#3300: Perbezaan Nama Ahmad dan Muhammad
Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Boleh terangkan apakah perbezaan nama Ahmad dan Muhammad?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Kami mulakan dengan firman Allah SWT:
وَإِذْ قَالَ عِيسَى ابْنُ مَرْيَمَ يَا بَنِي إِسْرَائِيلَ إِنِّي رَسُولُ اللَّهِ إِلَيْكُم مُّصَدِّقًا لِّمَا بَيْنَ يَدَيَّ مِنَ التَّوْرَاةِ وَمُبَشِّرًا بِرَسُولٍ يَأْتِي مِن بَعْدِي اسْمُهُ أَحْمَدُ ۖ فَلَمَّا جَاءَهُم بِالْبَيِّنَاتِ قَالُوا هَٰذَا سِحْرٌ مُّبِينٌ
Maksudnya: “Dan (ingatlah juga peristiwa) ketika Nabi Isa ibni Maryam berkata: ‘Wahai Bani Israil, sesungguhnya aku ini Pesuruh Allah kepada kamu, mengesahkan kebenaran Kitab yang diturunkan sebelumku, iaitu Kitab Taurat, dan memberikan berita gembira dengan kedatangan seorang Rasul yang akan datang kemudian daripadaku – bernama: Ahmad.’ Maka ketika ia datang kepada mereka membawa keterangan-keterangan yang jelas nyata, mereka berkata: ‘Ini ialah sihir yang jelas nyata!’”
(Surah Saff: 6)
Begitu juga firman Allah SWT:
وَالَّذِينَ آمَنُوا وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ وَآمَنُوا بِمَا نُزِّلَ عَلَىٰ مُحَمَّدٍ وَهُوَ الْحَقُّ مِن رَّبِّهِمْ ۙ كَفَّرَ عَنْهُمْ سَيِّئَاتِهِمْ وَأَصْلَحَ بَالَهُمْ
Maksudnya: “Orang-orang yang kafir serta menghalangi (dirinya dan orang lain) dari jalan Allah, Allah sia-siakan segala amal mereka.”
(Surah Muhammad: 2)
Ketika mana Rasulullah SAW dilahirkan terdapat beberapa riwayat siapakah yang memberi nama kepada Baginda. Ada yang menyatakan, ia diilhamkan kepada ibunya, dan ada juga pendapat menyatakan, kepada ‘Abd al-Muttalib.
Mengenai hal ini, al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani ada menukilkan daripada al-Baihaqi bahawa apabila Nabi SAW dilahirkan ke dunia, ‘Abd al-Muttalib telah mengadakan jamuan untuknya. Ketika sedang makan, para hadirin bertanya kepada ‘Abd al-Muttalib: “Apakah nama yang telah engkau berikan kepadanya?” Dia menjawab: “Muhammad.” Mereka bertanya lagi: “Apakah yang menghalang engkau daripada menamakannya dengan nama-nama ahli keluarganya?” Dia menjawab: “Aku berhasrat agar Allah SWT memujinya di langit dan juga menusia memujinya di bumi.” (Lihat Fath al-Bari, 7/163).
Selain itu, Ibn ‘Asakir juga ada menyebutkan sebuah riwayat daripada Ibn Abbas R.Anhuma bahawa:
لَمَّا وُلِدَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَقَّ عَنْهُ عَبْدُ الْمُطَّلِبِ بِكَبْشٍ، وَسَمَّاهُ مُحَمَّدًا، فَقِيلَ لَهُ: يَا أَبَا الْحَارِثِ مَا حَمَلَكَ عَلَى أَنْ تُسَمِّيَهُ مُحَمَّدًا، وَلَمْ تُسَمِّهِ بِاسْمِ آبَائِهِ؟ قَالَ: أَرَدْتُ أَنْ يَحْمَدَ اللَّهَ عَزَّ وَجَلَّ فِي السَّمَاءِ، وَيَحْمَدَهُ النَّاسُ فِي الأَرْضِ
Maksudnya: “Apabila Nabi SAW dilahirkan, ‘Abd al-Muttalib telah melakukan akikah ke atas Baginda dengan menyembelih seekor kibasy dan menamakannya Muhammad. Ditanyakan kepadanya: “Wahai Abu al-Harith, apakah yang menyebabkan engkau memberinya nama Muhammad dan bukan dengan nama nenek moyangnya?” Dia menjawab: “Aku ingin agar Allah SWT memujinya di langit dan juga manusia memujinya di bumi.” (Lihat Tarikh Dimashq, 3/32).
Hasan bin Thabit RA menyampaikan syair:
وَشَقَّ لَهُ مِنْ اسْمِهِ لِيُجَلَّهُ
فَذُو الْعَرْشِ عَمُوْدٌ وَهَذَا مُحَمَّدُ
Dia memecahkan daripada namanya untuk dimuliakan
Pemilik Arasy amat dipuji dan ini pula Muhammad
(Lihat Makrifah Rasulullah SAW oleh Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri, hlm. 4)
Nama Ahmad bermaksud sebaik-baik orang yang terpuji (أَحْمَدُ الحَامِدِينَ). Antara sebab Baginda SAW diberi nama sedemikian kerana Baginda SAW diberi al-Maqam al-Mahmud (kedudukan terpuji) yang tidak diberikan kepada mana-mana nabi sebelumnya. Ada juga yang berpendapat kerana para nabi adalah yang banyak memuji Allah SWT (الْأَنْبِيَاءُ حَمَّادُونَ), dan Baginda SAW adalah yang paling banyak pujiannya (أَكْثَرُهُمْ حَمْدًا) atau yang paling besar sifat terpujinya (أَعْظَمُهُمْ فِي صِفَةِ الْحَمْدِ). (Lihat Fath al-Bari, 6/555).
Syeikh Muhammad bin Soleh al-Uthaimin pula menyatakan bagi nama Ahmad, kata perbuatan itu berlaku dari diri Baginda SAW sendiri iaitu dia adalah manusia yang paling terpuji di sisi Allah SWT. Dan juga ia kata perbuatan yang berlaku ke atas Baginda SAW iaitu dia adalah manusia yang paling berhak sekali untuk dipuji sebagaimana yang selayaknya bagi Baginda SAW. Boleh jadi inilah rahsia hikmah disebalik firman Allah SWT di dalam surah al-Saff ayat 6 yang telah mengilhamkan Nabi Isa A.S agar bersabda kepada umatnya mengenai berita gembira kedatangan nabi selepasnya yang bernama Ahmad, supaya Baginda A.S menerangkan kepada Bani Israil bahawa nabi tersebut adalah manusia yang paling terpuji dan manusia yang paling berhak untuk dipuji. (Lihat Syarh al-Manzumah al-Baiquniyyah, hlm. 24)
Manakala nama Muhammad pula bermaksud orang yang dipuji dan padanya terdapat makna al-Mubalaghah iaitu paling banyak dipuji. (Lihat Fath al-Bari, 6/555).
Syeikh Muhammad bin Soleh al-Uthaimin menyebutkan bagi nama Muhammad, kata nama perbuatan itu berlaku daripada manusia yang lain iaitu manusia memujinya. (Lihat Syarh al-Manzumah al-Baiquniyyah, hlm. 24).
Menurut Syeikh al-Sya‘rawi, Muhammad adalah satu zat yang mendapat pujian dari selainnya, ia merupakan suatu kata nama yang membawa maksud berlebihan dalam menerima pujian. Adapun Ahmad, pujian itu dari dirinya buat orang lain, dan ia bermaksud berlebihan dalam memberi pujian. Maka Nabi Muhammad SAW itu terkumpul padanya kedua sifat ini, mendapat kepujian dari Allah SWT, dan senantiasa memuji Allah SWT.[1]
Allah SWT memuliakan Nabi SAW dengan bentuk pujian sehingga pencela sendiri pun akan disisihkan untuk mencela Nabi SAW apabila gelaran yang diberi tidak menepati kepada Rasulullah SAW. Mereka menamakan Nabi SAW Muzammam atau yang dikeji sedangkan Nabi SAW adalah yang dipuji, sepertimana kata Ummu Jamil:
مُذَمَّمًا أَبَيْنَا، وَدِينَهُ قَلَيْنَا، وَأَمْرَهُ عَصَيْنَا.
Maksudnya: “Orang yang tercela yang kami tidak mahu, agamanya kami benci dan perintahnya kami maksiati.” (Lihat al-Bahr al-Muhit, 10/569)
Makanya, Rasulullah SAW yang terpuji dan banyak memuji Allah SWt selayaknya dipuji dan mendapat pujian daripada Allah SWT kerana ia adalah rasul pilihan Allah SWT. Sikap dan amalannya dalam berubudiyyah bahkan, Rasulullah SAW akan dibangkitkan pada kedudukan yang terpuji pada hari akhirat kelak.
Firman Allah SWT:
وَمِنَ اللَّيْلِ فَتَهَجَّدْ بِهِ نَافِلَةً لَّكَ عَسَىٰ أَن يَبْعَثَكَ رَبُّكَ مَقَامًا مَّحْمُودًا
Maksudnya: “Dan bangunlah pada sebahagian dari waktu malam serta kerjakanlah “sembahyang tahajjud” padanya, sebagai sembahyang tambahan bagimu; semoga Tuhanmu membangkit dan menempatkanmu pada hari akhirat di tempat yang terpuji.”
(Surah al-Isra’: 79)
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ مِنَ الخَيْرِ كُلِّهِ عَاجِلِهِ وَآجِلِهِ ، مَا عَلِمْنَا مِنْهُ وَمَا لَمْ نَعْلَمْ ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنَ الشَّرِّ كُلِّهِ عَاجِلِهِ وَآجِلِهِ ، مَا عَلِمْنَا مِنْهُ وَمَا لَمْ نَعْلَمْ ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ مِنْ خَيْرِ مَا سَأَلَكَ عَبْدُكَ وَنَبِيُّكَ ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنْ شَرِّ مَا عَاذَ بِهِ عَبْدُكَ وَنَبِيُّكَ ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ الجَنَّةَ وَمَا قرَّبَ إِلَيْهَا مِنْ قَولٍ أَوْ عَمَلٍ ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنَ النَّارِ وَمَا قَرَّبَ إِلَيْهَا مِنْ قَوْلٍ أَوْ عَمَلٍ ، وَنَسْأَلُكَ أَنْ تَجْعَلَ كُلَّ قَضَاءٍ قَضَيْتَهُ لَنَا خَيْرًا
Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu semua kebaikan yang disegerakan mahupun yang ditunda, serta apa yang kami ketahui mahupun tidak kami ketahui. Kami berlindung kepada-Mu daripada semua keburukan, baik yang disegerakan mahupun yang ditunda, serta yang kami ketahui mahupun yang tidak kami ketahui. Ya Allah, sungguh kami memohon kepada-Mu dari kebaikan apa yang diminta oleh hamba dan Nabi-Mu Muhammad SAW kepada-Mu dan kami berlindung kepada-Mu dari apa yang diminta perlindungan oleh hamba dan nabi-Mu. Ya Allah, kami memohon kepada-Mu syurga dan apa yang mendekatkan kepadanya baik berupa ucapan mahupun perbuatan. Dan kami berlindung kepada-Mu dari neraka dan apa yang mendekatkan kepadanya baik berupa ucapan atau perbuatan. Dan kami memohon kepada-Mu semua takdir yang Engkau tentukan baik untuk kami.”
[1] Lihat https://www.youtube.com/watch?v=2005VjMAy44. Diakses pada 26 September 2023.
Bertarikh: 27 September 2023 bersamaan 11 Rabiulawwal 1445