#324 Adakah Ahli Syurga Tidur?

Soalan:         

Assalamualaikum w.b.t. Adakah ahli syurga tidur? Mohon pencerahan.

Jawapan

Waalaikumussalam w.b.t.

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Bagi menjawab persoalan ini, oleh kerana ia termasuk dalam perkara ghaibiyyat maka kami bawakan satu riwayat daripada Jabir bin Abdullah R.Anhuma bahawa Rasulullah SAW ditanya: Wahai Rasulullah, adakah ahli syurga tidur? Maka, Baginda SAW menjawab:

النَّومُ أخو الموتِ وأَهلُ الجنَّةِ لا ينامونَ

Maksudnya:Tidur itu adalah saudara kematian dan ahli syurga tidak tidur.”[1]

Kenikmatan tidur tidak akan berlaku atau dirasai melainkan oleh mereka yang berhajat kepadanya kerana penat atau sakit, sedangkan ahli syurga tidak mengalami semua perkara tersebut. Perkara ini juga pernah ditanyakan kepada Syeikh ‘Abd al-‘Aziz al-Rajihi[2] dan beliau menjawab bahawa ahli syurga tidak tidur. Tidur itu pula ialah saudara kematian sedangkan dalam syurga tidak ada tidur, kematian, sakit, tua, kesedihan, membuang air besar dan kecil ataupun bau yang tidak menyenangkan. Begitu juga bagi ahli syurga perempuan tidak ada haid mahupun nifas. Selain itu, tidak ada juga di dalamnya perasaan kedengkian, kebencian mahupun hasad[3] kerana semua itu dikeluarkan daripada dada-dada orang beriman sebelum mereka memasuki syurga.[4]

Perkara ini juga adalah bertepatan sebagaimana firman Allah SWT mengenai keadaan ahli syurga:

وَقَالُوا الْحَمْدُ لِلَّهِ الَّذِي أَذْهَبَ عَنَّا الْحَزَنَ ۖ إِنَّ رَبَّنَا لَغَفُورٌ شَكُورٌ  (34) الَّذِي أَحَلَّنَا دَارَ الْمُقَامَةِ مِن فَضْلِهِ لَا يَمَسُّنَا فِيهَا نَصَبٌ وَلَا يَمَسُّنَا فِيهَا لُغُوبٌ

Maksudnya:Dan (sebagai bersyukur) berkatalah mereka: ‘Segala puji tertentu bagi Allah, yang telah menghapuskan perasaan dukacita daripada kami; Sesungguhnya Tuhan kami Maha Pengampun, lagi sentiasa memberi balasan yang sebaik-baiknya (kepada orang-orang yang taat). (34) Tuhan yang telah menempatkan kami di tempat tinggal yang kekal, dengan limpah kurnia-Nya semata-mata. Kami tidak akan merasa penat lelah di situ, dan Kami juga di situ tidak akan merasa letih lesu.’”

Justeru, kami menyimpulkan bahawa ahli syurga tidak tidur kerana kenikmatan tidur tidak akan berlaku atau dirasai melainkan oleh mereka yang berhajat kepadanya kerana penat atau sakit, sedangkan ahli syurga tidak mengalami semua perkara tersebut. Kami akhiri perbincangan dengan doa:

اللَّهُمَّ لَا سَهْلَ إِلاَّ ما جَعَلْتَهُ سَهْلاً، وأنْتَ تَجْعَلُ الحَزْنَ إذَا شِئْتَ سَهْلاً

Maksudnya:Ya Allah! Tiada kemudahan kecuali apa yang Engkau jadikannya sebagai kemudahan. Dan Engkaulah yang menjadikan perkara yang sukar itu jika Engkau kehendaki dengan kemudahan.”[5]

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Ameen.

Wallahua‘lam.

Bertarikh: 20 Januari 2022 bersamaan 17 Jamadil Akhir 1443H

[1] Riwayat al-Tabarani dalam al-Mu‘jam al-Ausat (919); al-Dailami dalam al-Firdaus (1554); al-Baihaqi dalam Syu‘ab al-Iman (4745); al-‘Ajluni al-Jarrahi menyebutkan bahawa riwayat al-Bazzar, al-Tabarani dan al-Baihaqi ini adalah dengan sanad yang sahih daripada Jabir (Lihat Kasyf al-Khifa’, 2/329)

[2] Beliau ialah Pensyarah Jabatan Akidah dan Mazhab Kontemporari, Universiti al-Imam Muhammad bin Su‘ud.

[3] Benarlah firman Allah SWT:

وَنَزَعْنَا مَا فِي صُدُورِهِم مِّنْ غِلٍّ إِخْوَانًا عَلَىٰ سُرُرٍ مُّتَقَابِلِينَ

Maksudnya:Dan Kami cabut akan apa yang ada dihati mereka dari perasaan hasad dengki sehingga menjadilah mereka bersaudara (dalam suasana kasih mesra), serta mereka duduk berhadap-hadapan di atas pelamin masing-masing.” (Surah al-Hijr: 47)

Syeikh al-Sa‘di menyatakan bahawa ‘dicabut daripada hati orang-orang beriman perasan hasad dengki dan kebencian’ maka oleh sebab itu mereka sentiasa selamat daripada sifat dendam, kedengkian, bersih lagi saling mencintai sesama mereka. (Lihat Tafsir al-Sa‘di, 1/431)

[4] Lihat https://ar.islamway.net/fatwa/14546/ نوم-أهل-الجنة

[5] Riwayat al-Baihaqi dalam al-Da‘awat al-Kabir (265), Ibn Hibban (974) dan Ibn al-Sunni dalam ‘Amal al-Yaum wa al-Lailah (351)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *