Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Baru-baru ini tular sebuah restoran nasi ayam claypot melalui media sosial yang dikatakan halal. Namun, tidak lama kemudian tular pula bahawa mereka ‘Rice Wine’ dalam masakan nasi ayam tersebut. Justeru, apakah hukum makanan yang menggunakan wine dalam masakan? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan mengemukakan terlebih dahulu secara ringkas mengenai wain beras atau rice wine ini. Wain beras adalah istilah umum bagi minuman beralkohol yang ditapai dan mungkin disuling daripada beras, yang secara tradisinya digunakan di Asia Timur, Asia Tenggara dan Asia Selatan. Wain beras dibuat melalui penapaian kanji beras yang telah ditukar kepada gula. Mikrob ialah sumber enzim yang menukarkan kanji kepada gula. Sake di Jepun, Mijiu di China, dan Cheongju dan Makgeolli di Korea adalah beberapa jenis wain beras yang paling terkenal.[1]

Seterusnya berkenaan hukumnya pula, arak merupakan najis dan dosa besar sekiranya melakukan aktiviti yang berkaitan dengannya. Sebagai umat Islam, kita diwajibkan untuk menjauhinya dan ini merupakan perintah Allah SWT melalui firman-Nya:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آَمَنُوا إِنَّمَا الْخَمْرُ وَالْمَيْسِرُ وَالْأَنْصَابُ وَالْأَزْلَامُ رِجْسٌ مِنْ عَمَلِ الشَّيْطَانِ فَاجْتَنِبُوهُ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ

Maksudnya: “Wahai orang yang beriman! Bahawa sesungguhnya arak, dan judi, dan pemujaan berhala, dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah, adalah (semuanya) kotor (keji) dari perbuatan syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya.”

(Surah al-Ma’idah: 90)

Jumhur ulama bersepakat tentang pengharaman meminum arak sama ada sedikit atau banyak. Ini kerana sifatnya yang memabukkan dan menyebabkan hilang ingatan untuk mengingati Allah SWT. (Lihat al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 5/15). Jelas sepertimana firman Allah SWT dalam ayat di atas sebagaimana yang kami telah nyatakan.

Selain itu mengikut mazhab Imam al-Syafi‘i, arak dan minuman yang memabukkan adalah najis. Ini jelas dalam ayat yang di atas pada perkataan Rijzun (رِجْسٌ), di mana dari segi bahasa ia bermaksud kotor atau najis. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 3/78).

Muzakarah Khas Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia yang membincangkan Isu Alkohol Dalam Makanan, Minuman, Pewangi Dan Ubat-Ubatan pada 14 hingga 16 Julai 2011 telah bersetuju memutuskan seperti berikut:

  • Setiap minuman arak adalah mengandungi alkohol. Walau bagaimanapun bukan semua alkohol itu adalah arak. Alkohol yang diperolehi dari proses pembuatan arak, hukumnya haram dan najis.
  • Manakala alkohol yang diperolehi bukan melalui proses pembuatan arak hukumnya tidak najis, tetapi haram (tidak boleh) diminum dalam bentuk aslinya kerana ia adalah racun dan boleh membunuh.
  • Minuman ringan yang diproses/dibuat bukan dengan tujuan untuk menghasilkan arak dan mempunyai alkohol di bawah aras 1%v/v adalah harus (boleh) diminum.
  • Manakala minuman ringan yang dibuat dengan niat dan cara yang sama seperti proses membuat arak, sama ada mengandungi banyak atau sedikit alkohol atau alkoholnya disuling adalah haram diminum.
  • Makanan atau minuman yang mengandungi alkohol secara semulajadi seperti buah-buahan, kekacang atau bijirin serta perahannya, atau alkohol yang terkandung itu terjadi secara sampingan semasa proses pembuatan makanan atau minuman adalah tidak najis dan harus (boleh) dimakan/diminum.
  • Makanan atau minuman yang mengandungi bahan perisa atau pewarna yang mengandungi alkohol untuk tujuan penstabilan adalah harus (boleh) digunakan sekiranya alkohol itu bukan dihasilkan dari proses pembuatan arak dan kuantiti alkohol dalam produk akhir itu adalah tidak memabukkan dan kadar alkohol tidak melebihi 0.5%.
  • Ubat-ubatan dan pewangi yang mengandungi alkohol sebagai bahan pelarut adalah tidak najis dan diharuskan sekiranya alkohol tersebut bukan diambil melalui proses pembuatan arak.

Justeru, jelaslah bahawa wain beras termasuk dalam arak yang dianggap sebagai najis dan diharamkan oleh syarak.

Berbalik kepada soalan yang diajukan, dinyatakan dalam al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah bahawa orang yang memasak daging dengan arak dan memakan kuahnya akan dikenakan hukuman hudud, kerana intipati arak itu masih ada. Hal yang sama berlaku jika digunakan sebagai adunan dalam membuat sawiq[2] lalu dimakan. Ini telah dijelaskan oleh mazhab al-Syafi‘i dan Hanbali. (Lihat al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 25/95).

Begitu juga al-Sarakhsi dalam al-Mabsut (24/25) turut menyebutkan, jika seseorang membuat adunan dengan menggunakan arak, kemudian membakarnya (menjadikannya sebagai roti), maka makruh (yakni makruh tahrim) memakannya kerana tepung itu sudah menjadi najis disebabkan oleh arak tersebut, dan adunan yang najis tidak boleh disucikan dengan cara pembakaran. Jadi, ia tidak halal untuk dimakan.

Tambahan lagi, Ibn Qudamah menyebutkan, jika seseorang mencampurkan arak, atau menjadikannya sebagai kuah atau memasak daging dengannya, kemudian dia memakan kuah tersebut, maka dia dikenakan hukuman hudud kerana ‘ain atau unsur arak itu masih ada. Demikian juga, jika dia menjadikannya sebagai adunan untuk membuat sawiq dan kemudian memakannya, dia juga akan dikenakan hukuman hudud.

Namun, jika dia mengadunnya dengan tepung, lalu membakarnya (untuk dijadikan sebagai roti) dan memakannya, dia tidak dikenakan hukuman hudud, kerana api telah menghilangkan sifat-sifat arak dan tidak ada yang berbaki (iaitu yang tinggal) melainkan hanya bekasnya. (Lihat al-Mughni, 12/498).

‘Ala’uddin al-Haskafi menjelaskan, tidak dibolehkan untuk menjual arak berdasarkan kepada hadith Imam Muslim yang menyatakan, “Sesungguhnya apa-apa yang diharamkan untuk diminum, turut diharamkan untuk dijual.” Begitu juga dikenakan hukuman hudud bagi peminumnya sekalipun dia tidak mabuk dan orang lain yang meminumnya juga akan dikenakan hukuman hudud jika dia mabuk. Selain itu memasaknya juga tidak akan memberi sebarang kesan padanya (iaitu dari sudut hilangnya hukum haram daripadanya) kecuali dia tidak dikenakan hukuman hudud jika ia tidak memabukkan. Ini kerana hukuman hudud itu dikhususkan dengan arak yang mentah, seperti yang dinyatakan oleh al-Zaila‘i. (Lihat al-Durr al-Mukhtar Syarh Tanwir al-Absar wa Jami‘ al-Bihar, hlm. 676).

Kesimpulannya

Oleh itu, berdasarkan kepada kenyataan dan perbincangan di atas, kami berpendapat bahawa makanan yang mengandungi atau dimasak dengan wain beras (rice wine) adalah tidak halal untuk dimakan. Hal ini kerana ia telah menjadi najis disebabkan oleh kenajisan arak itu sendiri dan turut menjadi haram disebabkan oleh arak tersebut. Dalam hal ini terdapat kaedah menyebutkan:

أَنَّ الْأَشْيَاءَ الْمُحَرَّمَةَ إِذَا خَالَطَتْ الْحَلَالَ حَرُمَ الْحَلَالُ

Maksudnya: “Sesuatu yang diharamkan apabila bercampur dengan sesuatu yang halal, maka sesuatu yang halal itu menjadi haram.

Hal ini adalah seperti mana air, yang dihukumkan sebagai halal dan suci, apabila ia bercampur dengan arak, ia berubah menjadi haram. Begitu juga kaedah fiqh yang lain menyebutkan:

إِذَا تَعَارَضَ حَاظِرٌ وَمُبِيحٌ قُدِّمَ الحَاظِرُ احْتِيَاطًا

Maksudnya: “Sekiranya bertembung antara hukum haram dan harus, maka hukum haram didahulukan sebagai langkah berhati-hati.” (Lihat al-Qawaid al-Fiqhiyyah al-Mustakhrajah min Kitab I‘lam al-Muwaqqi‘in, hlm. 400).

Lebih-lebih lagi, siapakah yang dapat benar-benar memastikan bahawa keseluruhan arak yang dimasukkan ke dalam makanan sebagai salah satu bahan masakan telah berwap keseluruhannya. Berkemungkinan hanya sebahagian besarnya sahaja yang telah berubah menjadi wap, namun sebahagian kecil arak masih lagi terdapat dalam makanan tersebut. Justeru, hal itu tetap menjadikan makanan tersebut haram untuk dimakan.

Pada kesempatan ini juga, kami ingin menasihatkan agar berhati-hati dalam memilih suatu makanan kerana memilih makanan yang halal lagi baik juga merupakan antara faktor doa diterima oleh Allah SWT. Rasulullah SAW pernah bersabda:

الرَّجُلَ يُطِيلُ السَّفَرَ أَشْعَثَ أَغْبَرَ، يَمُدُّ يَدَيْهِ إِلَى السَّمَاءِ، يَا رَبِّ، يَا رَبِّ، وَمَطْعَمُهُ حَرَامٌ، وَمَشْرَبُهُ حَرَامٌ، وَمَلْبَسُهُ حَرَامٌ، وَغُذِيَ بِالْحَرَامِ، فَأَنَّى يُسْتَجَابُ لِذَلِكَ؟

Maksudnya:Seorang lelaki yang melakukan perjalanan jauh (lama), tubuhnya diliputi debu lagi kusut, dia menadah tangannya ke langit dan berdoa, ‘Ya Rabbku, ya Rabbku’. Akan tetapi makanannya haram, minumannya haram, dan ia diberi makan dengan yang haram. Maka bagaimana mungkin doanya dikabulkan.

Riwayat Muslim (1015)

Demikianlah jika timbul keraguan terhadap suatu makanan yakni tidak pasti halal ataupun tidak, serta tidak ada bukti-bukti sokongan lain yang menunjukkan ia adalah halal, maka meninggalkan perkara yang syubhah dan meragukan itu adalah lebih dituntut dalam Islam dan lebih selamat, berdasarkan sabda Rasulullah SAW:

دَعْ مَا يَريبُكَ إِلَى مَا لَا يَريبُكَ

Maksudnya: “Tinggalkanlah apa yang menjadi keraguan kepadamu kepada yang tidak meragukan.”

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ اكْفِنَا بِحَلَالِكَ عَنْ حَرَامِكَ، وَأَغْنِنَا بِفَضْلِكَ عَمَّنْ سِوَاكَ

Maksudnya: “Ya Allah, cukupkanlah kami dengan yang halal, tanpa perlu kepada yang haram. Kayakanlah kami dengan kurniaan-Mu, tanpa kami mengharapkan kepada selain-Mu.”

Riwayat al-Tirmizi (2518)

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama dan menjauhkan diri kita daripada perkara-perkara yang diharamkan.

[1] Lihat https://en.wikipedia.org/wiki/Rice_wine. Diakses pada 12 September 2023.

[2] Sawiq ialah sejenis makanan yang diperbuat daripada gandum dan barli yang halus.

Bertarikh: 18 September 2023 bersamaan 3 Rabiulawwal 1445

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *