Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Boleh terangkan perincian dan susunan siapa yang lebih utama menjadi imam solat berjemaah di masjid dan surau. Adakah lebih afdhal memuliakan Hafiz al-Quran dari imam rawatib?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Imam yang dipilih untuk mengimamkan solat hendaklah yang paling baik bacaan al-Qurannya sebagaimana riwayat daripada Abu Mas’ud al-Ansari R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:

يَؤُمُّ الْقَوْمَ أَقْرَؤُهُمْ لِكِتَابِ اللَّهِ فَإِنْ كَانُوا فِي الْقِرَاءَةِ سَوَاءً فَأَعْلَمُهُمْ بِالسُّنَّةِ فَإِنْ كَانُوا فِي السُّنَّةِ سَوَاءً فَأَقْدَمُهُمْ هِجْرَةً فَإِنْ كَانُوا فِي الْهِجْرَةِ سَوَاءً فَأَقْدَمُهُمْ سِلْمًا

Maksudnya:Yang menjadi imam kepada sesebuah kaum itu adalah mereka yang paling mahir terhadap Kitab Allah (al-Quran). Sekiranya mereka setanding dalam bacaan maka (dahulukan) yang paling berilmu tentang al-Sunnah (untuk menjadi imam). Sekiranya pengetahuan mereka terhadap Sunnah itu sama maka yang menjadi imam adalah mereka yang paling awal berhijrah. Sekiranya mereka sama dalam berhijrah pula dahulukanlah mereka yang paling awal memeluk agama Islam.”

Riwayat Muslim (673)

Imam al-Nawawi dalam mensyarahkan hadis ini menyebut : “Sesungguhnya individu yang paling warak didahulukan ke atas orang yang faqih dan lebih mahir tentang al-Quran. Ini kerana tujuan dari menjadi imam itu akan terhasil lebih banyak dari orang yang warak berbanding selainnya.” (Lihat Syarh al-Nawawi ‘ala Sahih Muslim, 5/173).

Hadith ini menunjukkan bahawa mereka yang dipilih menjadi imam adalah mereka yang paling wara’, yang paling baik bacaannya, yang paling faqih dan seumpamanya.

Ibn Qudamah berkata: “Turutan untuk mendahulukan menjadi imam ini adalah galakan dan anjuran, bukannya syarat dan kewajipan dan kami tidak mengetahui akan perbezaan pendapat padanya. Sekiranya yang didahulukan itu yang rendah turutannya, maka ia diharuskan kerana perkara ini melibatkan adab dan juga galakan. (Lihat al-Mughni, 3/17)

Berdasarkan hadith ini juga, para ulama’ mazhab al-Syafi’i telah pun menulis hal ini di dalam kitab-kitab mereka. Berikut merupakan susunan orang yang layak menjadi imam ketika ketiadaan imam khusus yang dilantik masjid menurut Ibn Naqib al-Masri di dalam kitabnya Umdah al-Salik:

  • Yang paling faqih (iaitu yang paling mengetahui dan memahami) hukum-hakam syariah Islam, terutamanya perkara yang berkaitan solat seperti sah dan batalnya solat dan lain-lain.
  • Yang paling baik bacaan al-Quran
  • Yang paling warak (iaitu mereka yang menjauhi syubhah)
  • Yang paling awal berhijrah ke kerajaan islam madinah dan anak cucunya
  • Yang paling awal memeluk islam
  • Yang mulia nasabnya atau keturunan mengikut turutan bermula daripada bani hashim, bani muthalib, kemudian diikuti quraish, kemudian bangsa arab, diutamakan anak orang yang soleh dan alim daripada yang disebutkan dari nasab
  • Yang paling baik keperibadian
  • Yang paling bersih tubuh badan dan pakaian
  • Yang paling lunak suara
  • Yang paling baik penampilan (Lihat Umdah al-Salik, hlm. 128):

Menjawab persoalan di atas, kami katakan bahawa sekiranya masjid atau surau tersebut mempunyai imam rawatib, maka tidak boleh bagi sesiapapun menggantikan tempatnya melainkan dengan keizinannya walaupun dia seorang hafiz al-Quran yang mahir membaca al-Quran dengan baik. Namun, sekiranya masjid atau surau tersebut tidak mempunyai imam rawatib ataupun imam rawatib tidak hadir setelah ditunggu dengan tempoh yang sangat lama, maka seseorang yang mahir membaca al-Quran untuk boleh mengimamkan solat berjemaah di tempat tersebut. Hal ini kerana menurut syara’, orang yang perlu didahulukan menjadi imam adalah orang yang paling baik bacaan al-Qurannya, yang mengetahui hukum hakam solatnya, yang paling baik dalam mengamalkan sunnahnya. Tetapi sekiranya terdapat pertikaian dalam hal ini, hendaklah ia diadili oleh orang yang alim dan mempunyai hikmah yang diterima oleh orang ramai. Solat berjemaah yang disyariatkan untuk menyatukan hati, tidak boleh menjadi punca perpecahan dan perselisihan faham, yang menjadi punca kehancuran.

Kesimpulan

Sebagai kesimpulan, kami katakan bahawa seorang hafiz al-Quran yang baik bacaannya tidak boleh mendahului imam rawatib dalam mengimamkan solat. Hal ini kerana imam rawatib ini kedudukannya sama seperti tuan rumah. Ibn Qudamah berkata: “Imam masjid yang tetap (rawatib) di situ memegang kedudukan seperti tuan rumah, tidak dibenarkan kepada sesiapa untuk menjadi imam di dalamnya tanpa izinnya. (Lihat al-Kafi, 1/186)

Syeikh Muhammad bin Soleh al-’Uthaimin berkata: “Imam yang mana setiap kali dia lebih lancar dan mahir dalam membaca Kitab Allah dan lebih memahami agama Allah, adalah lebih layak daripada yang lain, sebagaimana sabda Nabi SAW: “Yang menjadi imam kepada sesebuah kaum itu adalah mereka yang paling mahir terhadap Kitab Allah (al-Quran). Sekiranya mereka setanding dalam bacaan maka (dahulukan) yang paling berilmu tentang al-Sunnah (untuk menjadi imam)”, kecuali jika seseorang berada di masjid yang memiliki imam tetap (imam rawatib), maka imam yang tetap adalah yang lebih berhak daripada yang lain.”(Lihat Fatawa Nur ‘ala al-Darb, 182/6)

Namun begitu, sekiranya tidak ada imam rawatib yang dilantik di masjid atau surau tersebut, maka seorang yang mahir dan baik bacaan al-Qurannya didahulukan untuk menjadi imam dalam solat jemaah sebagaimana yang diajar oleh Rasulullah SAW bahawa orang yang paling layak menjadi imam kepada sesebuah kaum itu adalah mereka yang paling mahir terhadap bacaan al-Quran dan faqih dalam hukum-hakam solat.

Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

رَبِّ اجْعَلْنِي مُقِيمَ الصَّلَاةِ وَمِن ذُرِّيَّتِي ۚ رَبَّنَا وَتَقَبَّلْ دُعَاءِ

Maksudnya: “Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku.”

(Surah Ibrahim: 40)

Bertarikh: 18 September 2023 bersamaan 3 Rabiulawwal 1445

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *