#3221: Solat Witir Satu Rakaat Selepas Isyak dan Ba’diyah Isyak

Last Updated: September 25, 2023By

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada satu soalan. Selepas solat Isyak, saya solat ba‘diah dan solat sunat witir satu rakaat boleh atau tidak? Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan memberi sedikit penerangan berkenaan solat sunat ba’diah Isyak. Kebanyakan ulama’ berpendapat hukumnya adalah sunat muakkad. Inilah pendapat yang masyhur. Sunat bersolat dua rakaat yang ringkas sebelum dan sekurang-kurangnya dua rakaat selepas solat fardhu Isyak atau lebih. Hal ini berdasarkan beberapa hadith, antaranya:

  • Seperti mendirikan dan menghidupkan malam al-Qadr.

Daripada Anas bin Malik berkata: Rasulullah SAW telah bersabda:

أَرْبَعٌ قَبْلَ الظُّهْرِ كَعِدْلِهِنَّ بَعْدَ الْعِشَاءِ، وَأَرْبَعٌ بَعْدَ الْعِشَاءِ كَعِدْلِهِنَّ مِنْ لَيْلَةِ الْقَدْرِ

Maksudnya: “Empat rakaat sunat sebelum Zuhur menyamai selepas Isyak dan empat rakaat sunat selepas Isyak menyamai malam qadr.”

Riwayat al-Tabarani  dalam al-Mu’jam al-Ausat (2733). Al-Haithami dalam Majma’ al-Zawaid (2/233) menyatakan bahawa pada sanad ini terdapat Yahya bin Abi al-‘Airaz, dan dia seorang perawi yang sangat dhaif

Bagi solat sunat witir pula, para ulama’ telah berbeza pendapat berkenaan dengan hukum solat witir. Kami nukilkan di sini perbezaan pendapat tersebut:

Pertama: Hukumnya adalah Wajib

Hukum ini adalah sepertimana pendapat Hanafi. Mereka berdalilkan dengan beberapa dalil, antaranya:

  • Nabi SAW bersabda:

الْوِتْرُ حَقٌّ، فَمَنْ لَمْ يُوتِرْ فَلَيْسَ مِنَّا

Maksudnya: “Witir merupakan hak (wajib), maka siapa yang tidak berwitir nescaya dia bukan dari kalangan kita.”

Riwayat Abu Dawud (1419), Ahmad (23019), al-Baihaqi dalam al-Sunan al-Kubra (2/470), Ibn Abi Syaibah (6933) dan Abu Nu‘aim dalam Hilyah al-Auliya’ (10/26). Syeikh Syu‘aib al-Arna’ut menyatakan hadith ini adalah Hasan Li Ghairihi dalam Takhrij Sunan Abi Dawud (1419)

Ibn Qudamah telah menyebut dalam al-Mughni, selepas menyatakan hadith-hadith bagi golongan yang berpendapat solat witir adalah wajib, sedangkan hadith tersebut telah dibahaskan oleh para ulama’, di mana makna yang dikehendaki di sini adalah sebagai penguat dan banyak fadhilatnya, dan hukumnya pula adalah sunat muakkad. (Lihat Tuhfah al-Ahwazi, 2/442).

  • Nabi SAW bersabda:

إِنَّ اللَّهَ عَزَّ وَجَلَّ قَدْ أَمَدَّكُمْ بِصَلَاةٍ، وَهِيَ خَيْرٌ لَكُمْ مِنْ حُمْرِ النَّعَمِ، وَهِيَ الْوِتْرُ، فَجَعَلَهَا لَكُمْ فِيمَا بَيْنَ الْعِشَاءِ إِلَى طُلُوعِ الْفَجْرِ

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah mengurniakan bagimu solat yang lebih baik dari unta merah (barang paling berharga di dunia) iaitu Solat Witir dan dijadikan baginya waktu selepas solat Isyak sehingga naik Fajar.”

Riwayat  Abu Dawud (1418),  al-Tirmizi (452) dan al-Daraqutni (2/150). Syeikh Syu‘aib al-Arna’ut menyatakan hadith ini adalah Sahih li Ghairihi dalam takhrij Sunan Abi Dawud (1418)

Bacaan sebenarnya adalah “حُمْرِ النَّعَمِ” dengan baris depan huruf ha’ dan matinya mim. Jamaknya daripada perkataan “الأحمر” iaitu unta yang dianggap terbaik di sisi masyarakat Arab, lebih baik daripada unta hitam. Unta tersebut adalah harta yang paling berharga dan bernilai di sisi mereka. Al-Khattabi berkata, hadith ini menunjukkan bahawa solat Witir bukanlah wajib. (Lihat ‘Aun al-Ma‘bud, 4/206).

Dua dalil ini menunjukkan kewajipan solat witir kerana perintah dan juga kalimah haq memberi makna wajib. Inilah pendapat sebahagian ulama’ termasuk ulama’ Hanafi.

Selain itu, terdapat hadith riwayat Abu Ayyub al-Ansari R.A, di mana Rasulullah SAW bersabda:

الْوِتْرُ حَقٌّ عَلَى كُلِّ مُسْلِمٍ، مَنْ أَحَبَّ أَنْ يُوتِرَ بِخَمْسٍ فَلْيَفْعَلْ، وَمَنْ أَحَبَّ أَنْ يُوتِرَ بِثَلَاثِ فَلْيَفْعَلْ، وَمَنْ أَحَبَّ أَنْ يُوتِرَ بِوَاحِدَةٍ فَلْيَفْعَلْ

Maksudnya: “Solat witir merupakan satu kewajipan keatas setiap Muslim, siapa yang mahu solat witir secara lima rakaat, maka dia boleh lakukannya, siapa yang mahu melakukannya secara tiga rakaat maka lakukanlah, jika dia mahu secara satu rakaat maka lakukanlah.”

Riwayat Abu Dawud (1419), al-Nasa’i (1710), Ibn Majah (1190) dan Ahmad (23545). Syeikh Syu‘aib al-Arna’ut menyatakan sanadnya adalah sahih.

Menurut Imam al-San‘ani, hadith ini menjadi dalil akan kewajipan solat witir oleh mazhab Hanafi. Namun demikian, terdapat keadaan di mana lafaz wajib digunakan sebagai penekanan atau ta’kid terhadap perkara-perkara sunat, contohnya seperti mandi pada hari Jumaat. Hal yang sama juga dinyatakan sebelumnya oleh Imam Abu al-Walid al-Baji al-Maliki. (Lihat Subul al-Salam, 1/342 dan al-Muntaqaa Syarh al-Muwatta’, 1/221).

Saya katakan apabila diberi pilihan sama ada ingin berwitir dengan lima rakaat atau tiga rakaat, mahu pun satu rakaat jelas menunjukkan hukumnya bukan lagi wajib tetapi amat digalakkan.

Kedua: Hukumnya Sunat Muakkad

Hukum ini adalah menurut pendapat jumhur iaitu Malik, al-Thauri, al-Laith, al-Auza‘i, Abu Yusuf, Muhammad, mazhab Syafi‘i dan kebanyakan ahli ilmu.

Antara hadith yang dijadikan sandaran adalah:

  • Daripada Saidina Ali bin Abu Talib R.A, katanya:

إِنَّ الْوِتْرَ لَيْسَ بِحَتْمٍ وَلاَ كَصَلاَتِكُمُ الْمَكْتُوبَةِ، وَلَكِنْ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَوْتَرَ

Maksudnya: “Sesungguhnya solat witir tidak diwajibkan ke atas kamu sebagaimana solat-solat fardhu, namun Rasulullah SAW sentiasa melazimi solat witir.”

Riwayat al-Tirmizi (453), Ibn Majah (1169), al-Nasa’i (1676) dan Ahmad.

Syeikh al-Mubarakfuri berkata: Jumhur ulama’ berpandangan bahawa solat Witir tidak wajib, tetapi sunat. Kecuali Abu Hanifah menyatakan ia adalah wajib. Ungkapan “الوتر ليس بحتم” dijelaskan dalam al-Nihayah, “الحتم” adalah yang wajib, yang tidak dapat tidak mesti dilakukannya. (Lihat Tuhfah al-Ahwazi, 2/440-441).

  • Daripada Ali R.A, Rasulullah SAW bersabda:

يَا أَهْلَ الْقُرآنِ أَوْتِرُوا فَإِنَّ اللهَ وِتْرٌ يُحِبُّ الوِتْرَ

Maksudnya: “Wahai orang yang beramal dengan al-Quran! Hendaklah kamu melakukan solat witir, sesungguhnya Allah itu bersifat witir dan Dia menyukainya.”

Riwayat Abu Dawud (1417), Ahmad (2/310) dan al-Baihaqi (2/468)

Al-Khattabi berkata: Dikhususkan penyebutannya kepada ahli al-Quran dengan (ayat) perintah menunjukkan bahawa Solat Witir (hukumnya) adalah tidak wajib. Sekiranya ia adalah wajib, maka sudah tentu (ia akan disebut) secara umum. Ahli al-Quran pada ‘uruf manusia adalah para Qurra’, Huffaz (penghafaz quran) selain orang awam. (Lihat Ma‘alim al-Sunan, 1/285).

Tarjih

Setelah melihat kepada dalil-dalil dan pengistidlalan mereka, maka kami cenderung kepada pendapat bahawa solat Witir bukanlah wajib, tetapi ia amat dituntut. Ini kerana, Witir merupakan salah satu daripada solat malam yang dititikberatkan oleh Rasulullah SAW serta diperintahkan kepada umat Islam untuk melaksanakannya.

Bilangan Paling Sedikit

Sekurang-kurangnya rakaat solat witir ialah satu rakaat, tetapi makruh melakukan satu rakaat sahaja.

Hal ini berdasarkan hadith Ibn Umar R.Anhuma, Rasulullah SAW bersabda:

الوِتْرُ رَكْعَةٌ مِنْ آخِرِ الْلَيْلِ

Maksudnya: “Solat witir ialah satu rakaat dilakukan pada akhir malam.”

Riwayat Muslim (752), Ahmad (7126), al-Nasa’i (1688) dan al-Baihaqi (3/34)

Pengarang kitab al-Fiqh al-Manhaji menyebut: Sekurang-kurang solat Witir ialah satu rakaat, tetapi makruh melakukannya satu rakaat sahaja. Sekurang-kurang sempurna solat Witir ialah tiga rakaat, iaitu melakukannya secara dua rakaat bersambung dan satu rakaat lagi berasingan. Sementara yang paling sempurna adalah melakukannya sebanyak sebelas rakaat dengan mengucap salam selepas setiap dua rakaat dan diakhiri dengan satu rakaat. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 1/527-529).

Bilangan Paling Banyak

Sekurang-kurang sempurna solat witir ialah tiga rakaat, iaitu melakukannya secara dua rakaat bersambung dan satu lagi berasingan. Sementara yang paling sempurna adalah melakukannya sebanyak sebelas rakaat dengan mengucap salam setiap dua rakaat dan diakhiri dengan satu rakaat.

  • Daripada Aisyah R.Anha katanya:

كَانَ رَسُوْلُ الله صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يُصَلِّي مَا بَيْنَ أَنْ يَفْرُغَ مِنْ صَلَاةِ الْعِشَاءِ إِلَى الْفَجْرِ إِحْدَى عَشَرَةَ رَكْعَةٍ يُسَلِّمُ بَيْنَ كُلِّ رَكْعَتَيْنِ وَيُوْتِرُ بِوَاحِدَةٍ فَإِذَا سَكَتَ الْمُؤَذِّنُ مِنْ صَلَاةِ الْفَجْرِ وَتَبَيَّنَ لَهُ الْفَجْرُ وَجَاءَهُ الْمُؤَذِّنُ قَامَ فَرَكَعَ رَكْعَتَيْنِ خَفِفَتَيْنِ ثُمَّ اضْطَجَعَ عَلَى شِقِّهِ الأَيْمَنِ حَتَّى يَأْتِيْهِ الْمُؤَذِّنُ لِلإِقَامَةِ

Maksudnya: “Rasulullah SAW bersolat sebanyak sebelas rakaat di antara selepas Baginda SAW bersolat Isyak sehingga terbit waktu fajar. Baginda SAW mengucap salam setiap dua rakaat dan mengakhirinya dengan satu rakaat. Apabila muazzin selesai azan solat subuh dan fajar telah nyata, muazzin pun menemui Baginda SAW, lalu Baginda SAW bangun menunaikan solat sunat dua rakaat yang ringkas, kemudian Baginda SAW mengiring atas lambung kanannya sehingga muazzin menemuinya lagi untuk iqamah.

Riwayat al-Nasa’i (684) dan Ibn Majah (1125)

  • Daripada Abu Ayyub R.A, Rasulullah SAW bersabda:

الوِتْرُ حَقٌّ عَلَى كُلِّ مُسْلِمٍ فَمَنْ أَحَبَّ أَنْ يُوْتِرَ بِخَمْسٍ فَلْيَفْعَلْ وَمَنْ أَحَبَّ أَنْ يُوتِرَ بِثَلَاثٍ فَلْيَفْعَلْ وَمَنْ أحَبَّ أنْ يُوتِرَ بِوَاحِدَةٍ فَلْيَفْعَلْ

Maksudnya: “Solat witir ialah syariat yang dituntut atas setiap umat Islam. Sesiapa hendak melakukan lima rakaat lakukanlah, sesiapa yang hendak melakukan tiga rakaat lakukanlah, dan sesiapa hendak melakukan satu rakaat sahaja lakukanlah.”

Riwayat  Abu Dawud (1422) dan al-Baihaqi (3/24)

Imam al-Baghawi berkata: Para ulama’ berbeza pandangan pada bilangan rakaat. Imam al-Thauri berpandangan bahawa witir sama ada lima, atau tiga atau satu, tetapi digalakkan berwitir dengan tiga rakaat. Pandangan ini juga merupakan pandangan Ibn al-Mubarak dan ahl al-Kufah dan sebahagian daripada sahabat antaranya Abdullah bin Mas‘ud.

Dan sebahagian daripada para Sahabat berpandangan bahawa boleh berwitir dengan satu rakaat. Antaranya Uthman bin Affan, Sa‘ad bin Abi Waqqas, Zaid bin Thabit, Abu Musa al-Asy‘ari, Abdullah bin Umar, Abdullah bin Abbas, Abdullah bin Zubair, Mu‘awiyah, Aisyah, Imam Malik, Imam Syafi‘i dan lain-lain. (Lihat Syarh al-Sunnah, 4/82).

Justeru berdasarkan hadith–hadith di atas menunjukkan solat witir boleh dilakukan:

  • 1 rakaat sekurang-kurangnya seperti pendapat mazhab Syafi‘i dan Hanbali.
  • 3 rakaat
  • 5 rakaat.
  • 7 rakaat.
  • 9 rakaat.
  • 11 rakaat.
  • 13 rakaat seperti riwayat daripada Imam al-Syafi‘i.

Dan bilangan rakaat sedikit yang paling sempurna ialah tiga rakaat. Jika ditambah lagi baik. Sebahagian ulama’ berpendapat tidak harus witir dengan satu rakaat sahaja seperti pendapat mazhab Hanafi.

Justeru, boleh dilakukan witir satu rakaat, tetapi yang afdhalnya adalah tiga rakaat dengan dua salam atau melakukan solat sunat ba’diyah Isyak dua rakaat dan disudahi dengan satu rakaat Witir. Kami lebih cenderung jika mahu mengawalkan Witir dengan melakukan solat sunat Ba’diyah Isyak dua rakaat dan witir tiga rakaat.

Bagi waktu solat sunat witir, ia di antara solat Isyak dan terbit fajar. Hal ini berdasarkan hadith, Nabi SAW bersabda:

إنَّ اللهَ عَزَّ وَجَلَّ أَمَدَّكُمْ بِصَلَاةٍ وَهِيَ خَيْرٌلَكُمْ مِنْ حُمْرِ النَّعَمِ، وَهِيَ الْوِتْرُ، فَجَعَلَهَا لَكُمْ فِيْمَا بَيْنَ الْعِشَاءِ إِلَى طُلُوعِ الْفَجْرِ

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah SWT mengurniakan kamu satu solat yang lebih baik daripada unta merah. Solat itu ialah solat witir yang ditentukan waktunya di antara solat Isyak sehingga terbit fajar.”

Riwayat Abu Dawud 1418, al-Tirmizi 452, Ibn Majah 1168, al-Hakim 1/306 dan Ahmad 2/208. Hadith ini telah disahihkan oleh al-Hakim.

Syeikh al-Bassam berkata: “Waktu solat Witir antara solat Isyak hingga terbitnya Fajar kerana ia merupakan penutup solat malam.” (Lihat Taudih al-Ahkam, 2/406).

Namun yang afdal ialah melakukan pada akhir solat malam. Rasulullah SAW  bersabda:

اجْعَلُوا أَخِرَ صَلَاتِكُمْ مِنَ الْلَيْلِ وِتْرًا

Maksudnya: “Jadikanlah akhir solat malam kamu dengan solat witir.”

Riwayat al-Bukhari (472), Muslim (751), Abu Dawud (1438) dan al-Baihaqi (1/285)

Hal ini jika seseorang berharap dia akan bangun pada akhir malam, tetapi jika dikhuatiri tidak bangun dia hendaklah menunaikan solat witir selepas solat fardu Isyak dan solat-solat sunatnya.

Hal ini berdasarkan hadith Jabir  R.A, Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ خَافَ أَنْ لَا يَقُوْمَ آخِرَ الْلَيْلِ فَلْيُوْتِر أَوَّلَهُ وَمَنْ طَمَعَ أَنْ يَقُوْمَ آخِرَهُ فَلْيُوْتِرِ الْلَيْل آخِرَ الْلَيْلِ فَإِنَّ صَلاَةَ آخِرِ الْلَيْلِ مَشْهُوْدَةٌ وَذَلِكَ أَفْضَل

Maksudnya: “Sesiapa yang khuatir tidak terbangun pada akhir malam, dia hendaklah bersolat Witir lebih awal, dan sesiapa yang bersungguh-sungguh untuk bangun pada akhir malam dia hendaklah bersolat Witir pada akhir malam. Sesungguhnya solat pada akhir malam dihadiri bersama oleh para malaikat, dan itulah yang afdhal.”

Riwayat  Muslim (755)

Hadith lain pula yang menunjukkan solat witir boleh dilakukan sebelum tidur ialah, daripada Abu Hurairah R.A, katanya:

أَوْصَانِي خَلِيلِي صلى الله عليه وسلم بِثَلاَثٍ: صِيَامِ ثَلاَثَةِ أَيَّامٍ مِنْ كُلِّ شَهْرٍ، وَرَكْعَتَىِ الضُّحَى، وَأَنْ أُوتِرَ قَبْلَ أَنْ أَنَامَ‏.‏

Maksudnya: “Kekasihku Nabi SAW mewasiatkan tiga perkara kepadaku, iaitu supaya berpuasa tiga hari pada setiap bulan, mendirikan dua rakaat solat Dhuha, dan solat sunat witir sebelum aku tidur.”

Riwayat al-Bukhari (1981) dan Muslim (721)

Al-Khatib al-Syirbini berkata: “Jika seseorang mampu melakukan solat Tahajjud pada akhir malam, maka hendaklah dia menangguhkan solat Witir di akhir malam. Sekiranya tidak, maka dia boleh mengerjakan solat Witir selepas solat Isya’ dan selepas Rawatib ‘Isyak. (Lihat al-Iqna‘ fi Halli Alfaz Abi Syuja‘, 1/210). Ungkapan yang sama juga disebut oleh Imam al-Nawawi dalam Raudhah al-Talibin (1/230).

Justeru, di sini kami katakan bahawa solat sunat witir satu rakaat selepas solat Isyak dan ba’diyah Isyak adalah dibolehkan berdasarkan dalil-dalil dan perbincangan yang kami kemukakan di atas.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّكَ عَفُوٌّ، تُحِبُّ الْعَفْوَ، فَاعْفُ عَنَّا

Maksudnya: “Ya Allah sesungguhnya Engkau Maha Pengampun dan suka memberi keampunan, maka ampunilah kami.”

Bertarikh: 25 September 2023 bersamaan 9 Rabiulawwal 1445

Leave A Comment