#328 Melakukan Badal Umrah

Soalan:         

Assalamualaikum w.b.t.

Saya ada satu persoalan. Bolehkah saya melakukan badal umrah secara sukarela untuk seseorang yang telah meninggal dunia? Terima kasih.

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t.

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

وَأَتِمُّوا الْحَجَّ وَالْعُمْرَةَ لِلَّـهِ

Maksudnya:Dan sempurnakanlah Ibadah Haji dan Umrah kerana Allah.[1]

Para ulama telah bersepakat memutuskan bahawa haji adalah fardhu, tanpa seorang pun di kalangan mereka berpendapat sebaliknya. Oleh itu, mereka menghukumkan kafir kepada sesiapa yang mengingkari sesuatu yang yang telah thabit dengan al-Quran, al-Sunnah dan ijma‘. Begitu juga, berdasarkan pendapat yang lebih jelas daripada Imam al-Syafi‘i, umrah juga adalah fardhu sebagaimana haji dan ayat di atas adlah merupakan dalil bagi mereka yang berpendapat bahawa umrah adalah fardhu. Selain itu, mereka juga telah bersepakat mengatakan bahawa haji dan umrah wajib dilakukan oleh mereka yang mampu, hanya sekali seumur hidup.[2]

Melakukan badal haji

Mengenai hal ini, Imam al-Nawawi menyebutkan bahawa jumhur ulama berpendapat boleh untuk mewakilkan haji ke atas orang yang telah meninggal dunia dan uzur yang tiada harapan untuk sembuh.[3]

Hal ini adalah berdasarkan hadith daripada Ibn Abbas R.Anhuma:

أَنَّ امْرَأَةً مِنْ جُهَيْنَةَ جَاءَتْ إِلَى النَّبِيِّ -صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ- فَقَالَتْ: إِنَّ أُمِّي نَذَرَتْ أَنْ تَحُجَّ فَلَمْ تَحُجَّ حَتَّى مَاتَتْ، أَفَأَحُجُّ عَنْهَا؟ قَالَ: نَعَمْ حُجِّي عَنْهَا، أَرَأَيْتِ لَوْ كَانَ عَلَى أُمِّكِ دَيْنٌ أَكُنْتِ قَاضِيَةً؟ اقْضُوا اللَّهَ، فَاللَّهُ أَحَقُّ بِالْوَفَاءِ

Maksudnya:Seorang wanita daripada (kabilah) Juhainah datang kepada Nabi SAW lalu berkata: ‘Sesungguhnya ibuku pernah bernazar untuk mengerjakan haji, namun dia belum mengerjakan haji sehinggalah dia wafat. Adakah aku boleh mengerjakan haji sebagai wakilnya?’ Baginda menjawab: ‘Ya, kerjakanlah haji sebagai wakilnya. Apakah pandanganmu bahawa jika ibumu mempunyai hutang, adakah engkau akan melunaskannya? Tunaikanlah hak Allah, kerana sesungguhnya hak Allah lebih berhak untuk dipenuhi.’[4]

Begitu juga dalam riwayat lain daripada Ibn Abbas R.Anhuma, beliau berkata:

كَانَ الفَضْلُ رَدِيفَ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، فَجَاءَتِ امْرَأَةٌ مِنْ خَشْعَمَ، فَجَعَلَ الفَضْلُ يَنْظُرُ إِلَيْهَا وَتَنْظُرُ إِلَيْهِ، وَجَعَلَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، يَصْرِفُ وَجْهَ الفَضْلِ إِلَى الشِّقِّ الآخَرِ، فَقَالَتْ: يَا رَسُولَ اللَّهِ إِنَّ فَرِيضَةَ اللَّهِ عَلَى عِبَادِهِ فِي الحَجِّ أَدْرَكَتْ أَبِي شَيْخًا كَبِيرًا، لاَ يَثْبُتُ عَلَى الرَّاحِلَةِ، أَفَأَحُجُّ عَنْهُ؟ قَالَ: «نَعَمْ»، وَذَلِكَ فِي حَجَّةِ الوَدَاعِ

Maksudnya:Al-Fadhl membonceng tunggangan Rasulullah SAW, lalu datang seorang wanita daripada suku Khath‘am, lalu al-Fadhl melihat ke arah wanita tersebut, dan wanita itu melihat ke arahnya. Nabi SAW memalingkan wajah al-Fadhl ke sisi (arah) lain. Lalu wanita itu berkata: ‘Wahai Rasulullah, sesungguhnya Allah mewajibkan ke atas para hamba-Nya untuk menunaikan haji. Aku mendapati bapaku seorang yang sudah tua, sehingga tidak mampu untuk menunggang haiwan tunggangan. Adakah aku boleh melaksanakan haji untuknya?’ Baginda bersabda: ‘Ya (boleh).’ Demikian (perkara ini) berlaku ketika Baginda melaksanakan haji wada‘.[5]

Hadith di atas mengandungi penjelasan bahawa diharuskan untuk melakukan badal haji bagi seseorang yang telah meninggal dunia. Inilah pendapat para ulama dalam kalangan sahabat Nabi SAW dan selain mereka seperti al-Thauri, Ibn al-Mubarak, al-Syafi‘i, Ahmad dan Ishaq. Selain itu, ia juga menunjukkan bahawa terdapat kelonggaran untuk menunaikan fardhu haji bagi orang yang masih hidup tetapi telah tua dan tidak mampu lagi untuk menunaikan fardhu haji dengan sendiri. Ini merupakan pendapat Ibn al-Mubarak dan al-Syafi‘i.[6]

Perbahasan lanjut mengenai perkara ini, bolehlah merujuk kepada artikel kami yang bertajuk: #228 Badal Haji bagi Orang yang Meninggal Dunia.[7]

Melakukan badal umrah

Secara umumnya, para fuqaha berpendapat bahawa dibolehkan untuk melakukan badal umrah ke atas orang lain kerana ibadah umrah adalah seperti mana ibadah haji, justeru dibolehkan mewakilkannya kepada orang lain. Begitu juga, hal ini kerana ibadah umrah dan haji merupakan ibadah yang berbentuk fizikal dan harta.

Adapun dari segi perinciannya pula, ulama mazhab Hanafi berpendapat bahawa dibolehkan melakukan ibadah umrah ke atas orang lain dengan perintahnya kerana keharusan untuk melakukannya itu adalah dengan cara perwakilan dan perwakilan itu tidak sabit melainkan dengan perintah. Justeru, sekiranya seseorang memerintahkan supaya dilakukan umrah bagi pihaknya, lalu orang yang diminta itu berniat ihram dan melakukan umrah, maka perkara tersebut dibolehkan kerana dia melakukan apa yang diperintahkan. Manakala ulama mazhab Maliki pula berpendapat bahawa badal umrah hukumnya adalah makruh tetapi sekiranya dilakukan ia adalah sah.

Selain itu, ulama mazhab Syafi‘i pula menyatakan bahawa dibolehkan untuk melakukan badal umrah bagi pihak seseorang yang sudah meninggal dunia atau yang tidak mampu menunaikannya sendiri — kerana adanya suatu keuzuran. Oleh itu, sesiapa yang meninggal dunia dan masih lagi menanggung umrah wajib — kerana dia semasa hidup berkemampuan untuk melakukannya tetapi tidak ditunaikan sehinggalah dia meninggal dunia — maka diwajibkan untuk ditunaikan umrah bagi pihaknya dengan menggunakan harta yang ditinggalkan olehnya. Jika seseorang yang asing melakukan umrah bagi pihaknya, maka perkara tersebut dibolehkan sekalipun tanpa izinnya sebagaimana seseorang yang melunaskan hutang bagi pihaknya tanpa keizinannya. Begitu juga dibolehkan untuk melakukan badal umrah sunat bagi pihak yang tidak mampu menunaikannya dengan sendiri — kerana suatu keuzuran — sebagaimana dibolehkan badal umrah bagi pihak yang sudah meninggal dunia.

Manakala ulama mazhab hanbali berpendapat bahawa tidak boleh melakukan badal umrah bagi pihak yang masih hidup tanpa keizinan daripadanya kerana ia adalah ibadah yang dibenarkan dengan cara perwakilan. Oleh itu, tidak boleh diwakilkan seseorang itu melainkan dengan izinnya. Adapun ke atas pihak yang sudah meninggal dunia, maka dibolehkan untuk melakukan badal umrah bagi pihaknya tanpa keizinannya.[8]

Mengenai hal ini juga terdapat sebuah hadith daripada Abu Razin bahawa beliau telah berkata kepada Rasulullah SAW:

يا رسولَ اللَّهِ إنَّ أبي شيخٌ كبيرٌ لاَ يستطيعُ الحجَّ ولاَ العمرةَ ولاَ الظَّعن. قالَ: احجج عن أبيكَ واعتمر

Maksudnya:Wahai Rasulullah, sesungguhnya ayahku sudah sangat tua, dia tidak mampu untuk menunaikan haji dan umrah serta tidak berkemampuan lagi untuk menaiki kenderaan ke sana. Baginda SAW bersabda: “Tunaikanlah haji dan umrah bagi pihak ayahmu.[9]

Kesimpulannya

Berdasarkan kepada perbincangan dan perbahasan di atas, kami berpendapat bahawa dibolehkan untuk melakukan badal umrah sebagaimana dibolehkan juga perkara tersebut dalam ibadah haji kerana kedua-dua ibadah tersebut boleh menerima perwakilan. Bahkan boleh jadi hukum badal umrah adalah wajib menurut sebahagian ulama ke atas pihak yang sudah meninggal dunia yang berkemampuan melakukan umrah semasa hayatnya, tetapi tidak ditunaikan olehnya sehinggalah dia meninggal dunia.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Ameen.

Wallahua‘lam.

Bertarikh: 20 Januari 2022 bersamaan 17 Jamadil Akhir 1443H

[1] Surah al-Baqarah: 196

[2] Lihat al-Fiqh al-Manhaji,2/115-116; al-Idhah fi Manasik al-Haj wa al-Umrah, hlm. 378-379.

[3] Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 8/27.

[4] Riwayat al-Bukhari (1852)

[5] Riwayat al-Bukhari (1513)

[6] Lihat Fiqh al-Sunnah, 1/637.

[7] Lihat https://maktabahalbakri.com/228-badal-haji-bagi-orang-yang-meninggal-dunia/.

[8] Lihat al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 30/328-329.

[9] Riwayat Abu Daud (1810); al-Tirmizi (930); al-Nasa’i (2621)

One thought on “#328 Melakukan Badal Umrah

  1. WIDA NUR says:

    Assalamualaikum wr wb Dr
    Bolehkan cucu arwah bapa saya melakukan badal umrah sedangkan arwah bapa saya sudah pun melakukan haji semasa hidupnya. Kerana ada pihak tertentu menyatakan tidak boleh kerana ia khusus untuk orang yang belum buat ibadat haji ataupun umrah..
    saya berpendapat melakukan badal umrah untuk arwah bapa saya yang telah buat haji semasa hidupnya adalah perkara sunat . Mohon pencerahan Dr. Jazakallahu khairon.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *