Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Boleh Dato’ Seri terangkan kepada kami apakah istinbat dan tafsir dari ayat 66 surah al-Kahfi?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami katakan ia terkait dengan adab bagaimana sepatutnya murid atau penuntut ilmu berinteraksi dengan gurunya. Firman Allah SWT:

قَالَ لَهُ مُوسَىٰ هَلْ أَتَّبِعُكَ عَلَىٰ أَن تُعَلِّمَنِ مِمَّا عُلِّمْتَ رُشْدًا

Maksudnya: “Nabi Musa berkata kepadanya: Bolehkah aku mengikutmu, dengan syarat engkau mengajarku dari apa yang telah diajarkan oleh Allah kepadamu, ilmu yang menjadi petunjuk bagiku?”

(Surah al-Kahfi: 66)

Imam al-Fakhr al-Razi menjelaskan: Ayat ini menunjukkan bahawa Musa A.S meraikan pelbagai adab dan kesopanan ketika mana beliau ingin belajar daripada Khadhir. Antaranya:

  • Nabi Musa AS menganggap dirinya sebagai pengikut ilmu kepada Nabi Khadhir AS (هَلْ أَتَّبِعُكَ عَلَىٰ أَن تُعَلِّمَنِ)
  • Nabi Musa AS meminta izin kepada Nabi Khadhir AS untuk menyandarkan keperguruan tersebut (المُتَابَعَة), ini adalah kemuncak sebuah tawadhuk.
  • Nabi Musa AS mengakui kejahilan pada dirinya, dan mengiktiraf keilmuan sang guru ( عَلَى أَن تُعَلِّمَنِ) .
  • Rendah diri Nabi Musa AS tatkala beliau berkata (مِمَّا عُلِّمْتَ) bahawa dia hanya meminta diajarkan sebahagian dari ilmu yang telah diberikan Allah kepada Nabi Khadhir AS, tidak menunjukkan mahu setanding keseluruhan ilmu sang guru.
  • Kata Nabi Musa AS (مِمَّا عُلِّمْتَ) juga adalah iktiraf bahawa Allah yang mengajarkan ilmu kepada Nabi Khadhir AS.
  • Menyifatkan ilmu yang mahu diwarisi itu adalah bersifat petunjuk ( رُشْدًا).
  • Nabi Musa AS menzahirkan kemahuan agar kaedah ilmu yang beliau kehendaki itu seumpama cara bagaimana Allah mengurniakan nikmat ilmu kepada Khadhir
  • Menyandarkan diri sebagai mengikut orang lain (هَلْ أَتَّبِعُكَ), menunjukkan adab pelajar untuk menyerahkan segalanya kepada sang guru ketika awal pengajian, tanpa gopoh membantah.
  • Nabi Musa AS akui dahulu bahawa dirinya hanyalah pengikut yang sedia berkhidmat (هَلْ أَتَّبِعُكَ), kemudian barulah ( أن تُعَلِّمَنِ) memohon untuk belajar.
  • Nabi Musa AS tidak punya kepentingan lain di sebalik menyandarkan keperguruan seperti mahukan termasuk harta dan kedudukan, melainkan hanya mahu menuntut ilmu.

(Lihat Mafatih al-Ghaib, 15/88-89 seperti dalam Ma’alim Irsyadiyyah li Sina’ah Talib al-‘Ilm oleh Syeikh Muhammad ‘Awwamah, hlm. 228-231)

Selain itu, antara adab-adab dengan syeikh (guru) juga ialah:

  • Jangan membenci guru.
  • Jangan memaki guru.
  • Jangan sakiti guru.
  • Jangan sakiti hatinya.
  • Jangan takbur dan sombong guru.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ أَحْسِنْ عَاقِبَتَنَا فِي الْأُمُورِ كُلِّهَا ، وَأَجِرْنَا مِنْ خِزْيِ الدُّنْيَا وَعَذَابِ الْآخِرَةِ

Maksudnya: “Wahai Allah! Perelokkanlah kesudahan segala urusan kami, serta lindungilah kami daripada kenistaan hidup di dunia dan seksaan hidup di akhirat.”

Riwayat Ahmad (17628), al-Tabarani dalam al-Du’a (1436), al-Baihaqi dalam al-Da’awat al-Kabir (269) dan al-Hakim dalam al-Mustadrak (6508)

Bertarikh: 12 September 2023 bersamaan 26 Safar 1445

Leave a Reply