Soalan:

Assalamualaikum ustaz, ibu dan ayah saya bergaduh. Puncanya ibu kata ayah tidak menjalankan tanggungjawab nafkah zahir ( duit setiap bulan) tapi setahu saya nafkah itu tidak semestinya dengan duit. Sebab ayah saya juga membelikan makanan, kereta tempat tinggal. Cuma ayah saya juga kerap beli barang-barang lain yang saya fikir dengan duit tu ayah mampu juga untuk beri nafkah duit kepada ibu. Ibu mengatakan ayah tidak pernah bagi nafkah duit semenjak kahwin. Macammana ya ustaz? Saya sebagai anak tidak suka benda ni berlarutan. Mohon pencerahan.

 

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Nafkah dari segi bahasa ialah mengeluarkan, iaitu pembiayaan belanja seseorang terhadap ahli keluarganya. Manakala dari segi syarak ialah makanan, pakaian, tempat tinggal dan selainnya. Ia di namakan Nafaqah kerana dikeluarkan atau digunakan untuk keperluan itu. ( Lihat al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafie, 4/274 )

Firman Allah SWT:

لِيُنفِقۡ ذُو سَعَة مِّن سَعَتِهِۦۖ وَمَن قُدِرَ عَلَيۡهِ رِزۡقُهُۥ فَلۡيُنفِقۡ مِمَّآ ءَاتَىٰهُ ٱللَّهُۚ لَا يُكَلِّفُ ٱللَّهُ نَفۡسًا إِلَّا مَآ ءَاتَىٰهَاۚ سَيَجۡعَلُ ٱللَّهُ بَعۡدَ عُسۡر يُسۡرا

Maksudnya: Hendaklah orang yang mampu memberi nafkah menurut kemampuannya; dan sesiapa yang disempitkan rezekinya, maka hendaklah ia memberi nafkah dari apa yang diberikan Allah kepadanya (sekadar yang mampu); Allah tidak memberati seseorang melainkan (sekadar kemampuan) yang diberikan Allah kepadanya. (Orang-orang yang dalam kesempitan hendaklah ingat bahawa) Allah akan memberikan kesenangan sesudah berlakunya kesusahan.

(Surah al-Talaq: 7)

Al-Sa’di ketika menafsirkan ayat ini beliau menyatakan: Allah SWT telah menetapkan nafkah ke atas isteri sesuai dengan keadaan suami iaitu orang yang kaya hendaklah menunaikan nafkah sesuai dengan kekayaannnya jangan lah dia menunaikan nafkah dengan nafkah orang miskin. Sesiapa yang berada dalam kesempitan maka berilah nafkah dengan apa yang telah direzkikan oleh Allah kepadanya. Allah SWT tidak membebani seseorang kecuali dengan kemampuan  yang  diberikan Allah kepadanya dalam bab nafkah atau sebagainya .Yang demikian merupakan rahmah dan kasih sayang Allah terhadap hambanya dengan meringankan beban terhadap orang yang  susah. (Lihat Taisir al-Karim al-Rahman,hlm.871)

Di dalam Sunnah, terdapat hadith yang diriwayatkan daripada Mu’awiyah al-Qusyairi RA, bahawa beliau telah bertanya kepada Nabi SAW: “Wahai Rasulullah, apakah hak isteri salah seorang dari kami yang menjadi kewajipan suaminya?” Maka Rasulullah SAW menjawab:

أن تُطْعِمَها إذا طَعِمتَ ، وتَكْسوها إذا اكتسَيتَ ، أوِ اكتسَبتَ ، ولا تضربِ الوَجهَ ، ولا تُقَبِّح ، ولا تَهْجُرْ إلَّا في البَيتِ

Maksudnya: “Engkau memberi makan kepadanya, jika engkau makan. Engkau memberi pakaian kepadanya, jika engkau berpakaian. Janganlah engkau pukul wajahnya, janganlah engkau memburukkannya, dan janganlah engkau meninggalkannya kecuali di dalam rumah.”

Riwayat Abu Dawud (2142), Ibn Majah (1850) dan Ahmad (20013)

Nabi SAW turut bersabda :

إِنَّ لِرَبِّكَ عَلَيْكَ حَقًّا، وَلِنَفْسِكَ عَلَيْكَ حَقًّا، وَلِأهْلِكَ عَلَيْكَ حَقًّا، فَأعْطِ كُلَّ ذِي حَقٍّ حَقَّهُ

Maksudnya: “Sesungguhnya Rabbmu mempunyai hak atasmu, dan jiwamu mempunyai hak atasmu, dan isterimu mempunyai hak atasmu, maka berilah setiap hak kepada orang yang berhak”

Riwayat al-Bukhari (2139)

Menjawab bagi persoalan di atas kami katakan nafkah yang wajib ke atas suami kepada isterinya yang mana telah dinyatakan dalam kitab fiqh al-Manhaji adalah seperti berikut:

  • Makan
  • Minum
  • Pakaian
  • Tempat Tinggal
  • Alat membersihkan diri
  • Pembantu rumah sekira sebelumnya dia memilki pembantu (Lihat Fiqh al-Manhaji,4/182-184)

Syeikh Dr. Wahbah al-Zuhaili menyatakan bahawa majoriti ulama mengatakan nafkah yang wajib diberi kepada isteri itu ialah tujuh perkara iaitu, makanan, barang-barang dapur, pakaian, tempat tinggal, alat-alat untuk membersihkan diri, barangan rumah, pembantu kepada isteri jika sekiranya kebiasaannya isteri mempunyai pembantu. (Lihat al-Fiqh al-Islam wa Adillatuh, 10/7349)

Nafkah-nafkah yang telah dinyatakan di atas perlu dilaksanakan oleh suami mengikut keupayaannya yang ada. Ini sesuai dengan apa yang telah ditegaskan dalam ajaran islam sebagaimana yang telah dijelaskan dalam firman Allah SWT yang telah dinyatakan di atas. Allah SWT tidak membebani seseorang melampaui kemampuannya.

Dalam isu ini kami katakan sekiranya suami telah menjalankan tanggungjawab memberi nafkah yang wajib kepada isteri maka tidak wajib lagi bagi suami memberikan duit bulanan kepada isteri. Sekiranya suami tetap memberikan duit tersebut secara bulanan itu dianggap sebagai ihsan suami kepada isteri.

Oleh itu, dalam perkara ini, kami menasihati saudari agar dengan lembut dan penuh kebijaksanaan menerangkan kepada ibu saudari mengenai hak nafkah yang sepatutnya diterima. Jika ayah saudari telah memenuhi kewajipannya, maka seharusnya tidak ada lagi pertikaian antara ibu saudari dan bapa saudari. Suka juga kami nasihati supaya sekiranya berlaku salah faham dalam rumahtangga hendaklah berbincang dengan cara yang baik agar kehidupan rumah tangga akan lebih harmoni.

Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan perintahnya dan kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.”

(Surah al-Furqan: 74)

Wallahu a’lam

Bertarikh: 8 September 2023 bersamaan 22 Safar 1445

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *