#299 Meniru dalam Peperiksaan

Soalan:         

Assalamualaikum w.b.t. Adakah berdosa meniru dalam peperiksaan? Mohon pencerahan.

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t.

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تَخُونُوا اللَّهَ وَالرَّسُولَ وَتَخُونُوا أَمَانَاتِكُمْ وَأَنتُمْ تَعْلَمُونَ

Maksudnya:Wahai orang yang beriman! Janganlah kamu mengkhianati (amanah) Allah dan Rasul-Nya, dan (janganlah) kamu mengkhianati amanah-amanah kamu, sedang kamu mengetahui (salahnya).[1]

Al-Maraghi menjelaskan bahawa larangan mengkhianati amanah Allah iaitu dengan mengabaikan perintah Allah, melanggar larangan-Nya serta melampaui batasan agama. Begitu juga larangan mengkhianati Rasulullah SAW dengan cara tidak mengikuti penjelasan yang diberikan oleh Baginda tetapi mengambil atau berpegang dengan penjelasan hawa nafsunya, pendapat gurunya, bapanya atau perintah pemerintahnya. Bukan itu sahaja, pengkhianatan kepada Rasulullah SAW juga adalah dalam bentuk tidak mengikuti sunnah Baginda, sebaliknya mengikuti sunnah bapanya atau pemimpinnya yang mendakwa mereka lebih mengetahui apa yang dikehendaki Allah dan Rasul-Nya.

Kemudian, dijelaskan juga akan larangan mengkhianati amanah sesama manusia dalam segala jenis urusan melibatkan urusan muamalat, akhlak dan aspek sosial. Begitu juga larangan mengkhianati pemerintah dalam perihal politik dan juga peperangan kerana perbuatan itu boleh memberi manfaat kepada pihak musuh. Justeru, dalam konteks larangan mengkhianati amanah sesama manusia, khianat terhadap amanah dalam pembelajaran dan pekerjaan turut dilarang oleh Allah SWT.[2]

Meniru dalam peperiksaan

Secara umumnya, perbuatan meniru dalam peperiksaan termasuk dalam perbuatan menipu dan perbuatan menipu adalah haram serta pelakunya dianggap berdosa. Hal ini adalah berdasarkan kepada sebuah hadith daripada Abu Hurairah R.A, bahawa Nabi SAW melalui tempat timbunan makanan (yang dijual). Lalu Baginda memasukkan tangannya ke dalam timbunan tersebut. Tiba-tiba di dalamnya basah — yakni rosak.  Maka Baginda bertanya: “Apa ini wahai tuan makanan?” Dia menjawab: “Ia terkena hujan, Wahai Rasulullah.” Baginda bersabda:

أَفَلَا جَعَلْتَهُ فَوْقَ الطَّعَامِ كَيْ يَرَاهُ النَّاسُ، مَنْ غَشَّ فَلَيْسَ مِنِّي

Maksudnya:Kenapa kamu tidak meletakkannya di atas supaya orang ramai boleh melihatnya? Sesiapa yang menipu, maka dia bukan daripada kalanganku.”[3]

Dalam riwayat Muslim yang lain datang dengan lafaz:

وَمَنْ غَشَّنَا فَلَيْسَ مِنَّا

Maksudnya: “Dan sesiapa yang menipu kami, maka dia bukan daripada kalangan kami.”[4]

Syams al-Haq al-‘Azim Abadi menukilkan daripada al-Khattabi, beliau menyebutkan bahawa hadith di atas bermaksud bukan berada di atas jalan dan mazhab kami (yakni panduan Nabi SAW). Dalam erti kata lain, sesiapa yang menipu saudaranya dan meninggalkan untuk menasihatinya, maka sesungguhnya dia telah meninggalkan petunjuk Baginda dan tidak berpegang dengan sunnah Baginda. Namun, terdapat sebahagian ulama berpendapat maksudnya ialah menafikannya daripada Islam. Akan tetapi takwilan ini tidak benar kerana makna yang dikehendaki daripada hadith tersebut ialah mengikuti panduan dan sunnah Nabi SAW. Hal ini dikuatkan lagi melalui firman Allah SWT:

فَمَن تَبِعَنِي فَإِنَّهُ مِنِّي ۖ وَمَنْ عَصَانِي فَإِنَّكَ غَفُورٌ رَّحِيمٌ

Maksudnya:Oleh itu, sesiapa yang menurutku (dalam Islam yang menjadi peganganku) maka ia adalah daripada golonganku; dan sesiapa yang menderhaka kepadaku (dengan menyalahi agamaku), maka sesungguhnya engkau Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani (kiranya ia insaf dan bertaubat).[5]

Oleh itu, hadith ini menjadi dalil yang menunjukkan bahawa haramnya pebuatan menipu dan perkara tersebut telah disepakati.[6] Maka, jelaslah kepada kita bahawa perbuatan menipu itu bukan daripada ajaran Islam. Seseorang boleh mendakwa dan menganggap bahawa perbuatan meniru itu hanyalah perkara kecil yang tidak perlu diperbesarkan. Hakikatnya, perbuatan menipu itulah antara punca utama yang menyebabkan timbulnya pelbagai masalah dan barah dalam masyarakat seperti budaya rasuah yang berleluasa, penipuan sijil dan seumpamanya, sehingga akhirnya orang yang bukan berkeahlian memegang jawatan penting dalam masyarakat, lalu membawa kepada kebinasaan.

Tambahan pula, dengan beranggapan bahawa budaya meniru atau menipu dalam peperiksaan ini hanyalah suatu perkara kecil, dikhuatiri kelak ia dianggap sebagai suatu perkata yang biasa tanpa lagi ada rasa bersalah. Hal ini adalah sebagaimana riwayat daripada Abdullah R.A, daripada Nabi SAW, Baginda bersabda:

إِنَّ الصِّدْقَ يَهْدِي إِلَى البِرِّ، وَإِنَّ البِرَّ يَهْدِي إِلَى الجَنَّةِ، وَإِنَّ الرَّجُلَ لَيَصْدُقُ حَتَّى يَكُونَ صِدِّيقًا. وَإِنَّ الكَذِبَ يَهْدِي إِلَى الفُجُورِ، وَإِنَّ الفُجُورَ يَهْدِي إِلَى النَّارِ، وَإِنَّ الرَّجُلَ لَيَكْذِبُ حَتَّى يُكْتَبَ عِنْدَ اللَّهِ كَذَّابًا

Maksudnya:Sesungguhnya kejujuran itu membawa kepada kebaikan dan kebaikan itu membawa kepada syurga. Sesungguhnya seseorang itu sentiasa berlaku jujur sehingga dia ditulis di sisi Allah sebagai seorang yang jujur. Sesungguhnya pendustaan itu membawa kepada kejahatan, dan kejahatan itu membawa kepada Neraka. Sesungguhnya seseorang itu sentiasa berdusta sehingga dia ditulis di sisi Allah sebagai seorang pendusta.”[7]

Al-Nawawi menyebutkan bahawa hadith di atas mengandungi galakan kepada setiap insan untuk bersifat dengan sifat benar dan melaziminya, serta larangan daripada berdusta dan bermudah-mudah dengannya. Hal ini kerana jika terlalu bermudah-mudah dengan sifat menipu ini, lama kelamaan akan menjadi biasa — sehingga layak ditulis sebagai seorang penipu.[8]

Kesimpulannya

Berdasarkan kepada perbahasan dan penghujahan di atas, meniru dalam peperiksaan termasuk dalam perbuatan menipu yang dilarang dalam agama dan berdosa. Lebih-lebih lagi, perbuatan meniru ini juga memberikan kesan buruk kepada diri sendiri, masyarakat dan negara.

Pada kesempatan ini, kami juga ingin menasihati buat mereka yang sudah terlanjur melakukannya untuk sama-sama menginsafi apa yang telah berlaku dan bertaubat kepada Allah SWT dengan sebenar-benar taubat, di samping memperbanyakkan zikir serta beristighfar kepada-Nya.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Ameen.

Wallahu a‘lam.

Bertarikh: 14 Januari 2022 bersamaan 11 Jamadil Akhir 1443H

[1] Surah al-Anfal: 27

[2] Lihat Tafsir al-Maraghi, 9/191-194.

[3] Riwayat Muslim (102); Riwayat Ibn Hibban (4905) dan Syu‘aib al-Arna’ut menyatakan bahawa sanad hadith ini sahih mengikut syarat Muslim.

[4] Riwayat Muslim (101)

[5] Surah Ibrahim: 36

[6] Lihat ‘Aun al-Ma‘bud, 9/231;

[7] Riwayat al-Bukhari (6094)

[8] Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 16/160.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *