Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Boleh terangkan hikmah kenapa Rasulullah SAW mengembala kambing?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Sejak usia kanak-kanak lagi, Nabi SAW mengembala kambing milik Ibn Abu Mu’ith dengan upah segenggam kurma. Semua nabi yang diutuskan oleh Allah SWT memang pernah mengembala kambing.
Sebahagian ulama berkata: Terdapat beberapa keutamaan di sebalik pekerjaan mengembala kambing, antaranya ialah:
Mengembala kambing dapat menjadikan jiwa seseorang itu menjadi lembut, tabah dan rendah hati. Oleh itu, lazimnya, orang yang pernah bekerja sebagai pengembala kambing, pasti memiliki sifat rendah diri.
Kedegilan mengatur kambing dapat dijadikan sebagai medan latihan yang nantinya dapat memimpin dan mentadbir kehidupan umat manusia dengan baik. Oleh kerananya, Rasulullah SAW berjaya menjadi pemimpin umat manusia dengan berjaya.
Mengembala kambing merupakan sebaik-baik pekerjaan. Ia tidak sama dengan perniagaan yang tidak jarang dinodai oleh unsur tipu muslihat dan riba.
Suatu hikmah Ilahi telah menunjukkan kepada kita bahawa sebaik-baik harta ialah hasil dari perusahaan sendiri demi untuk kebaikan masyarakat dan manusia seluruhnya dan seburuk-buruk kesenangan ialah kemewahan yang diperolehi tanpa kesusahan yang langsung tidak memberi sebarang sumbangan kepada masyarakat. (Lihat Makrifah Rasulullah SAW, hlm. 20-22)
Syeikh Muhammad al-Ghazali menyebut: Kemudian, Nabi SAW kembali daripada perjalanan jauh dan meneruskan hidup dengan bertungkus lumus bersama bapa saudaranya. Sesungguhnya sikap berpeluk tubuh bukanlah satu sifat lelaki seja Para rasul sebelum Baginda SAW juga menyara hidup dengan usaha tangan sendiri dan melakukan pelbagai jenis pekerjaan. Diriwayatkan secara sahih bahawa Nabi Muhammad SAW telah bekerja pada awal hidupnya sebagai penggembala kambing Baginda SAW pernah bersabda:
كُنتُ أَرْعَاهَا عَلَى قَرَارِيْطَ لِأَهْلِ مَكَّةَ
Maksudnya: “Aku pernah menggembala kambing untuk penduduk Makkah dengan upah beberapa qirat.”
Riwayat al-Bukhari (2262), hadith daripada Abu Hurairah
Al-Hafiz Ibn Hajar berkata, bahawa girat adalah satu bahagian tertentu daripada sekeping wang dinar atau dirham. (Lihit Fath al-Bari, 7/99 Rasulullah SAW pernah menggembala kambing bersama saudara susuannya di perkampungan Bani Sa’ad di mana berlakunya peristiwa dua malaikat yang datang membelah dada Baginda. Selain itu, al-Bukhari meriwayatkan daripada Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda. Tidak ada Nabi kecuali telah pernah menjadi penggembala kambing. Para sahabat bertanya, “Engkau juga ya Rasulullah? Baginda menjawab, “Ya, aku telah menggembala dengan upah beberapa Dinar daripada Penduduk Mekah (Lihat Sahih al-Bukhari, Kitab al-ljarah, 3/48)
Daripada Jabir bin Abdillah R.Anhuma, katanya, “Pada suatu ketika, kami bersama Nabi SAW di tempat bernama Marr Zahran, Kami memetik buah yang matang dari pohon bernama al-Araak. Lalu Nabi SAW berkata, “Pilihlah yang berwarna hitam: Kami pun bertanya. “Wahai Rasul Allah, seolah-olah Baginda pernah menggembala kambing?” Baginda menjawa “Ya, tidak ada seorang Nabi kecuali telah menjadi penggembala kambing, atau hampir itulah maksudnya. (Lihat Sahih Muslim, 3/1621)
Al-Hafiz Ibn Hajar berkata, “Hikmah di sebalik penggembalaan kambing sebelum masa kenabian tiba adalah terbiasa mengatur kambing, yang nanti dengan sendirinya akan terbiasa menangani permasalahan umat manusia.” (Lihat Fath al-Bari, 1/144). Saya katakan, kambing ada yang bersifat menguasai, ada yang kena tanduk, ada yang lemah. Ini semua memerlukan penggembala mengatur dan memberi makan kepada setiap kambingnya agar semuanya cukup makan dan gemuk. Untuk itu, sebuah didikan awal dalam mengurus binatang kepada mengurus manusia selepas itu. (Lihat Garis Masa Hayat al-Rasul SAW, hlm. 38)
Marilah sama-sama kita berdoa:
اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ مِنَ الخَيْرِ كُلِّهِ عَاجِلِهِ وَآجِلِهِ ، مَا عَلِمْنَا مِنْهُ وَمَا لَمْ نَعْلَمْ ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنَ الشَّرِّ كُلِّهِ عَاجِلِهِ وَآجِلِهِ ، مَا عَلِمْنَا مِنْهُ وَمَا لَمْ نَعْلَمْ ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ مِنْ خَيْرِ مَا سَأَلَكَ عَبْدُكَ وَنَبِيُّكَ ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنْ شَرِّ مَا عَاذَ بِهِ عَبْدُكَ وَنَبِيُّكَ ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ الجَنَّةَ وَمَا قرَّبَ إِلَيْهَا مِنْ قَولٍ أَوْ عَمَلٍ ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنَ النَّارِ وَمَا قَرَّبَ إِلَيْهَا مِنْ قَوْلٍ أَوْ عَمَلٍ ، وَنَسْأَلُكَ أَنْ تَجْعَلَ كُلَّ قَضَاءٍ قَضَيْتَهُ لَنَا خَيْرًا
Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu semua kebaikan yang disegerakan mahupun yang ditunda, serta apa yang kami ketahui mahupun tidak kami ketahui. Kami berlindung kepada-Mu daripada semua keburukan, baik yang disegerakan mahupun yang ditunda, serta yang kami ketahui mahupun yang tidak kami ketahui. Ya Allah, sungguh kami memohon kepada-Mu dari kebaikan apa yang diminta oleh hamba dan Nabi-Mu Muhammad SAW kepada-Mu dan kami berlindung kepada-Mu dari apa yang diminta perlindungan oleh hamba dan nabi-Mu. Ya Allah, kami memohon kepada-Mu syurga dan apa yang mendekatkan kepadanya baik berupa ucapan mahupun perbuatan. Dan kami berlindung kepada-Mu dari neraka dan apa yang mendekatkan kepadanya baik berupa ucapan atau perbuatan. Dan kami memohon kepada-Mu semua takdir yang Engkau tentukan baik untuk kami.”
Bertarikh: 27 September 2023 bersamaan 11 Rabiulawwal 1445