#329 Menyentuh serigala

Soalan:         

Assalamualaikum w.b.t. Adakah serigala dihukumkan sebagai najis sebagaimana anjing? Mohon pencerahan.

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t.

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

وَمَا مِن دَابَّةٍ فِي الْأَرْضِ وَلَا طَائِرٍ يَطِيرُ بِجَنَاحَيْهِ إِلَّا أُمَمٌ أَمْثَالُكُم

Maksudnya:Dan tidak seekor pun binatang yang melata di bumi, dan tidak seekor pun burung yang terbang dengan kedua sayapnya, melainkan mereka umat-umat seperti kamu.

(Surah al-An‘am: 38)

Ayat ini menunjukkan bahawa haiwan-haiwan adalah kelompok-kelompok seperti manusia dari sudut Allah SWT yang mencipta mereka, menjamin rezeki mereka dan bersikap adil terhadap mereka. Oleh itu, tidak sepatutnya kamu menzalimi mereka mahupun bersikap melampau terhadap mereka melebihi apa yang telah kamu diperintahkan dengannya. (Lihat Tafsir al-Qurtubi, 6/419-420.)

Definisi serigala

Kamus Dewan Edisi Keempat mendefinisikan serigala sebagai sejenis binatang liar rupanya seperti anjing dan berwarna kuning kekelabu-kelabuan.[1]

Perbezaan anjing dan serigala

Serigala adalah berbeza dengan anjing sekalipun mereka sering disalah anggap sebagai haiwan yang sama. Di sini kami nyatakan perbezaan tersebut, antaranya:[2]

  • Anjing secara umumnya adalah lebih kecil berbanding serigala.
  • Warna mata anjing adalah dalam lingkungan daripada warna biru ke coklat. Manakala warna mata serigala pula adalah dalam rona warna kuning atau amber (kuning jingga) dan ia tidak akan pernah berwarna coklat.
  • Anjing menyalak dan tidak melolong, manakala serigala pula melolong dan tidak menyalak.
  • Anjing boleh dijinakkan (dipelihara), manakala serigala merupakan haiwan liar dan tidak boleh dijinakkan.
  • Anjing mempunyai kepala yang lebih kecil, dada lebar dan kaki pendek. Manakala serigala pula memiliki kepala yang lebih besar, kaki panjang dan dada yang sempit.
  • Anjing mempunyai rahang yang lebih kecil berbanding serigala. Manakala serigala pula mempunyai rahang yang lebih besar dan lebih kuat berbanding dengan anjing.
  • Anjing termasuk dalam kategori haiwan karnivor tetapi ada juga yang omnivor. Manakala serigala ialah haiwan karnivor.

Kenajisan anjing

Sebagaimana yang sudah kita sedia maklum, anjing termasuk dalam kategori haiwan yang dihukumkan sebagai najis mughallazah (najis berat). Hal ini adalah berdasarkan kepada sabda Baginda SAW:

طَهُورُ إِنَاءِ أَحَدِكُمْ إِذَا وَلَغَ فِيهِ الْكَلْبُ أَنْ يَغْسِلَهُ سَبْعَ مَرَّاتٍ أُولَاهُنَّ بِالتُّرَابِ

Maksudnya:Sucinya bekas salah seorang daripada kamu apabila seekor anjing menjilat padanya (bekas tersebut) adalah dengan cara kamu membasuhnya sebanyak tujuh kali, dan basuhan pertama bercampur dengan tanah.”

Riwayat Muslim (279)

Imam al-Nawawi menyebutkan bahawa tidak ada beza dalam kalangan kami — ulama mazhab Syafi‘i — antara jilatan anjing dengan anggota-anggota anjing yang lain. Apabila terkena kencingnya, tahinya, darahnya, peluhnya, bulunya, air liurnya atau mana-mana bahagian anggotanya yang bersih dalam keadaan lembap, maka wajib membasuhnya dengan tujuh kali basuhan dan salah satu daripadanya adalah bercampur dengan tanah. (Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 3/185)

Adakah serigala dihukumkan seperti anjing?

Pada asasnya, hukum asal bagi sesuatu dan makhluk adalah suci bersih serta tidak dihukumkan sebagai najis kecuali adanya dalil syar‘i yang menunjukkan kepada kenajisannya. Hal ini adalah sebagaimana yang dinyatakan oleh al-Khatib al-Syirbini dalam kitabnya:

الْحَيَوَانُ كُلُّهُ طَاهِرٌ لِمَا مَرَّ إلَّا مَا اسْتَثْنَاهُ الشَّارِعُ

Maksudnya:Haiwan kesemuanya adalah suci melainkan apa yang didatangkan syarak akan kenajisannya.” (Lihat Mughni al-Muhtaj, 1/226)

Berbalik kepada persoalan yang ditanyakan, serigala tidak termasuk dalam kategori anjing mehupun keturunannya. Hal ini adalah sebagaimana yang dinyatakan oleh Dar Ifta’ al-Misriyyah bahawa anjing merupakan haiwan yang menyalak. Maka bagi setiap haiwan yang menyalak sama ada bersaiz kecil seperti Pomeranian (الكلب الرومي) atau bersaiz besar. Jika anjing itu berubah rupa bentuknya (kerana kacukan atau sebagainya), maka ia tetap termasuk dalam kategori anjing sekalipun menyalaknya tidak kuat. Adapun bagi haiwan yang tidak menyalak sekalipun ia menyerupai anjing seperti serigala dan musang, maka ia tidak termasuk di bawah kategori anjing mahupun berkongsi dari sudut hukumnya. [3]

Tambahan lagi, serigala itu tidak dianggap sebagai najis sepertimana anjing adalah sebagaimana dapat difahami daripada isyarat al-Khatib al-Syirbini yang menjadikan serigala sebagai contoh haiwan yang suci ketika membincangkan mengenai kenajisan haiwan yang lahir, hasil daripada kacukan haiwan yang suci dengan anjing. (Lihat Mughni al-Muhtaj, 1/229)

Selain itu, serigala bukanlah hasil kacukan daripada anjing mahupun daripada keturunannya. Akan tetapi ia ialah haiwan liar yang berbeza dengan anjing sekalipun dilihat serupa dengan anjing.

Kesimpulannya

Berdasarkan kepada perbahasan dan perbincangan di atas, kami menyimpulkan bahawa serigala termasuk dalam kategori haiwan yang suci serta tidak mengambil hukum anjing dan keturunannya. Oleh itu, tidak mengapa menyentuhnya serta najis dan bangkainya dianggap sebagai najis mutawassitah (sederhana).

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Ameen.

Wallahua‘lam.

Bertarikh: 20 Januari 2022 bersamaan 17 Jamadil Akhir 1443H

 

[1] Lihat https://prpm.dbp.gov.my/cari1?keyword=serigala.

[2] Lihat https://www.javatpoint.com/dog-vs-wolf.

[3] Lihat https://almalnews.com/ ماذا-قالت-دار-الافتاء-عن-الكلب؟/

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *