#3 Usia Nabi Nuh A.S

Soalan:         

Assalamualaikum w.b.t. Berapakah usia sebenar Nabi Nuh A.S? Saya dengar ada yang kata 950 tahun dan ada juga yang kata 1000 tahun. Jadi, yang mana betul? Mohon pencerahan.

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t.

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

وَلَقَدْ أَرْسَلْنَا نُوحًا إِلَىٰ قَوْمِهِ فَلَبِثَ فِيهِمْ أَلْفَ سَنَةٍ إِلَّا خَمْسِينَ عَامًا فَأَخَذَهُمُ الطُّوفَانُ وَهُمْ ظَالِمُونَ

Maksudnya:Dan sesungguhnya Kami telah mengutus Nabi Nuh kepada kaumnya, maka tinggallah dia dalam kalangan mereka selama sembilan ratus lima puluh tahun; akhirnya mereka dibinasakan oleh taufan sedang mereka berkeadaan zalim (dengan kufur derhaka).”[1]

Di dalam ayat ini terkandung peneguhan hati buat Nabi Muhammad SAW; seolah-olah dikatakan kepadanya, “Sesungguhnya Nabi Nuh hidup di dunia selama 950 tahun untuk berdakwah dan menyeru kaumnya, tetapi tidak ada yang beriman dengannya dalam kalangan mereka kecuali sedikit sahaja. Justeru, engkau — wahai Muhammad — lebih patut untuk bersabar kerana umur engkau lebih singkat daripadanya dan jumlah umat engkau lebih banyak.”[2]

Siapakah Nabi Nuh A.S?

Beliau ialah nabi Allah, Nuh bin Lamik bin Matusyalakh bin Khanukh; dan Khanukh pula ialah nabi Allah, Idris A.S.[3]

Nabi Nuh A.S diutuskan oleh Allah SWT pada saat manusia menyembah berhala dan thaghut, serta mereka menyeru kepada kesesatan dan kekufuran. Oleh itu, Allah SWT mengutuskan Nabi Nuh A.S kepada mereka sebagai sebahagian daripada rahmat-Nya. Begitulah juga, Nabi Nuh A.S ialah rasul yang pertama diutuskan ke bumi sebagaimana yang dikatakan oleh ahli Mahsyar pada hari kiamat kelak.  Hal ini adalah berdasarkan riwayat daripada Anas bin Malik R.A, bahawa Nabi SAW bersabda:

يَجْتَمِعُ المُؤْمِنُونَ يَوْمَ القِيَامَةِ، فَيَقُولُونَ: لَوِ اسْتَشْفَعْنَا إِلَى رَبِّنَا، فَيَأْتُونَ آدَمَ فَيَقُولُونَ: أَنْتَ أَبُو النَّاسِ، خَلَقَكَ اللَّهُ بِيَدِهِ، وَأَسْجَدَ لَكَ مَلاَئِكَتَهُ، وَعَلَّمَكَ أَسْمَاءَ كُلِّ شَيْءٍ، فَاشْفَعْ لَنَا عِنْدَ رَبِّكَ حَتَّى يُرِيحَنَا مِنْ مَكَانِنَا هَذَا، فَيَقُولُ: لَسْتُ هُنَاكُمْ، وَيَذْكُرُ ذَنْبَهُ فَيَسْتَحِي، ائْتُوا نُوحًا، فَإِنَّهُ أَوَّلُ رَسُولٍ بَعَثَهُ اللَّهُ إِلَى أَهْلِ الأَرْضِ

Maksudnya:Orang-orang yang beriman akan berkumpul pada Hari Kiamat, dan mereka berkata: ‘Kalaulah kita boleh mencari seseorang yang menjadi perantara untuk memohon syafaat daripada Tuhan kita?’ Lalu mereka pergi kepada Adam A.S dan berkata: ‘Engkau bapa manusia, Allah menciptakanmu dengan tangan-Nya, memerintahkan para malaikat-Nya untuk sujud kepadamu, dan mengajarkanmu nama-nama semua benda, mintalah syafaat untuk kami di sisi Tuhanmu agar Dia merehatkan kami dari tempat kami ini.’ Adam A.S berkata: ‘Aku bukanlah orang yang tepat untuk kamu,’ dan Baginda menyebut dosanya sehingga Baginda merasa malu. ‘Pergilah kamu kepada Nuh A.S, sesungguhnya dialah rasul pertama yang diutus Allah kepada penduduk bumi.’[4]

Pendapat ulama berkaitan usia Nabi Nuh A.S

Para ulama telah berselisih pendapat mengenai perkara ini. Antaranya ialah:

  1. Pendapat Qatadah, beliau menyebutkan, dikatakan umur Nabi Nuh A.S hidup ialah 950 tahun. Hal ini kerana Baginda hidup sebelum berdakwah kepada kaumnya selama 300 tahun, berdakwah kepada kaumnya selama 300 tahun dan hidup selepas peristiwa banjir besar selama 50 tahun. Menurut Ibn Kathir, pendapat ini merupakan pendapat yang ganjil kerana zahir daripada nas ayat al-Quran menunjukkan Nabi Nuh A.S telah hidup menetap bersama kaumnya dan berdakwah kepada mereka selama 950 tahun.[5]
  2. Dinukilkan juga daripada Qatadah bahawa Allah SWT telah mengutuskan Nabi Nuh A.S kepada kaumnya dan menetap bersama mereka selama 950 tahun, kemudian hidup selepas taufan atau peristiwa banjir besar selama 60 tahun. Maka, dikatakan itulah jumlah keseluruhan umurnya.[6]
  3. Pendapat Ibn Abbas R.Anhuma yang menyatakan bahawa Nabi Nuh A.S hidup selama 1050 tahun. Hal ini kerana Allah SWT telah mengutuskan Nabi Nuh A.S kepada kaumnya ketika berusia 40 tahun dan Baginda menyeru kaumnya selama 950 tahun. Kemudian, beliau hidup selepas daripada taufan atau peristiwa banjir besar, selama 60 tahun apabila manusia mula ramai dan bertebaran.[7]
  4. Manakala Ka‘ab bin Ahbar R.A pula menyatakan bahawa Nabi Nuh A.S menyeru kaumnya selama 950 tahun dan hidup selepas daripada itu selama 70 tahun. Justeru, umur keseluruhannya ialah 1020.[8]
  5. Daripada ‘Ikrimah R.A bahawa umur Nabi Nuh A.S sebelum diutuskan dan selepas diutuskan kepada kaumnya ialah 1700 tahun.[9]
  6. Wahb bin Munabbih pula berpendapat bahawa umur Nabi Nuh A.S ialah 1400 tahun.[10]
  7. Pendapat ‘Aun bin Abu Syaddad R.A, beliau menyebutkan bahawa umur Nabi Nuh AS ialah 1650 tahun. Hal ini kerana Allah SWT mengutus Nabi Nuh A.S kepada kaumnya ketika berusia 350 tahun dan Nabi Nuh A.S menyeru kaumnya selama 950 tahun. Kemudian, Baginda hidup selepas daripada itu selama 350 tahun. Menurut Ibn Kathir, pendapat ini juga adalah pendapat yang ganjil.[11]
  8. Ada juga ulama yang berpendapat bahawa keseluruhan umur Nabi Nuh ialah 950 tahun iaitu umurnya sebelum berdakwah kepada kaumnya ialah 300 tahun, kemudian berdakwah kepada kaumnya selama 300 tahun dan hidup selepas peristiwa taufan atau banjir besar selama 350 tahun.[12]
  9. Terdapat pendapat yang menyatakan bahawa umur Nabi Nuh A.S ialah 1450 tahun dan Baginda diutuskan ketika berusia 250 tahun.[13]
  10. Ulama yang tidak menentukan usianya ketika wafat tetapi memadai apa yang disebut di dalam Quran yakni tempohnya menyampaikan risalah kepada kaumnya iaitu selama 950 tahun.[14]

Kesimpulannya

Setelah kami meneliti dan menekuni pendapat-pendapat di atas, kami berpendapat bahawa tempoh yang diketahui hanyalah tempoh di mana Nabi Nuh A.S berdakwah kepada kaumnya iaitu selama 950 tahun berdasarkan nas daripada al-Quran. Adapun umurnya sebelum daripada itu, mahupun selepas daripada peristiwa banjir besar tidak dapat dipastikan secara tepat. Sekalipun begitu, perkara yang lebih utama adalah faedah yang dapat kita ambil daripada penyebutan tempoh masa ini — yakni tempoh Nabi Nuh menyampaikan risalah kepada kaumnya — bahawa ia menunjukkan kepada kesabarannya yang tinggi terhadap gangguan kaumnya dan istiqamahnya dalam menyampaikan dakwah Ilahi sebagai peneguhan hati buat kita semua, lebih-lebih lagi kepada mereka yang berada di medan dakwah.

Begitu juga Nabi Nuh A.S merupakan antara nabi dan rasul yang dikurniakan oleh Allah SWT usia yang panjang. Di samping itu, Baginda juga diberikan gelaran dan kedudukan yang istimewa disebabkan kesabarannya dalam menyampaikan agama Allah SWT selama 950 tahun. Akhirnya, semoga Allah SWT memberi kita taufik dan hidayah-Nya dalam meneruskan kehidupan di dunia yang sementara ini.

Wallahua‘lam.

Bertarikh: 13 Januari 2022 bersamaan 10 Jamadil Akhir 1443H

[1] Surah al-‘Ankabut: 14

[2] Lihat Zubdah al-Tafasir min Fath al-Qadir oleh al-Asyqar, hlm. 522

[3] Lihat ‘Umdah al-Qari, 15/216; 15/224.

[4] Riwayat al-Bukhari (4476)

[5] Lihat Tafsir Ibn Kathir, 6/268; Tafsir Ibn Abi Hatim, 9/3041.

[6] Lihat Tafsir Ibn Abi Hatim, 9/3041.

[7] Lihat Tafsir Ibn Kathir, 6/268; Tafsir al-Baghawi, 6/236; Tafsir al-Naisaburi, 5/374; Tafsir al-‘Izz bin ‘Abd al-Salam, 2/507; Tafsir al-Dur al-Manthur, 6/455; Tafsir Ibn Abi Hatim, 9/3041; Tafsir al-Khazin, 3/377; Tafsir al-Sam‘ani, 4/171.

[8] Lihat Tafsir Ibn Abi Hatim, 9/3041; Tafsir al-‘Izz bin ‘Abd al-Salam, 2/507.

[9] Lihat Tafsir al-Dur al-Manthur, 6/456.

[10] Lihat Tafsir al-Qurtubi, 13/332; Tafsir al-Naisaburi, 5/374.

[11] Lihat Tafsir Ibn Kathir, 6/268; Tafsir al-‘Izz bin ‘Abd al-Salam, 2/507; Tafsir al-Tabari, 20/17.

[12] Lihat Tafsir al-‘Izz bin ‘Abd al-Salam, 2/507.

[13] Lihat Tafsir al-Sam‘ani, 4/171.

[14] Lihat al-Tahrir wa al-Tanwir, 20/222; Fi Zilal al-Quran, 5/2727.

Siri Solat Sunat

Solat Tawaf

Rated 0 out of 5
RM5.00

Siri Solat Sunat

Solat Wuduk

Rated 0 out of 5
RM5.00

Siri Solat Sunat

Solat Sunat Nikah

Rated 0 out of 5
RM5.00
-73%

Siri Solat Sunat

9 eBook Siri Solat Sunat

Rated 0 out of 5
RM12.00RM62.00

Siri Solat Sunat

Solat Sunat Taubat

Rated 0 out of 5
RM5.00

Siri Solat Sunat

Solat Sunat Tasbih

Rated 0 out of 5
RM5.00
Rated 0 out of 5
RM5.00
Rated 0 out of 5

Leave a Reply

Your email address will not be published.