Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. saya ada persoalan. sekiranya pihak sekolah ingin menjemput unit K9 untuk membuat program di sekolah yang mana warga sekolah 100% Muslim, apakah yang perlu dibuat setelah selesai program tersebut? Perlu sertu tempat yang dilalui oleh anjing-anjing tersebut seperti koridor, dewan (tempat program) dan sebagainya? sekiranya murid telah memijak/melalui tempat-tempat tersebut apakah hukumnya? Terima kasih Dato’ Seri. Jazakallah

Jawapan

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

 Unit K9

Unit Pengesan (K9) Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan juga bomba ditubuhkan selaras dengan keperluan menggunakan keistimewaan deria tajam haiwan dalam membantu siasatan polis dan bomba.

Tugas dan tanggungjawab Unit K9 PDRM/ Bomba merangkumi:

  • Mengesan dan menangkap penjenayah.
  • Mengawal perhimpunan jaga aman.
  • Membuat serang hendap /serbuan operasi khas.
  • Tugas ronda pencegahan jenayah.
  • Mencari dan menyelamatkan orang hilang.
  • Membuat tugas kawalan dan eskot.
  • Mengesan najis dadah.
  • Mengesan bahan letupan dan pembersihan (‘Flushing’).
  • Mengesan mayat, anggota badan dan darah manusia. (Lihat Portal Rasmi Polis Diraja Malaysia, Portal Balai Bomba dan Penyelamat Tangkak[1])[2]

 

Berkenaan isu anjing ini, kami telah jawab dalam artikel sebelum ini:

#1647: Sertu Atau Samak Rumah Selepas Banjir?[3]

 

Hukum Berkaitan Anjing

Pada asasnya, menurut mazhab Syafi‘i, anjing keseluruhannya adalah najis, tidak kira anjing terlatih atau selainnya, anjing kecil atau besar. Ini juga merupakan pendapat al-Auza‘i, Abu Hanifah, Ahmad, Ishaq, Abu Thaur dan Abu ‘Ubaid. Hal ini adalah berdasarkan kepada riwayat daripada Abu Hurairah R.A, bahawa Rasululullah SAW bersabda:

طَهُورُ إِنَاءِ أَحَدِكُمْ إِذَا وَلَغَ فِيهِ الْكَلْبُ، أَنْ يَغْسِلَهُ سَبْعَ مَرَّاتٍ أُولَاهُنَّ بِالتُّرَابِ

Maksudnya:Sucinya bekas salah seorang di antara kamu apabila ia (bekas) dijilat anjing adalah dengan cara membasuhnya sebanyak tujuh kali dan (basuhan) yang pertama dengan tanah.”

Riwayat Muslim (279)

Hadith ini juga jelas menunjukkan kepada kenajisan anjing. Hal ini kerana kesucian itu datang selepas daripada hadas atau najis. Maka, dalam konteks di sini kesucian bekas itu daripada hadas adalah tidak mungkin. Justeru, jelaslah bahawa bekas itu disucikan daripada najis. (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 2/567-568).

Selain daripada itu, kenajisan anjing juga dikategorikan sebagai najis mughallazah — yakni najis jenis yang berat. Dalil menunjukkan najis ini jenis yang berat ialah ia tidak memadai membasuhnya dengan air sekali sahaja seperti najis-najis yang lain. Dalam hal ini, ia mestilah dibasuh dengan air sebanyak tujuh kali, dan satu daripadanya dengan air tanah. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 1/40). Selain itu, Ibn Qudamah menyebutkan, tidak ada khilaf dalam mazhab Hanbali bahawa kenajisan anjing wajib dibasuh sebanyak tujuh kali basuhan dan salah satunya adalah dengan tanah. Ini juga merupakan pendapat dalam mazhab al-Syafi‘i. (Lihat al-Mughni, 1/73).

Berbalik kepada soalan di atas, kami nyatakan tidak perlu untuk menyertu seluruh tempat yang dilalui anjing terlatih tersebut kecuali jelas kelihatan ain najis , maka ia perlu disertu. Keduanya, sekiranya anjing-anjing tersebut dalam keadaan kering, maka tidak perlu disertu kerana tidak berlaku perpindahan najis. Namun, sekiranya salah satunya (anjing atau orang yang menyentuh) dalam keadaan basah, maka ketika itu najis telah berpindah dan perlu disertu. Ketiga, berkaitan pelajar yang memijak laluan yang telah dilalui anjing tersebut, kami nyatakan tidak perlu bagi seluruh pelajar menyertu kasut mereka. Akan tetapi, nasihat kami terhadkanlah kawasan untuk dilalui oleh anjing terlatih tersebut agar sifat was-was di kemudian hari dapat dibendung.

Kami juga berpendapat jika tempat pemeliharaan anjing unit K9 adalah banyak dan sukar dikawal untuk membersihnya, sedangkan keperluan mendesak pada masa kini, maka, dibolehkan untuk bertaqlid kepada mazhab yang lain iaitu mazhab Maliki. Kes ini adalah kes yang khas dan keperluannya termasuk dalam kategori darurat untuk mencegah dan mengesan jenayah.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Ameen.

Wallahu a‘lam.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”

 

[1] https://firefightermalaysia.wordpress.com/kenali-unit-unit-bomba/

[2] https://www.rmp.gov.my/news-detail/2015/11/07/unit-k9-pdrm

[3] https://maktabahalbakri.com/1647-sertu-atau-samak-rumah-selepas-banjir/

Bertarikh: 12 September 2023 bersamaan 26 Safar 1445

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *