Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ingin tanya satu soalan, bolehkah saya letak magnet atau apa-apa cara untuk memperlahankan meter elektrik rumah saya. Tujuan saya terpaksa berbuat demikian kerana bil di kuartes kami sangat tinggi sehingga rasa tak masuk akal, kerana jika kami bandingkan dengan perumahan biasa di luar bukan kuarters ATM sangat rendah sehingga 3x ganda. Hal ini kerana kami sekadar menggunakan peralatan elektrik yang basic tanpa aircond, dryer, water heater yang kadar tenaga tinggi (5 bintang) namun bil kami ibarat disabotaj sehingga bil elektrik sangat tinggi, bukan rumah saya sahaja, tetapi boleh dikatakan semua kuarters ATM begitu, sudahlah potongan bil adalah secara direct potong gaji tanpa ada pilihan, kami sangat merasa dianiaya. Jadi, ada segelintir terpaksa ambil langkah mengubah suai bagi perlahankan meter. Kami hanya dari anggota bawahan bukan pegawai yang gaji pun rendah, sangat tertekan, sudahlah bermacam-macam kutipan dan perbelanjaan yang dipaksa kutip sehingga perbelanjaan keluarga terabai tidak mencukupi. Adakah tindakan ini salah ustaz? Saya mohon pencerahan dan jawapan. Terima kasih, ustaz.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Sewa menurut Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka Edisi Keempat merujuk penggunaan atau peminjaman sesuatu dengan membayar sejumlah wang. Manakala takrif sewa menurut istilah syara‘ pula ialah sebuah akad perjanjian bagi mendapatkan manfaat (khidmat) tertentu yang boleh dibayar dan dihalalkan dengan barangan tertentu. (Lihat Mughni al-Muhtaj, 3/438)

Akad sewa ini adalah jelas berdasarkan firman Allah SWT:

فَإِنْ أَرْضَعْنَ لَكُمْ فَآتُوهُنَّ أُجُورَهُنَّ

Maksudnya: “Kemudian jika mereka menyusukan anak untuk kamu, maka berikanlah kepada mereka upahnya.”

(Surah al-Talaq: 6)

Pengarang kitab al-Fiqh al-Manhaji mengatakan bahawa ayat di atas adalah dalil Allah memerintahkan para bapa membayar upah atas khidmat susuan. Ini menunjukkan bahawa upah itu adalah hak ibu susuan tersebut, dan dia tidak layak mendapatkan upah tersebut melainkan dengan adanya akad perjanjian. Sekiranya dia memberikan khidmat susuan tanpa melakukan akad, maka ia dianggap sebagai khidmat sukarela. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 6/137)

Akad sewa secara asasnya mempunyai 4 rukun:

  • Pihak yang melakukan akad, iaitu penyewa dan yang memberi khidmat sewa.
  • Lafaz akad, iaitu lafaz ijab dan lafaz terima.
  • Manfaat yang ditawarkan.
  • Bayaran sewa atau upah. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 6/139-148)

Perkhidmatan Elektrik dan Kawalan Elektrik

Pada dasarnya setiap perkhidmatan yang digunakan seperti perkhidmatan air dan elektrik wajib dibayar mengikut kadar yang ditetapkan. Justeru, dalam menjawab persoalan ini, perlu difahami apa itu alat penjimatan elektrik. Sekiranya ia bermaksud kadar yang sepatutnya perlu dibayar, tetapi dengan adanya alat itu menyebabkan penggunanya tidak perlu membayar dengan jumlah yang selayaknya, maka dalam hal ini, ia adalah bermasalah kerana penggunaan sebenar kita tidak digambarkan pada meter itu. Contohnya alat itu mengubah atau mengganggu konfigurasi meter, maka hal ini memang tidak dibenarkan kerana berlaku penipuan dalam penggunaannya. Firman Allah SWT:

وَلَا تَأْكُلُوا أَمْوَالَكُم بَيْنَكُم بِالْبَاطِلِ وَتُدْلُوا بِهَا إِلَى الْحُكَّامِ لِتَأْكُلُوا فَرِيقًا مِّنْ أَمْوَالِ النَّاسِ بِالْإِثْمِ وَأَنتُمْ تَعْلَمُونَ

Maksudnya: “Dan janganlah kamu makan (atau mengambil) harta (orang-orang lain) di antara kamu dengan jalan yang salah, dan jangan pula kamu menghulurkan harta kamu (memberi rasuah) kepada hakim-hakim kerana hendak memakan (atau mengambil) sebahagian dari harta manusia dengan (berbuat) dosa, padahal kamu mengetahui (salahnya).”

(Surah al-Baqarah : 188)

Ayat di atas boleh difahami bahawa, janganlah sebahagian daripada kamu memakan (mengambil) harta sebahagian yang lain dengan cara yang batil seperti sumpah yang dusta, merampas, mencuri, rasuah, riba dan lain-lain. Selain itu, janganlah kamu menyampaikan hujah-hujah yang batil kepada hakim bagi tujuan memakan harta segolongan manusia dengan cara yang salah sedangkan kamu tahu perkara itu adalah haram ke atas kamu (melakukannya). (Lihat Tafsir al-Muyassar, hlm. 29)

Namun begitu, jika sekiranya alat tersebut dapat mengawal kuasa elektrik yang masuk ke dalam saluran elektrik rumah kita diminimumkan sehingga ia menyebabkan tiada pengurangan hak yang sebenarnya yang telah kita guna untuk keperluan kita. Maka, ketika itu kita katakan alat jenis yang kedua ini tidak jadi masalah.

Selain itu, pihak yang menguruskan elektrik di negara kita, iaitu Tenaga Nasional Berhad teleh memperkenalkan aplikasi myTNB untuk memantau penggunaan elektrik secara langsung yang mana pengguna juga digalakkan untuk memanfaatkan perkhidmatan meter pintar sekiranya sudah siap dipasang, sama ada menerusi portal myTNB atau aplikasi myTNB. Selain itu, pihak TNB juga menggalakkan pengguna untuk memilih alat elektrik berlabel cekap tenaga empat atau lima bintang oleh Suruhanjaya Tenaga (ST) untuk membantu menjimatkan penggunaan elektrik di kediaman. Selain itu, ciri ‘Anggaran Tenaga’ yang membolehkan pengguna merancang seterusnya menerima pemberitahuan apabila mencapai had penggunaan tenaga bulanan turut tersedia.

Justeru, menjawab persoalan diatas, kami nasihatkan untuk terus bersabar dan mengharapkan ganjaran daripada Allah terhadap masalah yang dihadapi ini dan tidak boleh membalas apa yang berlaku ini dengan tipu daya atau kezaliman. Oleh itu, tidak boleh bagi seseorang itu untuk memanipulasi meter elektrik dengan tujuan untuk mengelak daripada membayar bil yang sepatutnya dibayar, kerana tindakan tersebut melibatkan penipuan, pengelakan, dan pemakanan harta orang dengan jalan yang batil.

Al-Lajnah al-Daimah pernah ditanya berkenaan adakah dibolehkan untuk memberhentikan meter bekalan elektrik atau air di dalam negara kafir untuk melemahkan negara tersebut? Dengan pengetahuan bahawa negara tersebut mengenakan cukai yang zalim kepada saya secara paksa. Maka mereka menjawab: “Tidak dibenarkan, kerana tindakan ini melibatkan pemakanan harta orang dengan jalan yang batil.” (Lihat Fatawa al-Lajnah al-Daimah, 23/441).

Begitu juga ketika mereka ditanya berkenaan adakah dibenarkan mengelak daripada membayar bil elektrik, air, telefon, gas, atau yang seumpamanya? Dengan pengetahuan bahawa kebanyakan perkara ini diuruskan oleh syarikat-syarikat yang dimiliki oleh orang awam. Jawapan mereka ialah: “Tidak dibenarkan; kerana tindakan ini melibatkan pemakanan harta orang dengan jalan yang batil, serta ketidakadilan dalam memenuhi amanah. Allah SWT berfirman: ‘Sesungguhnya Allah memerintahkan kamu untuk menunaikan amanah kepada pemiliknya‘ dan juga ‘Wahai orang yang beriman, janganlah kamu memakan harta sesama kamu dengan jalan yang batil kecuali dengan jalan perdagangan yang berlaku dengan kerelaan dari kedua belah pihak, dan janganlah kamu membunuh diri kamu sendiri. Sesungguhnya Allah adalah Maha Penyayang kepada kamu.” (Lihat Fatawa al-Lajnah al-Daimah, 23/441).

Kesimpulan

Sebagai kesimpulan, kami katakan bahawa sewa dan hak perkhidmatan yang kita gunakan wajib dibayar mengikut kadar yang digunakan. Justeru dalam permasalahan ini, kami nasihatkan supaya merujuk kepada pihak atasan yang menguruskan kuarters tersebut dan juga merujuk kepada pihak Tenaga Nasional Berhad (TNB) bagi mendapatkan penjelasan dan berbincang dengan mereka untuk menyelesaikan permasalah ini, boleh jadi terdapat kesilapan daripada pihak mereka dalam mengira tarif elektrik ataupun terdapatnya peralatan yang rosak yang menyebabkan bil elektrik itu menjadi terlalu tinggi di kawasan kuarters tersebut. Mungkin juga boleh disyorkan kepada pihak pengurusan kuarters untuk memasang tenaga solar dan beberapa solusi penjimatan lain seperti menggunakan jenis-jenis lampu yang menggunakan kuasa rendah atau alat-alat penjimatan yang diperakui oleh mereka. Semoga isu ini dapat diselesaikan dengan cara yang baik tanpa ada pihak yang merasa dizalimi dalam hal ini.

Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.

Wallahua`lam.

Kami akhiri dengan doa:

يَا حَيُّ يَا قَيُّومُ بِرَحْمَتِكَ نَسْتَغِيثُ، أَصْلِحْ لَنَا شَأْنَنَا كُلَّهُ، وَلاَ تَكِلْنَا إِلَى أَنْفُسِنَا طَرْفَةَ عَيْنٍ

Maksudnya: “Wahai Tuhan Yang Maha Hidup, wahai Tuhan Yang Maha Berdiri Sendiri (tidak perlu segala sesuatu), dengan rahmat-Mu kami memohon pertolongan, perbaikilah urusan kami semuanya dan janganlah Engkau serahkan kami kepada diri kami walau sekelip mata.”

Bertarikh: 22 September 2023 bersamaan 6 Rabiulawwal 1445

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *