyak bertaubat, dan mengasihi orang-orang yang sentiasa mensucikan diri.[1]

Al-Syaukani menyatakan bahawa makna ayat di atas ialah Allah menyukai orang yang bertaubat daripada dosa-dosanya dan mensucikan diri daripada junub dan hadas.[2] Dalam erti kata lain, Allah SWT menyukai para hamba-Nya yang banyak beristighfar dan bertaubat serta yang menyucikan diri dengan menjauhi segala perbuatan keji dan kotor.[3]

Syarat sah solat

Di antara syarat sah solat ialah bersih daripada najis pada badan, pakaian dan tempat solat. Difahami bahawa najis itu perlu dibersihkan daripada pakaian melalui perintah Rasulullah SAW kepada Khaulah binti Yasar. Khaulah bertanya kepada Baginda SAW:

يَا رَسُولَ اللهِ إِنَّهُ لَيْسَ لِي إِلاَّ ثَوْبٌ وَاحِدٌ وَأَنَا أَحِيضُ فِيهِ فَكَيْفَ أَصْنَعُ ؟ قَالَ : إِذَا طَهُرْتِ فَاغْسِلِيهِ، ثُمَّ صَلِّي فِيهِ

Maksudnya:Wahai Rasulullah, sesungguhnya aku tiada pakaian lain melainkan sehelai ini sahaja, dan sekarang aku sedang haid mengenakan pakaian tersebut. Apakah yang perlu aku buat?” Baginda SAW menjawab: “Apabila engkau telah suci daripada haid engkau, maka basuhlah pakaian itu (yang terkena haid), kemudian solatlah dengan menggunakan pakaian itu.[4]

Hadith di atas menunjukkan bahawa Nabi SAW memerintahkan agar pakaian yang dipakai untuk solat perlu dibersihkan terlebih dahulu daripada segala jenis najis.

Air kencing adalah najis

Pada asalnya, kencing manusia atau haiwan adalah najis berdasarkan hadith daripada Abu Hurairah R.A, Rasulullah SAW bersabda:

وَهَرِيقُوا عَلَى بَوْلِهِ سَجْلاً مِنْ مَاءٍ

Maksudnya:Tuangkanlah atas air kencingnya (Arab Badwi yang kencing di masjid) dengan setimba air.”[5]

Ibn Battal dalam syarahnya menyebutkan bahawa para fuqaha telah menyatakan ijma‘ akan kenajisan air kencing (manusia) dan perlu untuk membersihkannya.[6]

Begitu juga al-Nawawi ada menyebutkan bahawa semua jenis tahi dan air kencing dikira sebagai najis sama ada haiwan itu boleh dimakan ataupun tidak.[7]

Percikan air kencing yang sukar dielakkan

Oleh itu, air kencing manusia dikira sebagai najis dan jika ia terkena pada pakaian, badan dan tempat solat, maka tidak sah solat kerana suci daripada najis adalah syarat sah solat. Namun, sah solatnya jika percikan itu sedikit, sukar dipelihara dan tidak dapat dikesan oleh mata. Hal ini adalah sebagaimana yang dinyatakan oleh pengarang al-Fiqh al-Manhaji:

“Islam agama yang bersih, untuk itu wajib menghilangkan najis walau di mana keberadaannya. Memelihara diri daripada najis, dan menjadi bersih daripada najis adalah syarat sah solat sama ada pada pakaian ataupun badan ataupun tempat solat. Sesungguhnya agama meraikan kemudahan dan menghilangkan kesusahan. Maka dimaafkan sebahagian najis disebabkan kesusahan untuk menghilangkannya atau kesusahan untuk menjaga daripada terkena najis tersebut, agar menjadi kemudahan kepada manusia, dan mengangkat kesusahan daripada manusia. Contohnya, percikan air kencing yang sedikit yang tidak dapat dikesan dengan penglihatan mata yang sederhana jika terkena pakaian ataupun badan, sama ada najis mughallazah ataupun najis mukhaffafah ataupun najis mutawassitah.”[8]

Kesimpulannya

Oleh itu, Islam sememangnya memerintahkan agar setiap umatnya berada dalam keadaan suci pada tubuh badan dan pakaiannya sebelum mendirikan solat. Walau bagaimanapun, ini tidak bermakna seseorang itu perlu memeriksa atau keterlaluan menjaga dirinya daripada najis sehingga menyusahkan pelaksanaan sesuatu ibadah. Oleh itu, dalam keadaan sesuatu yang di luar kawalan atau kemampuan dirinya, maka ia diberikan kemaafan oleh syarak.

Di samping itu, kami juga ingin menasihati semua agar bersederhanalah dalam apa jua tindakkan kita. Dalam erti kata lain, janganlah bermudah-mudah dalam soal menjaga diri daripada najis, lebih-lebih lagi ketika membuang air kecil atau besar dengan tidak berusaha langsung untuk menjaga pakaian daripada terkena percikan air kencing atau seumpamanya, dan janganlah pula bersikap keterlaluan sehingga akhirnya menyusahkan kita untuk melaksanakan sesuatu ibadah.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Ameen.

Wallahua‘lam.

Bertarikh: 13 Januari 2022 bersamaan 10 Jamadil Akhir 1443H

[1] Surah al-Baqarah: 222

[2] Lihat Zubdah al-Tafasir min Fath al-Qadir oleh al-Asyqar, hlm. 44

[3] Lihat Tafsir al-Muyassar, hlm. 35

[4] Riwayat Abu Daud (365)

[5] Riwayat al-Bukhari (220)

[6] Lihat Syarh Sahih al-Bukhari oleh Ibn Battal, 1/325

[7] Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 2/550

[8] Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 1/43.

-17%
Rated 0 out of 5
RM25.00
Rated 0 out of 5
RM5.00
-58%
RM50.00
Rated 0 out of 5
RM5.00
Rated 0 out of 5
RM5.00

Kajian Ilmiah

Fiqh Banjir

Rated 0 out of 5
RM5.00

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *