#3291: Saudara Susuan Baginda SAW

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Siapakah saudara susuan Baginda SAW dan boleh kisahkan sebahagian daripada kisah yang menarik?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

وَالْوَالِدَاتُ يُرْضِعْنَ أَوْلَادَهُنَّ حَوْلَيْنِ كَامِلَيْنِ ۖ لِمَنْ أَرَادَ أَن يُتِمَّ الرَّضَاعَةَ ۚ

Maksudnya: “Dan ibu-ibu hendaklah menyusukan anak-anak mereka selama dua tahun genap iaitu bagi orang yang hendak menyempurnakan penyusuan itu,

(Surah al-Baqarah: 233)

Daripada Aisyah R.Anha, daripada Nabi SAW bersabda:

الرَّضَاعَةُ تُحَرِّمُ مَا تُحَرِّمُ الْوِلَادَةُ 

Maksudnya: “Susuan mengharamkan sebagaimana keharaman dalam peranakan.”

Riwayat al-Bukhari (2646) (3105) (5099), Muslim (1444), Abu Daud (2055) dan al-Tirmizi (1147)

Antara saudara susuan Rasulullah ialah:

  • Abdullah bin al-Harith.
  • Anisah binti al-Harith.
  • Hudhafah atau Judhamah binti al-Harith, iaitu al-Shayma’, gelaran yang lebih dikenali dari nama asalnya.
  • Sufiyan bin al-Harith bin ‘Abd al-Muttalib, iaitu bapa saudara Baginda sendiri.
  • Hamzah bin Abdul Muthalib.

Dalam kitab Zad al-Ma’ad menyebut Saidina Hamzah bertemu sebagai saudara susuan dengan Baginda SAW daripada Suwaibah dan juga Halimah al-Sa’diah.

Sebuah kisah, mengikut ahli sejarah, Shayma’ yang menjadi kekanda susuan Nabi SAW pernah ditawan oleh sahabat Rasulullah SAW dan mereka yang bersamanya. Apabila dibawa ke hadapan Rasulullah SAW, Baginda SAW memuliakannya, mengingatkan nostalgia lama.

Betapa mulianya Halimah dan keluarganya memelihara Rasulullah SAW, akhirnya para sahabat memutuskan untuk membebaskan mereka semua sebagai ganjaran atas ehsan mereka kepada Rasulullah SAW. Inilah sifat Rasulullah SAW dan para sahabat memuliakan manusia yang berjasa kepadanya sekalipun tempoh masa sudah berubah dan jaraknya cukup lama. (Lihat Makrifah Rasulullah SAW, hlm. 18-19)

Kesan Penyusuan Terhadap Hubungan Kekeluargaan

Jika seorang perempuan menyusukan bayi yang bukan anaknya, bayi itu menjadi anak susuannya dan suaminya pula menjadi bapa susuan anak tersebut. Kesan penyusuan ini kepada hubungan kekeluargaan adalah sebagaimana berikut:

  • Anak susuan haram berkahwin dengan ibu susuan dan keturunannya, seperti keturunan ibu sendiri. Keturunan ibu susuan yang haram dikahwini adalah seperti berikut:
  • Saudara perempuan kepada ibu susuan kerana mereka ialah ibu saudara sebelah ibu susuan.
  • Anak perempuan kepada ibu susuan kerana mereka ialah saudara susuan.
  • Cucu perempuan kepada ibu susuan kerana mereka ialah anak perempuan kepada saudara susuan.
  • Ibu kepada susuan kerana dia ialah nenek susuan.

Seperti keturunan bapa sendiri, keturunan bapa susuan yang haram dikahwini adalah seperti berikut:

  • Saudara perempuan kepada bapa susuan kerana mereka ialah ibu saudara sebelah bapa susuan.
  • Anak perempuan kepada bapa susuan, sekalipun dengan isteri yang lain kerana mereka ialah saudara susuan.
  • Cucu perempuan kepada bapa susuan, kerana mereka ialah anak perempuan kepada saudara susuan.
  • Ibu kepada bapa susuan, kerana dia ialah nenek susuan.
  • Ibu susuan dan keturunannya haram berkahwin dengan anak susuan dan keturunannya. Hal ini adalah kerana jika ibu susuan diandaikan sebagai ibu sendiri kepada anak susuan, sudah tentu mereka semua merupakan keturunan
    yang haram dikahwini.

Sebagaimana anak susuan tidak boleh berkahwin dengan anak perempuan ibu susuan kerana dia merupakan saudara susuannya. Begitu juga cucu lelaki susuan daripada anak perempuan ibu susuan bapanya kerana dia merupakan ibu saudara susuan sebelah bapa dan begitulah seterusnya.

  • Ibu susuan dan keturunannya harus berkahwin dengan ahli keluarga anak susuannya, seperti saudara lelaki, bapa dan bapa saudara sebelah bapa kerana mereka ialah orang asing daripada ibu susuan dan keturunannya.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”

Bertarikh: 27 September 2023 bersamaan 11 Rabiulawwal 1445

Sokong Kami

Anda Suka Artikel Ini Tekan untuk terus menyumbang

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *