Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Bagaimana reaksi sepatutnya apabila dapat berita anak saudara mengandung luar nikah? Bagaimana reaksi atau penerimaan sepatutnya menyambut kelahiran anak luar nikah. Perasaan bercampur baur. Nak marah, nasi sudah menjadi bubur. Nak bersyukur, tapi bukan kehadiran dengan cara yang betul @ baik.. Nak terlalu gembira macam terima dosa yang dilakukan oleh mereka. Saya buntu.. Apa cara sepatutnya Dato’? Mohon pencerahan.. Terima kasih Dato’

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

وَلَا تَقْرَبُوا الزِّنَىٰ ۖ إِنَّهُ كَانَ فَاحِشَةً وَسَاءَ سَبِيلًا

Maksudnya: “Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat (yang membawa kerosakan).”

(Surah al-Isra’: 32)

Ibn Kathir berkata: Allah SWT melarang para hambaNya daripada perbuatan zina dan menegah daripada mendekatinya. Begitu juga setiap yang membawa kepada zina seperti faktor-faktor dan aspek-aspek yang membawa kepadanya. Firman-Nya: (وَلَا تَقْرَبُوا الزِّنَىٰ ۖ إِنَّهُ كَانَ فَاحِشَةً) “Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji”, yakni suatu perbuatan dosa besar. Firman-Nya: (وَسَاءَ سَبِيلًا) “dan satu jalan yang jahat,” yakni merupakan seburuk-buruk jalan dan tingkah laku. (Lihat Tafsir al-Quran al-Azim, 5/72)

Berkenaan isu ini, kami telah jawab dalam artikel sebelum ini:

#1820: Perkara Yang Perlu Dilakukan Sekiranya Mengandung Anak Zina[1]

#3008: Terlanjur (Berzina)[2]

#1485: Nasihat kepada Anak Muda dan Masyarakat Berkenaan Isu Zina[3]

Berbalik kepada soalan di atas, kami nyatakan zina adalah salah satu dosa besar dan wajib baginya bertaubat dan memohon ampun kepada Allah SWT. Jika orang yang melakukan zina bertaubat kepada Allah dengan sebenar-benarnya dan seikhlasnya, maka Allah akan mengampuninya dan mengampunkan dosanya. Allah SWT berfirman, setelah menyebutkan peringatan kepada orang yang melakukan zina:

إِلَّا مَن تَابَ وَآمَنَ وَعَمِلَ عَمَلًا صَالِحًا فَأُولَٰئِكَ يُبَدِّلُ اللَّهُ سَيِّئَاتِهِمْ حَسَنَاتٍ ۗ وَكَانَ اللَّهُ غَفُورًا رَّحِيمًا ‎﴿٧٠﴾‏ وَمَن تَابَ وَعَمِلَ صَالِحًا فَإِنَّهُ يَتُوبُ إِلَى اللَّهِ مَتَابًا

Maksudnya: “Kecuali orang yang bertaubat dan beriman serta mengerjakan amal yang baik, maka orang-orang itu, Allah akan menggantikan (pada tempat) kejahatan mereka dengan kebaikan; dan adalah Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. Dan sesiapa yang bertaubat serta beramal soleh, maka sesungguhnya (dengan itu) ia bertaubat kepada Tuhannya dengan sebenar-benar taubat;”

(Surah al-Furqan: 70-71)

Justeru itu, dalam isu ini kami nyatakan pertama sekali, sebaiknya apabila mendengar berita seperti itu, hendaklah kita bersabar dan redha atas apa yang berlaku. Meskipun dia telah melakukan kesalahan yang berat, janganlah kita sebagai orang dewasa yang lebih makan garam ini, mengherdik atau memaki hamun dan seumpamanya. Hal ini kerana kita tidak mengetahui cerita yang sebenar disebalik kejadian yang berlaku. Oleh itu, di sini kami syorkan apabila perkara sebegini terjadi, sokongan kaum keluarga amat penting dan nasihatilah dia agar dia mengetahui perkara yang dilakukannya itu satu dosa besar. Begitu juga, perlu direnungi bahawa bayi tersebut tidak bersalah. Sabda Nabi SAW:

كُلُّ مَوْلُودٍ يُولَدُ عَلَى الْفِطْرَةِ

Maksudnya: Setiap anak yang dilahirkan itu dalam keadaan fitrah (suci bersih)

Riwayat al-Bukhari (1385)

Begitu juga, firman Allah SWT:

وَلَا تَزِرُ وَازِرَةٌ وِزْرَ أُخْرَى

Maksudnya: Dan (ketahuilah), seseorang pemikul tidak akan memikul dosa perbuatan orang lain

(Surah Fathir: 18)

Abu Bakar al-Jaza’iri menyebutkan, ayat di atas bermaksud tidak ada seorang pun yang akan memikul dosa orang lain. Ini dalam hukum dan keputusan Allah terhadap hamba-hamba-Nya, bahwa jiwa yang berdosa yang memikul dosanya tidak akan memikul dosa jiwa lain. Setiap jiwa akan memikul dosanya sendiri. (Lihat Aisar al-Tafasir, 4/347)

Oleh itu, antara yang perlu kita lakukan adalah mengazankan bayi tersebut, menamakan anak itu dengan nama yang baik, tarbiyyah anak tersebut kerana boleh jadi suatu hari ini dia menjadi seorang anak yang soleh dan solehah.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama dan menjauhkan diri kita daripada perkara-perkara yang diharamkan. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنْيَا حَسَنَةً ، وَفِي الْآخِرَةِ حَسَنَةً ، وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat, dan peliharalah kami dari azab neraka.”

Surah al-Baqarah (201)

[1] https://maktabahalbakri.com/1820-perkara-yang-perlu-dilakukan-sekiranya-mengandung-anak-zina/

[2] https://maktabahalbakri.com/3008-terlanjur-berzina/

[3] https://maktabahalbakri.com/1485-nasihat-kepada-anak-muda-dan-masyarakat-berkenaan-isu-zina/

Bertarikh: 20 September 2023 bersamaan 4 Rabiulawwal 1445

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *