Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Kenapa Saidina Umar bercita-cita untuk mati sedangkan Rasulullah SAW sendiri tidak pernah melakukannya?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Beliau ialah Umar Ibn al-Khattab bin Nufail bin ‘Abd al-‘Uzza bin Riyah bin Qurt bin Razah bin ‘Adi bin Ka‘ab bin Lu’ai. Nasab Saidina Umar berhimpun dengan nasab Nabi SAW pada Ka‘ab. Nama julukan (kunyah) beliau ialah Abu Hafs. Kunyah ini diberikan kepada beliau oleh Nabi SAW ketika peperangan Badar. Selain itu, beliau juga digelar sebagai al-Faruq yang bermaksud Allah SWT telah membezakan antara perkara yang benar dan perkara yang batil untuknya. Gelaran ini juga telah diberikan kepada beliau oleh Nabi SAW.

Beliau dilahirkan pada tahun ke-13 setelah peristiwa Tahun Gajah. Beliau masuk Islam pada tahun keenam kenabian pada umur 27 tahun. Umar bin al-Khattab adalah seorang yang cerdas daripada kalangan kaumnya. Jika terjadi peperangan di antara kaum Quraisy dan suku lain maka mereka akan mengutus Umar bin al-Khattab sebagai utusan mereka. (Lihat Tarikh Khulafa’ al-Rasyidin oleh al-Suyuti, hlm. 54).

Keislamannya adalah selepas daripada kemasukan 40 lelaki dan 11 wanita ke dalam Islam. Namun terdapat pendapat menyatakan, keislamannya adalah selepas daripada kemasukan 39 lelaki dan 20 wanita, lalu sempurnalah bilangan lelaki sebanyak 40 orang dengannya. (Lihat Usd al-Ghabah fi Ma‘rifah al-Sahabah, 4/137).

Saidina Umar bin al-Khattab merupakan khalifah kedua umat Islam daripada Khulafa al-Rasyidin. Semasa zaman pemerintahannya, empayar Islam telah berkembang dengan pesat. Banyak dasar baru telah diterap dan dilaksanakan.

Berbalik kepada soalan yang diajukan, ulama Ahli Sunnah wal Jamaah telah mengemukakan dua jawapan untuk menjelaskan pertanyaan ini:

Pertama: Sesungguhnya Umar R.A tidaklah mencita-citakan kematian bagi dirinya dan tidak pula menentukan waktunya untuk itu. Dia hanya mencita-citakan mati syahid, sedangkan mati syahid itu adalah digalakkan, bahkan ia termasuk dalam amalan mulia. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

مَنْ سَأَلَ اللَّهَ الشَّهَادَةَ بِصِدْقٍ بَلَّغَهُ اللَّهُ مَنَازِلَ الشُّهَدَاءِ وَإِنْ مَاتَ عَلَى فِرَاشِهِ

Maksudnya: “Sesiapa yang meminta mati syahid kepada Allah dengan sebenarnya, maka Allah akan menyampaikannya kepada darjat para syuhada’, sekalipun pada kenyataannya dia mati di atas katilnya.”

Riwayat Muslim (1909), al-Nasa’ie (3162) dan Ibn Majah (2274)

Tetapi jika riyak dan mencari nama yang telah bercampur aduk dengan amalnya, maka ia tidak akan memberi manfaat sedikit pun terhadap dirinya sekalipun dia mati di medan pertempuran. Sebaliknya, orang yang benar-benar ikhlas meminta syahid kepada Allah, maka ia akan tergolong kepada mati syahid, sekalipun dia mati di atas katilnya.

Daripada Sulaiman bin Yasar R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

 إِنَّ أَوَّلَ النَّاسِ يُقْضَى يَوْمَ الْقِيَامَةِ عَلَيْهِ رَجُلٌ اسْتُشْهِدَ ، فَأُتِيَ بِهِ فَعَرَّفَهُ نِعَمَهُ فَعَرَفَهَا ، قَالَ فَمَا عَمِلْتَ فِيهَا ؟ قَالَ : قَاتَلْتُ فِيكَ حَتَّى اسْتُشْهِدْتُ ، قَالَ : كَذَبْتَ ، وَلَكِنَّكَ قَاتَلْتَ لِأَنْ يُقَالَ جَرِيءٌ ، فَقَدْ قِيلَ ثُمَّ أُمِرَ بِهِ فَسُحِبَ عَلَى وَجْهِهِ حَتَّى أُلْقِيَ فِي النَّارِ

Maksudnya: “Sesungguhnya manusia pertama yang akan diadili pada hari kiamat ialah seorang lelaki yang mati syahid. Beliau akan dibawa dan Allah menunjukkan kepadanya nikmat-nikmat Nya, dan lelaki itu mengakuinya. Lalu Allah bertanya: Apa yang telah engkau lakukan dengannya? Lelaki itu menjawab: “Aku telah berperang di jalan-Mu sehingga aku mati syahid.” Allah menjawab: “Engkau bohong! Sebaliknya engkau berperang agar engkau dipanggil pahlawan! Sesungguhnya engkau telah dipanggil dengan gelaran itu. Kemudian lelaki itu diarahkan untuk diseret dengan wajahnya di atas muka bumi, kemudian dilempar ke dalam neraka.

Riwayat Muslim (1905)

Kedua: Jika seseorang yakin ia akan terjerumus dalam fitnah, dan ramai di kalangan orang lain telah terjerumus ke dalamnya, maka pada saat itu dia dibolehkan meminta kematian kepada Allah. Ada beberapa dalil yang menunjukkan boleh yang sedemikian, antaranya hadith Rasulullah SAW daripada Abu Hurairah R.A bahawa Nabi SAW bersabda:

لاَ تَقُومُ السَّاعَةُ حَتَّى يَـمُرَّ الرَّجُلُ بِقَبْرِ الرَّجُلِ فَيَقُولُ: يَا لَيْتَنِي مَكَانَهُ.

Maksudnya: “Hari kiamat tidak akan terjadi sehinggalah seorang lelaki itu melewati kubur seorang lelaki yang lain lalu berkata: Alangkah baiknya sekiranya aku berada di tempatnya (di dalam kubur).”

Riwayat al-Bukhari (7115) dan Muslim (157)

Semoga Allah SWT sentiasa memelihara kita dan mengakhiri hayat kita dalam keadaan husnul khatimah. Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ اجْعَلْ خَيْرَ أَعْمَارِنَا أَوَاخِرَهَا، وَخَيْرَ أَعْمَالِنَا خَوَاتِمَهَا، وَاجْعَلْ خَيْرَ أَيَّامِنَا يَوْمَ نَلْقَاكَ

Maksudnya: “Ya Allah! Jadikanlah sebaik-baik umur kami adalah pada penghujungnya, dan sebaik-baik amalan kami sebagai penutupnya. Dan jadikanlah sebaik-baik hari kami, adalah hari dimana kami berjumpa dengan-Mu kelak.”

Bertarikh: 22 September 2023 bersamaan 6 Rabiulawwal 1445

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *