Soalan:

Assalamualaikum Dr Syeikh yang saya hormati dan kasihi, Saya ada membeli rumah dengan ‘conventional loan’ sebelum ini, dan berhajat untuk menjual rumah tersebut. Soalan saya, jika ada sebarang keuntungan dari penjualan rumah tersebut, bolehkah saya menggunakannya? Atau adakah saya tidak boleh menggunakan wang tersebut kerana sebelum ini rumah telah dibeli dengan ‘conventional loan’? Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

وَأَحَلَّ ٱللَّهُ ٱلۡبَيۡعَ وَحَرَّمَ ٱلرِّبَوٰاْۚ

Maksudnya: “Allah telah menghalalkan berjual-beli (berniaga) dan mengharamkan riba.”

(Surah al-Baqarah: 275)

Imam al-Qurtubi menjelaskan bahawa lafaz jual beli ini adalah dalam bentuk umum namun pada masa yang sama ia juga khusus, iaitu terkecuali daripada riba dan selainnya yang dilarang dan ditegah syarak. (Lihat al-Jami‘ li Ahkam al-Quran, 3/356)

Diriwayatkan daripada Abdullah Bin Masu’d bahawa Rasulullah SAW bersabda :

لعَن اللهُ آكلَ الرِّبا ومُوكِلَهُ وشاهدَهُ وكاتبَهُ

Maksudnya: “Allah melaknat pemakan riba, wakilnya, saksinya, dan penulisnya.”

Riwayat Ahmad (5/274)

Berdasarkan nas yang telah dinyatakan di atas, adalah jelas bahawa isu riba tidak hanya berkaitan dengan pihak yang terlibat secara langsung, tetapi juga melibatkan semua yang terlibat dalamnya, sama ada secara langsung atau tidak. Oleh itu, adalah penting untuk menghindarinya sepenuhnya, tanpa pengecualian

Telah dinyatakan dalam al-Hawi al-Kabir bahawa: Sesungguhnya telah sepakat kaum muslimin (para ulama) atas pengharaman riba walaupun terdapat perbezaan terhadap perkara cabangnya dan bagaimana pengharamannya. (Lihat al-Hawi al-Kabir, 5/74)

Manakala pandangan oleh Imam Nawawi dalam al-Majmu’ menyatakan riba adalah salah satu dosa besar malah pengharaman riba ini turut dilakukan oleh syariat agama lain. Beliau menyatakan bahawa: Sesungguhnya telah sepakat kaum muslimin atas pengharaman riba dan ianya merupakan salah satu dosa besar, dan ada pendapat yang menyatakan riba diharamkan pada semua syariat agama-agama lain (samawi) (Lihat al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 9/391)

Menjawab bagi persoalan di atas,  kami ingin menegaskan bahawa perkara yang telah dibangkitkan adalah salah satu daripada perkara yang termasuk dalam kategori syubhat (keraguan). Oleh itu, adalah penting untuk saudara segera bertaubat kerana telah terlibat dalam urusan pinjaman melalui “conventional loan” yang melibatkan riba. Ini disebabkan Allah SWT telah mengharamkan segala jenis transaksi jual beli yang melibatkan riba, sebagaimana yang telah diterangkan sebelum ini. kita mengharapkan dosa-dosa yang lalu diampunkan oleh Allah SWT sebagaimana firman-Nya :

عَفَا اللَّهُ عَمَّا سَلَفَ ۚ وَمَنْ عَادَ فَيَنتَقِمُ اللَّهُ مِنْهُ ۗ

Maksudnya: Allah maafkan apa yang telah lalu; dan sesiapa yang mengulangi (kesalahan itu) maka Allah akan menyeksanya.

(Surah al-Ma’idah:95)

Dalam isu ini kami katakan keuntungan yang diperolehi dari penjualan rumah tersebut boleh digunakan, tetapi hendaklah disumbangkan sebahagian daripadanya, terutama untuk kegunaan umum seperti pembinaan tandas, jambatan, jalan raya, dan apa-apa yang bermanfaat kepada masyarakat. Hal ini disebabkan harta tersebut adalah dalam kategori yang disebut sebagai harta syubhah. Oleh yang demikian, dengan melakukan sedekah, kita membersihkan harta tersebut daripada unsur-unsur yang haram yang mungkin terkandung di dalamnya.

Imam al-Nawawi menukilkan fatwa Imam al-Ghazali Rahimahullah dalam kitab al-Majmu` Syarh al-Muhazzab : Sekiranya bersama seseorang itu suatu harta haram dan dia ingin bertaubat dan melepaskan diri daripada harta haram itu, maka jika harta itu mempunyai pemilik yang tertentu, hendaklah dipulangkan kepadanya atau kepada wakilnya. Jika dia sudah mati, wajib diserahkan kepada warisnya. Jika tidak diketahui siapa warisnya dan sudah berputus asa daripada mengetahuinya, maka wajib orang tadi menggunakan harta itu bagi keperluan umat Islam yang umum, seperti untuk (keperluan) jambatan, ribat-ribat (kandang kuda, tempat pengajian, atau tempat golongan Sufi berkumpul), masjid-masjid, dan keperluan jalan raya Makkah, dan seumpamanya daripada segi boleh dikongsi bersama orang Islam…” (Lihat al-Majmu` Syarh al-Muhazzab, 9/351 )

Justeru, di sini suka kami menasihati bahawa, dalam Islam halal dan haram adalah nyata sedangkan syubhah adalah perkara yang tidak jelas. Oleh itu, hendaklah kita menjauhinya kerana ia boleh memelihara maruah dan agama seseorang.  Telah diriwayatkan daripada al-Nu’man bin Basyir, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

إِنَّ الْحَلَالَ بَيِّنٌ، وَإِنَّ الْحَرَامَ بَيِّنٌ، وَبَيْنَهُمَا مُشْتَبِهَاتٌ لَا يَعْلَمُهُنَّ كَثِيرٌ مِنَ النَّاسِ، فَمَنِ اتَّقَى الشُّبُهَاتِ اسْتَبْرَأَ لِدِينِهِ، وَعِرْضِهِ، وَمَنْ وَقَعَ فِي الشُّبُهَاتِ وَقَعَ فِي الْحَرَامِ.

Maksudnya: “Sesungguhnya yang halal itu jelas, dan yang haram pun jelas. Di antara keduanya terdapat perkara yang syubhat (yang masih samar sama ada halal atau haram) yang tidak diketahui oleh kebanyakan orang. Sesiapa yang menghindarkan diri dari perkara syubhat, maka dia telah menyelamatkan agama dan kehormatannya. Sesiapa yang terjerumus dalam perkara syubhat, maka (dibimbangi) ia akan terjatuh dalam perkara haram.”

Riwayat al-Bukhari (52) dan Muslim (1599)

Al-Hafiz Ibn Rajab al-Hanbali menyatakan: “Apabila sesuatu itu tidak jelas keadaannya, maka ia adalah syubhat dan sikap wara’ adalah dengan meninggalkannya. Sufyan al-Tsauri menyatakan: “Itu tidaklah membuatku kagum, tetapi yang lebih membuat aku kagum adalah meninggalkan sesuatu yang syubhat.” (Lihat Jami’ al-‘Ulum wa al-Hikam, 1/200)

Imam al-Suyuti dalam mensyarahkan hadith menyatakan perkara mutasyabihat merupakan perkara yang tidak jelas halal dan haramnya dan sesiapa yang meninggalkannya bererti ia telah menyelamatkan agamanya daripada fitnah. (Lihat Syarh al-Suyuti ala Sahih Muslim, 4/190)

Begitu juga  hadith yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA, Nabi SAW bersabda :

يَأْتِي عَلَى النَّاسِ زَمَانٌ، لاَ يُبَالِي الْمَرْءُ مَا أَخَذَ مِنْهُ أَمِنَ الْحَلاَلِ أَمْ مِنَ الْحَرَامِ

Maksudnya : “Akan datang kepada manusia suatu zaman di mana seseorang tidak peduli apa yang dia ambil, apakah dari hasil yang halal atau yang haram.”

Riwayat al-Bukhari (2059)

Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ اكْفِنَا بِحَلَالِكَ عَنْ حَرَامِكَ، وَأَغْنِنَا بِفَضْلِكَ عَمَّنْ سِوَاكَ

Maksudnya: “Ya Allah, cukupkanlah kami dengan yang halal, tanpa perlu kepada yang haram. Kayakanlah kami dengan kurniaan-Mu, tanpa kami mengharapkan kepada selain-Mu.”

Wallahua’lam

Bertarikh: 20 September 2023 bersamaan 4 Rabiulawwal 1445

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *