Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Sebagaimana jawapan Dato’ Seri bahawa ucapan Nabi SAW berlainan dengan kalimah لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ semasa akhir hayatnya. Justeru, kenapa terjadi demikian?

 

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Namun, timbul sedikit persoalan, bahawa ucapan terakhir Nabi SAW adalah tidak selari dengan sebuah hadith yang diajarkan oleh Baginda SAW kepada kita semua untuk diucapkan sebelum kita meninggalkan dunia ini, iaitu daripada Mu’az bin Jabal, bahawa Nab SAW bersabda:

من كان أخِرُ كَلَامِهِ لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ دَخَلَ الْجَنَّةَ

Maksudnya: “Barangsiapa yang ucapan terakhirnya (Tidak ada Tuhan melainkan daripada Allah).”

Riwayat Abu Dawud (3116)

Untuk menjawab persoalan ini, maka kami ingin nukilkan pendapat daripada al-Hafiz Ibn Hajar al-Asqalani yang mana beliau menukilkannya daripada al-Suhaili bahawa di antara hikmah Nabi SAW mengucapkan kalimah (Ya Allah Kekasih Yang Tertinggi sebelum Baginda SAW menghembuskan nafasnya yang terakhir adalah kerana kalimah tersebut mengandung tauhid (iaitu mengesakan Allah) dan ia (tauhid) diucapkan di dalam hati. Ini menunjukkan rukhsah (keringanan) kepada orang lain bahawa tidak disyaratkan untuk mengucapkannya (kalimah tauhid) dengan lisan (lidah). Kadang-kadang, sebahagian manusia tidak mampu atau terhalang daripada mengucapnya dengan lidah dan ini sebenarnya tidaklah memudaratkannya jika hatinya terkandung kalimah tauhid tersebut. (Lihat Fath al-Bari, 8/138)

Justeru, kita memahami bahawa tidak disyaratkan untuk menyebut kalimah tauhid dengan lidah ketika seseorang itu ing meninggal dunia, bahkan yang paling penting adalah kalimah tersebut perlulah tersemat di dalam hatinya kerana iman adalah di dalam hati, Lidah atau lisan hanya sebagai perantara untuk menterjemahkan apa yang ada di dalam hati.

Juga kami katakan, saat Rasulullah SAW sakit, Rasulullah SAW juga menyebut kalimah tauhid:

لا إله إلا الله، إِنَّ لِلْمَوْتِ سكرات

Maksudnya: “Tidak ada tuhan yang berhak disembah melainkan Allah, Sesungguhnya kematian itu adalah sakarah (seolah-olah mabuk akibat sakit yang amat).”

Marilah sama-sama kita berdoa semoga kita diberikan kurniaan kematian dalam husnul khatimah serta pengakhiran dengan amalan yang baik.

اللَّهُمَّ اجْعَلْ خَيْرَ أَعْمَارِنَا أَوَاخِرَهَا، وَخَيْرَ أَعْمَالِنَا خَوَاتِمَهَا، وَاجْعَلْ خَيْرَ أَيَّامِنَا يَوْمَ نَلْقَاكَ

Maksudnya: “Ya Allah! Jadikanlah sebaik-baik umur kami adalah pada penghujungnya, dan sebaik-baik amalan kami sebagai penutupnya. Dan jadikanlah sebaik-baik hari kami, adalah hari dimana kami berjumpa dengan-Mu kelak.”

Wallahu a’lam

Bertarikh: 8 September 2023 bersamaan 22 Safar 1445

Leave a Reply