Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Apa hukum sedekahkan al-Fatihah kepada mereka yang bukan Muslim? Bukan dalam situasi kematian, in terms of kehidupan seharian. Mohon bantu saya dapatkan jawapan dari persoalan ini ya. Terima kasih

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Sedekah mempunyai pahala yang besar bahkan digalakkan dalam Islam. Kami telah nyatakan dalam buku kami Keajaiban Sedekah yang cukup banyak kelebihannya. Kita boleh bahagikan sedekah kepada dua; sedekah harta benda seperti wang ringgit, maka boleh kita sedekah kepada sesiapa pun termasuk kepada non-Muslim mengikut pendapat yang rajih.

Keduanya, sedekah ibadat seperti bacaan al-Fatihah disedekahkan ekpada non-Muslim. Hal ini tidak dibolehkan kerana orang bukan Islam tidak diterima ibadat selama mana tidak memeluk Islam. Firman Allah SWT:

 قُل لِّلَّذِينَ كَفَرُوا إِن يَنتَهُوا يُغْفَرْ لَهُم مَّا قَدْ سَلَفَ وَإِن يَعُودُوا فَقَدْ مَضَتْ سُنَّتُ الْأَوَّلِينَ

Maksudnya: Katakanlah (wahai Muhammad) kepada orang-orang yang kafir itu, jika mereka berhenti (dari kekufurannya), nescaya akan diampunkan dosa mereka yang telah lalu, dan jika mereka kembali lagi (ingkar maka Kami akan menyeksa mereka), kerana sesungguhnya telah berlakulah kebinasaan orang-orang (yang kufur ingkar) dahulu kala.

(Surah al-Anfal: 38)

Justeru, kami katakan yang boleh adalah kita membaca al-Fatihah untuk mendoakan orang-orang yang sakit, termasuklah kepada yang bukan Islam seperti riwayat al-Bukhari: Daripada Abu Sa’id Al-Khudri RA, katanya:

أَنَّ نَاسًا مِنْ أَصْحَابِ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانُوا فِي سَفَرٍ، فَمَرُّوا بِحَيٍّ مِنْ أَحْيَاءِ الْعَرَبِ، فَاسْتَضَافُوهُمْ فَلَمْ يُضِيفُوهُمْ، فَقَالُوا لَهُمْ : هَلْ فِيكُمْ رَاقٍ ؟ فَإِنَّ سَيِّدَ الْحَيِّ لَدِيغٌ أَوْ مُصَابٌ. فَقَالَ رَجُلٌ مِنْهُمْ : نَعَمْ. فَأَتَاهُ، فَرَقَاهُ بِفَاتِحَةِ الْكِتَابِ، فَبَرَأَ الرَّجُلُ، فَأُعْطِيَ قَطِيعًا مِنْ غَنَمٍ، فَأَبَى أَنْ يَقْبَلَهَا، وَقَالَ : حَتَّى أَذْكُرَ ذَلِكَ لِلنَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ. فَأَتَى النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، فَذَكَرَ ذَلِكَ لَهُ، فَقَالَ : يَا رَسُولَ اللَّهِ، وَاللَّهِ مَا رَقَيْتُ إِلَّا بِفَاتِحَةِ الْكِتَابِ. فَتَبَسَّمَ وَقَالَ : “ وَمَا أَدْرَاكَ أَنَّهَا رُقْيَةٌ ؟ “ ثُمَّ قَالَ: “خُذُوا مِنْهُمْ، وَاضْرِبُوا لِي بِسَهْمٍ مَعَكُمْ.

Maksudnya: “Bahawa ada sekelompok sahabat Rasulullah SAW dahulu berada dalam musafir, lalu melewati satu perkampungan Arab. Waktu itu, mereka meminta untuk menjadi tetamu, namun penduduk kampung tersebut enggan untuk menjamu mereka. Penduduk kampung tersebut lantas bertanya kepada para sahabat, “Apakah di antara kamu ada yang boleh meruqyah (merawat) kerana pembesar kampung kami tersengat binatang atau terserang demam?” Ada seorang sahabat menjawab, “Ya, ada”  Lalu ia (salah satu sahabat) pun mendatangi pembesar tersebut dan meruqyahnya dengan membaca surah Al-Fatihah. Pembesar tersebut pun sembuh. Lalu yang membacakan ruqyah tadi diberikan (hadiah) selembah daripada kambing, namun ia enggan menerimanya sampai kisah tadi diceritakan terlebih dahulu pada Nabi SAW. Lalu ia mendatangi Nabi SAW dan menceritakan kisahnya tadi pada beliau. Ia berkata, “Wahai Rasulullah, demi Allah aku tidaklah meruqyah melainkan hanya membacakan surah Al-Fatihah.” Rasulullah SAW lantas tersenyum dan berkata, “Bagaimana engkau boleh tahu Al-Fatihah adalah (surah yang dapat dijadikan) ruqyah?” Beliau pun bersabda, “Ambillah kambing itu dari mereka dan berikan untukku sebahagiannya bersama kamu.”

Riwayat al-Bukhari (2064) dan Muslim (2201)

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ اجْعَلْ خَيْرَ أَعْمَارِنَا أَوَاخِرَهَا، وَخَيْرَ أَعْمَالِنَا خَوَاتِمَهَا، وَاجْعَلْ خَيْرَ أَيَّامِنَا يَوْمَ نَلْقَاكَ

Maksudnya: “Ya Allah! Jadikanlah sebaik-baik umur kami adalah pada penghujungnya, dan sebaik-baik amalan kami sebagai penutupnya. Dan jadikanlah sebaik-baik hari kami, adalah hari dimana kami berjumpa dengan-Mu kelak.”

Bertarikh: 26 September 2023 bersamaan 10 Rabiulawwal 1445

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *