#32 Sarah Sepupu Nabi Ibrahim A.S

Soalan

Adakah sarah isteri kepada nabi Ibrahim adalah saudara daripada ayahnya?

Jawapan

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Sarah binti Haran ialah isteri kepada Nabi Allah Ibrahim AS, ibu kepada Nabi Ishak AS. Beliau juga adalah anak perempuan kepada bapa saudara nabi Ibrahim sebelah bapa (sepupu), dan beliau bukan anak saudara perempuan kepada Nabi Ibrahim AS.

Ibn Kathir di dalam al-Bidayah wa al-Nihayah menyatakan: Sesiapa yang menyangka bahawa sarah adalah anak perempuan kepada saudara nabi ibrahim, maka dia telah berfatwa tanpa ilmu, iaitu dengan mendakwa bahawa perkahwinan anak saudara perempuan ketika itu disyariatkan. Hal ini tiada sebarang dalil menyatakan sedemikian.

Beliau juga menyebut: Yang masyhur bahawa sarah adalah anak perempuan kepada bapa saudara yang bernama Haran , yang merupakan nisbah kepada kawasan Haran. Sesiapa yang menyangka bahwa Sarah merupakan anak perempuan saudara nabi Ibrahim yang bernama Harun (saudara Lut) sebagiamana yang diriwayatkan, maka ia adalah jauh daripada kebenaran dan juga pendapat ini dikatakan tanpa disandarkan kepada ilmu. [1]

Pendapat ini juga dikemukakan oleh Syeikh al-Syarbasi di dalam kitabnya Yas Alunaka fi al-Din wa al-Hayah[2], bahawa Sarah merupakan sepupu kepada Nabi Ibrahim AS, bukannya anak saudara baginda sebagaimana yang disebut oleh Ibn Kathir.

Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.

Wallahua`lam.

Bertarikh: 16 Mac 2022 bersamaan 13 Syaaban 1443H

[1] Lihat al-Bidayah wa al-Nihayah, 1/150

[2] Lihat Yas Alunaka fi al-Din wa al-Hayah, 6/425-426

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *